KELUARGA Musa bin Syakir terkenal pada zaman pemerintahan Khalifah al-Ma'mun, salah seorang khalifah kerajaan Abbasiyyah kerana penguasaan mereka dalam bidang Matematik, khususnya geometri.
Mereka juga pakar dalam bidang astronomi serta falsafah, menjadikan keluarga Musa sebagai keluarga yang terkenal kerana pencapaian salam bidang itu.
Musa bin Syakir adalah ilmuwan terbilang kerana kejayaan yang dicapai turut dikongsi bersama ketiga-tiga anaknya, Abu Ja'far Muhammad, Ahmad dan Hasan.
Pada zaman Abbasiyyah, rakyatnya suka belajar dan menimba ilmu. Mereka memanfaatkan sepenuhnya kekayaan dimiliki untuk membeli buku yang diperoleh dari Rom.
Mereka juga mengupah penulis untuk menghasilkan pelbagai buku dan ada antara penulis ini yang memperoleh gaji hingga lima ratus dinar.
Bagaimanapun, dengan adanya tokoh dan ilmuwan terbilang, khususnya Musa dan anaknya, maka masyarakat beralih kepada mereka.
Antara kejayaan Musa dan anaknya ialah melakar dan membuat puluhan air pancut yang digunakan untuk menghiasi istana khalifah sehingga membolehkan mereka memperoleh pendapatan lumayan.
Salah seorang anaknya, Abu Ja'far Muhammad tersohor kerana memiliki ilmu astronomi, kejuruteraan dan mantik. Mantik ialah ilmu yang digunakan dalam ilmu kalam atau ilmu falsafah.
Kepakaran seorang lagi anaknya, Ahmad ialah dalam ilmu mekanik, sementara Hasan pula pakar dalam bidang kejuruteraan. Anak Musa menghasilkan pelbagai karya penulisan dalam ilmu astronomi, kejuruteraan dan mekanik.
Antaranya ialah Kitab al-Hiyal yang mengandungi pelbagai gambar mengenai tabung, paip dan air pancut sebagai memenuhi keperluan ketika itu.
Hasil rekaan tabung mereka banyak digunakan di masjid, rumah dan tempat berhimpun sebagai bekas minuman, berwuduk, menyimpan dan memindahkan air.
Kemampuan mereka juga menyerlah apabila berjaya menghasilkan pancutan air berbentuk bunga teratai dan air memancut keluar seperti bentuk perisai.
Anak Musa juga menghasilkan buyung air yang dibawa oleh kanak-kanak untuk diberikan khusus kepada mereka yang mahu berwuduk.
Orang lain tidak akan diberikan air itu, walaupun sedikit, kerana air dalam bekas itu untuk kegunaan orang salih dan mulia.
Paling unik, rekaan mereka berasaskan teknologi tekanan udara dan proses naik turun air dari buyung.
Anak Musa juga menghasilkan tabung untuk mencuci sayur-sayuran. Apa yang menakjubkan ialah apabila sayur-sayuran dimasukkan ke dalam air dan dikeluarkan darinya, ia akan mengeluarkan bunyi siren.
Selain itu, mereka mencipta pelita yang boleh menaikkan sumbu dan menuang minyak dengan sendiri hinggakan apabila orang melihatnya akan menyangka api tidak memakan sumbu itu walaupun pada hakikatnya ia berlaku secara automatik.
Alat timbangan khusus bagi menimbang emas turut direka oleh Musa dan anaknya.
Semua rekaan dan fungsinya itu diterangkan dalam Kitab al-Qarsatun yang bererti 'timbangan' dan Kitab Wasfil Alat, yang bermaksud penjelasan yang boleh mengeluarkan bunyi.
Ilmuwan Barat mengakui keagungan karya Musa dan ketiga-tiga anaknya yang membuat sumbangan besar dalam bidang Matematik, astronomi dan falsafah pada zaman kegemilangan Islam.
Ilmuwan Barat juga menterjemahkan karya mereka, meneliti dan membuat penambahan.
Musa turut menyatakan kewujudan satu tarikan bernama 'graviti' yang menyebabkan planet di langit terikat di antara satu dengan yang lain dan juga jasad jatuh ke bumi. Inilah teori yang pada masa ini dikaitkan dengan nama ahli fizik Barat, Isaac Newton (1642-1727 Masihi).