Harakahdaily, 23disember 2006
Maslan Yusoh Sat | Dec 23, 06 | 07:02:13 AM Penuh sesak, itu adalah gambaran awal dapat dijelaskan pada Himpunan 15,000 Pemuda PAS dari seluruh negara yang diadakan di Padang Perdana di sini, hari ini. Biar pun dalam suasana musim tengkujuh dan banjir melanda negeri-negeri di sebelah selatan semenanjung dan Pantai Timur, namun pemuda PAS dari seluruh tetap datang ke Kota Bharu bagi menghadiri perhimpunan yang dirancang sejak Jun lalu. Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan kawasan sekitarnya penuh sesak dibanjir pemuda berpakaian baju t-shirt putih yang bertulis H15K Himpunan Pemuda PAS Pusat 2006. Perasmian perhimpunan itu diadakan di dewan tersebut memandangkan keadaan padang masih berair disebabkan hujan sebelumnya. Bagaimanapun selepas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub merasmikan himpunan itu, program kemudian dipindahkan ke Padang Perdana disebabkan dewan tidak mampu menampung jumlah kehadiran. Kawasan sekitar Hotel Perdana, Dewan Perhimpunan Perempuan, Jalan Bayam dan perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV penuh sesak dengan kenderaan peserta sehingga sebahagian Jalan Mahmood terpaksa ditutup kepada lalu lintas. Bas juga banyak kelihatan diletakkan di kawasan tersebut. Salahuddin ketika ditemui pemberita selepas perasmian menjelaskan sasaran bagi mencapai angka 15,000 pemuda menjadi kenyataan biar pun banyak negeri berdepan dengan banjir. “Saya bersyukur kerana program yang dirancang dapat diadakan dengan jaya biar pun ada halangan di kalangan rakan-rakan kita di selatan tanah air. “Ini menandakan pemuda PAS mulai bangkit kembali untuk meneruskan perjuangan terutamanya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12 yang kemungkinan besar akan diadakan akhir tahun depan,” katanya. Menurut beliau juga, perhimpunan tersebut dapat menggambarkan kekuatan sebenar sayap kanan parti bagi meneruskan perjuangan menegakkan Islam. Kata beliau, Kelantan dipilih sebagai menggambarkan pemuda akan mempertahankan kepemimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan PAS yang memerintah Kelantan sampai bila-bila. Selain itu, mesej Pemuda mahu merampas semula Terengganu dan melebarkan pengaruh PAS di seluruh negara. Katanya, perhimpunan tersebut menjadi pemangkin kepada gerak kerja pemuda dan bersedia berhadap dengan musuh politik termasuk Pemuda, Puteri dan Putera Umno. Ketika berucap sebelum itu beliau berkata, perhimpunan tersebut diadakan di Kota Bharu bukan bermakna mereka tidak prihatin dengan mangsa-mangsa banjir di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, sebaliknya melaksanakan apa yang sudah lama dirancang. Oleh itu Pemuda bercadang menubuh skuad khas bagi membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara pada masa akan datang. “Kita akan bergerak membantu mangsa-mangsa yang terperangkap dan membersihkan rumah-rumah mereka selepas banjir surut,” ujarnya. Pemuda juga akan menubuh pusat human resource bagi menyalurkan maklumat semasa mengenai kegiatan pemuda. Salahuddin juga memberitahu Pejabat Pemuda PAS Pusat akan berpindah ke Chow Kit Road bagi mengubah lanskap kawasan tersebut yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai kegiatan manusia. “Kawasan ini sekarang dikenali sebagai pusat perniagaan, pelancongan dan kegiatan kurang bermoral. Dengan berpindah pejabat ke lokasi itu kita akan berusaha merubah lanskap yang tidak sihat kepada lebih baik,” ujarnya. Pada program itu beliau juga melancarkan sistem SMS Komuniti UKJ (SMSUKJ) bagi membolehkan Sektretariat Dewan Pemuda PAS Pusat menghantar maklumat dan berita semasa dengan cepat serta efektif. Anggota Pemuda dikehendaki mendaftar dengan menaip ‘on SMSUKJ’ dan hantar kepada 32244. Setiap SMS yang dihantar dicaj 50 sen kepada bil telefon penerima. Pada program itu, Pemuda Kawasan Bachok, Kelantan menerima cek bernilai RM1,000 kerana berjaya mendaftar lebih 91 cawangan sehingga 21 Disember lalu. Manakala kategori kawasan yang mempunyai 61 hingga 90 cawangan pula dimenangi Pemuda Kawasan Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa. Labels: Isu Semasa |