Kadi Kerajaan Langkat
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
DALAM Persidangan Antarabangsa Melayu Kedua, 15 - 20 Ogos 1989, saya diberikan kepercayaan oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia, menulis nota biografi beberapa orang ulama dunia Melayu untuk dipamerkan dalam persidangan itu. Dari sekian ramai pengunjung pameran salah seorang di antaranya ialah seorang pemuda, cucu ulama yang dibicarakan ini. Pemuda ini telah menyerahkan kepada saya riwayat hidup ulama ini serta beberapa buah gambar yang dianggap penting.
Paparan riwayat ulama yang dibicarakan ini adalah merupakan gabungan catatan tahun 1989 dan karangan yang diserahkan kepada saya bulan Julai 2004. Pemuda tersebut bernama Shahrir bin Mohd Kamil bin Haji Muhammad Nur Ismail. Kepadanya diucapkan ribuan terima kasih.
Apabila kita membicarakan ulama Langkat maka terlebih dulu perlu dicatat bahawa pada zaman yang sama ada dua orang ulama bernama Muhammad Nur Langkat. Yang seorang sebagai Mufti Kerajaan Langkat dan yang seorang menjadi Kadi Kerajaan Langkat. Kedua-duanya adalah ulama besar dan seperguruan di Mekah. Yang diriwayatkan dalam artikel ini ialah yang menjadi kadi.
Nama lengkapnya ialah Haji Muhammad Nur bin Haji Ismail. Ayah dan ibunya berasal dari Minangkabau, Sumatera Barat. Haji Muhammad Nur juga lahir di Minangkabau dalam tahun 1296 H/1879 M. Beliau meninggal dunia di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada hari Rabu, 18 Zulhijjah 1362 H/15 Disember 1943 M, dalam usia 65 tahun. Dikebumikan di Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur.
Haji Muhammad Nur mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri Ismail al-Minankabawi. Ayahnya itu adalah termasuk salah seorang pembesar di Kerajaan Langkat. Setelah banyak memperoleh ilmu dari ayah dan ulama-ulama di Langkat, Haji Muhammad Nur dihantar ke Mekah untuk lebih mendalami pelbagai bidang ilmu. Haji Muhammad Nur belajar di Mekah sekitar 10 tahun. Walau pun, para ulama yang menjadi gurunya telah banyak kali saya sebut dalam tulisan-tulisan yang terdahulu. Di sini, saya kekalkan kerana ditulis oleh Shahrir bin Mohd Kamil, cucu Haji Muhammad Nur dari hasil penyelidikannya. Ulama-ulama yang disebut oleh Shahrir bin Mohd Kamil guru kepada datuknya itu ialah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Mukhtar bin `Atharid Bogor, dan Syeikh Usman Sarawak.
Setelah menyebut barisan ulama yang berasal dari dunia Melayu, Shahrir bin Mohd Kamil menyebut pula para ulama Arab yang pernah menjadi guru kepada Haji Muhammad Nur Langkat, mereka ialah Syeikh Muhammad Said Babshail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Yusuf Khaiyath, Syeikh `Umar Bajunid dan Syeikh Muhammad Sa'id al-Yamani.
Amalan
Haji Muhammad Nur Langkat ketika di Mekah juga menerima amalan Tarekat Naqshabandiah. Diriwayatkan juga bahawa sejak berada di Mekah hingga ke akhir hayatnya, Haji Muhammad Nur Langkat berkekalan mengamalkan selawat dan seluruh wirid yang termaktub dalam Lum'atul Aurad karya Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.
Shahrir bin Mohd Kamil juga menyebut nama para sahabat Syeikh Muhammad Nur bin Ismail Langkat ketika di Mekah ialah; Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Hasan Maksum Deli, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli Bukit Tinggi, Dr. Abdul Karim Amrullah (ayah Prof. Hamka), Kiyai Haji Hasyim Asy'ari (datuk kepada Gus Dur, bekas Presiden Indonesia), Tok Kenali, Tok Kelaba, Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia sekarang), Syeikh Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah) dan sekalian ulama Melayu yang menuntut di Masjidil Haram pada akhir kurun ke 19 dan awal kurun ke 20.
Aktiviti
Setelah 10 tahun di Mekah, Haji Muhammad Nur pulang ke Sumatera. Kepulangannya telah diketahui oleh Sultan Langkat, iaitu Sultan Abdul Aziz ibni Sultan Musa. Sultan Abdul Aziz tersebut adalah termasuk salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh itu merupakan sahabat seperguruan dengan Haji Muhammad Nur. Sultan Abdul Aziz, Sultan Langkat melantik Haji Muhammad Nur menjadi Kadi Kerajaan Langkat Bahagian Hulu. Ketika itu Mufti Kerajaan Langkat adalah dipegang oleh sahabat beliau bernama Syeikh Muhammad Nur, serupa nama dan sama-sama mengaji di Mekah.
Sewaktu Haji Muhammad Nur menjadi Kadi Kerajaan Langkat mulai muncul istilah Kaum Tua dan Kaum Muda. Haji Muhammad Nur bin Ismail (Kadi), Syeikh Muhammad Nur (Mufti), dan ulama-ulama Langkat lainnya, masih tetap bertahan dengan pegangan Kaum Tua.
Sebaliknya, beberapa orang sahabatnya seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Abdul Karim Amrullah, dan lain-lainnya adalah penyebar dan tokoh Kaum Muda. Seperti di negeri-negeri lain, di Kerajaan Langkat juga terjadi beberapa siri perdebatan antara Kaum Tua dan Kaum Muda. Haji Muhammad Nur bin Ismail sebagai seorang kadi sekali gus adalah merupakan benteng yang kukuh mempertahankan mazhab Syafie dan Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah dari semua jurusan serangan Kaum Muda.
Di samping tugasnya sebagai kadi, Haji Muhammad Nur bin Ismail juga aktif mengajar putera dan puteri dalam Kerajaan Langkat. Dalam pengajaran yang disampaikan Haji Muhammad Nur mengutamakan ilmu-ilmu asas; tauhid, fikh, tasawuf, nahu, saraf dan pelbagai ilmu Islam yang lainnya.
Selain mengajar di Langkat, setelah beliau pindah ke Kuala Lumpur, sahabatnya Tengku Mahmud Zuhdi yang ketika itu sebagai Syeikh al-Islam Selangor, memberi tugas kepada beliau mengajar di beberapa tempat di Kuala Lumpur di antaranya di Masjid Jamik, di Kampung Baru, dan tempat-tempat lainnya.
Muridnya
Murid Haji Muhammad Nur bin Ismail boleh dikatakan ramai juga. Di antara sekian ramai muridnya yang sangat terkenal termasuk tokoh besar Indonesia dan Malaya (sekarang Malaysia). 1. Haji Zainal Ariffin Abbas, beliau adalah pengarang buku-buku agama termasuk dalam jumlah yang banyak. Di antara karangannya Peri Hidup Rasulullah s.a.w, yang merupakan sirah Nabi Muhammad s.a.w. yang paling lengkap dan ilmiah dalam bahasa Indonesia. Kemunculannya bersama-sama dengan tokoh-tokoh terkenal seperti Hamka, Mahmud Yunus, Haji Abu Bakar Aceh, Kiyai Haji Sirajuddin Abbas dan lain-lain. 2. Al-Ustaz Haji Abdul Halim Hasan 3. Haji Abdul Rahim Haitami 4. Syeikh Abdullah Afifuddin, ulama terkenal di Langkat. 5. Tengku Amir Hamzah, ialah seorang pujangga, penyair Melayu yang sangat terkenal pada awal abad ke 20. 6. Tengku Fakhruddin, 1885 - 1937, beliau ini adalah Ketua Majlis Syar'ie Kerajaan Serdang pada awal abad ke 20. Merujuk tulisan T. Jafizham SH, bahawa Tengku Fakhruddin belajar kepada Haji Muhammad Nur mulai awal sekali, ialah ilmu-ilmu nahu, sharaf, tauhid, fikh, ushul fiqh, balaghah, tafsir, hadis, dan sebagainya. 7. Ulama-ulama di Sumatera Timur. Haji Zainal Ariffin Abbas, Ustaz Haji Abdul Halim Hasan dan Haji Abdul Rahim Haitami pernah mengarang bersama dan menghasilkan terjemahan dan tafsir al-Quran pada tahun 1355 H/1936 M.
Karya-Karyanya
Haji Muhammad Nur juga menghasilkan beberapa buah karangan yang ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab. Walau bagaimanapun karya yang baru dijumpai hanya dua buah, iaitu; 1. Ilmoe Tashauwoef, diselesaikan di Medan, Sumatera Utara, pada pagi Isnin 15 Syawal 1357 H/7 Disember 1938 M. Kandungan merupakan petikan dari dua buah kitab Ihya' `Ulumiddin karya Imam al-Ghazali dan Mau'izhatul Mu'min karya Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasyqi. Diterbitkan oleh Boekhandel Islamyah, Medan, dicetak dalam tulisan Rumi/ Latin, ejaan lama. 2. Puasa, diselesaikan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Jumaat, 9 Rejab 1360 H/1 Ogos 1941 M. Kandungan membicarakan puasa dan zakat. Diterbitkan dalam tulisan Melayu/Jawi, tanpa menyebut nama pencetak dan cetakan. Selain mengarang, Haji Muhammad Nur bin Ismail juga ahli membuat minyak dan jamu. Sebelum tahun 1927 sudah terkenal dengan nama Jamu Cap Payung di Sumatera Timur dan Tanah Melayu. Sekarang masih berada di pasaran dengan nama Minyak Mirat.
Keturunan
Haji Muhammad Nur mengalami dua kali perkahwinan. Perkahwinan yang pertama dengan Juriah binti Muhammad berasal dari Kota Tinggi, Johor, tidak mempunyai anak. Manakala, perkahwinan kedua dengan Hajah Nafiah binti Haji Abdur Rauf bin Tok Engku Syeikh Haji Muhammad Yusuf Minangkabau dikurniakan seramai 8 orang anak: 1. Muhammad Kamil, salah seorang pejuang kemerdekaan Indonesia dan Malaya. Beliau pernah menjadi Ketua Umum Persatuan Indonesia Merdeka di Malaya (1946 - 1948). Meninggal dunia di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada 3 Safar 1396 H/3 Februari 1976 M. 2. Hajah Halimah Nur, Pengasas Sekolah Taman Pendidikan Islam (TAPIS) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Tokoh ini terkenal sekitar tahun 1950 an hingga 1960 an. Meninggal dunia di Jakarta pada hari Isnin, 26 Safar 1424 H/28 April 2003 M. 3. Abdullah Kamil, beliau ini juga seorang pejuang kemerdekaan. Beliau bersama-sama dengan Ibrahim Ya'qub, Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam dan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad pernah mengasaskan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Selain itu, Abdullah Kamil juga melibatkan diri dalam kewartawanan. Di antara akhbar yang pernah ditanganinya ialah Pengarang Akhbar Perwata Deli, Majlis Berita Malaya dan Semangat Asia. Beliau juga pernah menjadi Duta Republik Indonesia ke PBB. Meninggal dunia di Jakarta pada 11 Julai 1991. 4. Ahmad Imran, meninggal dunia dia Kuala Lumpur pada 16 Disember 1991. 5. Abdul Hadi Nur, juga seorang pejuang kemerdekaan. Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung Persatuan Indonesia Merdeka (1945 - 1949), wartawan Mimbar Umum (1947 - 1948) dan Times of Indoensia (1953-1959). Meninggal dunia di Jakarta. 6. Haji Usman Nur 7. Hajah Rahmah 8. Ahmad Ismet Nur
Keturunan daripada lapan orang anaknya itu dipercayai bahawa Haji Muhammad Nur mempunyai keturunan yang ramai dan bertebaran sekurang-kurangnya di Indonesia dan Malaysia.
Sebagai penutup inilah suatu pesan, bahawa ``orang-orang yang berpegang kepada Islam sentiasa berusaha berhubungan silaturahim terutama terhadap sanak saudara keluarga dekatnya.'' |