http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN (WARTAWAN UTUSAN) SEMINAR Islam dan Kehidupan di Angkasa yang berlangsung dua hari di sebuah hotel di Bangi, Rabu lalu berjaya merungkai persoalan-persoalan yang bermain dalam fikiran kita tentang bagaimana melaksanakan ibadat di angkasa.
Ia juga membuktikan pintu ijtihad masih terbuka untuk para ulama dan cendekiawan membincangkan pelbagai isu semasa untuk kemaslahatan ummah waima melibatkan kehidupan di angkasa lepas. Seminar itu diadakan selepas negara mencatat sejarah bakal mempunyai angkasawan menjelang Oktober 2007 menerusi Program Angkasawan Negara. Secara tidak langsung, kejayaan itu turut menaikkan imej negara dan umat Islam pada amnya kerana kemampuan dan kesungguhan yang ditunjukkan bagi membuktikan bahawa Islam bukanlah jumud sebaliknya amat mementingkan inovasi dan kecemerlangan. Bagaimanapun, timbul persoalan bagaimana melaksanakan ibadat di angkasa terutamanya solat, bersuci dan menentukan arah kiblat dalam persekitaran yang jauh berbeza dengan suasana kehidupan di permukaan bumi. Umum sedia maklum bahawa solat adalah kewajipan yang difardukan ke atas setiap individu Muslim yang mukallaf sebagaimana firman Allah, "Sesungguhnya solat lima waktu itu adalah wajib ke atas orang mukmin pada waktu yang telah ditetapkan," (An-Nisaa': 103 ) Ia diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah s.a.w., Agama Islam itu dibangunkan atas asas yang lima, mengucap dua kalimah syahadat, solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat dan menunaikan haji. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Pendek kata, solat itu wajib dilakukan walau di mana sahaja kita berada walaupun dalam keadaan sakit dan tidak mampu berdiri. Inilah antara keindahan Islam di mana Allah memberi kelonggaran atau rukhsah kepada umatnya jika menghadapi halangan atau kesukaran. Berdasarkan pengalaman angkasawan Sepanyol, Pedro Duque yang telah dua kali naik ke angkasa pada 1998 dan 2003, bekalan air yang dibawa ke angkasa adalah terhad selain ia tidak tersejat. Selain itu, pergerakan badan banyak bergantung kepada tangan yang memaut pemegang khas di dalam kapal angkasa kerana ketiadaan graviti yang menyukarkan berjalan seperti di muka bumi. Jadi, seminar berjaya merumuskan angkasawan Muslim boleh menggunakan rukhsah dan juga konsep darurat iaitu jika tidak diberi keutamaan pasti mendatangkan bahaya kepada angkasawan yang berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Menurut pensyarah kejuruteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Zainol Abidin Abdul Rashid, ISS berada pada ketinggian ~360 kilometer (km) dari permukaan bumi dan mengorbit (pusingan mengelilingi bumi) pada kalaan ~92 minit atau lebih kurang 16 orbit sehari. Maknanya, angkasawan di ISS akan melalui 16 kali siang dan 16 kali malam. Soalnya, adakah kita perlu menunaikan solat 80 kali kerana di permukaan bumi kita bersolat lima waktu sehari semalam. Bagaimanapun, pensyarah Kolej Islam Darul Ulum, Kedah, Dr. Abdullah Ibrahim menjelaskan, angkasawan tidak perlu berbuat demikian. Memadai menunaikan solat dalam keadaan musafir iaitu jamak dan qasar. Masa solatnya pula berpandukan kepada waktu di Mekah yang akan dimaklumkan kepada mereka melalui penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Dari segi bersuci pula, penggunaan bata yang dibuat daripada tanah liat adalah diharuskan untuk bertayamum menggantikan debu tanah. Ini berdasarkan pendapat Mazhab Maliki. Ia berdasarkan firman Allah, "Dan jika kamu dalam keadaan junub, maka bersucilah dengan mandi wajib, dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran dan salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan sedang tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi) maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih iaitu sapulah muka dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu,". (Al-Maaidah: 6). Abdullah menjelaskan, dari segi menghadap kiblat jika menghadapi kesukaran maka ketika itu boleh ditunaikan solat dalam keadaan menghadap ke mana sahaja. Ini berdasarkan rujukan kitab al Jaziri, al-Fikh 'ala al Mazahib al Arba'ah. Oleh itu, menurut Mazhab Shafie, solat angkasawan dalam ISS boleh menghadap ke mana sahaja yang ia mampu tetapi perlu terlebih dahulu perlu menunggu masa hampir tamat waktu solat yang hendak ditunaikan itu. Jika ditangguhkan juga, maka waktu solat itu akan habis. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya, "Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat) maka di situlah arah yang diredai Allah. " (Al-Baqarah: 115) Pelaksanaan solat juga tidaklah sukar kerana dalam keadaan darurat kita dibolehkan bersolat dalam keadaan duduk malah baring. Yang penting ialah kita menunaikannya. Solat terbahagi kepada rukun fi'li (perbuatan) dan qawli (bacaan) dan qalbi (hati). Tidak timbul masalah bagi rukun qalbi dan qawli. Bagi rukun fi'li pula, angkasawan boleh solat dalam keadaan duduk iaitu rukuk dilakukan dengan membongkok sedikit, iktidal secara duduk dengan melepaskan kedua tangan menghulur di tepi rusuk kanan dan kiri. Sujud pula membongkok lebih rendah daripada bongkok rukuk manakala duduk antara dua sujud, tahiyat awal dan tahiyat akhir dilakukan seperti biasa. Bagi puasa Ramadan pula, angkasawan diberi kelonggaran atas sebab musafir iaitu meneruskan puasa atau menggantikannya pada hari yang lain sebagaimana firman Allah, "Sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (boleh ia berbuka, kemudian wajib berpuasa) menggantikan hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain." (Al-Baqarah: 185) Bagaimanapun, jika memilih untuk berpuasa maka hendaklah mengikut waktu Mekah. Walaupun segala resolusi dalam seminar ini masih memerlukan perbincangan atau muzakarah di peringkat Majlis Fatwa, apa yang jelas ialah Islam adalah agama yang lengkap mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Apa yang penting kini ialah kesedaran kita sebagai umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab fardu ain yang ditetapkan terutama ibadat solat walau di mana kita berada. Lagipun, Islam itu agama yang mudah sebagaimana firman-Nya, "Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran." (Al-Baqarah:185).
|