Oleh: SITI AINIZA KAMSARI
|
SEMUA tempahan dibuat oleh Noor Hadi dengan teliti, halus dan cantik. |
KETIKA di bangku sekolah menengah dahulu, beliau pantang melihat ada papan hitam yang kosong. Pasti tangan Noor Hadi Miskun, 36, akan mencontengnya dengan kaligrafi-kaligrafi khat dalam pelbagai bentuk dan gaya yang sungguh menarik.
Ketika itu, anak muda ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor yang tanpa mengira kelas siapa atau kelas sendiri, ada saja peluang, tangannya akan 'conteng' sehingga penuh papan-papan hitam itu dengan tulisan-tulisan khatnya walaupun perbuatannya itu selalu dimarahi oleh rakan pelajar dan guru.
Kini minat dan bakatnya itu membuahkan hasil, malah anak sulung kelahiran Kampung Sungai Kandis, Kelang ini mampu memiliki syarikatnya sendiri, Sha Adha Enterprise bagi tujuan mengkomersialkan tulisan Jawi dan kaligrafi khat. Malah, kini beliau tidak menang tangan memenuhi pelbagai tempahan para pelanggan.
Ketika ditemuramah baru-baru ini, beliau sibuk memenuhi pelbagai tempahan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1427 H. Lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Hadi kerana masih bertugas sebagai guru agama di salah sebuah sekolah rendah di Kajang, Selangor. Berikut adalah sedutan temu ramah tersebut.
Utusan Malaysia: Bilakah saudara mula menaruh minat terhadap khat sedangkan difahamkan saudara tidak mempunyai sebarang kemahiran dan pendedahan mengenai khat daripada mana-mana pihak?
Noor Hadi: Ketika itu saya masih berada di tingkatan dua dan saya masih ingat seorang guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Arab, iaitu Ustaz Hamzah Palembang. Beliau sebenarnya berasal dari Indonesia tetapi sepanjang guru ini mengajar, langsung tidak ada sepatah perkataan Melayu digunakan. Saya bukan hendak mengkritik beliau, sebab pelajar lain boleh menerima cara guru ini mengajar. Akibatnya saya dilanda kebosanan tetapi ketika itu saya tertarik dengan tulisan khat yang menghiasi kulit muka buku Al Qawaid (buku teks tatabahasa Bahasa Arab) jadi saya cuba meniru-niru tulisan itu dan akhirnya saya dapati saya boleh menulis sendiri, menjadi juga 'stroke' khat tersebut.
Sejak bila khat menjadi hobi saudara?
Bukan sahaja hobi, ketika belajar di sekolah aliran agama, tentulah ia memberikan saya lebih peluang dan persekitaran yang membantu saya untuk terus mengasah bakat termasuk menggunakan papan-papan hitam kelas itu (ketawa) tadi. Tetapi selepas sekolah saya tidak terfikir bahawa saya akan pergi jauh dengan kemahiran ini.
Maksudnya?
Selepas sekolah dan melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Islam (MPI) saya sebagaimana pelatih yang lains hanya tahu bahawa kami akan keluar sebagai tenaga pengajar. Bagaimanapun, saya tidak meninggalkan penulisan khat sebaliknya mengambil kursus tambahan selama setahun semata-mata bagi mendalami bidang ini. Ini kerana khat memerlukan kita menguasai ilmu-ilmu yang tertentu bagi memastikan kita benar-benar mempunyai kemahiran yang tinggi dan mematuhi semua peraturan menulis.
Bolehkah saudara berkongsi pengalaman pahit manis sebelum berjaya menjadikan kemahiran ini menjadi satu bentuk perniagaan walaupun ia jarang dikuasai oleh kalangan anak muda dan bangsa Melayu itu sendiri?
Saya tidak nafikan pernah mengalami pelbagai cabaran dan jatuh bangun sebelum saya berada dalam kedudukan sekarang. Demi cinta yang mendalam terhadap tulisan jawi dan khat, saya pernah mahu berguru dengan seorang pengusaha iklan jawi yang ketika itu satu-satunya ahli perniagaan yang menguasai pasaran iklan tulisan jawi di daerah ini. Saya tidak diberi upah pun tidak mengapa, asalkan saya dapat belajar selok belok perniagaan yang berasaskan kemahiran ini.
Tetapi permintaan saya ditolak dengan pelbagai alasan yang sengaja direka-reka. Sehinggalah pada suatu hari, seorang rakan yang bertugas sebagai Penolong Kanan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi, Rawang, Ustaz Kamilen Marzuki menawarkan saya tugas untuk menceriakan sekolahnya dengan elemen tulisan jawi dan khat. Apabila saya berjaya membuat tulisan-tulisan tersebut, saya kemudian perlu menyerahkan kepada pengusaha iklan untuk tujuan penyudahan.
Namun di saat-saat akhir, dia enggan terima hasil kerja saya itu melainkan saya sanggup membayar kepadanya sebanyak RM2,000 jika mahu kerja itu diselesaikan. Tentulah saya kecewa dan marah dengan sikap pengusaha itu kerana membuat kerenah pada saat-saat akhir.
Lalu saya ambil keputusan untuk menyiapkan sendiri seluruh projek tersebut dengan membeli sendiri bahan-bahan, menyalin semula tulisan, membuat kemasan akhir dan memasang sendiri hasil-hasil kerja saya itu.
Alhamdulillah, pelanggan berpuas hati walaupun ia hasil kerja yang sangat amatur. Sejak itu saya melibatkan diri secara serius dalam bidang ini dan sehingga hari ini, banyak hasil tulisan jawi dan khat saya terpampang di merata tempat terutamanya di sekolah, surau dan masjid-masjid di sekitar Kajang dan Hulu Langat.
Tidakkah saudara merasakan kerja ini mengganggu tugas hakiki saudara sebagai guru agama?
Tentulah tidak kerana saya lakukan kerja-kerja ini hanya pada waktu senggang seperti petang, malam dan hujung-hujung minggu. Cuti sekolah adalah antara masa yang sibuk untuk menyiapkan pelbagai tempahan. Namun saya tetap memberikan tumpuan tugas saya sebagai guru, malah menjadi tanggungjawab saya untuk menyuburkan minat dan pengetahuan terhadap tulisan jawi dan khat ini dengan mengadakan kelas-kelas khas malah saya pernah mengajar khat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Tambah lagi, syarikat ini sebenarnya didaftar atas nama isteri, Aliz Safiyya Daud, jadi beliau juga tulang belakang di sebalik kejayaan ini.
Apakah falsafah saudara dalam perniagaan lebih-lebih lagi membabitkan tulisan jawi dan khat untuk tujuan komersial?
Saya sedar bahawa niat dan falsafah memainkan peranan penting, sama ada saya hendak membuat duit dengan menjual kemahiran ini atau ala kadar. Walaupun menyedari bahawa kemahiran ini merupakan satu hasil karya seni yang boleh diletak harga namun saya masih mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dan agama itu sendiri agar ia tidak bertujuan untuk manipulasi apatah lagi untuk kepentingan diri sendiri.
Maknanya saudara tidak meletakkan harga untuk penat lelah dalam menghasilkan kerja-kerja itu?
Kebanyakan pihak yang membuat tempahan dengan saya membabitkan institusi awam seperti sekolah, surau dan masjid. Jadi, tentulah ia melibatkan bajet dan sebut harga awam. Saya tidak mahu terlalu berkira malah ada peratusan daripada harga tersebut yang saya mahu sumbangkan kembali ke tabung sekolah sebagai amal jariah.
Adakah saudara berhasrat memperluaskan pasaran selain menumpukan kepada institusi awam sebagai pelanggan tetap?
Sebenarnya saya selesa berurusan dengan institusi awam kerana selama hampir lima tahun berkecimpung dalam perniagaan ini, saya tidak pernah menghadapi masalah dengan mereka. Bagaimanapun, jika mendapat permintaan atau tempahan daripada pihak lain, saya sedia berurusan dengan mereka.
Adakah saudara bercadang meluaskan operasi ini di bengkel memandangkan kini saudara hanya beroperasi di rumah?
Saya memang berhajat untuk mempunyai bengkel dan studio saya sendiri sebagaimana impian setiap ahli perniagaan yang mahu kembangkan sayapnya. Sehingga kini walaupun beroperasi di rumah kediaman sendiri alhamdulillah saya mampu menyiapkan tempahan semua projek tulisan jawi dan khat.
Ini termasuklah papan tanda, papan tanda neon, kain rentang, papan kenyataan, kotak cenderahati, pelekat, logo, lencana, hiasan pentas (backdrop) dan lukisan dinding.
Dalam apa juga bahan iaitu akrilik, plet aluminium, color bond, aloi karbon, keluli tahan karat selain lukisan dinding atau mural.
Apakah harapan saudara seterusnya?
Tentunya saya tetap hendak 'menjual' kemahiran ini tetapi tujuannya untuk memartabatkan tulisan jawi dan khat supaya ia tidak akan luput dek zaman. Begitupun banyak lagi selok belok perniagaan yang perlu diketahui kerana saya masih terlalu mentah dan kurang pengalaman. Jadi, semuanya masih dalam proses pembelajaran dan masih memerlukan sokongan banyak pihak untuk faedah bersam