Hakim Mahkamah Syarie di Mekah
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
KEBANYAKAN orang yang mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan akan mengenali judul sesuatu kitab atau sesuatu buku. Jarang sekali yang memperhatikan nama pengarangnya untuk diingati. Orang ramai lebih mudah mengingat judul kitab atau buku berbanding sejarah pengarangnya. Demikianlah yang berlaku kepada orang awam, pencinta ilmu biasa selain sejarawan atau pakar biografi.
Kadang-kadang juga berlaku terhadap seseorang yang berpendidikan tinggi, bahkan tidak mustahil berlaku terhadap seseorang pensyarah universiti atau pun seorang profesor. Pandangan tersebut saya luahkan di dalam riwayat ulama ini kerana sebuah nama kitab beliau sangat terkenal di seluruh dunia Melayu, iaitu `sebuah kitab yang paling banyak diajarkan orang'.
Nama kitabnya menjadi sebutan, tetapi jarang orang menyebut nama pengarangnya. Sejarah lengkap beliau berupa buku yang belum pernah ditulis. Saya cuba memperkenalkan ulama yang berasal dari Patani, kelahiran Pulau Duyung Kecil Terengganu ini melalui petikan buku tulisan saya berjudul, Pengarang Dua Purnama Kitab Mathla' Al-Badrain.
Buku biografi beliau saya beri judul demikian sebagai lambang nama karya beliau yang sangat terkenal, iaitu Mathla`ul Badrain wa Majma`ul Bahrain atau Tempat Terbit Dua Bulan Purnama Dan Tempat Berhimpun Dua Laut.
LAHIR DAN PENDIDIKAN
Beliau lahir daripada keluarga besar ulama Patani yang berhijrah pada masa peperangan dahsyat gabungan Patani-Terengganu-Kedah dan Kelantan daripada pencerobohan Siam ketika itu, diberi nama oleh datuk saudaranya, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sebagai Muhammad Shaghir.
Di kalangan keluarga menyebut namanya Syeikh Nik Mat Kecik sahaja. Pada semua kitab karyanya, beliau menulis namanya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani. `Daudy' pada nama tersebut bukanlah bererti beliau adalah cucu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang sangat terkenal itu, Syeikh Daud al-Fathani bin Abdullah al-Fathani sebenarnya tidak memperoleh keturunan. Tetapi datuk beliau merupakan adik beradik dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Tahun kelahirannya terdapat dua catatan keluarga yang berbeza. Ada keluarga yang mencatat tahun 1245 H/ 1829 M dan ada pula yang mencatat tahun 1260 H/1844 M. Kedua-dua catatan sama-sama kuat kerana ada di dalam simpanan keluarga yang terdekat sebagai pewaris beliau. Beliau wafat di Mekah pada tahun 1333 H/1914 M. Ketika kecilnya Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani masih sempat menemui Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi beliau lebih banyak mendapat pendidikan daripada saudara sepupunya, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani.
Setelah Syeikh Muhammad Shaghir/Nik Mat Kecik al-Fathani memperoleh ilmu yang sangat mendalam dalam berbagai-bagai bidang, beliau mengajar di rumah dan di Masjid al-Haram. Beliau adalah penerus dua orang ulama Patani yang terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Kediamannya pernah menjadi tempat kegiatan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ilmunya memang benar-benar padu dan diakui sehingga Syeikh Muhammad Shaghir/Nik Mat Kecik al-Fathani adalah satu-satunya Hakim Mahkamah Syarie Makkah al-Mukarramah, yang berasal dari dunia Melayu pada zamannya.
Selain itu beliau juga adalah merupakan `Syeikh Haji' yang terbesar pada zamannya. Beliau adalah ulama besar paling ramai muridnya yang datang dari seluruh alam Melayu hingga Mekah pada zaman itu. Menurut cerita yang mutawatir, beliau banyak keramatnya. Jika beliau mengajar, walau pun tidak menggunakan pembesar suara, dapat didengar dengan jelas oleh pelajarnya yang duduk berjauhan dari tempat beliau mengajar. Selain itu, jika anggota jemaahnya mendapat gangguan di dalam perjalanan antara Mekah dan Madinah, yang pada zaman itu sering terjadi rompakan, sebutkan saja, ``Kami jemaah Syeikh Muhammad Shaghir'', maka perompak-perompak tidak berani mengganggu. Syeikh Muhammad Shaghir/Nik Mat Kecik mempunyai sifat yang sangat pemurah, hampir semua pelajar yang datang dari dunia Melayu yang terlantar di Mekah, beliau tampung sebagai anak angkat dalam pemeliharaannya, dan diberinya pendidikan keagamaan yang mendalam.
Sebahagian besar adalah sebagai kadernya. Hampir semua anak angkatnya menjadi ulama. Mereka pulang ke tanah air menjadi tokoh penting yang bergerak dalam pelbagai bidang kemasyarakatan. Jumlah anak angkat beliau bukan sedikit. Mereka kemudiannya tersebar di Indonesia, Malaysia, Patani, Thailand dan Kemboja.
KARYA DAN PEMIKIRAN
Syeikh Muhammad Shaghir/Nik Mat Kecik al-Fathani sebagai seorang pengarang kitab-kitab, hasil karyanya tidaklah sebanyak karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani atau pun Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, walau bagaimanapun, beliau termasuk dalam senarai ulama dunia Melayu yang banyak menghasilkan karya. Jumlah karyanya dapat disejajarkan dengan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal al-Fathani). Di bawah ini disenaraikan sepuluh buah karya beliau yang sebahagian besarnya pernah diterbitkan dan di antaranya masih beredar di pasaran hingga sekarang ini (1426 H/2005 M, ialah:
1. Al-Bahjatul Mardhiyah fi Fawaidil Ukharawiyah, tarikh selesai 20 Syaaban 1296 H/1878 M di Makkatul Musyarrafah. Banyak kali diterbitkan oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, di antaranya terbitan tahun 1319 H/1901 M. Kandungannya pelbagai wirid dan amalan. Pada zaman dulu doa-doa, selawat dan lain-lain dalam kitab ini banyak diamalkan oleh masyarakat dunia Melayu. Sebagai bukti dalam tahun l987 M, mengenai hari Rabu akhir Safar diterjemahkan ke dalam bahasa Sunda yang disebut Rebo Wekasan.
2. Mathla'ul Badrain wa Majma'ul Bahrain, tarikh selesai 12 Syaaban 1303 H/1885 M. Kitab cetakan ketiga dan keempat ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Cetakan pertama dan kedua ternyata banyak kesalahan susunan kalimatnya yang dilakukan oleh pihak pencetak. Kitab inilah di antara kitab fikah yang paling banyak diajarkan dan masih diterbitkan. Kerana kitab ini terlalu banyak dipergunakan, maka kerajaan Johor menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus mengenai kitab ini. Maka tersusunlah sebuah kamus dengan judul Suluh Mathla'ul Badrain oleh Haji Abdul Ghani Yahya. Di tulis di Johor Baharu pada 1 Oktober 1941 M. Banyak kali diterbitkan dan di antara terbitan mutakhir 1988 M oleh Pustaka Hussein No. 9, Jalan Sisi, 84000, Muar, Johor. Kitab Mathla'ul Badrain patut mendapat penjelasan yang panjang, insya-Allah pada kesempatan yang lain.
3. Al-Kaukabud Durriy fin Nuril Muhammadiy, tarikh selesai 13 Syaaban l304 H/1886 M di Mekah. Cetakan pertama pada akhir Zulhijjah 1308 H/1890 M. Kitab ini juga ditashih dan diusahakan penerbitannya oleh Syeikh Ahmad al-Fathani
4. Ad-Durrul Basim fi Ashhabil Kahfi war Raqim, tarikh selesai 19 Rejab 1310 H/1892 M di Mekah. Cetakan pertama tahun 1310 H/1892 M oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah. Kitab ini juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
5. Kitabul Farqadain wa Jawahirul `Iqdain, tarikh selesai l3 Syawal 1311 H/1893 M di Mekah. Cetakan pertama pada Zulkaedah 1311 H/1893 M. Kitab ini juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
6. Wusyahul Afrah wa Ashabul Falah, tarikh selesai pada Zulkaedah 1312 H/I894 M. Kitab ini juga banyak diterbitkan. Pada cetakan keempat oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, bentuk reka cetaknya berbeza dengan cetakan-cetakan yang terdapat dalam pasaran sekarang ini. Cetakan keempat tersebut jauh lebih tebal, di bahagian tepi kiri dan kanan serta atas dan bawah dipenuhi dengan nota-nota atau penjelasan beberapa perkara yang penting. Ini merupakan suatu pemikiran pengarangnya. Bererti pencetak-pencetak yang tidak bertanggungjawab di belakang adalah tidak amanah, menyeleweng, pengkhianat kepada pengarang, yang fikrah / pemikirannya itu seharusnya akan disampaikannya kepada umat Islam yang memerlukannya. Cetakan keempat tersebut dalam tahun 1331 H/1912 M yang diusahakan oleh anak pengarangnya bernama Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Ada cetakan pertama oleh Al-Imam Singapura tahun 1325 H/1907-1908 M. Ada yang dicetak di Surabaya, Pulau Pinang dan lain-lain, semuanya menghilangkan sebahagian besar kandungan yang di bahagian tepinya. Kitab Wusyahul Afrah ini juga masih banyak diajarkan di banyak tempat di seluruh dunia Melayu.
7. Sawathi'ul Barqi wal Luma'i fi Ahkamit Tayammum wal Jama'i, tarikh selesai pada hari Jumaat, 25 Jamadilawal 1323 H/1905 M di Mekah. Cukup lama saya mencari kitab ini, akhirnya ditemukan juga pada bekas reruntuhan rumah anak beliau, Syeikh Abdullah di Kerisik, Patani. Kitab ini selesai saya transliterasi daripada tulisan Melayu/Jawi kepada tulisan Latin/Rumi pada 5 Zulhijjah 1413 H/27 April 1993 M di Kampung Pik Bong, Menara, iaitu pada masa melakukan perjalanan penyelidikan di bekas Kerajaan Melayu Islam Cahaya (sekarang ditukar nama oleh orang Thai menjadi Caiya).
8. Al-Bahrul Wafi wan Nahrush Shafi, tarikh selesai 18 Rejab l331 H/1912 M. Kandungannya fikah bahagian ibadah, termasuk di antara lima besar kitab fikah bahagian ibadat dalam Mazhab Syafie dalam bahasa Melayu. Cetakan pertama 1349 H/1930 M oleh Mathba'ah asy-Syarqiyah kepunyaan Muhammad Ramzi, Jeddah. Atas usaha dan tashih anak pengarangnya, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Barangkali kitab ini adalah karya Syeikh Muhammad bin Ismail (Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani) yang terakhir sekali.
9. Faedah Bagi Kelebihan Bertanam Dan Berhuma. Artikel ini pernah dimuat dalam majalah Pengasuh, bilangan 23 pada bulan Ramadan 1337 H/30 Mei 1919 M, hlm. 4. Redaksi majalah itu mencatatkan bahawa Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani menulis perkara di atas sewaktu beliau melawat Tanah Jawi tahun 1328 H/1910 M.
10. Ad-Durrul Mashnun wa Jawahirui Maknun. Belum dapat datanya. 11. Surat (Kepada) Paduka Adinda Tuan Haji Husein Bin Al-Marhum Lathif Kelaba Beris, surat bertarikh Jumaat, bulan Zulhijjah 1324 H. Arkib surat ini ada di dalam simpanan saya. Surat ini juga penting kerana di dalamnya terdapat beberapa fatwa beliau menjawab beberapa kemusykilan Tok Kelaba muridnya itu.
|