Harakahdaily, 10 Disember 2006
Abu Bakar Rahman Sun | Dec 10, 06 | 12:43:12 AM KUALA LUMPUR, 10 Dis (Hrkh) - Siapa jua yang akan muncul sebagai pemilik muktamad (ultimate owner) syarikat baru pengabungan Kumpulan Utusan Melayu dan New Straits Times Press (NSTP) akan menjadi maharaja (emperor) dunia media massa Malaysia, kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Dato' A Kadir Jasin. "Kuasa politik dan korporatnya “menakutkan,” kata beliau Bagaimanapun, oleh kerana dari sudut kepenggunaan akhbar dan majalah tidak disenaraikan sebagai barangan perlu, beliau menjangkakan pembeli dan pembaca yang kini membeli dan membaca Utusan Malaysia dan Berita Harian mungkin menggugurkan salah satu daripada akhbar itu kerana kedua-duanya diterbitkan oleh pemilik yang sama. "Begitu juga dengan yang kini membeli Harian Metro dan Kosmo". Dari sudut kepenggunaan, katanya, antara sekotak rokok dengan senaskhah akhbar, pengguna memilih rokok daripada akhbar. "Setiap kali harga rokok naik kerana kenaikan cukai, penjualan akhbar, khasnya akhbar Melayu, jatuh kerana pengguna mengutamakan menghisap rokok daripada membaca akhbar. Lagipun orang jarang berkongsi rokok tetapi mereka berkongsi akhbar," kata Kadir dalam blognya. Lantaran itulah, katanya lagi, walaupun pembelian dan pembacaan bertindih ini tidak besar, namun dalam suasana sekarang kedua-dua buah syarikat itu memerlukan setiap sen pendapatan yang boleh mereka peroleh. Menurut beliau, penjualan dan pembacaan akhbar semakin menurun, khasnya akhbar-akhbar Melayu, akibat persaingan daripada televisyen dan radio dan keadaan ekonomi pengguna yang tidak merangsangkan. Perkara tersebut, katanya, lebih mencabar dan sukar diatasi. Bagaimanapun, pada pandangan Kadir, yang lebih mengancam ialah pembaca mungkin menolak akhbar-akhbar terbitan syarikat yang digabungkan itu dan berpindah kepada akhbar-akhbar bebas atau kepada laman berita Internet dan blog. "Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan kerana yang akan membuat penilaian kritikal ke atas implikasi penggabungan ini adalah mereka yang membaca lebih daripada sebuah akhbar dan mempunyai akses kepada media baru seperti laman berita Internet dan blog," katanya. Beliau menjangkakan "penggabungan mega ini mungkin berlaku dalam masa terdekat, Majlis Tertinggi Umno boleh “dipujuk” untuk mengubah fikiran atau bantahannya dipatahkan". |