Login Weblog

Koleksi Artikel 1

Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.

Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Blogger 28 Ogos 2005

 

Menu
|Koleksi Artikel 1| |Koleksi Artikel 2| |Weblog OKU 2| |Weblog OKU 1| |e-Book|
Waktu Malaysia
Iklan





Waktu Solat
Alumni Maahad Hamidiah Kajang

Subscribe to Maahad Hamidiah
Powered by groups.yahoo.com

Fatwa Pengharaman Anti Hadith

Fatwa Pengharaman Anti-hadith

Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini: Ajaran Golongan Anti Hadith

ISI AJARAN

1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.

2. Menolak dua kalimah Syahadah.

3. Menolak Qada' dan Qadar

4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12 Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada wahyu.

5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam

6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.

TARIKH MUNCUL

1985

TEMPAT BERKEMBANG Seluruh Malaysia

TINDAKAN/HUKUMAN

Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:

1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996

2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46

3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78

4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3 (Sumber: )

Penutup

Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal 'iya zubillahi min zalik.

Fatwa Mufti Perak

Kategori : Akidah

Tajuk : Gerakan Anti-hadis

Isu : "A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –

(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;

(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;

(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;

(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa,

adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.

B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Fatwa :

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa "Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti berikut

C. OLEH YANG DEMIKIAN –

(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;

(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -

(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran- ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World";

(b) mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –

(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu,pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian."

Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49

Tarikh Pewartaan :

15 Feb 1996

Borak
Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

SYEIKH MUHAMMAD SAID LINGGI
Monday, January 09, 2006
MURSYID THARIQAT AHMADIYAH

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Nama lengkapnya Syeikh Muhammad Said bin Syeikh Jamaluddin Linggi bin Haji Idris bin Haji Abdul Mukmin Linggi bin Syeikh Muhammad Nakhoda alMinankabawi. Sampai di sini sahaja nasab yang telah disepakati, dan seterusnya yang masih dipertikaikan ialah Muhammad Nakhoda al-Minankabawi bin Ahmad bin Umar bin Shalih bin Abdullah, berasal dari Hadhralmaut, Yaman. Beliau dilahirkan pada tanggal 3 Syaaban 1292 Hijrah/1875 Masihi dan meninggal dunia pada 12 Rabiulawal 1345 Hijrah/18 September 1926 Masihi.

ASAL USUL

Selain nasab ke atas sebelah lelaki yang berasal dari Hadhralmaut, dapat dipecahkan lagi bahawa datuknya, Haji Idris itu berkahwin dengan Hajah Rahimah binti Khatib Musa bin Amaluddin bin Awaluddin.

Dalam Kanzul Mu`id tertulis bahawa Awaluddin dimasyhurkan dengan Dato' Awal anak Faqih yang dimasyhurkan dengan Daeng Abdul Malik. Bahawa keturunan ini ada hubungan dengan Daeng Kemboja, yang dimasyhurkan dengan Marhum Janggut Yamtuan Muda Riau. Marhum Janggut pula adalah putera Upu Daeng Perani. Hajah Rahimah (nenek Syeikh Muhammad Said) tersebut ibunya bernama Zulaikha binti Dato' Karkung berasal dari Minangkabau, termasuk kerabat ulama besar bernama Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi al-Minankabawi, penyusun kitab Kifayatul Ghulam.

Ibunya bernama Hajah Shafiyah binti Haji Muhammad Shalih al-Fathani (meninggal dunia pada 12 Rabiulakhir 1352 Hijrah). Ayah kepada ibunya ini adalah seorang ulama Patani yang mempunyai murid yang ramai. Neneknya (ibu kepada ibunya) bernama Hajah Maryam, beliau adalah keturunan Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani, satu-satunya ulama Melayu yang pernah mengajar di Masjidil Aqsa.

PENDIDIKAN

Ketika mengikuti pengajian sistem pondok di Patani, Muhammad Said berguru kepada ulama terkenal, iaitu Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal), pengarang pelbagai kitab Melayu/Jawi. Guru-gurunya yang lain ialah Tok Nahu, Syeikh Muhammad Nuh Kedah, Tok Semela dan lain-lain. Semua ulama yang tersebut adalah murid pula kepada datuknya, Syeikh Abdur Rasyid.

Sewaktu berusia 17 tahun, beliau berangkat ke Mekah untuk melanjutkan pelajarannya. Guru-gurunya di Mekah yang tersebut dalam Kanzul Mu`id sangat ramai, di antaranya yang berasal dari dunia Melayu ialah: Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, Syeikh Zainuddin as-Sumbawi, Syeikh Wan Ali al-Kalantani dan Syeikh Ahmad al-Fathani.Di Madinah, Muhammad Said pernah belajar kepada Sayid Jaafar al-Barzanji, Mufti Mazhab Syafie di Madinah al-Munawwarah.

Beliau pernah pula mengembara memperdalam ilmu ke Mesir. Di sana beliau sempat belajar kepada Syeikh Syamsuddin al-Anbaby, Syeikh al-Azhar pada zaman itu. Juga beliau belajar kepada Syeikh Ahmad ar-Rifa'ie, ulama besar Mazhab Maliki di al-Azhar. Di dalam bidang yang khusus, beliau menerima Thariqat Ahmadiyah ar-Rasyidiyah ad-Dandarawiyah daripada Sayid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi. Dengan Thariqat Ahmadiyah inilah beliau mencapai kemuncaknya sebagai Syeikh Mursyid Thariqat Ahmadiyah yang terbesar di dunia Melayu. Murid-muridnya dalam bidang Thariqat Ahmadiyah meliputi Cam di Kemboja, Patani, Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak), Singapura dan Brunei Darussalam.

PENYEBARAN THARIQAT AHMADIYAH

Di dalam ulama dunia Melayu terdapat beberapa orang guru Muhammad Said, mereka ialah Syeikh Wan Ali Kutan, Tuan Tabal, Syeikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain juga menerima Thariqat Ahmadiyah daripada Sayid Ibrahim ar-Rasyidi (meninggal dunia 1291 Hijrah/1874 Masihi). Beliau adalah guru pada Sayid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi (meninggal dunia 1327 Hijrah/ 1909 Masihi).

Walau bagaimanapun pada peringkat awal Thariqat Ahmadiyah di dunia Melayu tidak berapa jelas perkembangannya.Dengan kegigihan Muhammad Said, Thariqat Ahmadiyah berkembang dan tersebar dengan sangat lajunya. Thariqat Ahmadiyah mula mendapat sambutan yang luar biasa di Kota Bharu,Kelantan dan menimbulkan kontroversi antara murid-murid beliau dengan golongan yang tidak menyetujuinya.

Untuk menenangkan suasana keresahan masyarakat, Raja Kelantan menulis tiga lembar surat pertanyaan yang ditujukan kepada Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah. Di antara kandungan surat Raja Kelantan yang bertarikh Ramadan 1323 Hijrah (kira-kira 1905 Masihi) itu ialah, ``Iaitu daripada sahaya Raja Kelantan Ibnu al-Marhum as-Sultan Muhammad, mudah-mudahan dipersampaikan kepada orang tua sahaya Wan Ahmad bin Wan Din Fathani yang mujawwir di dalam negeri Makkah al-Musyarrafah ... `` Kalimat selanjutnya, ``Maka adalah sahaya nyatakan kepada orang tua sahaya, bahawasanya telah jatuh di dalam negeri sahaya satu pekerjaan yang pelik, tiada pernah jatuh lagi dahulunya.

Iaitu datang seorang nama Haji Encik `Ied bin Haji Jamaluddin Linggi ke Kelantan mengajarkan ilmu Thariqat Ahmadiyah, yang dipanggil orang Thariqat Rasyidi ... ``Selanjutnya, ``Maka yang mengajar itu kepada sekalian bagai Muslimin, daripada laki-laki dan perempuan, besar dan kecil, yang mempunyai ilmu atawa yang jahil. Bahkan kebanyakan mereka itu daripada juhhalun nas, yang tiada sembahyang, dan tiada mengetahui furudhul `ain, `aqidatul iman, dan lainnya. Dan setengah daripada mereka itu bangsa raja-raja dan anak menteri ... ``

Syeikh Ahmad al-Fathani telah menjawab pertanyaan Raja Kelantan itu dalam tiga bentuk karangan. Yang pertama diberi judul Mir-atul A'ajib fi Jawabi Su-alil Majazib. Yang kedua ditulis dalam bentuk syair bahasa Melayu, diberi judul Syair Thariqah Shufiyah. Yang ketiga ditulis dalam bentuk syair bahasa Arab, diberi judul Syair Man Li Ya Sa'id. Kesimpulan kandungan keseluruhannya ialah merupakan ilmiah yang berdiri pada pelbagai kaedah keilmuan Islam.

PENULISAN

Syeikh Muhammad Said Linggi juga menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya yang disebut dalam Kanzul Mu'id, ialah: Risalah al-Fawaid, Kasyful Ghiba'an Haqiqatir Riba, Sullamut Ta'rif ila Ilmit Tashrif, Risalah al-Fath, Nazham Kesesatan Kaum Wahabi, Al-Kasyfu wat Tanfis `an Saiyidi Ahmad bin Idris, Syarh Kunuzil Jawahirin Nuraniyah dan Kaifiyat Mengerjakan Tarawih. Semua judul yang tersebut di atas belum saya jumpai, namun ada dua buah karangan Syeikh Muhammad Said Linggi yang tidak disebut dalam Kanzul Mu'id ada dalam simpanan saya, ialah: Rasail Jawiyah, diselesaikan pada pertengahan Rabiulakhir 1323 Hijrah di Bandar Singapura.

Cetakan huruf batu atau litografi tetapi tidak terdapat nama dan tempat di mana dicetak. Kandungannya merupakan kumpulan pelbagai hizib yang diamalkan para Auliya. Perbicaraan dimulai daripada Thariqat Syaziliyah dan diikuti dengan Thariqat Ahmadiyah yang dilengkapi dengan riwayat, silsilah dan berbagai-bagai wirid, amalan-amalan dan lain-lain yang ada kaitan dengannya. Karangan Muhammad Said Linggi yang masih dalam bentuk manuskrip berjudul Silsilah Thariqah An-Naqsyabandiyah.

Naskhah ini saya peroleh pada satu kampung di Negeri Sembilan daripada salah seorang murid Muhammad Said Linggi. Pada awal naskhah dinyatakan bahawa beliau menerima Thariqat Naqsyabandiyah di Mekah kepada Syeikh Usman Rais. Dinyatakan bahawa Muhammad Said bin Jamaluddin al-Linqi ar-Rasyidiyah selesai menulis pada bulan Rejab (tanpa dinyatakan tahun). Naskhah yang dibicarakan ini adalah salinan, tanpa nama penyalin, yang diselesaikan pada 27 Safar 1360 Hijrah, iaitu kira-kira 15 tahun setelah Syeikh Muhammad Sa'id meninggal dunia.

KETURUNAN

Ketika Syeikh Muhammad Said meninggal dunia, beliau meninggalkan 16 orang anak. Sebagai pengganti menjadi Khalifah Thariqat Ahmadiyah adalah anaknya yang bernama Syeikh Haji Abdullah. Anak beliau yang banyak menghasilkan karangan ialah Haji Ahmad yang ketika hidupnya pernah menjadi Mufti Negeri Sembilan.

Di antara anak Syeikh Muhammad Said yang sempat saya jumpai ada dua orang iaitu Haji Mansur (1970) dan Haji Tahir (1990). Pertemuan saya dengan kedua-dua anak beliau yang tersebut mempunyai kesan tersendiri. Daripada Haji Mansur saya menerima sebuah buku manaqib yang berjudul Kanzul Mu'id. Beliau pula membaca secara hafal di hadapan saya syair bahasa Arab yang panjang karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang termaktub pada akhir I'anah at-Thalibin karya Saiyid Abu Bakar Syatha.

Daripada Haji Tahir saya peroleh syair bahasa Arab juga karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pernah diserahkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani kepada muridnya Syeikh Muhammad Said Linggi. Syair tersebut diberi judul Man Li Ya Sa'id. Selain itu saya juga sentiasa berhubungan mesra dengan beberapa orang cucu Syeikh Muhammad Said Linggi, di antaranya Datuk Haji Murtadza bin Haji Ahmad, sekarang Mufti Negeri Sembilan.

Pada tarikh 11 Mac 2004, malam Jumaat, saya bersama-sama Datuk Murtadza dan Ustaz Haji Nuruddin al-Banjari diberi kepercayaan menyampaikan ceramah dalam Forum Bicara Ad-Din di Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sekudai, Johor.
posted by Blogger @ 10:51 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
About Me

Name: Blogger
Home: Malaysia
About Me:
See my complete profile
Kunjungan

Pengunjung Dari Negara Online
Previous Post
Archives
Links
Tarbiyyah
  • Uslub Dakwah
  • Sasaran Dakwah
  • Pengurusan Tanzim
  • Memahami Perjuangan Islam
  • Tarbiyyah : Satu Keperluan Harakah
  • Cabaran dan Persiapan Tarbiyyah
  • Prinsip dan Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah
  • Akhlak dan Adab Berjemaah
  • Tahaluf Dalam Islam
  • Al Murabitun
  • Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah
  • Maudhu' dakwah
  • Persiapan para da'ie
  • Halangan dan rintangan dalam perjuangan
  • Semakan Daftar Pemilih SPR
  • Semak Status Anda Di sini
  • Powered by

    Free Blogger Templates

    BLOGGER

    © 2006 Koleksi Artikel 1 .Template by Isnaini Dot Com