http://harapan-online.blogdrive.com/
Bismillahirrahmanirrahim,
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita mengenai penyerahan memorandum Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 17 IPTA kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM). Antara perkara yang membuatkan saya tertarik ialah berkenaan pendirian MPP ini yang menyatakan sokongan tidak berbelah bagi dengan peruntukan Akta Universti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Asas pendirian mereka ini cukup mudah: AUKU penting demi memelihara hal ehwal kebajikan mahasiswa. Pendirian mereka ini juga telah mendapat respon positif daripada TPM yang juga menyokong AUKU dikekalkan seperti sedia ada. Terima kasih kepada pihak-pihak yang mengutarakan isu ini di media massa. Timbulnya isu ini membawa kita kepada persoalan-persoalan yang mencabar diri untuk merenung wajah ke cermin untuk kembali menilai diri sendiri. Tahukah kita apa itu Dasar Pendidikan Negara? Tahukah kita kenapa kita ada universiti? Tahukah kita mengapa kita belajar di sekolah? Ataupun, mungkin satu soalan muhasabah diri: kita dari mana, hendak ke mana? Bertitik tolak daripada isu ini, saya percaya mana-mana individu bergelar mahasiswa terkesan dengan perkembangan baru ini. Persoalan demi persoalan timbul untuk direnungkan oleh individu yang mengaku bergelar warganegara Malaysia: Adakah pengekalan AUKU ini selaras dengan Dasar Pendidikan Negara kita? Realiti tidak seindah yang disangka. Secara teorinya, universiti berperanan menghasilkan pusat ilmu yang unggul dan insan yang kompeten, berinovasi serta berakhlak mulia untuk memenuhi keperluan negara dan antarabangsa. Dalam erti kata lain, universiti adalah pusat persediaan mahasiswa yang merangkumi segenap aspek sebelum mereka menjadi tenaga masyarakat. Namun begitu, realitinya timbul persoalan: Mengapa perlu adanya AUKU sebagai sekatan ke atas mahasiswa untuk terlibat dalam politik dan badan-badan bukan kerajaan? Di universiti, kita diajar tentang 'marketability', ekonomi, pengurusan diri, sejarah, dan sosial. Mengapa tidak diberi pendedahan tentang politik dan badan-badan bukan kerajaan? Sewajarnya, sepertimana seorang mahasiswa perlu diberi pendedahan mengenai ekonomi, sosial, sejarah peradaban manusia, maka sewajarnya jugalah mahasiswa perlu diberi pendedahan terhadap politik. Mungkin ada yang bertanya: Mengapa pendedahan dan penglibatan dengan politik penting bagi mahasiswa? Saya tiada jawapan yang mutlak, namun persoalan seterusnya perlu sidang pembaca renungkan sendiri. Wajarkah AUKU dikala mahasiswa juga mempunyai hak sebagai warganegara Malaysia untuk mengundi di dalam pilihan raya umum? Kita semua sedia maklum, purata umur mahasiswa dalam lingkungan 20 tahun. Berdasarkan Perlembagaan Negara, terang lagi bersuluh menyatakan bahawa semua warganegara Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas berhak untuk mengundi di dalam pilihan raya umum. Kita sedia maklum bahawa pilihan raya umum adalah medan terbaik untuk semua warganegara Malaysia memanifestasikan hak demokrasi mereka dengan menentukan parti politik yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara. Pengundi yang bijak pastinya mengikuti arus politik negara sebelum membuat keputusan untuk memangkah kertas undi. Namun, realiti dalam konteks mahasiswa: Bagaimana mahasiswa hendak mengikuti perkembangan politik? Adakah semata-mata berdasarkan sajian media massa yang majoritinya jelas berat sebelah dan 'double-standard' terhadap parti pembangkang? Ingatkah kita tentang cerita orang-orang buta dengan gajah? Bijakkah kita bila membuat keputusan berdasarkan satu perspektif sahaja dengan bulat-bulat mengabaikan perspektif2 yang lain? Perlu diingatkan, kita mempunyai lebih kurang 600,000 mahasiswa. Ini merupakan angka yang bukan kecil untuk menentukan warna dan hala tuju negara di masa hadaoan. Dengan penafian hak untuk terlibat di dalam politik ini, saya terfikir adakah mahasiswa ini dikategorikan sebagai pengundi yang tidak cerdik, buta tuli pekak biul; atau golongan yang pangkah ikut suka hati tanpa ada fikiran utk memikirkan parti mana yang terbaik untuk masa depan mereka? Tepuk dada, tanyalah diri sendiri! Pelik tapi benar, mahasiswa punya hak mengundi, namun dalam masa yang sama, mahasiswa juga dinafikan hak menyertai politik. Inilah realiti dilemma mahasiswa di Malaysia. Salahkah jika seseorang itu menuntut haknya? Mahasiswa menuntut agar hak demokrasi mereka dipulangkan dengan menyeru kerajaan meminda mana-mana peruntukan AUKU yang tidak relevan. Misalnya, tuntutan daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tentang AUKU ini berdasarkan kajian terperinci forum dan wacana ilmu yang dianjurkan sekian banyak selama ini. Contohnya pindaan terhadap seksyen 15, 15A, 15B, 15C, 15D dan 16 iaitu berkaitan hak mahasiswa yang mempunyai status sosial untuk berpersatuan, berhimpun, dan megeluarkan pandangan. Tuntutan mahasiswa adalah hak mereka sebagai warganegara Malaysia sahaja, bukannya lebih daripada itu. Bukannya jawatan, reputasi, wang apalagi kuasa! Tahun ini kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-49, namun sepanjang tempoh ini juga kerajaan masih menggunakan 'undang-undang' kuku besi ini. Makin lama sewajarnya makin diperbaiki sistem negara ini, maka sangat wajar mana-mana peruntukan undang-undang yang tidak demokrasi seperti AUKU perlu dinilai semula segera dan diselarikan dengan nilai demokrasi, hak asasi dan dasar negara. Sekadar melaungkan nama 'demokrasi', 'nilai timur', 'Malaysia boleh' tanpa memanifestasikan sepenuhnya ke dalam dunia realiti, bermakna kita menipu diri sendiri. Penipukah kita? |