http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm
Doa Akhir Tahun sempena Maal Hijrah dibaca tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata, “Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua.” Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosa sesiapa yang membaca doa itu setahun. Doa Akhir Tahun: Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang, segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir sekalian alam. Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga dan sahabat-sahabat Baginda sekalian. Ya Allah, wahai Tuhan kami, perkara-perkara yang telah kami lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini maka kami belum bertaubat daripadanya walhal Engkau tidak meredai dan tidak melupakannya (Tuhan tidak bersifat pelupa) dan Engkau berlembut tidak mengazabkan kami malah memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami melakukan maksiat itu. Maka kami sekalian mohon keampunan Mu. Ya Allah, ampunilah kami dan mana-mana perbuatan yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redai dan yang telah Engkau janjikan pahalanya. Maka kami mohon diperkenankan akan perbuatan (amal bakti) yang telah kami lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah, Tuhan yang maha pemurah. Doa Awal Tahun: Doa Awal Tahun pula dibaca tiga kali selepas Maghrib pada malam satu Muharam. Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata: “Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan.” Berikut adalah Doa Awal Tahun: Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Rahmat dan sejahtera ke atas Penghulu kami Muhammad dan atas keluarga, sahabat-sahabat Baginda sekalian. Ya Allah, engkaulah Tuhan yang kekal selama-lamanya, sedia ada tidak permulaan. Kelebihan Mu maha besar dan kemurahan Mu sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami mohon kepada Mu agar terpelihara kami sekalian dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat dan juga daripada konco-konco syaitan dan bala tenteranya. Dan kami mohon daripada Mu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan). Kami mohon juga kepada Mu, Ya Allah akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada Mu. Ya Allah, Tuhan yang maha agung lagi mulia. Ya Allah, Tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat. |