HAMZAH DAN UMAR MEMELUK ISLAM: PERISTIHARAN TERBUKA MENENTANG JAHILIYYAH RUJUKAN: FIQH AL-HARAKAH DARI SIRAH NABAWIYYAH, OLEH HAJI ABDUL HADI AWANG, 1988, DPF, JILID 1 Di saat Islam menerima tentangan dan penindasan dari masyarakat jahiliyyah Allah SWT telah memancarkan cahaya iman kepada dua orang pahlawan ulung yang dikenali di zaman jahiliyyah dan Islam iaitu Hamzah r.a. dan Umar al-Khatab r.a. Peristiwa ini penting dalam sejarah penyibaran dakwah Islamiyyah kerana kemasukan dua tokoh ini memberi kesan kepada pendekatan dakwah daripada bersembunyi kepada berterus terang dengan masyarakat jahiliyyah. Kemasukan dua pahlawan ini merupakan suatu peristiharan terbuka umat Islam menentang Jahiliyyah. Hamzah r.a. memeluk Islam Kebanyakan ulama’ mengatakan Hamzah r.a. memeluk Islam pada bulan Zulhijjah selepas 6 tahun Nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi Rasul. Hamzah r.a. yang tidak mengambil peduli tentang dakwah Islam ketika itu memeluk Islam kerana marah mendengar Abu Jahal telah memukul kepala Rasulullah s.a.w. dengan batu sehingga berdarah. Apabila hamba perempuan kepada Abdullah bin Jud’an memberitahu Hamzah r.a. yang baru pulang dari berburu, Hamzah r.a. yang terkenal dengan sifat garangnya terus menuju ke Darul-Nadwah untuk mencari Abu Jahal, sampai di sana tanpa mengucap salam beliau terus memukul kepala Abu Jahal dengan busur panah sehingga berdarah. Sesetengah ulama’ mengatakan bahawa Hamzah r.a. menceritakan “Aku bertindak demikian didorong rasa terlalu marah. Tiba-tiba datang keraguan dan seperti menyesal di atas tindakan itu kerana meninggalkan agama peninggalan nenek-moyangku. Kemudian aku berdoa disisi kaabah supaya Allah menghilangkan keraguan dan melapangkan perasaanku. Sebelum sempat aku menghabiskan doa, Allah telah menghilangkan semuanya”. Menurut riwayat yang lain Hamzah r.a. menemui Rasulullah s.a.w. dan menceritakan perasaan hatinya.Lalu dia berdoa supaya ditetapkan imannya. Umar al-Khattab memeluk Islam Abu Nu’aim meriwayatkan didalam kitab al-Dala’il, ibnu Asakir dan ibnu Abbas juga meriwayatkan yang sama bahawa Umar r.a memeluk Islam tiga hari selepas Islamnya Hamzah r.a. Ketika Umar r.a. keluar dengan pedang kerana mahu membunuh Rasulullah s.a.w., seorang lelaki dari bani Makhzum itu memberitahu bahawa adik dan ipar Umar r.a. juga telah memeluk Islam. Dengan marah Umar r.a. terus menuju ke rumah adiknya, kebetulan ada Khabbab bin al-Arat r.a. sedang membaca al-Quran untuk adik dan ipar Umar r.a. Apabila mendengar suara Umar r.a. Khabbab pun menyembunyikan dirinya. Fatimah al-Khatab pula menyembunyikan sahifah yang tertulis ayat-ayat al-Quran.Umar terus menerkam iparnya dan menampar sehingga jatuh, adiknya pula ditampar sehingga berdarah. Fatimah berkata “Yang benar bukan agama yang kamu anuti selama ini. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi Nabi Muhammad pesuruh Allah” Tiba-tiba Umar terasa sedih dan kesal atas tindakannya. Umar meminta adiknya menunjukan lembaran itu, tetapi adiknya tidak mahu katanya “Kau masih najis, surat ini tidak boleh disentuh melainkan orang-orang yang bersuci”. Umar pun segera mandi. Beliau kemudian membaca surah Toha dan hatinya tersentuh keindahan dan kebaikan ayat al-Quran. Umar pun berkata “ Aku masuk Islam. Tunjukkan kepadaku di mana Rasulullah”. Khabbab berkata “Aku harap engkaulah yang dimaksudkan dengan doa Rasulullah”. Doa Rasulullah “Ya Allah, ya Tuhanku, kuatkanlah Islam dengan salah seorang daripada dua Umar.” . Umar al-Khattab atau ‘Amru bin Hisyam. Umar pergi ke rumah di Bukit Safa kerana Rasulullah s.a.w berada di situ, Umar mengetuk pintu, salah seorang di dalam rumah mengintai Umar datang dengan membawa pedang. Hamzah bertanya siapa yang datang? Jawab mereka Umar. Hamzah r.a. menyuruh dibukakan pintu, jika Umar berniat baik dan dilayan dengan baik begitulah sebaliknya.Umar menemui Rasulullah s.a.w dan mengucap dua kalimah syahadah. Semua orang yang berada dirumah bertakbir dengan kuat sehingga terdengar ke Masjidil Haram. Allah hu Akhbar! Umar bertanya kepada Rasulullah “ Ya Rasulullah, tidakkah kita dipihak yang benar?”. Rasulullah s.a.w. menjmawab “Ya”. Umar berkata “ Kalau begitu mengapa kita harus bersembunyi lagi”. Lalu mereka keluar beramai-ramai menuju ke masjid dalam dua saf. Satu disertai Umar r.a. dan satu saf lagi Hamzah r.a. Menurut ibnu Ishaq, Umar menemui Abu Jahal setelah memeluk Islam bertujuan mengistiharkan keIslamannya. Abu Jahal marah mendengarnya. Islamnya dua tokoh ini telah memberi nafas yang kuat kepada perjuangan Islam. Peristiwa ini dinamakan berterus terang diperingkat kedua dalam perjuangan Islam di Makkah. Muhib bin San’an al-Rumi r.a. menyatakan Islamnya Umar, Islam menjadi terang-terangan. Seruan dakwah dilakukan secara terbuka. Peristiwa ini bukan sahaja menunjukan peningkatan iman kepada orang Islam malah tentangan dan cabaran juga semakin memuncak kepada umat Islam sehingga seterusnya berlaku peristiwa pemulauan. |
subhanaAllah