http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0615&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
Oleh ZUARIDA MOHYIN
| Penghibur nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin juga pernah menggunakan khidmat Nor Aiman Abdullah Ong. |
MELIHAT kepada orangnya yang petah berbahasa Melayu, apatah lagi bila kaki melangkah ke teratak kediamannya di Subang Mewah, Selangor, penulis dapat membuat kesimpulan bahawa pemuda berketurunan Baba Nyonya dari Melaka ini memang memiliki ciri-ciri dan sifat kemelayuan yang begitu dominan dan sebati dalam jiwanya.
Ini diterjemahkan menerusi keramahannya dengan jiran tetangga, kemesraan menerima kunjungan penulis dan jurugambar, dekorasi dalaman rumah bercita rasa ala Melayu yang serba sederhana serta bijak memilih pepohon hijau yang mengisi ruang laman biarpun dengan keluasan yang agak terbatas namun masih menimbulkan kesegaran. Beliau yang penulis maksudkan ialah pereka fesyen dan jurusolek yang tidak asing, Nor Aiman Abdullah Ong atau lebih dikenali di kalangan para artis dan orang kenamaan sebagai Ad. Meskipun ini merupakan pertemuan pertama antara penulis dengan Ad dan persetujuan untuk diwawancara diperoleh sehari selepas dihubungi, Ad tidak kekok malah kesanggupannya berkongsi pengalaman 'hijrah' akidahnya amat penulis hargai. Demi mengukuhkan kenyataan penulis mengenai keserasian cara hidup kemelayuan Ad yang diadun mesra nilai keislaman, ia dijelaskan anak bongsu daripada empat adik-beradik ini bahawa suasana sebegini terhasil menerusi pergaulan berpuluh tahun dengan masyarakat Melayu Islam. "Dari tempat di mana saya dibesarkan, membawa ke alam persekolahan peringkat rendah dan menengah serta sehinggalah setelah mempunyai kerjaya tetap, kehidupan dan pergaulan saya lebih banyak di kalangan orang Melayu. "Malah boleh dikatakan teman baik, teman serumah serta pelanggan saya juga adalah mereka yang berbangsa Melayu. Pendedahan yang agak lama dan berpanjangan ini secara tidak langsung berkemungkinan menyumbang kepada apa yang wujud sekarang ini. "Keakraban ini turut mendedahkan saya bukan sahaja kepada budaya dan cara kehidupan mereka tetapi turut melibatkan pegangan agama mereka iaitu agama Islam," kata Ad yang mengakui sudah lama melafazkan syahadah tetapi cuma baru beberapa tahun lalu mendaftarkan pengislaman di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Menurut Ad lagi, sungguhpun setiap agama itu mengajar penganutnya perkara yang baik namun dalam agama Islam, ajarannya tiada tolok bandingannya, ada keistimewaan, lengkap serta merangkumi pelbagai bidang ilmu. "Islam adalah satu-satunya agama yang paling mudah, adil kepada setiap makhluk dan tidak ada paksaan. Namun, yang paling 'menarik' saya kepada Islam ialah setiap sesuatu yang berlaku itu adalah yang telah ditakdirkan oleh-Nya dan biar apa pun yang tertulis untuk kita itu ada hikmah di sebaliknya," jelasnya. Itulah yang sentiasa menjadi prinsip dan pegangan, sekali gus keteguhan keimanan di dadanya meskipun Ad akui bergelar mualaf mengundang pelbagai cabaran dan tekanan. "Alhamdulillah, biar sehebat mana dugaan yang dihadapi terutama daripada masyarakat yang mengakui diri mereka muslim sejak azali, keyakinan dan keutuhan keimanan dalam ini sedikit pun tidak tergugat. Malah mungkin inilah hikmah yang Allah sahaja mengetahuinya," luah Ad berbaur kecewa dengan sikap segelintir masyrakat Islam yang beranggapan gelaran mualaf sebagai golongan kelas kedua. Ad yang pernah menata rias wajah dan penampilan pakaian artis seperti Siti Nurhaliza, Rabbani, Louisa Chong, Liza Hanim, Datin Orkid Abdullah, Datuk Yusni Hamid, Datuk M. Daud Kilau, Vanida Imran, Ac Mizal dan ramai lagi memberitahu, keputusannya memeluk Islam sedikit pun tidak menggugat kerjayanya sebagai pereka fesyen serta jurusolek profesional. Menjawab pertanyaan mengapa keputusan memeluk Islam diambil agak lewat sedangkan menerusi kisah beliau Islam telah bertapak lama dalam diri, Ad sambil tersenyum lebar memberitahu, pemerhatiannya terhadap cara hidup teman-teman Islam yang segelintir daripada mereka tidak mengikut landasan Islam sedikit sebanyak melambatkan pengislaman beliau. "Namun, hidayah Allah itu tidak siapa pun dapat menolaknya. Kekurangan keyakinan itu terubat apabila saya mengalami pelbagai perubahan sama ada dari segi rohani dan jasmani menerusi pembacaan serta sokongan dan dorongan daripada mereka yang benar-benar memahaminya. Keikhlasan "Ada segelintir yang menganggap pengislaman saya ada kepentingan seperti hendak cari nama, nak popular, sebab bisnes dan nakkan hak bagi yang bergelar mualaf. Masyarakat boleh menuduh apa-apa tetapi saya lebih bersikap positif serta berpegang teguh Allah itu Maha Mengetahui. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Jadi keikhlasan nawaitu saya ini hanya kepada Allah saya serahkan. "Yang penting hubungan saya dengan Allah terpelihara dan saya tidak menyakiti atau memusuhi orang lain. Sungguhpun mereka bersikap begitu mengecewakan. Hinggakan ada ketikanya hampir-hampir mengugat keimanan yang masih rapuh ini. Pun begitu, saya berkeyakinan setiap sesuatu itu ada hikmah di sebaliknya dan saya berharap dengan cabaran inilah datangnya kemanisan iman itu," kata Ad yang turut menghadapi cemuhan atas tindakannya mengambil anak angkat, Farah Nisha Mohd Hafiz, 6. Berkongsi salah satu pengalaman paling bermakna dalam lipatan pengislaman, kata Ad, pernah suatu ketika dahulu iaitu kira-kira lapan tahun lalu beliau mengalami tekanan perasaan yang serius iaitu sehingga mengambil jalan tidak mahu meneruskan kehidupan di dunia. "Fikiran saya pada masa itu kusut, tambahan pula iman di dada terlalu tipis. Apa yang termampu saya lakukan ialah duduk di atas sejadah tanpa mengetahui arah kiblat dan menadah tangan berdoa kepada Allah. Semalaman saya hanya menangis dan memohon petunjuk Ilahi. "Dalam situasi hening itu, saya dapat rasakan seolah-olah diri saya berada di hadapan Kaabah dan semakin dihimpit kehangatan jemaah-jemaah lain. Saya terus berdoa khusyuk. "Alhamdulillah, keesokan paginya, bebanan fikiran saya hilang dan fikiran saya jadi ringan dan tenang. Hal ini secara tidak langsung telah menguatkan kepercayaan saya kepada-Nya," kata Ad yang mengakui kekurangan diri dan masih meneruskan pembelajaran ilmu Islam, waima sudah mengucap dua kalimah syahadah. Malah semenjak itu, amalan berdoa sentiasa menjadi kemestian bukan sahaja selepas solat lima waktu tetapi walau di mana sahaja beliau berada. Bersyukur Pada pertemuan lewat pagi itu juga, Ad mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih dan bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan padu daripada ibu bapa kandung Nisha iaitu Mohd. Hafiz dan Hasniah Idris serta kakak angkat kesayangannya, Kak Kalsom serta tidak ketinggalan teman-teman Islam dan bukan Islam yang sentiasa menghormati pilihan kepercayaannya. "Saya mengenali keluarga kandung Nisha bukanlah dalam tempoh yang singkat. Kami pernah tinggal serumah dan kini menjadi rakan kongsi perniagaan. Saya tidak berhasrat langsung memisahkan hubungan mereka anak-beranak. Malah saya pelihara dan didik Nisha macam anak saya sendiri dan sekali-kali tidak berniat melampaui batasan agama atau ada kepentingan lain. "Soal mahram atau tidak, itu satu perkara yang tidak dapat saya nafikan tetapi saya pernah bertemu dengan beberapa tokoh agama dan mereka telah menjelaskan bagaimana seharusnya dibina hubungan tersebut. "Alhamdulillah, biarpun ada tentangan dan kata nista daripada mereka yang sentiasa mencari peluang memburukkan keadaan, saya yakin Allah sentiasa bersama orang-orang yang benar dan ikhlas," kata Ad. Menurutnya, kehadiran Nisha umpama dirinya yang dilahirkan semula sebagai muslim. Mengenai pengalaman bersendirian membesarkan anak, akui Ad, tanggungjawab itu bukannya kecil. Lebih-lebih lagi beliau memelihara kanak-kanak perempuan. Namun, kata Ad, Nisha adalah seorang kanak-kanak yang bijak dan memahami status dirinya. "Saya tidak pernah merahsiakan Nisha tentang keluarga kandungnya malah hubungan dia dengan adik-beradik yang lain tetap akrab. "Acap kali pada cuti panjang saya akan balik ke kampung ibu bapa Nisha yang terletak di Terengganu. Masa itulah kami umpama sebuah keluarga yang besar dan rapat. "Nisha sudah seperti anak saya sendiri. Saya mahu didiknya dengan agama Islam dan budaya yang baik. Bagaimana Nisha belajar mengenali Islam begitu jugalah keadaannya dengan saya. Saya juga umpama seperti dilahirkan semula," cerita Ad. Nasihat Ad kepada mualaf yang senasib dengannya agar jangan mudah patah semangat atau kembali kepada agama sebelum ini apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran. Anggaplah ia sebagai satu dugaan yang mempunyai hikmah kemanisan iman.
|