Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah.
"Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam":
Blogger
28 Ogos 2005
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49
Tarikh Pewartaan :
15 Feb 1996
Borak
Ucapan dasar Presiden: Selamatkan demokrasi, tegakkan keadilan (1)
Pertamanya saya mengalu-ngalukan semua para hadirin dan hadirat dengan ucapan Selamat Datang – Ahlan Washlan wa Marhaban Bikum dan ribuan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada semua para perwakilan. Kita bermu'tamar kali ini dalam situasi gawat yang dialami dunia antarabangsa dalam bentuk pencemaran dan pemanasan global yang mengancam seluruh penghuni dunia dan konflik ketenteraan yang menekan negara-bangsa khususnya dalam Alam Islami. Gerakan Islam seperti PAS terus berdepan pelbagai cabaran mehnah dan fitnah yang bertubi-tubi oleh musuh yang hasad dan cemburu terhadap kebangkitan semula Islam serta terbongkarnya kebatilan mereka .
PAS terus memilih ‘Muwajahah Silmiyyah’ (Persaingan Aman) melalui amalan demokrasi, menjadi cara bagi mencapai cita-cita menegakkan keadilan mutlak untuk seluruh rakyat. PAS juga berusaha gigih mentakrifkan penyelesaian Islam terhadap situasi kemungkaran dan penyelewengan yang mengepung serta menekan rakyat dan ancaman kelahiran gejala negatif, hasil kecelaruan politik yang membuahkan rasuah, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa serta wujudnya undang-undang yang melindungi perkosaan kuasa.
Pengendalian ekonomi ala-Qarun yang membejat kemungkaran kerana muamalat tanpa batas sempadan akhlaq dan moral yang kukuh dengan cara membolot kekayaan berkisar di kalangan golongan tertentu sahaja. Pembangunan manusia yang diwarwarkan dengan slogan ‘modal insan’ pula masih menggunakan acuan dan model falsafah pendidikan penjajah dalam bentuk baru, masih gagal membina insan graduan berilmu serta berakhlak luhur. Sebaliknya melahirkan peserta pusat serenti berlipat ganda secara percuma dan seolah-olah bersaing dengan pelajar yang berjaya di institusi pengajian. Pelajar yang lulus dari pengajian tinggi ini pula akan di bebankan keatas mereka atau keluarga mereka dengan hutang-hutang PTPTN yang berunsurkan riba.
Mereka juga dikongkong undang-undang dan peraturan yang menyekat pertumbuhan minda. Kegagalan menangani jenayah menyumbang kepada pertambahan jumlah banduan di penjara. Institusi keluarga pula menjadi rapuh oleh sistem pendidikan yang lemah dan tarbiyah media yang masuk ke dalam isi rumah tanpa batas dan kawalan yang betul. Nasib rakyat di semua peringkat, para pegawai, pekerja, petani, nelayan, peneroka bandar bahkan seluruh rakyat dibelenggu oleh berhala Madiyyah (Kebendaan) dan kelemahan sistem ekonomi yang sarat dengan amalan kronisme, nepotisme, penipuan, riba dan rasuah, tanpa memikirkan dosa dan pahala serta memberi keadilan untuk semua. Kini wujud pula unsur-unsur Kapitalisme Neo-Liberal, jelmaan baru dalam bentuk Perjanjian Perdagangan Bebas kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau US-FTA yang memeras-ugut serta menakluki semula negara-negara dunia ketiga dan membangun. Segala aspek kehidupan dipengaruhi permainan politik yang mahu mengekalkan kuasa secara mutlak dengan menodai adab-adab dan lunas-lunas demokrasi berkhadamkan nafsu yang ingin berkuasa selama-lamanya. Badan Kehakiman, Badan Pencegah Rasuah, Suruhanjaya Pilihanraya dan seluruh pemantau keadilan ditutup ketelusannya oleh kuasa politik yang mempertahankan kedudukan tanpa batas. Rakyat pula kebingungan diperbodohkan oleh kemiskinan ilmu yang bermanfa'at dan tanpa maklumat yang telus dan adil. Allah SWT memberi contoh paling munasabah, di zaman Fir'aun yang hebat Tamaddun Madiyyahnya, tetapi membawa kecelakaan kepada negara dan penderitaan kepada rakyat .
51. Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini, akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (arahan) ku? tidakkah kamu melihatnya?
52. "Bahkan, bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini (Nabi Musa A.S,), dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?
53. "(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin berkuasa dan kaya raya), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi mengenai kebenarannya)?"
54. (dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka.
55. Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).
56. Maka Kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian.
• Berpaksikan penegasan yang didedahkan oleh ayat Allah SWT ini (فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ)
mengenai sifat kuku-besi sebuah kerajaan yang memeras-ugut rakyat serta membodohkan mereka. • Berlatarbelakangkan segala krisis yang hampir sempurna di negara kini, maka tema yang wajar diangkat dalam Muktamar ke-53 dan di ambang Pilihanraya ke-12 ini ialah ‘Selamatkan Demokrasi, Tegakkan Keadilan’.
PAS MEMILIH PENDEKATAN DEMOKRASI
PAS adalah Parti Islam yang memilih pendekatan Demokrasi. Walaupun demokrasi itu ciptaan manusia, tetapi kelahirannya adalah fitrah menentang kezaliman sejak dulu kala, ia juga adalah kebijaksanaan yang wajib dipungut oleh umat Islam dengan reformasi mengislahkan Demokrasi itu berpandukan Islam, kerana sabda Rasulullah S.A.W. : الحكمة ضالة المؤمن حيثما وجدها وهو أحق بها (رواه الترمذي و ابن ماجه
(Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir yang mesti dipungut oleh seorang yang beriman di mana sahaja dia mendapatinya, maka dia yang lebih berhak memililkinya).
Petunjuk Allah dalam Kitab dan Sunnah Rasulnya (SAW) tetap menjadi panduan yang meletakkan sempadan kebebasan kebijaksanaan akal manusia yang tidak dikongkong peranannya untuk berijtihad dalam perkara yang diizinkan. Di sinilah perbezaan Islam dengan ideologi ciptaan manusia .
Semua negara yang mengamalkan ideologi ciptaan manusia kembali kepada demokrasi, sama ada negara Blok Barat mahu pun bekas negara komunis juga berubah kepada demokrasi dan melakukan perubahan dan pembaharuan yang mengatasi kelemahannya untuk mempertahankan hak rakyat apabila terdedah serta terbongkar perkara negatif. Perubahan berlaku dengan kesedaran pemimpin yang insaf, atau kebangkitan rakyat sendiri yang diasuh oleh sistem pendidikan yang baik atau kebebasan media yang membuka minda .
DEMOKRASI TERUS DICABULI DAN DIBULI
Hadirin dan Hadirat yang dihormati .
Senario politik negara kita mundur ke kebelakang menghakis demokrasi, bukan sahaja oleh cara pilihanraya yang tidak adil, secara penipuan dan pencabulan yang sangat canggih dan seni, dicengkam pula dengan undang-undang yang nyata mencabuli kebebasan rakyat dan menyelamatkan kezaliman, saperti ISA, OSA, Akta Polis, AUKU terhadap pelajar dan pensyarah. Akta yang mencengkam media, menakutkan semua lapisan rakyat, seperti memaksa pegawai kerajaan berikrar dengan ‘Akujanji’ supaya ta’at secara mutlak seperti menta'ati Allah bahkan mengatasi perintah Allah .
Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekelian,
PAS tetap tidak lupa tindakan kerajaan BN yang tidak Demokratik terhadap kemenangan PAS di Kelantan, di Terengganu dan layanan tidak adil terhadap wakil wakil rakyatnya yang menang dengan perjuangan gigih walaupun terpaksa mengatasi penyelewengan Demokrasi, namun tidak dihormati kemenangannya dengan berbagai cara yang zalim, saperti perisytiharan darurat secara lakunan di Kelantan tahun 1978 semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan negeri di masa itu juga menjatuhkan kerjaan Terengganu 1961 secara kotor. Kerajaan Pusat BN juga tidak menghormati kemenangan PAS di Kelantan kali kedua bermula tahun 1990 dengan menafikan beberapa hak kerajaan negeri dan memulaukannya dalam banyak perkara . Kemenangan PAS 1999 di Terengganu pula tidak dihormati dengan merompak royalti petroleum serta mengekang kelancaran pentadbiran kerajaan negeri dengan pelbagai cara birokrasi Kerajaan Pusat.
PILIHAN RAYA SARAT DENGAN PENIPUAN DAN PENYELEWENGAN
Perjalanan PRU 11 tahun 2004 adalah secara lebih kotor daripada sebelumnya, menafikan hak wakil rakyat pembangkang yang menang di kawasan masing-masing secara kasar dan halus. Seterusnya BN menang besar dalam pilihanraya itu dengan dirancang secara tidak bermoral, bermula dengan persempadanan semula sehingga kedudukan Daftar Pemilih yang sangat dipertikaikan kebersihannya. Rakyat menyaksikan peratusan keluar mengundi hampir memecah rekod dunia. Ini didakwa pelbagai pihak sebagai barang pasti melibatkan kementerian dan jabatan tertentu termasuk SPR, Jabatan Pendaftaran Negara dan lain-lain, yang kini diketahui oleh umum dan Allah Maha Mengetahui. Contohnya, kajian mendapati bahawa wujud 128,000 pengundi di Selangor tidak mempunyai saluran mengundi, yang antara lainya telah menkucar-kacir suasana pada hari mengundi sehingga berlaku penambahan masa.
Kerajaan BN ini terus melakukan pelbagai cara penipuan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta melanggari Akta Kesalahan Pilihanraya dan Penjalanan Pilihanraya dalam semua Pilihananraya Kecil bermula di Pengkalan Pasir, Batu Talam, Machap dan paling mutakhir pula memasukkan budaya samseng dalam pilihanraya kecil Ijuk. Jelas mereka tidak segan silu untuk mencabuli perlembagaan, keluhuran undang-undang serta prinsip dan konsep demokrasi tulin dan menjadikan pilihanraya di Malaysia satu lawak jenaka dan silap mata.
PAS telah berjaya mendidik ahlinya supaya cekal menghadapi ketewasan pilihanraya dengan cara yang tidak adil ini, dan bersabar lagi untuk menunggu pilihanraya sehingga beberapa tahun dan generasi, tetapi ingatlah, bahawa Islam dan maruah manusia secara naluri, mengharamkan kita terus dihina dengan zalim seperti ini.
Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekelian,
PAS yang berpegang teguh kepada ajaran Islam tetap istiqamah memilih ‘Muwajahah Silmiyyah’ dengan akhlak yang diajar oleh Islam, dalam masa yang sama Islam mengajar kita menjadi umat yang bermaruah dan maruah adalah tinggi nilainya. Wajib menentang kezaliman, dan penyelewengan. Sabar memilih perdamaian ada batasnya, tetapi kita haram dihina dan menyerah kalah kepada mereka yang tidak menghormati cara yang benar dan adil.
SELAMATKAN DEMOKRASI
Salah satu dari 7 gabungan penentangan terhadap kebobrokan pentadbiran kerajaan Umno/BN dewasa ini ialah Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih atau singkatannya BERSIH. Gabungan ini menuntut agar kerajaan dan SPR khususnya menunaikan 3 reformasi penting yang wajib dilakukan sebelum PRU ke-12 ini. Tiga perkara tersebut ialah:
i. Pembersihan ‘Daftar Pemilih’
ii. Penggunaan cap jari dengan dakwat kekal dan
iii. Penghapusan Undi Pos.
Ini adalah reformasi yang di anggap penting dalam jangka waktu terdekat ini, sementara pemulihan demokrasi terhadap sistem "Perwakilan Berkadar" atau (PR) bagi menggantikan sistem usang ‘Pertama Melepasi Tiang’ dan ketelusan serta capaian media yang lebih adil dan perlaksanaan ‘Kerajaan Sementara’ atau ‘Caretaker Government’ yang ada disentuh sedikit dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan kemudahan awam akan terus diperjuangakan dalam fasa kedua.
Hadirin dan Hadirat yang dihormati .
Mangsa kezaliman penyalahgunaan Demokrasi bukan sahaja PAS, bahkan semua parti-parti pembangkang dan selepas itu seluruh rakyat pula menjadi mangsa tekanan hidup oleh penyelewengan pentadbiran yang dikongkong kepentingan politik BN, ekonomi yang melahirkan Qarun–Qarun yang bersekongkol bersama pemimpin-pemimpin yang dipelihara dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
39. Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. dan Demi Sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) Yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah).
Demikianlah Allah membawa contoh gabungan kalangan politik, pentadbir dan pemegang kuasa ekonomi yang melakukan fasad di-bumi Allah .
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekelian,
PAS wajib memimpin rakyat untuk mempertahankan demokrasi dengan mempertahankan maruah harga diri manusia, tangan-tangan pencuri kuasa melalui jenama demokrasi hendaklah dihukum dengan adil. Islam meletakkan perjuangan menentang kerajaan yang zalim adalah Jihad Afdal. Kita jangan hanya menjadi penonton terhadap perjuangan rakyat secara fitrah bencikan kezaliman dan penyelewengan, dengan demokrasi dibaikpulih di-Filipina, Indonesia, Thailand, Nepal, Ukraine dan lain-lain. Adakah kita buta akal untuk memahami nasib kita sendiri di negara tercinta ini? Apalagi kepada ahli-ahli PAS yang percaya kepada wawasan hari akhirat yang kekal abadi. Pilih diantara hidup mulia, mati pun mulia atau hidup dengan kehinaan dan matinya lebih hina. Mari Selamatkan Demokrasi serta berjuang Menegakkan Keadilan bagi menjaga martabat insan yang merdeka, agar kita juga mampu menawarkan manusia bagi memakmurkan bumi ini dengan peraturan hidup Islam dan nilai-nilai sejagat. Haram menyerah kalah kepada kezaliman dan penipuan!
EKONOMI TEMPANG PENUH KEBEJATAN RASUAH
Bermula dengan pelbagai janji manis sebelum memasukki PRU ke-11 yang lalu untuk membenteras rasuah dan membela kesejahteraan rakyat awam, Perdana Menteri yang baru diangkat itu lalu membuat penangkapan se awal bulan Februari 2004, ke atas seorang tokoh korporat dan seorang menteri pusat atas tuduhan rasuah berjuta ringgit. Beliau juga melancarkan Pelan Integriti Nasional serta menubuhkan sebuah Institusi Integriti Nasional se awal bulan April, 2004.
Malangnya ternyata hanya sekadar itu sahaja yang mampu beliau lakukan kerana lepas daripada itu beliau terlepas pandang atau mungkin juga tertidur dan hanya dikejutkan oleh Program Debat Perdana beberapa bulan yang lalu dalam awal tahun 2007, lalu terkial-kial semula untuk memberi fokas yang lebih serius tentang rasuah dan persoalan integriti dalam urusan korporat dan ekonomi negara.
Apa yang sangat mengaibkan bahawa beliau yang mashyur dengan penampilan Islam Hadharinya yang dijaja hampir di seluruh dunia, ialah pendedahan berterusan kebejatan rasuah yang semakin hari semakin parah dalam pentadbiran kerajaannya yang mengakibatkan pelbagai jenis ‘kebocoran’ dan ‘ketirisan’ yang mirip pemerintahan orde lama. Paling terkini ialah kebocoran di Parlimen yang baru sahaja dibaikki dengan harga berjumlah RM 90 juta. Terdahulu kebocoran di bangunan Jabatan Imigresen di Putrajaya dan Mahkamah kedua terbesar di dunia di Jalan Duta yang baru siap dengan kos pembinaan sebanyak RM 200 juta.
Ketika beliau bercakap tentang pembangunan modal insan dan usaha membenteras rasuah, PM ini dimalukan oleh pendedahan yang tidak putus-putus tentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Timbalannya dalam Kementerian Kesalamatan Dalam Negeri dan bekas orang nombor satu Badan Pencegah Rasuah. Turut mengaibkan beliau dalah dakwaan ke atas kedua-dua ketua negeri Sabah dan Sarawak membabitkan jutaan ringgit.
Dakwaan tentang komisyen pembelian kapal selam Scorpene dengan pembayaran RM 530 juta kepada sebuah syarikat yang bernama Perimekar Sdn Bhd yang juga melibatkan Kementerian Pertahanan terus mengahntui beliau dan kerajaan. Syarikat yang dimilikki penganalisis terkenal yang hari ini sedang dihadapkan ke mahkamah atas pembunuhan seorang warga Mongolia kembali menjadi sebutan umum. Kesemua ini adalah tandatanya yang perlu dijawab oleh kerajaan Islam Hadhari ini. Inilah yang ditakuti oleh pihak awam sebagai gejala yang menandakan negara diperintah oleh penyamun berpakaian kopiah dan tarbus, perompak negara yang menunjukkan lebainya dengan jenama Islam Hadari, laksana berserban tetapi berseluar pendek.
Inilah sebabnya mereka sanggup merasuah sesama sendiri dengan jutaan ringgit kerana menganggap mendapatkan kedudukan sebagai pelaburan. Mereka terpaksa tangguh pemilihan kali ini kerana takut ramai lagi yang tersingkir kerana rasuah tambahan di ambang PRU ke-12.
PEMBANGUNAN JANGAN PINGGIRKAN RAKYAT
Dalam pada itu tenggelam agenda pembangunan dan RMK 9, memberi laluan kepada projek-projek ‘mee-segera’ di Batu Talam, Machap dan mutakhir di Ijok kerana semua menteri dan kementerian mereka sibuk untuk memenangi hati pengundi yang terbiar selama kini. Kita suka mendengar projek-projek besar tentang Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) atau cakap-cakap tentang menghidupkan kembali MSC dan Bioteknologi serta Halal-Hub. Namun suka kita mengingatkan kerajaan, takut-takut ia menjadi seumpama gajah putih seperti dahulu dengan perbelanjaan besar terkorban sebagai projek pembinaan hartanah semata-mata, menguntungkan kroni-kroni orde baru yang menggantikan kroni orde lama.
Lebih kita khuatiri seperti yang diwawarkan juga oleh sesetengah pihak yang cemas dengan penaklukan WPI oleh pihak yang berkepentingan geo-politik, yang tidak semata-mata bisnes atau perniagaan. Juga jangan sampai kekayaan ini menjauhkan lagi jurang perbezaan kekayaan kerana Islam menekan persoalan keadilan agihan kekayaan negara sebagai satu prinsip penting dalam Ekonomi Islam.
Seperti kita tak sanggup terus disiksa dan dizalimi dengan sistem demokrasi dan pilihanraya yang tempang, PAS juga cemas dan rimas dengan penjualan aset strategik negara serta bagaimana dana awam dan rakyat terkorban dan dikorban dengan cara-cara yang curang seperti ini. Kita telah bangkitkan perkara-perkara ini dahulu seperti pergabungan ECM-Libra dengan Avenue Capital yang berlawanan dengan prinsip pengurusan korporat yang baik (good goverance) umpama kedai Pak Mat mengambil alih Konglomerat Besar yang memberikan kesan negatif kepada persepsi pasaran pelaburan.
Kita juga mahukan kegiatan ’bailout’ besar-besaran seperti yang didedahkan oleh pihak Audit Negara baru baru ini yang menelan RM 11 bilion tidak menjadi amalan biasa untuk menyelamatkan kroni tertentu tetapi dibuat dengan segala pertanggungjawaban kepada rakyat dan negara, sementara rakyat didera kerana kononya kerajaan tidak punya dana. Janganlah diulangi kesilapan, dosa dan jenayah lama ini berulang kali.
NEGARA BERKEBAJIKAN
Hadirin dan Hadirat yang di kasihi !
Khazanah negara kurniaan Allah ini, seolah-olah bukan lagi amanah yang wajib ditunaikan, tetapi untuk menjadi umpan memancing rakyat, hanya sedikit kuah melilih untuk rakyat bawahan. Amat ketara mutakhir ini fenomena melakukan ‘pembangunan mee-segera’ yang dipacu sekiranya wujud pilihanraya umum dan pilihanraya kecil atau menunggu musim pilihanraya hampir setiap lima tahun atau menunggu pilihanraya kecil apabila matinya wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Kenaikan bertalu-talu harga barang–barang keperluan menjadi perkara biasa sehingga membebalkan dan membebankan rakyat, bayaran tol yang meningkat menandakan lebuh raya bertukar daripada kemudahan awam menjadi peluang untuk diambil kesempatan. Kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa serta keuntungannya, sepatutnya menjadi peluang membantu rakyat daripada keuntungannya seperti yang dilakukan oleh negara pengeluar minyak. Malangnya di negara ini, ia bertukar menjadi bala bencana berantai yang menghukum rakyat kerana memilih kerajaan secara pilihanraya penipuan dan pencabulan. Kemiskinan tidak diatasi secara perencanaan untuk mengurangkan bebanan, sebaliknya menjadi peluang kepada politik rasuah .
Kerajaan yang lahir secara rasuah adalah mustahil dapat mengatasi masalah rasuah dan membina negara berkebajikan. Apabila menghadapi masalah ekonomi, caranya ialah menaikkan cukai atau menaikkan harga barangan, atau memboroskan khazanah negara untuk memberi peluang kepada pemimpin dan kroninya atau menambah hutang Negara atau memaksa rakyat menanggung bayaran dalam perkara keperluan hidup seperti kesihatan dan pendidikkan. Semuanya adalah dalil-dalil bahawa kerajaan BN tidak mampu mengendali dan mengurus sumber negara dengan baik .
Adapun rakyat, saperti Pekerja Awam, Tentera, Polis dan lain-lain menjadi mangsa umpan pilihanraya dengan kenaikan gaji, dan bayaran-bayaran yang tidak seimbang dengan perbelanjaan harian yang ditekan oleh kenaikan harga barangan, tol, tarif elektrik dan air serta kos kehidupan seharian. Walaupun kenaikan gaji terbaru dianggap satu keputusan baik yang sepatutnya telah dilaksanakan lebih awal terdahulu dari kenaikan bahan bakar sedikit waktu lalu, kadar inflasi hari ini tidak mengizinkan kenaikan gaji ini dikecapi oleh mereka kerana ditelan kenaikan kos saraan hidup. Persoalan lebih penting dipandang PAS ialah bagaimana dengan pihak yang tidak mendapat kenaikan gaji seperti kaum petani, nelayan dan kaum buruh yang lain yang juga tertekan dengan kenaikan kos kehidupan?
KELANTAN MENUNAIKAN TUNTUTAN NEGARA BERKEBAJIKAN
PAS dan rakan BA berjanji akan menunaikan amanah untuk menghapuskan segala kemungkaran yang mencengkam kehidupan rakyat sebaik sahaja diberi amanah dengan menumbangkan pengkhianat negara dan rakyat itu, janji kita bukannya untuk musim pilihanraya sahaja, tetapi melaksanakan hukum wajib memerangi dan bertindak tegas dan adil dalam menangani segala penyelewengan tersebut.
Sebahagian daripada kewajipan itu telah ditunaikan oleh kerajaan negeri yang kita kuasai di Kelantan dan dalam masa empat tahun pemeritahan kita di Terengganu, mengikut bidang kuasa kerajaan negeri yang terhad. PAS bukan sahaja telah berjaya memimpin kerajaan negeri yang bersih daripada penyelewengan di Kelantan dan pernah di Terengganu, bahkan berjaya mentadbir negeri tersebut dalam kepungan kezaliman yang bercanggah dengan perlembagaan negara, undang-undang dan prinsip demokrasi .
Dalam batas-batas kemampuan, kerajaan yang diterajui PAS di negeri Kelantan telah melaksanakan tuntutan untuk menzahirkan bagaimana sebuah kerajaan berkebajikan mampu membantu rakyatnya khasnya mereka yang terpinggir dari arus perdana pembangunan. Program bantuan kepada golongan ibu tunggal – Armalah, program insuran Al-Kifalah untuk warga emas, program rumah untuk kaum miskin - Rumah Dhuafaat dan penekanan aspek pendidikan sebagai kaedah yang paling berkesan untuk mengeluarkan sesebuah keluarga dari perangkap kemiskinan terus diberi keutamaan.
PAS dan BA berjanji akan melaksanakan ketetapan gaji minima yang boleh menampung kehidupan rakyat oleh kementerian dan jabatan-jabatan serta agensi kerajaan dan terhadap pihak lain secara menasabah. Menetapkan elaun khas kepada tanggungan keluarga yang bertambah.
Tegasnya melaksanakan sistem Negara Berkebajikan yang memberi pendidikan, rawatan perubatan dan beberapa khidmat percuma oleh kerajaan kepada rakyat. Kini terbit satu lagi pakatan yang diberi nama "Gabungan Menentang Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK) bagi mendesak kerajaan supaya tidak menswastakan perkhidmatan kesihatan di negara ini, yang akan membawa kepada satu lagi penghapusan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat sekaligus memberi ruang kepada pihak swasta mendapat keuntungan bisnes dan konsesi kepada kroni. Bukan sahaja PAS/BA mahu tawarkan rakyat sebuah kerajaan yang memilikki kemampuan mengurus tadbir dengan baik dan berdaya saing, kita juga dalam waktu yang sama akan meneruskan penekanan pengawasan perkembangan kemajuan ekonomi rakyat serta menghapuskan amalan membazir dan rasuah dalam pengurusan segala projek yang dilaksanakan. Penghayatan integriti inilah yang telah hilang dan pupus dari kerajaan ini.