GEMBALA PERNIAGAAN MELAYU
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
DATUKNYA ialah Tengku Abdullah, Yang Dipertuan Muda Kerajaan Riau-Lingga ke-9. Ayahnya Raja Haji Muhammad atau Tengku Nong hanya sempat menyandang gelar `Kelana'. Oleh sebab beberapa faktor tertentu, tidak sempat menjadi Yang Dipertuan Muda Kerajaan Riau-Lingga.
Ayah saudaranya pula Raja Haji Muhammad Tahir adalah Hakim Kerajaan Riau-Lingga. Semua nama yang tersebut itu dan beliau sendiri, iaitu Tengku Ali atau digelar juga dengan Tengku Selat adalah tokoh-tokoh Melayu yang bertaraf ulama, bersepadu dengan kearifan perkara-perkara yang bercorak duniawi.
Mereka beramal dan mendalami pengetahuan Islam, sekali gus bijak mengatur kemaslahatan kepentingan kehidupan peribadi, keluarga besar, umat Islam di persekitaran dan zamannya melalui perniagaan, pentadbiran jabatan dan pemerintahan yang mereka tangani.
MEMPERJUANGKAN
Hanya dua orang tokoh besar yang pernah berperanan dalam kerajaan Riau-Lingga, sewaktu penulis masih kanak-kanak dan pemuda, yang sempat penulis temui pada akhir hidupnya, ialah Tengku Ali dan Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Endut. Tengku Ali adalah seorang tokoh besar kerajaan Riau-Lingga kerana pernah menjadi Ketua Setiausaha Riau-Lingga.
Rakyat Riau-Lingga juga pernah memperjuangkan beliau untuk menjadi Sultan Riau-Lingga, namun beliau menolaknya.Tidak sedikit orang yang pernah memegang sesuatu jabatan tinggi atau berkuasa, mereka berpengaruh dan bijak, tetapi setelah tiada kuasa, mereka menjadi orang yang bodoh kerana hilang pegangan dan pedoman.
Berlainan dengan Tengku Ali, sewaktu kerajaan Riau-Lingga dihapuskan oleh penjajah Belanda (1911), beliau sangat tekun beribadah, bertawakal kepada Allah. Sebahagian besar Kerabat Diraja Riau-Lingga berhijrah ke Singapura, namun Tengku Ali mempunyai pandangan tersendiri. Kerajaan Riau-Lingga yang demikian besar pengaruhnya ketika itu telah hapus, perniagaan Raja Ali Kelana dan Raja Haji Ahmad mengalami krisis kehancuran tiada terkawalkan lagi, ketika itulah Tengku Ali muncul dengan kebijaksanaannya.
Di dunia Melayu hanya beliau seorang yang diberi gelar `Gembala Perniagaan Melayu' oleh pemerintah Belanda ketika itu. Dalam artikel ini penulis cuba mengungkapkan kisah ulama Riau-Lingga ini membina perniagaan yang benar-benar berdasarkan syariah Islam dan menggunakan sistem persahaman yang banyak persamaan dengan yang digunapakai dunia moden sekarang ini.
Kemuncak niaga yang diusahakannya ialah Al-Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan Singapura yang berjasa mencetak dan menerbitkan pelbagai jenis kitab, buku, majalah dan lain-lain yang melibatkan pelbagai disiplin keilmuan, budaya dan warisan Melayu dan Islam. Tengku Ali lahir tercatat pada 1286 H/1869 M, tetapi dalam Surat Keterangan Yang Berlaku Laksana Paspot No. 21441 yang dikeluarkan di Singapura pada 10/8/1950 oleh Republik Indonesia Serikat dinyatakan bahawa Tengku Ali lahir di Pulau Penyengat (Riau) tahun 1874 M. Wafat di Pulau Midai, Kepulauan Riau, 9 Rejab 1374 H/ 3 Mac 1955 M.
PENUNJANG EKONOMI
Untuk pengukuhan ekonomi, Tengku Ali memasuki pelbagai sektor penunjang sebagai benteng pertahanan supaya ekonomi tetap stabil. Sektor-sektor itu ialah, memiliki tanah perkebunan, memiliki tempat-tempat perniagaan sendiri, bukan menyewa kepada pihak lain, memiliki alat pengangkutan sama ada di darat mahu pun di laut, menjalankan permodalan bersama sama ada sesama keluarga atau kerabat mahu pun seluruh kaum Muslimin. Dalam hal ini perlu penentuan saham atau sher.
Untuk kemaslahatan umat Islam, rangka pendek, perlu menyediakan tempat-tempat pendidikan. Untuk rangka panjang, umat Islam perlu mempunyai hak milik sendiri.Dalam hal ini perlu menyediakan perkebunan wakaf dan tanah wakaf. Menurut Tengku Ali modal yang paling utama seseorang insan Muslim ialah `tawakkal `alallah', mendahulukan pembayaran yang wajib, iaitu zakat daripada sedekah yang sunat. Mengenai ini termasuk juga mendahului pembayaran upah pekerja daripada lain-lainnya. Semua yang tersebut ini termasuk dalam kerangka pembinaan ekonomi sistem Islam Tengku Ali, yang menghendaki huraian yang sangat panjang, sekelumit di antaranya saja yang dapat diperkenalkan dalam artikel ini.
Sebagai bukti aktiviti Tengku Ali dalam sektor perkebunan di antaranya ditemui tulisan tangan beliau sendiri, bahawa beliau membuka perkebunan di Pulau Kemili, Riabu, Kepulauan Siantan. Surat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Siantan, hari Isnin, 2 Rejab 1319 H bersamaan dengan tahun 1901 M yang ditandatangani oleh Orang Kaya Dewa Perkasa Muhammad Usman dan Amir Serta Bakal Pangeran Siantan yang diberikan izin kepada Raja Ali bin Raja Haji Muhammad Kelana/Tengku Nong membuat kebun getah dan lainnya di tanah Pulau Siantan Darat, Teluk Tarempa. Pemilikan tanah dan perkebunan Raja Ali di sekitar Kepulauan Siantan bukan untuk keperluan peribadinya saja, tetapi untuk umat Islam.
LUAS
Tanah yang disebut dalam surat di atas, adalah sangat luas, separuh gunung Tarempa, Siantan, beliau wakafkan untuk Masjid Jamik Tarempa. Selain yang tersebut Tengku Ali juga mewakafkan beberapa tanah dan perkebunan kelapa di tempat-tempat lainnya, di antaranya tanah dan kebun kelapa untuk Masjid Baitur Rahman di Pulau Midai. Masjid tersebut beliau sebagai ketua, yang peralatannya dikerjakan dan didatangkan dari Terengganu. Selain itu ada lagi tanah wakaf dan kebun wakafnya untuk masjid di Jemaja. Tengku Ali juga adalah perintis pengurusan kebun-kebun wakaf untuk guru-guru yang mengajar di Mekah dan Madinah, kerana ulama yang mengajar di kedua-dua tanah haram pada zaman itu tiada bergaji atau mempunyai penghasilan tetap seperti sekarang ini. Pengiriman wang hasil wakaf ke Mekah dilakukan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Wakil Tengku Ali dalam urusan tersebut di Mekah ialah Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (Pulau Pinang).
PERNIAGAAN DAN PERCETAKKAN
Perniagaan Kerabat Diraja Riau-Lingga dicetuskan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar, dimulai di Pulau Midai tahun 1324 H/ 1906 M. Tahun 1330 H/19l2 M Raja Ali/Tengku Selat menerima penyerahan pimpinan Syarikat Ahmadi & Co. Midai daripada Raja Haji Ahmad, kerana Raja Haji Ahmad akan berangkat pindah ke Mekah. Tanggal 28 Rejab 1332 H/1913 M surat nombor 91 dan nombor 92 Raja Ali mengirim surat kepada Raja Haji Ahmad di Mekah, bahwa beliau akan mengembangkan perniagaan Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura.
Dengan Akta, Midai 1 Syaaban 1333 H/14 Jun 1915 M ditetapkanlah untuk membuka cawangan Ahmadiah Pulau Tu-juh di Singapura yang berpejabat di Palembang Road 18 B. Aktiviti perniagaannya merupakan agensi pengumpulan hasil bumi dan laut, selanjutnya aktif dalam eksport dan import pelbagai jenis barangan.Kemudian pindah ke Minto Road 50. Pada hari Jumaat, 22 Rabiulawal 1339 H/3 Disember 1920 M mufakat pula mendirikan percetakan. Perusahaan di Minto Road 50 itu berkembang terus dan pada tahun 1926 M Ahmadiah membeli sebuah rumah nombor 82 Jalan Sultan Singapura, kemudian nombornya diganti menjadi nombor 101 Jalan Sultan. Grant List Governement nombor 2650 lamanya dianggarkan 99 tahun. Telah dibeli oleh orang lain sebelumnya pada 12 Julai 1873 M. Jadi Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura hanya memilikinya sampai 12 Julai 1972 Masihi saja.
DOKUMEN
Selain sebagai Ketua Al-Ahmadiah, Raja Ali/Tengku Selat adalah sebagai sponsor dan sesepuh daripada berbagai-bagai perusahaan niaga di Pulau Tujuh, Sumatera, Singapura dan Malaya. Di antara yang sempat penulis jumpai dokumennya ialah:
1. Natuna Syarkah Sedanau, sekurang-kurangnya telah wujud tahun 1318 H/1900 M, enam tahun mendahului Ahmadi & Co. Midai. Pendirinya Raja Haji Idris bin Raja Haji Umar/Tengku Endut.
2. Syarikat Air Putih (Midai).
3. Syarikat Kampar-Kuantan di Midai dan Sumatera.
4. Syarikat Semuafakat/ Moefakat (seluruh Pulau Tujuh).
5. Syarikat Subi-Pulau Panjang
6. Syarikat Letung-Jemaja.
7. Syarikat Terempa.
8. Syarikat Usaha Tenun Terengganu di Singapura.
Semua syarikat tersebut ada ketua, tetapi hanya sebagai simbolik. Kuasa tertinggi sebagai penentu adalah Raja Ali/Tengku Selat. Lambang pada surat peribadi Raja Ali/Tengku Selat berbentuk tangan bersalaman dengan cogan kata (motto) di atasnya `Tawakkalna `ala Allah.' Di kanan `Bersetia Jaya', dan di kiri `Bercerai Merbahaya'.Untuk menjadi anggota salah satu syarikat itu adalah dengan cara membeli lembaran sher atau saham.
Ternyata yang paling banyak diminati oleh masyarakat Melayu ialah saham Ahmadi & Co. Midai mahu pun saham Mathba'ah Al-Ahmadiah Cawangan Singapura. Dalam penyelidikan yang penulis jalankan, penulis belum menemui sesebuah syarikat milik Melayu pada zaman itu yang mempunyai anggota yang bercorak sejagat.
Orang-orang Melayu yang membeli saham syarikat itu selain Kerabat Diraja Riau-Lingga, termasuk beberapa orang ulama Melayu di Mekah yang berasal dari Patani, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya. Saham juga dibeli oleh golongan terpelajar, di antara mereka ada yang berasal dari Padang dan Betawi (Jakarta).
Saham anugerah pula di antaranya pernah diberikan kepada ulama Arab bernama Syeikh Abdul Hamid al-Firdausi, bekas Mufti Riau-Lingga. Surat Raja Ali di Singapura, tarikh 8 Safar 1347 H, memperlihatkan niat baik atau tujuan Al-Ahmadiah ditulisnya, ``... segala perjalanan kita dari dahulu hingga ini semata-mata atas jalan pemeliharaan dan bantu membantu atas tiap-tiap kesusahan, keberatan kerabat yang jauh apa lagi yang hampir ... ``. Dalam surat ini juga dinyatakan bahawa ``yang empunya harta benda yang dipegang oleh Ahmadi itu, laki-laki yang cerdik pandai berhitung dan lainnya''.
Hubungan perniagaannya juga sangat luas, surat Tengku Ali di Singapura tarikh 26.9.1925 M membuktikan bahawa Al-Ahmadiah 50 Minto Road, Singapura ada hubungan langsung kepada Company Robin di Amsterdam (Negeri Belanda). Surat Tengku Ali di Singapura kepada Raja Kaluk dan Raja Hasnan di Ahmadi Midai, tarikh 2 Jamadilawal 1344 H/18 November 1925 M membuktikan Al-Ahmadiah Singapura memesan langsung alat-alat percetakan dari Mesir, Beirut dan Amerika. Selain itu surat yang sama juga membuktikan kemajuan Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura.
WASIAT
Ketika Tengku Ali mencecah usia lebih kurang 93 tahun, pada tarikh Midai 35 Julai 1954, ketika itulah beliau membuat Surat Wasiat untuk orang-orang yang meneruskan usahanya. Ada 13 perkara yang termaktub dalam surat wasiat itu.
Surat wasiat ditandatangani oleh yang berwasiat, juga ditanda tangani oleh tiga orang yang menerima wasiat, ialah Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman, Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud dan Raja Muhammad Nazir bin Raja Haji Mahmud. Pada tarikh, Midai, 7 Ogos 1954 dibuat penambahan, yang beliau tanda tangani, juga ditanda tangani oleh dua orang saksi ialah Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman dan Raja Ali bin Raja Mohd. Sa'id.
|