Penyambung Aktiviti Syeikh Yusuf Makasar
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
AKHIR-akhir ini mulai ramai intelektual kita membicarakan seorang ulama yang berasal dari negeri Bugis. Beliau ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi (al-Maqassari). Dalam tahun 1980 sewaktu buku saya berjudul Perkembangan Tasawuf dan Tokoh-Tokohnya di Nusantara, yang juga memuatkan ulama tersebut diterbitkan, dalam tahun tersebut masih sangat langka orang membicarakan ulama itu.
Beberapa orang sarjana telah memetik tentang Syeikh Yusuf daripada buku saya itu, di antara mereka ialah, Martin van Bruinessen (Belanda) ketika menyusun buku Tarekat Naqsyabandiyah di Indonesia (cetakan pertama, Mizan, 1413/1992), Dr. Azyumardi Azra ketika menyusun Jaringan Ulama (cetakan pertama, Mizan, 1415/1994) dan ramai lagi.
Penyelidikan saya dalam tahun 1980 itu boleh dikatakan masih sangat dangkal, kerana setelah tahun yang tersebut itu, bahan-bahan baru banyak saya temui. Orang lain menulis di hujung nama Syeikh Yusuf dengan ``al-Maqassari'' tetapi dalam penyelidikan yang terakhir ini, saya menggunakan perkataan ``al-Mankatsi''. Ini adalah berdasarkan sebuah manuskrip yang ada pada saya. Sebagaimana pernah saya tegaskan, bahawa saya tidak menggunakan istilah ``al-Sinkili'' sesudah nama Syeikh Abdur Rauf tetapi menggunakan istilah ``al-Fanshuri'' atau ``al-Fansuri''. Demikian juga saya tidak memakai istilah as-Sumatrani'' atau ``as-Samatrani'' di hujung nama Syeikh Syamsuddin tetapi menggunakan istilah ``as-Sumathra-i'' atau ``as-Sumatra-i''.
Bagi saya, sesuatu penyelidikan bukanlah perkara untuk diperniagakan dengan harga murahan dan mengikut kata-kata orang semata-mata, tetapi perlu merujuk kepada bahan-bahan yang bercorak asli terutama sekali, manuskrip yang disusun sendiri oleh siapa sahaja yang akan kita riwayatkan.
Di bawah ini adalah, riwayat salah seorang keturunan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi yang menyambung aktiviti ulama besar yang berasal dari Bugis-Makasar yang sangat terkenal itu. Dalam tahun 1976, saya telah memperoleh beberapa buah manuskrip salinan keturunan Syeikh Yusuf al-Mankasti yang tinggal di Punggur, Kalimantan Barat. Manakala manuskrip-manuskrip itu saya teliti, sejak saya milikinya pada tahun 1976, berulang kali hingga sekarang (1426 H/2005 M), banyak informasi yang diperoleh daripadanya. Beberapa buah di antaranya, adalah karya Syeikh Yusuf al-Mankatsi, sebuah karya murid beliau. Yang berperanan sebagai penyalin pula beberapa orang ulama Bugis termasuk keturunan beliau.
Aktiviti penyalinan dilaksanakan di beberapa tempat iaitu: Mekah, Bone, Palakka dan Pontianak. Ada beberapa orang penyalin manuskrip, berdasarkan catatan tahun pada manuskrip adalah hidup se zaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdul Wahhab Sadenreng Daeng Bunga Wardiyah, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan ramai lagi.
Nama, gelar dan pendidikan
Nama yang sebenar penyalin yang pertama ialah Haji Abu Bakar. Nama gelarannya ialah ``Al-Khathib Bone''. Namanya yang lain, dikenali dengan Haji Abu Bakar Wajo (Wajok). Ayahnya bernama Khathib al-Bathualaq Ibrahim al-Buni. Salah seorang saudaranya bernama Ahmad bin al-Bathualaq Ibrahim al-Buni, juga terdapat salinan manuskrip.
Beliau mendapat pendidikan di Mekah, pada salah sebuah salinan manuskrip ada dicatatkan bahawa beliau memiliki sebuah rumah di Mekah, kemudian rumah itu dijadikan rumah wakaf. Rumah tersebut terletak di al-Qararah, di Zuqaqul Arab. Setelah beliau turun ke negeri Bugis, rumah wakaf itu dinaziri oleh Syeikh Muhammad ibnu al-Marhum Syeikh Yahya Bugis. Di rumah itulah salah seorang kerabat mereka bernama Haji Muhammad Mustahyi ibnu Qasim al-Buqisi al-Buni menyambung aktiviti Haji Abu Bakar itu menyalin berbagai-bagai judul manuskrip yang dikarang oleh ulama-ulama terkenal di antaranya, Syarh Tuhfatul Mursalah karya Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi yang terkenal itu.
Semua kitab yang disalinnya adalah mengenai tasawuf dan beliau adalah seorang pengamal berbagai-bagai tarekat, yang dipegang dengan kuat ialah Thariqat Syathariyah. Menurut keterangan Haji Muhammad Nur Punggur (penyimpan manuskrip ulama yang diriwayatkan), silsilah tarekat beliau (Haji Muhammad Nur) bersambung kepada Haji Abu Bakar Bugis itu, bersambung terus hingga kepada datuk nenek mereka, Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi yang terkenal dan meninggal dunia di Afrika Selatan itu.
Oleh sebab di Mekah Haji Abu Bakar Wajo al-Buqisi seperguruan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Muhammad Ali al-Asyi (Aceh) yang membai'ah dan mentawajjuhkan mereka zikrullah kaedah Thariqat Syathariyah itu ialah Syeikh Muhammad As'ad, silsilah selanjutnya sama dengan silsilah Thariqat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Salinan manuskrip
Kitab-kitab yang pernah disalin oleh Haji Abu Bakar Bugis, dalam bahasa Arab dan semuanya mengenai ilmu tasawuf. Selain itu, terdapat juga naskhah-naskhah dalam bahasa Bugis. Naskhah dalam bahasa Bugis tidak dibicarakan dalam artikel ini. Salinan-salinan tersebut disenaraikan di bawah ini, iaitu;
1. Risalatul Wudhu karya Tajuddin yang digelar dengan Tajul bin Arifin ibnu Sultan Utsman an-Naqsyabandi, yang nasabnya sampai kepada Saiyidina Utsman ibnu Affan R. A. Haji Abu Bakar Bugis mencatat pada akhir salinannya bahawa diselesaikan pada hari Sabtu, waktu Asar, 26 Jamadilawal di rumah negeri Palakka, tanpa menyebut tahun.
2. Ar-Risalah an-Naqsyabandiyah karya Syeikh Yusuf Tajul al-Khalwati Mankatsi. Dicatat pada halaman akhir, selesai penyalinan pada, hari Sabtu, bulan Muharam, tanpa menyebut tahun. Pada salinan menggunakan nama ``al-Faqir Khathib Bone'', tanpa menyebut nama asli Haji Abu Bakar Wajo Bugis.
3. Jam'ul Fawaid as-Sunbuliyah al-Muwashshalah ila Maratibh al-'Aliyah karya gurunya, al-'Alim al-'Allamah al-'Arif ar-Rabbani Syeikh Muhammad As'ad bin Syeikh Muhammad Thahir as-Sunbul bin al-Allamah Syeikh Muhammad Sa'id al-Makki.
4. Daqaiq al-Asrar fi Tahqiqi Qawa'id as-Sirriyah wa Bayani Ahlillahil Arifin karya Syeikh Abul Fattah Abu Yahya Abdul Bashir ad-Dhariri iaitu seorang murid Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi. Di akhir salinan dicatatkan, ``...Khathib Bone di rumah di negeri Palakka, selesai menyalin pada waktu Dhuha, hari Rabu, 9 Zulkaedah 1233 H''.
5. Zubdah al-Asrar fi Tahqiqi Ba'dhi Masyarib al-Akhyar karya Syeikh Yusuf at-Tajul Khalwati al-Mankatsi. Dicatat selesai menyalinnya pada 9 Ramadan 1235 H oleh Khatib Bone namanya Abu Bakar.
Kesinambungan aktiviti
Apabila diteliti manuskrip-manuskrip yang berasal dari Haji Abu Bakar Bugis yang telah dijumpai, dapat diambil kesimpulan bahawa, aktiviti penyalinan manuskrip dimulai dari di Mekah dan Thaif. Aktiviti di Mekah dilakukan di sebuah rumah wakaf keluarga Wajo.
Manakala Haji Abu Bakar Bugis pulang ke negerinya, tempat bekerja dijalankan di sebuah rumah di negeri Palakka. Di rumah yang di Bone milik Haji Abu Bakar pula, aktivitinya diteruskan oleh adiknya, Haji Ahmad ibnu Khathib al-Bathuwalaq Ibrahim. Sebuah salinan karya Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi, judul Asrar ash-Shalah fi Tabyin Muqaranah an-Niyah bi Takbirah al-Ihram fi al-Fiqh wa at-Tashawuf `ala I'tiqad Ahli as-Sunnah wa al-Jama'ah wa Mazhab as-Syafi'i, adalah dilakukan oleh adiknya itu. Tarikh selesai penyalinan waktu Asar, tahun Jim, 25 bulan Haji, 1237 H.
Jika kita bandingkan tahun terakhir Haji Abu Bakar Bugis melakukan penyalinan (1235 H/1819 M) dengan dijumpai salinan adiknya tahun 1237 H/1821 M, dapat diambil kesimpulan bahawa aktiviti beliau disambung oleh adiknya. Kesimpulan yang lain pula mungkin sesudah tahun 1235 H/1819 M, Haji Abu Bakar Bugis itu telah meninggal dunia atau pun kembali ke Mekah atau pun pindah ke Pontianak. Ini semua belum jelas, masih memerlukan penyelidikan lanjut.
Dalam hal yang sama nampaknya aktiviti Haji Abu Bakar Bugis dilanjutkan juga oleh Muhammad Mustahyi ibnu Qasim al-Buqisi al-Buni yang menyelesaikan beberapa salinan manuskrip sebagai yang berikut di bawah ini;
1. Syarh Tuhfatul Mursalah karya Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi di rumah wakaf Haji Abu Bakar Wajo di Qararah, di Zuqaqul Arab, Mekah. Rumah wakaf tersebut nazirnya ialah Syeikh Muhammad ibnu al-Marhum Syeikh Yahya Bugis. Muhammad Mustahyi al-Buqisi al-Buni selesai melakukan penyalinan kitab tersebut pada waktu Dhuha, tahun 1245 H, tanpa menyebut tanggal dan bulan. Sesudah itu Haji Muhammad Mustahyi al-Buqisi al-Buni pergi ke Pontianak, Kalimantan Barat.
2. Bidayah al-Hidayah karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali yang diselesaikan pada hari Ahad, waktu Asar 27 Rabiulawal, waktu Jim tahun 1253 H. Secara kebetulan pula dalam tahun yang sama (1253 H) terdapat sebuah salinan Bidayah Hidayah itu oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang dilakukan di Mekah. Kedua-dua manuskrip salinan tersebut ada dalam simpanan saya.
3. Anis al-Muttaqin karya Syeikh Abdus Shamad ibnu Faqih al-Husein bin Faqih Abdullah. Penyalinan diselesaikan pada waktu Asar, hari Sabtu, 6 Jamadilawal 1254 H di Pontianak.
4. Tanbih ath-Tullab karya Syeikh Syamsuddin bin Abdullah as-Sumatra-i. Penyalinan diselesaikan pada waktu Asar, hari Isnin, 15 Jamadilawal 1254 H di Pontianak. Apabila kita semak tarikh penyalinan nombor tiga dengan nombor empat, ini bererti ketika selesai menyalin nombor tiga langsung disambung dengan nombor empat. Ini adalah mencerminkan satu kesungguhan, kerajinan dan bertanggungjawabnya Haji Muhammad Mustahyi Bugis yang tersebut.
Ternyata Haji Muhammad Mustahyi al-Buqisi al-Buni menyelesaikan salinan manuskrip yang banyak di Pontianak. Tiada dapat dinafikan bahawa keturunan ulama-ulama Bugis yang tersebut sangat ramai di Pontianak khususnya, dan Kalimantan Barat, umumnya.
Di antara mereka ialah, Haji Muhammad Nur yang menyerahkan beberapa buah manuskrip dalam bahasa Arab tersebut kepada saya pada tahun 1976. Masih banyak manuskrip dalam simpanan beliau, terutama sekali yang ditulis oleh Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dengan huruf Bugis, dalam bahasa Bugis yang beliau sangat menyayanginya, dipelihara dengan baik dibungkus dengan kain kuning.
Setelah Haji Muhammad Nur tersebut meninggal dunia, saya tidak mengetahui khazanah tersebut diserahkan kepada siapa. Selain Haji Muhammad Nur, keturunan ulama-ulama Bugis yang tersebut ialah Tuan Guru Haji Ismail al-Buqisi, beliau ini adalah Mufti Kerajaan Kubu, Kalimantan Barat. Tuan Guru Haji Ismail al-Buqisi pada satu ketika, bersama Mufti Haji Ismail bin Abdul Majid yang berasal dari Kelantan berperanan penting di kerajaan Pontianak. |