PERITIWA 13 OGOS 92 MENGUBAH AKU MENJADI OKU Setiap insan ada sejarahnya, begitu juga aku. Tarikh 13 Ogos 1992 tetap terpahat dalam ingatanku kerana dari manusia normal aku telah menjadi OKU pada tarikh tersebut akibat kemalangan jalanraya yang menimpaku di Paloh Inai, Kuantan, Pahang semasa perjalananku mahu menghadiri Muktamar PAS di Kelantan bersempena dengan kemenangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada pilihanraya umum tahun 1990 di Kelantan. Akibat dari kemalangan itu, aku menjadi lumpuh sehingga sekarang. Setelah 22 tahun hidup sebagai insan normal akhirnya nikmat itu diambil oleh Allah SWT mungkin ada hikmahnya, sebagai seorang hamba Allah aku redha akan segala ketentuannya. Mungkin Allah ingin mengujiku semasa hidupku di dunia ini. Kini aku hanya punya tangan, kepala serta sebahagian badan yang masih berfungsi, insyallah akan gunakan untuk meneruskan perjuangan Islam bersama-sama denagan PAS. Aku telah memilih medan dakwah secara penulisan kerana di situ sahaja ruang yang ada dan mampu aku terokai. Melihat rakan-rakan seperjuanganku yang kini terus aktif bersama PAS, kadang-kadang aku berasa cemburu kerana aku sudah tidak mempunyai keupayaan lagi seperti mereka. Sahabat-sahabatku umpamanya Haji Ishak Ismail kini Bendahari PAS Pulau Pinang, Shamsul Ketua Pemuda PAS Rembau, Mohd Zai Mustaffa beberapa kali menjadi calon PAS dalam pilihanraya umum di Pahang, Adly Zahari kini Setiausaha PAS Melaka, rakan-rakanku dalam Dewan Pemuda PAS Johor dan sebagainya. Teruskan perjuanganmu, walaupun kini aku manusia OKU aku tetap mengikuti perkembanganmu dan menyokong perjuanganmu. Rasanya masih belum terlambat aku mengucapkan terima kasihku kepada rakan-rakanku yang menziarahiku dan membantuku semasa aku terlantar di Hospital Kuala Lumpur selama tiga bulan akibat kecederaan parah yang ku alami. Aku terpaksa menjalani pembedahan dengan memasukan besi bagi menyokong tulang belakangku yang patah dan pecah ketika kemalangan itu. Selepas itu aku menjalani rawatan pemulihan di fisiotheraphy dan occapational theraphy selama setahun. Aku kini menjadi manusia baru, manusia oku, kalau dulu semua kerja dilakukan dengan mudah tetapi kini segalanya menjadi rumit dan memakan masa yang lama. Kerja yang dibuat dalam masa beberapa saat kini menjadi sehingga setengah jam baru selesai. Aku mula belajar semula bagaimana untuk memakai pakaian, menulis, naik turun dari katil dan kerusi roda sehinggalah akhirnya menunggang motorsikal khas untuk orang cacat. Akhirnya aku berjaya juga berdikari sendiri, sekurang-kurangnya tidak menyusahkan orang lain. Aku kemudiannya menyambung semula pengajianku yang tertangguh selama setahun itu. Jika dulu aku memang seorang yang aktif, kini tidak lagi. Semasa di Sekolah rendah aku pernah mewakili sekolah dalam acara 4X400 m, bolasepak dan bola baling. Di sekolah menengah aku mewakili rumah sukan dalam catur, lompat tinggi dan bolasepak. Aku juga minat bermain bola tampar, takraw dan badminton. Di Universiti aku terlibat dalam Persatuan Mahasiswa Islam, Exco MPP iaitu sebagai ketua penerangan dan penerbitan. Kini semuanya telah berlalu. Kini dengan semangat, azam dan tekat yang baru, aku akan terus menulis, semuanya ini untuk perjuangan Islam yang aku yakini dan memperjuangkan isu-isu OKU. Aku yakin Islam yang syumul ini masih menerima aku dan masih terdapat ruang yang luas bagiku memperjuangkan nasib OKU sepertiku. Aku akan kembali lagi dengan isu-isu agama, politik, isu oku dan sebagainya, insyallah… |