Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah.
"Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam":
Blogger
28 Ogos 2005
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49
Tarikh Pewartaan :
15 Feb 1996
Borak
Belum berubah pusara Rasulullah(SAW), maka engkau sudah mahu mengubah arahan Rasulullah SAW
Friday, January 20, 2006
Oleh: Salina1968
(Teks Kuliah Subuh oleh Trustee Al Ansar International Foundation sebelum berlepas pulang dari Jeddah}
Saudara jemaah sekelian, Subuh ini merupakan hari terakhir kita bersama-sama berkampung disini, di musim ini. Insya-Allah, suatu hari nanti kita akan ketemu kembali di sini jika diizinkan Allah. Yang pasti, kita akan berkumpul jua di satu hari yang telah ditetapkan Allah. Di hari itu, manusia pertama yang wujud di mukabumi juga akan bersama-sama berkumpul dengan kita. Di hari itu juga, kita sudah tidak punya masa untuk memikirkan apakah yang sedang dan bakal terjadi kepada saudara-mara kita. Yang hanya terlintas di kotak fikiran kita hanyalah satu persoalan, "Apakah untung nasib ku di mahkamah Allah ini ?".
Itulah perkumpulan yang akbar, perhimpunan di Padang Mahsyar. Di mana segala amal kebajikan dan amal kemungkaran mendapat perhitungan dan dinilai di mizan. Di situlah nanti akan terbukti sama ada ke syurgakah atau ke nerakakah tempat perhentian kita di negara yang kekal abadi.
Saudara-saudari yang dikasihi sekelian. Saya ingin mengambil kesempatan di Subuh terakhir kita bersama kali ini, untuk berkongsi sebuah lagi kisah yang pernah di ceritakan oleh arwah datuk saya sewaktu kami kecil.
Sebelum kewafatan Rasulullah SAW, Rasulullah SAW telah meyusun satu angkatan tentera untuk berhadapan dengan tentera Rom. Rasulullah SAW juga telah melantik Usamah Bin Zaid sebagai pemimpin bala tentera Muslim. Antara para sahabat yang terpilih untuk menjadi tentera muslimin untuk ke medan jihad ialah Saidina Omar Al Khattab. Namun ketentuan Allah mendahului segalanya, sebelum tiba tarikh keberangkatan bala tentera tersebut, Allah telah menjemput kekasih-Nya untuk kembali ke sisi-Nya. Kewafatan baginda Rasulullah SAW, meninggalkan jutaan kenanangan buat umat baginda. Perginya Rasulullah SAW dalam linangan air mata sambil melafazkan "Umat Ku, Umat Ku, Umat Ku" sebagai tanda kecintaan baginda buat umatnya. Begitulah pengorbanan seorang pemimpin.
Setelah jasad Rasulullah SAW diuruskan, maka berhimpunlah ahlul hilli wal aqdi untuk melantik pemimpin. Berikutan syura yang dijalankan, keputusan diambil dan Saidina Abu Bakar As Siddiq telah dilantik oleh ahlul hilli wal aqdi sebagai khalifah. Setelah perlantikan dirasmikan, maka berucaplah Saidina Abu Bakar As Siddiq. Setelah tamat ucapannya, Saidina Abu Bakar As Siddiq telah didatangi oleh Saidina Omar Al Khattab. Maka berlakulah dialog antara kedua orang sahabat sejati Rasulullah SAW yang diredhai Allah itu.
Omar : Wahai Abu Bakar, Rasulullah SAW baru saja meninggalkan kita. Sebelum kewafatan baginda, telah disusun satu angkatan tentera bagi berhadapan dengan tentera Rom. Memandangkan tarikh keberangkatan angkatan tentera kita agak hampir, apakah pandangan mu, andainya kita tangguhkan dulu keberangkatan tentera kita ke suatu tarikh yang lain ?
Dengan nada yang tegas, Saidina Abu Bakar As Siddiq menjawab usulan yang dimajukan oleh Saidina Omar Al Khattab.
Abu Bakar : Wahai sahabat ku Omar. Belum berubah pusara Rasulullah(SAW), maka engkau sudah mahu mengubah arahan Rasulullah SAW ? Demi Allah dan Rasul-Nya. Aku akan tetap menghantar tentera muslimin untuk berhadapan dengan tentera musyrikin.
Jawapan Saidina Abu Bakar As Siddiq yang tegas telah menamatkan dialog tersebut. Saidina Omar Al Khattab akur dengan keputusan sahabatnya.
Setelah tarikh keberangkatan tiba, maka berbarislah para tentera muslimin. Antara yang turut berbaris ialah Saidina Omar Al Khattab. Setelah khutbah dan nasihat dibacakan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq selaku khalifah. Saidina Abu Bakar As Siddiq telah turun dari mimbar Masjid Nabi dan berjalan menuju barisan tentera yang bakal bertolak ke medan jihad. Maka berjalanlah Saidina Abu Bakar As Siddiq menemui ketua tentera muslim, Saidina Usamah Bin Zaid rhu. Lalu berkatalah Saidina Abu Bakar As Siddiq dalam nada perlahan, tawaddhuk dan penuh rasa kehambaan kepada Saidina Usamah bin Zaid.
Abu Bakar : Sahabatku Usamah. Kau dilantik oleh Rasulullah SAW untuk mengepalai bala tentera ini, maka kekalkanlah diri mu disana. Tidak akan ku ubah apa yang telah diisyaratkan oleh baginda Rasulullah SAW atas mu. Namun aku hanyalah seorang manusia yang lemah. Dan jawatan khalifah yang baru ku sandang ini, amat berat dan merupakan suatu ancaman buat diri ku. Ianya suatu amanah yang haram untuk aku khianati. Tiada daya ku atas usaha ku, melainkan dengan izin Allah. Maka ku harap belas ihsan mu, agar Omar Al Khattab diberi kelonggaran untuk tidak turut serta dalam angkatan perang ini. Agar dapat aku berbincang dengannya tentang hal ehwal pengurusan negara kita.
Kata-kata Abu Bakar As Siddiq itu mengundang linangan air mata keseluruhan umat Islam di Madinah. Manakah dapat dicari, seorang khalifah berjawatan tinggi, tetapi masih mengekalkan sifat tawadduk dan menjaga adab sesama pengikut ? Berkatalah Usamah :
Usamah : Wahai Abu Bakar Amirul Mukminin, jika begitu kehendak mu, Demi Allah dan Rasul-Nya, ku izinkan Saidina Omar untuk tinggal bersama mu di kota Madinah agar dapat dia menjadi pembantu mu, sebagaimana engkau pernah menjadi pembantu kepada Rasul kecintaan ku suatu masa dulu.
Maka tinggallah Sadina Omar Al Khattab di kota Madinah membantu Saidina Abu Bakar menjalankan urusan pentadbiran negara.
Saudara-saudari sekelian. Walaupun kisah ini amat singkat. Namun disebalik kisah ini terdapat banyak suri teladan yang mampu kita pelajari. Antara teladan yang mampu kita pelajari ialah :
1. Peranan jemaah Ahlul Hilli Wal Aqdi dalam menentukan kepimpinan.
2. Sifat seorang pemimpin dan hamba Allah yang tawadduk dan dengan rasa kehambaan sebagaimana ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq kepada umat Islam di kala itu, juga Saidina Omar Al Khattab yang menjadi sahabat utama Rasulullah SAW, bersedia menjadi tentera biasa dibawah pimpinan Saidina Usamah Bin Zaid rhu.
3. Ketegasan dan kelembutan dalam melaksanakan titah perintah dari Rasulullah SAW sebagaimana ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq.
4. Pentingnya syura dalam mencari sesuatu keputusan sebagaimana ditunjukkan oleh Ahlul Hilli Wal Aqdi, Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Omar Al Khattab dan Saidina Usamah Bin Zaid rhu.
5. Pentingnya sahabat yang sejati dalam melaksanakan sesuatu mekanisme menuju matlamat.
6. Jawatan pemimpin bukanlah tiket untuk memperhambakan rakyat, tetapi merupakan suatu amanah yang HARAM untuk dikhianati.
7. Pentingnya mempunyai sahabat-sahabat yang sama-sama bersatu dari segi aqidah, ibadah, akhlak, hal khilafiah dan penentuan kawan/lawan dalam pentadbiran sebagai mana di tunjukkan oleh Saidina Abu Bakar AsSiddiq, Sasidina Omar Al Khattab dan Saidina Usamah Bin Zaid.
Dalam kisah tersebut juga, didedahkan kepada kita betapa sistematiknya sistem yang telah dijadikan blueprint oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh para sahabat.
Dinyatakan dengan jelas, Rasulullah SAW telah memilih sahabat-sahabatnya untuk pergi ke medan jihad, diketuai oleh Saidina Usamah Bin Zaid rhu. Antara tentera yang bakal ke medan jihad ialah Saidina Omar Al Khattab. Namun Saidina Abu Bakar As Siddiq, tidak menggunakan kuasa mutlaknya sebagai khalifah untuk menjadikan Saidina Omar Al Khattab sebagai pembantunya dalam mentadbir negara. Saidina Abu Bakar As Siddiq telah menemui Saidina Usamah Bin Zaid, dan mereka bermesyuarat, agar kesefahaman dicapai antara mereka. Ini sebagai tanda kepada kita yang lemah iman ini, Sedangkan orang yang telah dijamin syurga dan sahabat uatama Rasulullah SAW pun bermesyuarat dalam menentukan sesuatu keputusan, apatah lagi orang yang macam muka kita ini, memang patut kita semua bermesyuarat.
Kisah ini juga menunjukkan jalan kepada kita, kaedah untuk over-ride sesuatu arahan dengan cara yang berakhlak. Rasulullah SAW telah menamakan Saidina Usamah bin Zaid sebagai ketua tentera dan Saidina Omar Al Khattab sebagai salah seorang tentera. Saidina Abu Bakar As Siddiq, mengekalkan perintah dasar iaitu Usamah Bin Zaid sebagai ketua tentera. Untuk mendapatkan khidmat Saidina Omar Al Khattab dalam pentadbirannya, Saidina Abu Bakar As Siddiq telah menemui ketua tentera untuk "meminjam" Saidina Omar Al Khattab dalam menjalankan pentadbiran negara.
Dalam kisah tersebut banyak pengajaran yang dapat kita perolehi. Saya hanya menyebut sebahagian dari pengajaran yang tersurat. Namun disebalik kisah tadi, masih ada banyak pengajaran yang tersurat dan yang tersirat boleh kita ambil darinya. Sama-samalah kita jadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan. Tidak lupa, bahawa sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah bagaikan bintang-bintang dilangit. Pilihlah salah satu antara mereka, nescaya kita beroleh petunjuk.