Utusan Malaysia, 24 ogos 2006
Oleh: ZUARIDA MOHYIN | GAYA menarik yang pastinya mengimbau kenangan manis buat Mohd. Yusof Foo Abdullah dan Nur ‘Aliah Nadhirah Abdullah. |
“SEMUANYA bermula apabila saya ternampak kitab al-Quran yang tersusun rapi di rak buku sewaktu berkunjung ke rumah mertua bekas abang ipar saya. Serta-merta saya teringatkan kepada pelekat dengan ungkapan berbunyi, Read the Quran yang dilihat di cermin belakang sebuah kereta beberapa tahun dahulu,” akui Mohd. Yusof Foo Abdullah membuka bicara. Pada pertemuan petang itu, Mohd. Yusof Foo, 49, ditemani isteri, Nur ‘Aliah Nadhirah Abdullah, 32. Pasangan pengantin baru ini diijabkabulkan pada 8 Mei lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Menyambung kisah yang berlaku pada awal tahun 1993 yang sekali gus membawa kepada peristiwa pengislaman beliau, anggota polis di mahkamah ini berkata, tanpa segan silu beliau meminta kebenaran meminjam terjemahan al-Quran bahasa Inggeris itu selama dua minggu. “Yalah, saya pada masa itu belum lagi Islam, tentu timbul tanda tanya mengapa saya beriya-iya benar hendak meminjamnya. Sementara mendapatkan green light daripada pemiliknya, saya pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia atau Perkim di Jalan Ipoh dengan niat mempelajari ilmu fardu ain,” jelasnya. Alhamdulillah, selang beberapa hari beliau dibenarkan mengambil kitab terjemahan tersebut di Selayang. Dengar sahaja perkhabaran gembira itu, tanpa melengahkan masa, beliau yang ketika itu tinggal di Kepong terus ke sana. “Sebelum memegangnya, terlebih dahulu saya mengangkat wuduk sebagaimana yang dilakukan oleh umat Islam. Saya membeleknya sehelai demi sehelai dengan penuh minat. Hanya Allah mengetahui perasaan saya ketika itu. Malah ada semacam desakan dalaman untuk terus mendalaminya,” ujar Mohd. Yusof Foo yang kemudiannya memeluk Islam pada Oktober 1993 pada usia 37 tahun di Pusat Islam, Jalan Lembah Perdana, Kuala Lumpur. Kehidupannya sebelum bergelar Muslim bagai layang-layang putus tali. Ini kerana hidup yang bebas tanpa pegangan agama dan tidak ada tanggungjawab jelas kepada Maha Pencipta. Ia jauh berbeza dengan mereka yang beragama Islam, setiap individu adalah khalifah di muka bumi ini. Tambahan pula, pergaulan mesra dengan teman-teman sepasukan banyak membantu serta mendorong beliau untuk lebih memahami Islam bukan sekadar melalui pemerhatian semata-mata terutamanya dari sudut kehidupan Melayu Islam di Malaysia. “Islam adalah agama yang cukup murni. Saya amat tertarik kepada Islam kerana penekanannya kepada aspek kebersihan dalam apa juga perbuatan dan amalan. Malah apa yang dilakukan sama ada baik mahupun buruk ada balasannya. Mungkin tidak di dunia tetapi di akhirat. Hakikatnya, kehidupan selepas mati itu adalah benar. “Ketenangan selepas mengucap syahadah, cukup mententeramkan. Lebih-lebih lagi, pilihan itu diterima kedua-dua ibu bapa meskipun mereka penganut agama Buddha yang setiap. Saya bersyukur mereka berfikiran terbuka, mungkin kerana sebelum ini kakak saya juga mengambil keputusan memeluk Islam,” kata anak kedua daripada tujuh adik-beradik ini. *Kursus Berkongsi kisah perkenalan beliau dengan Nur ‘Aliah Nadhirah cerita Mohd. Yusof Foo, mereka sebelum ini pernah bersua muka pada beberapa siri aktiviti anjuran pelbagai institusi agama Islam. Namun kursus anjuran Jawi iaitu Pendakwah Saudara Kita yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan pada November 2005 adalah permulaannya. “Kami masing-masing pernah berkahwin sebelum ini. Segalanya adalah ketentuan Ilahi. Kami reda dan pasrah menempuhinya dan berharap mahligai bahagia yang dibina ini akan berkekalan sehingga akhir hayat,” tambahnya. Malah beliau yakin apabila matlamat hidup berkeluarga serta tujuan kehidupan adalah seiringan, pastinya cabaran hidup berkeluarga dapat dilalui dengan tenang dan aman. Ia umpama kenderaan yang dinaiki menuju haluan yang sama iaitu mencari keredaan Allah dan itulah yang menjadi prioriti kami sebagai hamba Allah. “Hakikatnya, persefahaman, tolak-ansur, kerjasama, hormat-menghormati dan saling berusaha ke arah kebaikan akan pasti dipermudahkan Allah dalam menuju matlamat kehidupan Muslim sejati,” ujar pasangan bahagia ini silih berganti memberikan pandangan. Nur ‘Aliah Nadhirah pada petang itu juga tidak keberatan berkongsi kisah pengislamannya iaitu pada Disember 1993. Menurut beliau, agama Islam telah lama bertapak di dalam hatinya tetapi ia menjadi semakin serius sewaktu berusia 19 tahun. Malah dua tahun sebelum memeluk Islam, dia sudah tidak lagi menjamah makanan yang diharamkan kepada umat Islam. Semua ini dilakukan secara rahsia begitu juga dengan mengikuti kelas-kelas agama Islam sejak beberapa bulan sebelum mengucap dua kalimah syahadah. Pada usia mencecah 20 tahun, dengan hanya restu daripada ibu, Nur ‘Aliah Nadhirah yang juga anak sulung daripada dua adik-beradik tekad ke pejabat Perkim dan melakukan pengislaman. Perasaan tenang yang dialami selepas syahadah itu, sukar digambarkan dengan perkataan dan hanya Allah lebih mengetahui. “Bayangkan betapa kecewanya hati bapa saya apabila mengetahui anak perempuan tunggalnya memeluk Islam. Ini kerana ibu memberitahu ayah tentang pengislaman saya. Hubungan kami yang selama ini tidak begitu mesra kekal begitu sahaja. “Kami bukannya bermusuhan tetapi saya dengan ayah akan berkomunikasi pada apa yang perlu sahaja kerana biasanya emaklah yang menjadi perantaranya. Pun begitu, ayah dapat menerima pengislaman saya kira-kira setahun dua selepas itu. “Pun begitu, peluang menjaga ayah selepas diserang sakit jantung tahun lalu umpama rahmat bagi saya kerana saya sempat melafazkan kalimah syahadah di telinganya dan saya dapati wajahnya berseri-seri. Malah ini sendiri diakui oleh ibu sewaktu melihat wajah ayah buat kali terakhir,” cerita Pembantu Tadbir di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur ini. Di samping itu, Nur ‘Aliah Nadhirah juga sebelum mendalami Islam pernah belajar mendekati agama Kristian menerusi kitab Injil Indonesia. Katanya, setiap kali dia cuba membacanya, banyak persoalan yang timbul. “Alhamdulillah selepas mendalami Islam, banyak pengajaran yang bersesuaian dengan fitrah manusia. Apa yang dilarang dan disuruh boleh dibuktikan secara logikal dan saintifik malah ia diterangkan dengan al-Quran dan sunah. “Hakikatnya, pasti ada sebab mengapa manusia dan isi alam ini diwujudkan. Ia tidak jadi dengan sendirinya dan semua persoalan ini ada jawapannya di dalam Islam,” kata Nur ‘Aliah Nadhirah yang kini berada pada peringkat awal kehamilan. |