http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm
Susunan: ZUNAIDAH ZAINON IBNU Battuta, seorang pengembara Islam yang terkenal dari Maghribi, mencatatkan kisah perjalanannya ketika mengunjungi kerajaan pesisir pantai timur Sumatera pada tahun 1345 Masihi yang disifatkannya sangat menakjubkan. Perdagangan di kota tersebut sangat maju dan menggunakan syiling emas dalam urusan harian. Kota perdagangan di pesisir itu adalah ibu kota Kerajaan Samudera Pasai yang tercatat sebagai kerajaan berpengaruh dalam pengembangan Islam di kepulauan nusantara. Sultan Malikussaleh (1270-1297) adalah raja Kerajaan Islam Samudera Pasai yang pertama membawa masuk ajaran Islam ke Asia Tenggara. Beliau mengahwini Ganggang Sari dari kerajaan Islam Perlak dan dianugerahkan dua putera, Malikul Dhahir dan Malikul Mansyur. Malikussaleh kemudian menyerahkan takhta kepada anak sulungnya, Malikul Dhahir dan mendirikan kerajaan baru bernama Pasai. Pada masa pemerintahan Sultan Malikul Dhahir, Samudera Pasai berkembang menjadi pusat perdagangan yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari Asia, Afrika, China dan Eropah. Ketika Malikussaleh mangkat, Malikul Dhahir menggabungkan kedua-dua kerajaan itu menjadi Samudera Pasai. Oleh kerana kemuliaan peribadinya, pada batu nisan raja yang memerintah Samudera Pasai dari 1297-1326 ini terpahat sebuah syair dalam bahasa Arab. Syair itu bermaksud makam yang mulia Malikul Dhahir, cahaya dunia sinar agama. Selain menjadi sebagai pusat perdagangan, Pasai adalah pusat perkembangan agama Islam. Kebanyakan mubaligh Islam yang datang ke Jawa dan daerah lain berasal dari Pasai. Kerajaan Samudera Pasai mempunyai pengaruh yang cukup erat dengan perkembangan Islam di Jawa. Ini berdasarkan kepada sejarah dan latar belakang Walisongo. Sunan Kalijaga berkahwin dengan anak Maulana Ishak, Sultan Pasai. Sunan Gunung Jati yang gigih melawan penjajahan Portugis lahir dan membesar di Pasai. Ahli pelayaran terkenal dari China, Laksamana Cheng Ho juga pernah berkunjung ke Pasai. Indonesia adalah negara yang mempunyai jumlah penduduk beragama Islam paling besar di dunia dengan mencecah 88 peratus daripada 228 juta penduduknya. Suatu waktu dulu, kepulauan Indonesia mempunyai kedudukan strategik sebagai laluan perdagangan yang telah menyebabkan agama Islam tersebar melalui pedagang-pedagang Arab. Bagaimanapun sejarah mencatatkan, pedagang-pedagang Islam sudah berada di beberapa bahagian Indonesia sebelum Islam mulai terbentuk di antara abad ke-13 dan awal abad ke-16. Islam tersebar di Indonesia melalui dua kaedah iaitu melalui hubungan pedagang-pedagang Islam dan ahli sufi (ulama) dan perkahwinan pedagang Arab, China dan India dengan wanita tempatan. Islam mula bertapak di Sumatera Utara dan tersebar dari barat ke timur sejauh ‘Kepulauan Rempah-rempah’ (sekarang dikenali sebagai Maluku) yang terletak antara jalan perdagangan. Selain perdagangan, Islam juga tersebar melalui penaklukan raja-raja yang beragama Islam. Kerajaan Islam yang paling awal didirikan di nusantara ialah kerajaan Melaka pada akhir abad ke-14 dan awal abad ke-15. Ekonomi Melaka berkembang dengan pesatnya hinggalah ke negara-negara Arab, Afrika Timur dan daerah Mediterranean. Kerajaan Melaka menguasai sistem perdagangan terbesar kerana kebijaksanaan pemerintah dan kedudukan pelabuhan yang strategik di perairan Selat Melaka. Perkembangan agama Islam di Indonesia berkait rapat dengan kehadiran sembilan wali yang lebih dikenali sebagai Walisongo. Mereka adalah Maulana Malik Ibrahim, Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Dradjad, Sunan Kalijaga, Sunan Kudus, Sunan Muria dan Sunan Gunung Jati yang banyak membantu menyebarkan agama Islam. Maulana Malik Ibrahim adalah Walisongo yang paling tua manakala Sunan Ampel adalah anaknya. Sunan Giri pula sepupu kepada Sunan Ampel. Sunan Bonang dan Sunan Drajad adalah anak kepada Sunan Ampel. Sementara itu, Sunan Kalijaga merupakan sahabat sekali gus murid Sunan Bonang. Anak Sunan Kalijaga ialah Sunan Muria manakala Sunan Kudus ialah murid Sunan Kalijaga. Sunan Gunung Jati pula adalah sahabat para Sunan lain kecuali Maulana Malik Ibrahim yang telah meninggal dunia. Mereka tinggal di pantai utara Jawa dari awal abad 15 hingga pertengahan abad 16 di tiga wilayah penting iaitu Surabaya-Gresik-Lamongan di Jawa Timur, Demak-Kudus-Muria di Jawa Tengah serta Cirebon di Jawa Barat. Walisongo adalah intelektual Islam yang membawa pembaharuan kepada masyarakat dan memperkenalkan bentuk peradaban baru dalam kehidupan dari aspek penjagaan kesihatan, bercucuk tanam, perniagaan, kebudayaan, kesenian, kemasyarakatan hinggalah kepada sistem pemerintahan. Sekolah pondok Ampel Denta dan Giri adalah dua institusi yang paling penting pada ketika itu. Bermula dari Giri, peradaban Islam berkembang ke seluruh Wilayah Timur Nusantara. Bahkan Sunan Giri dan Sunan Gunung Jati bukan sahaja sekadar ulama tetapi juga pemimpin politik. Sunan Giri, Bonang, Kalijaga dan Kudus adalah pencipta karya seni yang berpengaruh manakala Sunan Muria adalah pendamping sejati handai taulan. Kemunculan era Walisongo menandakan berakhirnya dominasi Hindu-Buddha dalam budaya Nusantara. Kesemua wali tersebut adalah simbol penyebaran agama Islam di Indonesia terutama di Jawa. Mereka memainkan peranan yang cukup besar dalam mendirikan kerajaan Islam di Jawa. Mulai daripada Maulana Malik Ibrahim yang menempatkan diri sebagai ‘tabib’ bagi Kerajaan Hindu Majapahit; Sunan Giri yang disebut para kolonialis sebagai ‘paus dari Timur’ hinggalah kepada Sunan Kalijaga yang mencipta karya kesenian dengan menggunakan nuansa yang dapat difahami masyarakat Jawa, iaitu nuansa Hindu dan Buddha, kehadiran Walisongo mempunyai peranan yang unik dalam penyebaran Islam di Indonesia jika dibandingkan dengan para ulama yang lain. Sebelum Indonesia mencapai kemerdekaan pada 17 Ogos 1945, penduduk beragama Islam di Indonesia mendalami ilmu agama di sekolah-sekolah pondok dan madrasah dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Mekah atau Madinah. Senario ini telah menyebabkan umat Islam ingin mempunyai Perguruan Tinggi Agama Islam di setiap negeri. Ekoran itu ditubuhkan Sekolah Tinggi Islam Padang pada 1940 dan Sekolah Tinggi Islam di Jakarta pada 1945. Bagaimanapun, perkembangan agama Islam di Indonesia banyak dipengaruhi oleh keadaan politik semasanya. Pada 1946, Sekolah Tinggi Islam berpindah ke Yogyakarta apabila Republik Indonesia menukar pusat pemerintahannya. Pada 22 Mac 1948, Sekolah Tinggi Islam telah dinaik taraf sebagai Universiti Islam Indonesia. Kemudian kerajaan Indonesia merasmikan Fakulti Agama yang dimilikinya kepada Perguruan Tinggi Agama Islam (PTAIN). Serentak dengan itu juga, kerajaan turut membuka Universiti Gadjah Mada. Pada 1957 Akademi Dinas Ilmu Agama (ADIA) telah ditubuhkan bagi memenuhi keperluan sumber manusia dalam bidang Pendidikan Agama dan Urusan Agama. Pendidikan agama Islam yang semakin berkembang di Indonesia akhirnya membentuk penubuhan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) pada 9 Mei 1960 hasil gabungan Perguruan Tinggi Agama Islam dan Akademi Dinas Ilmu Agama yang berpusat di Yogyakarta. Hingga 1970, Indonesia telah mempunyai 14 Institut Agama Islam Negeri. Antara IAIN yang terkenal ialah: *IAIN Sunan Kalijaga di Yogyakarta, 1960. *IAIN Syarif Hidayatullah di Jakarta, 1963. *IAIN Ar-Raniry di Banda Aceh, 1963. *IAIN Raden Fatah di Palembang, 1964. *IAIN Sunan Ampel di Surabaya, 1965. *IAIN Alauddin di Ujungpandang, 1965. *IAIN Antasari di Banjarmasin, 1965. *IAIN Imam Bonjol di Padang, 1966. *IAIN Sultan Thoha Syaifuddin di Jambi, 1967. *IAIN Sunan Gunung Djati di Bandung, 1968. *IAIN Raden Intan di Tanjung Karang, 1968. *IAIN Walisongo di Semarang, 1969. *IAIN Sultan Syarif Qasim di Pekanbaru, 1970. *IAIN Sumatera Utara di Medan, 1970. Bermula pada 1961, timbul gagasan daripada tokoh masyarakat di Jawa Timur untuk memiliki Perguruan Tinggi Agama Islam yang bernaung di bawah Jabatan Agama Republik Indonesia. Untuk mewujudkan cita- cita tersebut, para ulama dan tokoh masyarakat mengadakan pertemuan di Jombang dan hasil resolusinya Fakulti Syariah ditubuhkan di Surabaya dan Fakulti Tarbiyah di Malang pada 28 Oktober 1961. Fakulti Usuluddin di Kediri pula ditubuhkan pada 1 Oktober 1964. Bermula dengan tiga buah fakulti pengajian yang dimiliki oleh masyarakat Jawa Timur ini, maka pada 5 Julai 1965 ia telah diubah menjadi Institut Agama Islam Negeri Sunan Ampel yang terletak di Surabaya. Pada 1966 hingga 1970, IAIN Sunan Ampel berkembang dengan pesatnya sehingga terhasil pembukaan 18 fakulti yang tersebar di tiga kawasan iaitu Jawa Timur, Kalimantan Timur dan Nusa Tenggara Barat. Dalam pertumbuhan dan perkembangan selanjutnya, serta seiring dengan berlakunya perubahan baru pada tahun 1997, IAIN Sunan Ampel pada hari ini hanya mempunyai lima fakulti di Surabaya iaitu fakulti Syariah, Usuluddin, Adab, Dakwah dan Tarbiyah sedangkan fakulti lain membentuk Sekolah Tinggi Agama Islam (STAIN). |