Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Pensyarah Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM) Muqaddimah Memandangkan seminar ini mempunyai tiga kertas kerja dan telah mendahului saya dua kertas kerja yang menceritakan tentang sejarah hidup serta asas-asas pegangan mazhab imam yang agung ini, maka tidak perlu bagi saya mengulangi apa yang telah disebutkan.
Memadai saya menyebut latar balakang beliau dengan ringkas dan seterus membincang tentang pegangan beliau mengenai sunnah Nabi s.a.w. Ini kerana beliau telah digelar dizamannya sebagai nasir al-Sunnah ناصر السنةatau pembela sunnah. Kertas kerja ini dibuat dengan begitu ringkas, dan ini bukanlah kebiasaan saya. Namun ianya mencukupi disebabkan adanya kertas kerja yang lain sebelum saya yang berkisar pada titik yang agak sama. Pengenalan Umum Al-Imam al-Syafi`I (150H-204H) seperti yang disebut oleh al-Zahabi (w. 748H) الذهبي : محمد بن إدريس بن العباس بن عثمان بن شافع بن السّائب بن عُبَيد بن عبد يزيد بن هشام بن المُطَلِّب بن عبد مناف بن قُصَيِّ بن كلاب بن مُرَّةَ بن كعْب بن لُؤَيِّ بن غالب الإمام عالم العصر ناصر الحديث فقيه الملّة، أبو عبد الله القَرَشِيّ ثم المطَلِّبي الشافعي المكي، الغَزِّي المولد، نسيب رسول الله r. Muhammad bin Idris bin ‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafi’ bin al-Saib bin ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid bin Hisyam bin al-Mutallib bin ‘Abd Manaf bin Qusaiy bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Luaiy bin Ghalib. Beliau adalah Imam, ‘alim zamannya, pembela sunnah, faqih agama, Abu ‘Abd Allah al-Qurasyi (keturunan Quraisy), juga al-Mutallibi (keturunan al-Mutallib) al-Syafi‘I (keturunan al-Syafi‘I) al-Makki. Kelahiran Ghazzah, bernasab (berketurunan) RasululLah s.a.w. ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala` , 10/5-6, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut.)
Nasabnya bertemu dengan Nabi s.a.w. pada pada ‘Abd Manaf yang disebutkan namanya di atas. Syafi` pernah berjumpa Nabi s.a.w., namun teragak-agak untuk menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim pada hari peperangan Badr. Beliau ditawan tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam . (Ibn Khallikan خلِّكان, Wafayat al-‘Ayan وفيات الأعيان, 2/312, cetakan Dar Ihya` al-Turath al-‘Arabi, Beirut.)
Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah غزة, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin. Bapanya meninggal semasa muda, maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah . (Al-Zahabi, op. cit, 10/6)
Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat dengan bahasa ‘Arab dan syair, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya . (Lihat: ibid, 10/6)
Sebagai peringatan di sana ada kitab yang dusta mengenai al-Rihlah ila al-Rasyid yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafi’i. Dalam kitab tersebut banyak riwayat-riwayat yang bohong dan karut. Antara ianya mencerita bahawa Al-Imam al-Syafi’I bertemu dengan al-Qadi Abu Yusuf (w 182H), tokoh utama mazhab Abi Hanifah di Baghdad, sedangkan al-Qadi Abu Yusuf telah meninggal sebelum al-Imam al-Syafi’`I masuk ke Baghdad. Lebih buruk lagi ianya mencerita tokoh terkenal ulama Islam al-Imam Muhammad bin Hasan al-Syaibani (w 189H) dan juga al-Qadi Abu Yusuf merancang agar dibunuh al-Imam alSyafi`I dengan membuat tuduhan terhadapnya di hadapan khalifah. Ini adalah fitnah yang besar terhadap kedua imam yang agung tersebut. Kedudukan kedua-dua imam yang agung itu memustahilkan mereka melakukan perkara yang seperti itu.
Bahkan di dalam kitab tersebut berbagai pembohongan lagi . (Lihat: Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa` كشف الخفاء, 2/401-402, cetakan Dar Ihya al-Tutath al-‘Arabi, Beirut). Ini semata-mata untuk memperlihat taksubnya kepada imam al-Syafi`i. Ini semua datangnya datang daripada ‘Abd Allah bin Muhammad al-Balawi, seorang pendusta. Malangnya beberapa tokoh telah memetik apa yang diriwayatkannya tanpa menjelaskan pembohongan isi kandungannya. Termasuklah antara mereka al-Imam al-Baihaqi (w. 458H) di dalam Manaqib al-Syafi’i ( Lihat: Syu‘aib al-Arnaut, Tahqiq Siyar ‘Alam al-Nubala, 10/78-79). Bahkan menurut Al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) al-Imam al-Syafi’I datang ke Bahgdad pada tahun 184H. Beliau telah berdialog dengan al-Imam Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani di hadapan khalifah Harun al-Rasyid. Muhammad bin al-Hasan memuji al-Imam al-Syafi`I disebabkan kebijaksanaannya. Sehingga beliau memuliakan al-Imam al-Syafi’I dan mengambilnya sebagai tetamu. Adapun Al-Qadi Abu Yusuf telah meninggal setahun, atau dua tahun sebelum itu (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 10/263, cetakan Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah, Beirut).
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam memetik kisah-kisah para ulama yang lampau agar tidak terfitnah mereka yang tidak bersalah hasil daripada sikap golongan yang taksub lagi jahat.
‘Aqidah al-Imam al-Syafi`i. Al-Imam al-Syafi`I berakidah dengan aqidah Ahl al-Hadith dan beliau amat membenci ilmu kalam dan falsafah. Ahl al-Hadith atau disebut sebagai Ashab al-Hadith أصحاب الحديث berpegang kepada aqidah yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Hadith. Mereka menolak berfalsafah dalam aqidah seperti yang dibuat oleh ahli ilmu kalam. Mereka tidak membicarakan sifat-sifat Allah luar daripada ajaran al-Kitab dan al-Sunnah. Ahl al-Hadith (Ahl al-Hadith adalah juga nama kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah yang disebut sebagai al-firqah al-Najiyyah) bermaksud “mereka yang mementingkan hadith RasululLah s.a.w; samada dari segi riwayah dan dirayah (periwayatan atau kefahaman). Mereka bersungguh-sungguh mengkaji hadith-hadith Nabi s.a.w dan meriwayatkannya. Mereka mengikuti kandungannya dalam ilmu dan amalan. Mereka beriltizam dengan sunnah dan menjauhi bid‘ah. Mereka berbeza dengan Ahl al-Ahwa` أهل الأهواء (golongan yang berpegang dengan hawa nafsu) yang mengutamakan pendapat golongan yang sesat melebihi ucapan-ucapan RasululLah s.a.w. Golongan Ahl Ahwa` mendahulukan akal mereka yang rosak, mantiq (ilmu lojik akal) mereka yang bercanggah dan ucapan meraka yang bertentangan melebihi apa yang dibawa oleh al-Quran dan al-Sunnah” ( Al-Misri: Muhammad ‘Abd al-Hadi, Ma‘alim al-Intilaqah al-Kubra معالم الانطلاقة الكبرى m.s. 49, cetakan Dar Taiyibah, Riyadh).
Kata al-Imam Abu ‘Uthman al-Sabuni (w. 449H): “Ashab al-Hadith yang berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah –semoga Allah memelihara mereka (ashab al-Hadith) yang masih hidup dan merahmati mereka yang sudah meninggal-bersaksi keesaan untuk Allah sementara kerasulan dan kenabian untuk Rasul s.a.w. Mereka mengenali tuhan mereka azza wa jalla dengan sifat yang dinyatakan oleh wahyu dan kitabNya. Juga apa yang disaksikan oleh RasulNya s.a.w. , berdasarkan apa yang dinyatakan dalam riwayat-riwayat sahih, dan yang diambil daripada baginda melalui para rawi yang adil lagi dipercayai. Ashab al-Hadith menetapkan bagi Allah jalla jalaluh apa (sifat-sifat dan nama-nama) yang Allah tetapkan untuk dirinya di dalam kitabNya dan atas lisan RasulNya s.a.w. Mereka tidak beriktikad dengan tasybih (menyamakan) sifat-sifatNya dengan sifat-sifat makhlukNya..” ( Abu ‘Uthman al-Sabuni, ‘Aqidah al-Salaf Ashab al-Hadith, m.s. 26, cetakan Maktabah al-Ghuraba` al-Athariyyah, Madinah)
Kata al-Imam al-Syafi`I : “Pegangan dalam sunnah RasululLah yang aku berada di atasnya, dan aku lihat sahabat-sahabat kita (para ulama) berada di atasnya, mereka itu ahl al-Hadith yang aku telah lihat dan mengambil daripada mereka seperti Sufyan bin ‘Uyainah عيينة, Malik ( Maksudnya al-Imam Malik bin Anas r.h) dan selain mereka ialah:
-Ikrar dengan syahadah bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah, dan Muhammad itu RasululLah. Sesungguhnya Allah di atas ‘arasyNya di langit. Dia menghampiri sesiapa yang dikehendakiNya di kalangan makhluk-makhlukNya dengan cara yang Dia kehendaki. -Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia seperti mana yang Dia kehendaki. -Bagi Allah itu nama-nama dan sifat-sifat. Ianya didatangkan oleh kitabNya, dan Nabi pula memberitahunya kepada umat. Tidak boleh untuk seseorang dari makhluk Allah Ta‘ala yang telah ditegakkan ke atasnya hujjah ( قامت عليه الحجة bermaksud telah dijelas dan terangkan kepadanya dengan hujah atau dalil yang kukuh), menolaknya. Ini kerana ianya telah dinyatakan di dalam al-Quran, dan ada sabda yang sahih daripada RasululLah mengenai hal ini, yang diriwayatkan daripada golongan yang adil. Sesiapa yang menyanggahinya selepas thubut hujah ( ثبوت الحجة bermaksud dia telah mendengar hujah yang terang dan kukuh) ke atasnya, maka dia seorang kafir. Adapun sebelum thubut hujah ke atasnya maka dia dimaafkan kerana jahil. Ini kerana ilmu dalam masalah ini tidak dapat diperolehi hanya dengan akal, atau pandangan, atau fikiran. Tidak dikafirkan sesiapa yang jahil mengenainya. Melainkan setelah thubut berita ( Maksudnya berita mengenai hal tersebut sampai dengan jelas dan kukuh) tersebut sampai kepadanya. Kita menetap (bagi Allah) sifat-sifat ini ( Maksudnya sifat-sifat Allah yang dinyatakan dalam al-Quran dan al-Sunnah) dan menafikan terhadap Allah tasybih ( Menyamakan Allah dengan makhluk) seperti mana Dia menafikan tasybih terhadap diriNya, firmanNya: لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ (terjemahannya: “Tiada sesuatu pun yang sama denganNya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat) ( Surah al-Syura:11)
-Kekhalifahan Abu Bakr telah Allah putuskan di langitNya. Dia telah menghimpunkan atas kekhalifahan Abu Bakr semua hati para sahabat NabiNya s.a.w. ( Al-Imam al-Syafi`I, Wasiyyah al-Imam al-Syafi`I, m.s 53-58, cetakan al-Maktab al-Islami, Beirut)
Aqidah Ahl al-Hadith adalah ‘aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Ianya adalah ‘aqidah yang diasaskan oleh Nabi s.a.w bukan diasaskan oleh sesiapa. Sumber ‘aqidah adalah al-Quran dan al-Sunnah. Maka Ahl al-Hadith ‘aqidah mereka diasaskan semenjak kedua sumber tersebut wujud di atas muka bumi. Inilah ‘aqidah yang dipegang oleh para sahabah dan mereka yang mengikuti sahabah. Kata al-Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Dahlawi al-Madani (w. 1375H): “Sesungguhnya jalan golongan Ahl al-Hadith bukanlah satu mazhab baru, bahkan ia adalah yang paling asal yang berada di atasnya RasululLah s.a.w. Baginda mewariskannya kepada sahabah-sabahahnya yang agung. Sesungguhnya sahabah r.a. telah mengajar jalan ini kepada mereka yang menganut Islam di tangan mereka” ( Ahmad al-Dahlawi al-Madani, Tarikh Ahl al-Hadith, m.s. 29, cetakan Maktab al-Ghuraba` al-Athariyyah, Madinah).
Adapun dakwaan yang menyatakan al-Imam al-Syafi’I berakidah dengan apa yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-‘Asy‘ari adalah tidak benar. Ini kerana al-Imam al-Syafi`I meninggal pada tahun 204H ( Lihat: Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala` , 10/76), adapun al-Imam Abu al-Hasan al-‘Asy‘ari lahir pada 260H dan meninggal pada 324H ( Lihat: ibid 15/85-86). Al-Imam al-Syafi‘I meninggal 50 tahun sebelum kelahirannya. Kalau Ahl al-Sunnah itu baru sahaja diasaskan pada zaman Abu al-Hasan al-‘Asy ‘ari, bagaimana dengan aqidah para imam yang wafat sebelum daripada kelahiran beliau, termasuklah kesemua imam yang empat?!!.
Adapun dakwaan menyatakan bahawa al-Imam al-Syafi`I terpengarauh dengan Syi’ah seperti yang disebut oleh mereka yang membencinya pada zamannya dan buku-buku segelintir pengikut mazhab fiqh yang lain ( Segelintir tokoh-tokoh pada zaman dahulu menuduh al-Syafi`I sebagai syi`ah disebabkan beberapa pandangannya di dalam masalah furu’ yang menyamai pandangan golongan Syi`ah, seperti masalah membaca basmalah secara jahr (terang) dan qunut subuh. (lihat: Al-Zahabi, Al-Ruwah al-Thiqat, 1/31, cetakan Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut)). Adalah disebabkan salah faham, atau taksub kepada mazhab mereka dan membenci al-Imam al-Syafi`I. Dakwaan ini adalah palsu. Kata al-Imam al-Zahabi (w. 748H): “Sesiapa yang menyatakan al-Syafi`I menganut Syi`ah maka dia adalah pendusta. Dia tidak tahu apa yang dia ucapkan”. Katanya juga: “Sekiranya beliau itu syi`ah –beliau sebenar jauh dari itu semua- beliau tidak akan menyatakan bahawa al-Khulafa al-Rasyidin itu lima; bermula dengan Abu Bakr al-Siddiq dan diakhiri dengan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz” ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/58-59).
Al-Imam al-Syafi’I Menentang Ilmu Kalam ‘Aqidah yang diajar oleh Nabi s.a.w adalah ‘aqidah yang bersih dan mudah difahami. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan ‘aqidah adalah perkara yang paling mudah dan senang untuk dimengertikan oleh semua lapisan umat. Ini kerana persoalan ‘aqidah mesti difahami oleh mereka yang buta huruf, badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan yang terpelajar dan cerdik pandai. Kalaulah perbahasan ‘aqidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?!!. Malangnya kemasukan pengaruh Yunan ke dalam pemikiran sebahagian umat Islam telah menyebabkan mereka menjadikan ilmu kalam sebagai ‘aqidah dan meminggirkan persoalan-persoalan asasi dalam ‘aqidah Islamiyyah. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ianya bukannya ‘aqidah….Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah ‘aqidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” ( Dr Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Dai‘iyah ثقافة الداعية , m.s. 92, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut).
Golongan ahli falsafah dalam penulisan mereka memulakan perbahasan dengan ilmu mantiq ( Ilmu mantiq yang berasal daripada Yunan ini kononnya untuk menjadikan cara fikir betul dan berperaturan)(ilmu lojik akal) kemudian ilmu tabiat ( Ilmu ini membahaskan tentang tabiat atau sifat semula jadi sesuatu dan kekuatannya), kemudian ilmu hisab kemudian kepada ilmu ketuhanan. Maka kita lihat ahli-ahli ilmu kalam yang terpengaruh dengan pemikiran ahli falsafah ini mengikuti cara yang sama dalam penulisan dan perbahasan mereka mengenai tauhid. Mereka memulakan perbahasan mereka dalam ilmu kalam dengan bab al-Nazr النظر (pemerhatian), ilmu dan dalil. Ini adalah sebahagian daripada ilmu mantiq. Kemudian mereka akan membahaskan tentang baharunya alam dan membuktikan kebaharuannya. Kebanyakan ahli falsafah meluaskan perbahasan mereka mengenai ilmu tabi‘at. Kemudian mereka meningkat kepada perbahasan mengenai cakerawala atau falak dan hal-hal berkaitannya. Kemudian golongan yang mencari tuhan dari kalangan mereka meningkat kepada persoalan wajib al-wujud (wajib wujud), kemudian mengenai akal dan diri. Inilah yang dilakukan oleh ahli ilmu kalam.
Kemuncak dan tujuan daripada perbahasan tauhid ilmu kalam ialah untuk membuktikan keesaan Allah dan tiada sekutu baginya. Mereka menyangka ini yang dimaksudkan dengan tuntutan La ila illa Allah ( Lihat: Dr Sulaiman al-Asyqar, Al-‘Aqidah fi Allah m.s 32-33, cetakan Maktabah al-Falah, Kuwait).
Adapun manhaj al-Quran yang diturunkan Allah menjadikan pembukaan dakwah keseluruhan para rasul ialah dakwah kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah, atau yang kita namakan Tauhid al-Uluhiyyah atau Tauhid al-‘Ibadah. Tidak berpada sekadar membahaskan keesaannya, tetapi kemuncak tauhid ialah pengabdian diri hanya kepada Allah. Firman Allah : وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِي (terjemahannya) Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu” ( Surah al-Anbiya: 25).
Semua rasul menyeru kaumnya kepada ibadah: وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنْ اُعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
(terjemahannya): Dan sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah dan jauhilah Taghut". Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya. ( Surah al-Nahl: 36)
Sumber ilmu untuk mengenali Allah dan alam ini ialah Allah itu sendiri seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Mengenali Allah membawa insan mengenali segala-galanya. Mengetahui kalam Allah dan kalam al-Rasul seseorang akan mengenali Allah dengan tepat, bukan dengan mantiq Yunan. Justeru itu al-Imam al-Bukhari sebelum memulakan kitab al-Iman dan al-‘Ilm (ilmu) mendahulukan kitab Bad`i al-Wahy بدء الوحي (bermulanya wahyu).
Maka dakwah kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah adalah kemuncak dakwah para Rasul. Di dalamnya terkandung makna mengenali Allah dan bertauhid untukNya. Adapun sekadar mengakui keesaan Allah dan hanya Dialah pencipta seperti yang dituntut dalam ilmu kalam, itu hanya satu juzuk daripada manhaj al-Quran tetapi bukan keseluruhannya. Al-Quran menyeru agar ditauhidkan Allah dan mengakuinya hanya Dialah pencipta. Inilah yang kita namakan dengan Tauhid al-Rububiyyah. Namun ini tidak mencukupi. Ianya hendaklah disempurnakan dengan Tauhid al-Uluhiyyah yang memutlakkan ibadah dan tauhid hanya kepadaNya. Ini menuntut antaranya ( Lihat: Dr. Muhammad Na‘im Yasin, Al-Iman, m.s. 24-27, cetakan Jordan) agar kita;
i. Mengikhlaskan cinta kepada Allah. ii. Hanya berdo‘a, bertawakkal dan berharap kepadaNya dalam perkara-perkara yang hanya Dia mampu melakukannya. iii. Hanya takut yang mutlak kepadaNya. iv. Untuk Allah sahaja seluruh ibadah.
Tauhid inilah yang terkandung dalam hakikatnya keseluruhan tauhid yang lain; al-Rubbiyyah dan Tauhid al-Asma wa al-Sifat ( Ibid, m.s. 22). Inilah seruan para rasul.
Kalau sekadar mengakui Allah sebagai pencipta sudah memadai, tentulah golongan musyrikin sudah memenuhi tuntutan tersebut. Firman Allah menceritakan hal musyrikin: قُلْ لِمَنْ الْأَرْضُ وَمَنْ فِيهَا إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ(84)سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ(85)قُلْ مَنْ رَبُّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ(86)سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلَا تَتَّقُونَ(87)قُلْ مَنْ بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَهُوَ يُجِيرُ وَلَا يُجَارُ عَلَيْهِ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ(88)سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ فَأَنَّا تُسْحَرُون َ (terjemahannya) Tanyakanlah (wahai Muhammad): "Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu ingat (insaf)? "Tanyakanlah lagi: "Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?" Mereka akan menjawab: "(Semuanya) kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?" Tanyakanlah lagi: Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi (segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah) jika kamu mengetahui!" Mereka akan menjawab: "(Segala-galanya) dikuasai Allah". Katakanlah: "Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang tidak benar?" ( Surah al-Mu`minun : 84-89)
Firman Allah juga: وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمـَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلْ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ (terjemahannya): Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). ( Surah Luqman: 25)
Kata Ibn Abi al-Izz al-Dimasyqi ( w. 792H): “Tiada di sana golongan yang menetapkan bagi alam ini dua pencipta yang sama. Namun begitu, ahli kalam, nazr ( Gelaran untuk ahli kalam. Bermaksud golongan yang membuat pemerhatian dan kesimpulan) dan falsafah bersusah payah menetap dan membuktikan hal ini (bahawa bagi alam hanya satu pencipta ( Keyakinan bagi alam hanya satu pencipta adalah fitrah insan, yang tidak berhajatkan kepada hujah golongan ahli kalam dan falsafah)) ( Ibn Abi ‘Izz, Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, 1/28, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut).
Ini disebabkan kekeliruan mereka dalam memahami tauhid al-Uluhiyyah atau disebut al-ilahiyyah ( Lihat: ibid, 1/28). Akhirnya kita lihat perbahasan tauhid secara ilmu kalam tidak membawa seseorang kepada keimanan yang teguh dan berwaspada terhadap syirik serta perkara yang membatalkan iman. Sebab itulah ramai yang menghafal ilmu kalam, tetapi mereka masih lagi tidak mengikhlaskan tauhid kepada Allah kerana sangkaan cukuplah dengan mengakui Allah sebagai tuhan dan pencipta.
Lebih daripada itu perbahasan tauhid secara ilmu falsafah dan kalam telah mengheret sebagaian besar golongan umat Islam ke dalam kancah perbahasan ketuhanan yang menyanggahi dasar-dasar yang terkandung dalam al-Quran dan l-Sunnah. Al-Imam al-Syafi`I samalah seperti imam-imam Ahl al-Sunnah yang lain, mereka mengutuk dan mencerca ilmu ini. Bahkan cercaan al-Imam al-Syafi`I terhadap falsafah dan kalam paling banyak diriwayatkan dibandingkan imam-imam yang lain. Antara katanya:
-لو عَلِم النّاس ما في الكلام من الأهواءِ لفَرُّوا منه كما يَفِرُّون من الأسد (maksudnya) “Kalaulah manusia tahu hawa nafsu yang ada dalam ilmu kalam nescaya mereka akan lari daripadanya seperti mana mereka lari daripada singa. ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala, 10/16)
- وما شيءٌ أبغض إليّ من الكلام وأهله (maksudnya) “Tiada sesuatu yang lebih aku benci dari ilmu kalam dan ahlinya. ( Ibid, 10/19) يا ربيع اقبل مني ثلاثة لا تخوضن في أصحاب رسول الله r فإن خصمك النبي r غدا ولا تشتغل بالكلام فإني قد اطلعت من أهل الكلام على التعطيل ولا تشتغل بالنجوم
(maksudnya): Wahai Rabi’ ! ( Beliau adalah al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi , imam, muhaddith, faqih, anak murid al-Imam al-Syafi`I dan pewaris ilmunya. Lahir pada 174H, meninggal 270H. (Al-Zahabi. Siyar ‘Alam al-Nubala`, 12/587.)) Ambillah daripadaku tiga perkara. (pertama) jangan masuk campur memperkatakan mengenai sahabah-sahabah RasululLah s.a.w ( Maksudnya mengenai pertelingkahan yang berlaku di kalangan mereka) kerana sesungguhnya besok yang akan menjadi musuh kamu ialah Nabi s.a.w. (kedua) jangan kamu sibuk dengan ilmu kalam, kerana sesungguhnya aku telah melihat ahli ilmu kalam melakukan ta’til ( Ta’til bermaksud menafikan makna yang sahih pada sifat Allah tanpa diganti dengan makna yang lain. (lihat: Salih al-Fauzan, Syarh al-‘Aqidah al-Wasitiyyah, m.s. 14, cetakan Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh) . (Ketiga) jangan engkau menyibukkan diri dengan ilmu bintang. ( ibid, 10/28)
-حكمي في أهل الكلام حكم عمر في صبيغ (maksudnya): Hukumanku terhadap ahli kalam ialah hukum ‘Umar (ibn Khattab) terhadap Sabigh" ( Al-Zahabi, op.cit. 10/29) – (Namanya Sabigh bin ‘Isl al-Hanzali عسل الحنظلي. Dia datang ke Madinah dan bertanyakan tentang ayat-ayat mutasyabihat dalam al-Quran. Dia dipukul oleh Saiyyidina ‘Umar dengan pelepah tamar kering sehingga berdarah kepalanya. Dia berkata: “Cukuplah wahai amir al-mu`minin, telah hilang apa yang ada dalam kepalaku”. (lihat Tahqiq Siyar ‘Alam al-Nubala, 10/29)) . -حكمي في أهل الكلام أن يُضرَبوا بالجريد ويُحمَلوا على الإبل ويُطاف بهم في العشائر ينادى عليهم: هذا جزاء من ترك الكتاب والسنة وأقبل على الكلام
(maksudnya) “Hukumanku terhadap ahli kalam ialah hendaklah dipukul dengan pelepah tamar ( Jarid asalnya bermaksud pelepah tamar yang dibuang daunnya), diletak di atas unta dan dibawa mengelilingi orang ramai dengan diseru: Inilah balasan sesiapa yang meninggalkan kitab Allah dan sunnah lalu mengadap kepada ilmu kalam. ( Al-Zahabi, Siyar’Alam al-Nubala, 10/29) -لو أن رجلا أوصى بكتبه من العلم لآخر وكان فيها كتب الكلام لم تدخل في الوصية لأنه ليس من العلم
“Jika seseorang berwasiat memberikan buku-buku ilmunya kepada seseorang. Di dalam buku-buku tersebut ada buku-buku kalam, maka ianya tidak termasuk dalam wasiat berkenaan. Ini kerana buku-buku kalam tidak termasuk dalam ilmu. ( Al-Zahabi, op.cit. 10/30)
Di sana banyak lagi ucapan-ucapan beliau yang menggambarkan pendiriannya yang menentang ilmu kalam dan inilah pendirian para ulama hadith sejak dahulu.
Al-Imam al-Syafi`I Menyuruh Berpegang Kepada Sunnah dan Meninggalkan Taksub Al-Imam al-Syafi`I sama seperti imam-imam mazhab empat yang lain, mereka melarang orang ramai taksub kepada pendapat mereka. Semua imam-imam menyeru orang ramai berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah, serta jangan berpegang kepada pendapat mereka jika didapati ianya tidak menyamai apa yang ada di dalam al-Kitab dan al-Sunnah.
Golongan yang taksub kepada mazhab dan memusuhi mereka yang tidak sealiran dengan pendapat mazhab tertentu dalam sesuatu hukum sebenarnya adalah menyanggahi arahan para imam. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab sebagai mempunyai kuasa membuat syari`at ( Kuasa menentu syariat hanyalah milik Allah SWT) dan menganggap perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid ( Taklid maksudnya ikut tanpa mengetahui dalil) kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabah ( Maksudnya tabi`in dan tabi’ al-tabi`in) sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya ( Muhaqqiq daripada perkataan tahqiq yang bermaksud mereka yang mengkaji, menyemak dan memastikan kekuatan atau kesahihan sesuatu hujah atau fakta) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah” ( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazlum الصحوة الإسلامية بين الاختلاف المشروع والتفرق المذموم , m.s 202, cetakan: Dar al-Sahwah, Kaherah).
Di sini kita sebutkan beberapa ucapan al-Imam al-Syafi`I, imam kita yang membela kitab Allah dan sunnah RasululLah s.a.w yang menyuruh berpegang kepada sunnah dan melarang taklid buta kepada pendapatnya;
-كل ما قلته فكان من رسول الله r خلاف قولي مما صح فهو أولى ولا تُقَلِّدُوني (maksudnya) “Setiap apa yang aku ucapkan dan didapati apa yang sahih yang diriwayatkan oleh RasululLah menyanggahi pendapatku, maka ianya (hadith Nabi s.a.w) itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku" ( Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/33) – ( Maksudnya: jangan mengikutku dalam pendapat-pendapat beliau yang tidak bertepatan dengan sunnah RasululLah s.a.w.) ”.
-إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله r فقولوا بها ودعوا ما قلته “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam kitabku menyanggahi sunnah RasululLah s.a.w, maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku. ( Al-Zahabi, op.cit. 10/34)
-قال له رجل تأخذ بهذا الحديث يا أبا عبد الله؟ فقال: متى رويت عن رسول الله حديثا صحيحا ولم آخذ به فأشهدكم أن عقلي قد ذهب
Seorang lelaki berkata kepada al-Imam al-Syafi`I: “Apakah engkau akan berpegang dengan hadith ini, wahai Abu ‘Abd Allah? ( Gelaran al-Imam al-Syafi`i) ”. Jawab beliau: “Apabila diriwayatkan daripada RasululLah sesuatu hadith yang sahih dan aku tidak mengambilnya, maka ketahuilah bahawa akalku telah hilang”.( Ibid, 10/34)
-قال الحميدي: روى الشافعي يوما حديثا فقلت اتأخذ به فقال رأيتني خرجت من كنيسة أو علي زُنَّار حتى إذا سمعت عن رسول الله r حديثا لا أقول به Kata al-Humaidi ( Al-Humaidi adalah salah seorang imam hadith yang masyhur. Mengambil hadith –walaupun tidak banyak- daripada al-Imam al-Syafi`i. Murid kepada Fudail bin ‘Iyadh, Sufyan bin ‘Uyainah dan lain-lain. Salah seorang guru al-Imam al-Bukhari. Meninggal pada 219H. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/616)): "Suatu hari al-Syafi`I meriwayatkan sebuah hadith. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?”. Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang kristian ( Perkataan zunnar bermaksud tali pinggang yang dipakai oleh orang kristian) sampai apabila aku mendengar sesuatu hadith daripada RasuluLah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya." ( ibid, 10/34)
-أي سماء تُظِلُّني وأي أرض تُقِلُّني إذا رويت عن رسول r فلم أقل به
“Langit manakah yang akan memayungiku, bumi manakah yang akan menanggungku, jika aku meriwayatkan hadith daripada RasululLah s.a.w. lalu aku tidak berpegang kepadanya” ( Al-Zahabi, op.cit, 10/35)
-كل حديث عن النبي r فهو قولي وإن لم تسمعوه مني “Setiap hadith daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku” ( Maka dengan ini, seseorang dianggap berpegang dengan al-imam al-Syafi`I selagimana dia berpegang kepada hadith-hadith Nabi s.a.w. sekalipun al-Imam al-Syafi`I tidak menyebutnya).
-إذا صح الحديث فهو مذهبي وإذا صح الحديث فاضربوا بقولي الحائط “Apabila sahihnya sesuatu hadith maka itulah mazhabku. Jika sahihnya sesuatu hadith maka campakkan pendapatku ke dinding” ( Di samping itu hendaklah kita sedar, bahawa bukan semua hadith yang sahih yang tidak diamalkan oleh al-Imam al-Syafi`I disebabkan beliau tidak menemuinya. Demikian juga imam-imam yang lain. Di sana ada syarat-syarat yang lain untuk seseorang ahli ilmu berpegang dengan sesuatu hadith, seperti mengetahui ilmu nasikh mansukh, sabab al-wurud, gharib al-Hadith, musykil al-hadith dan lain-lain. Maka tidak wajar bagi seseorang yang tidak memahami ilmu-ilmu ini di samping bahasa ‘arab, usul al-Fiqh juga perkara-perkara berkaitan dengannya lalu cuba mengeluarkan pandangan secara sendirian terhadap hukum-hakam syarak hanya kerana membaca terjemahan sesuatu hadith yang sahih. Dia hendaklah menyandarkan fahamannya kepada mana-mana imam-imam yang muktabar, atau kepada ahli ilmu yang berkemampuan. Sesiapa yang berfatwa tanpa ilmu, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati agama). -أجمع الناسُ على أن من استبانت له سنة عن رسول الله r لم يكن له أن يدَعَها لقول أحد من الناس . “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunnah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia”. ( Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin إعلام الموقّعين, 2/263, cetakan Dar al-Fikr, Beirut)
كل مسألة تكلَّمْت فيها صح الخبر فيها عن النبي r عند أهل النقل بخلاف ما قلت فأنا راجع عنها في حياتي وبعد موتي “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedang ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadith daripada Nabi s.a.w. yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati”. ( Ibid, 2/266)
Penutup Inilah pengenalan ringkas mengenai pendirian al-Imam al-Syafi’I r.h sebagai pembela sunnah RasululLah s.a.w.
|