Harakahdaily, 21 Disember 2006
Wan Nordin Wan Yaacob Thu | Dec 21, 06 | 08:20:33 AM KUALA LUMPUR, 21 Dis (Hrkh) - Seluruh jentera PAS terutamanya di negeri-negeri yang dilanda banjir, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang serta kawasan sekitarnya dikehendaki membantu mangsa-mangsa banjir termasuk dalam kerja-kerja menyelamat mangsa-mangsa yang masih terperangkap, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar. "PAS memandang berat kejadian banjir sekarang ini yang melanda Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selatan Pahang, untuk itu Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang telah mengarahkan seluruh jentera parti khusunya di negeri-negeri yang dilanda banjir dan dari kawasan berdekatan untuk memberi bantuan sepenuhnya untuk operasi membantu mangsa banjir,"katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily di pejabatnya di sini hari ini. Menurut beliau, Timbalan Presiden PAS, dilaporkan telah menggerakkan semua operasi bantuan banjir dan Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli kini sedang berada di Johor bagi meninjau keadaan dan membantu mangsa di negeri tersebut. Kata beliau lagi, bagi tujuan itu pasukan Unit Amal Malaysia juga telah digerakkan dan akan berkhidmat sepenuhnya dalam operasi bantuan kepada mangsa banjir. Bagi tujuan itu juga PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir melalui Tabung Kebajikan PAS Pusat (no akaun Maybank : 564070705537) atau menghubungi Dr Hatta Ramli di talian (019-3398659). Setakat ini katanya pihak Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) telah menyerahkan bantuan wang ringgit kepada mangsa banjir melalui PAS Johor dan Melaka. Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengarahkan seluruh jentera kabinet dan pegawai tinggi kerajaan membatalkan rancangan cuti dan lawatan samada di dalam atau luar negara (yang tidak penting) bagi menumpukan pada usaha membantu mangsa banjir. Sementara itu Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dalam satu kenyataannya berkata, PAS Kelantan telah menyumbang RM10,000 kepada PAS Negeri Johor untuk diagihkan kepada mangsa banjir. Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, pihaknya telah menghantar 1000 kampit beras yang dijangka akan sampai ke Johor esok. "Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, tetapi ia menggambarkan tanda ingatan dan simpati rakyat Kelantan kepada mereka yang dilanda musibah," kata Husam lagi. Labels: Isu Semasa |