Login Weblog

Koleksi Artikel 1

Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.

Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Blogger 28 Ogos 2005

 

Menu
|Koleksi Artikel 1| |Koleksi Artikel 2| |Weblog OKU 2| |Weblog OKU 1| |e-Book|
Waktu Malaysia
Iklan





Waktu Solat
Alumni Maahad Hamidiah Kajang

Subscribe to Maahad Hamidiah
Powered by groups.yahoo.com

Fatwa Pengharaman Anti Hadith

Fatwa Pengharaman Anti-hadith

Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini: Ajaran Golongan Anti Hadith

ISI AJARAN

1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.

2. Menolak dua kalimah Syahadah.

3. Menolak Qada' dan Qadar

4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12 Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada wahyu.

5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam

6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.

TARIKH MUNCUL

1985

TEMPAT BERKEMBANG Seluruh Malaysia

TINDAKAN/HUKUMAN

Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:

1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996

2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46

3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78

4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3 (Sumber: )

Penutup

Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal 'iya zubillahi min zalik.

Fatwa Mufti Perak

Kategori : Akidah

Tajuk : Gerakan Anti-hadis

Isu : "A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –

(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;

(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;

(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;

(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa,

adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.

B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Fatwa :

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa "Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti berikut

C. OLEH YANG DEMIKIAN –

(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;

(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -

(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran- ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World";

(b) mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –

(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu,pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian."

Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49

Tarikh Pewartaan :

15 Feb 1996

Borak
Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

IDEA-IDEA ISLAM LIBERAL DAN IMPLIKASINYA KE ATAS UMAT ISLAM
Saturday, September 17, 2005

Oleh : Dr. Muhammad Nur Manuty
Pengarah CESMACS


IDEA-IDEA ISLAM LIBERAL DAN IMPLIKASINYA KE ATAS UMAT ISLAM

(Kertas ini dibentangkan di Wacana Bulanan Yayasan Pembangunan Ummah(YPU) yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Keilmuan dan Kepimpinan Kelantan (Y3K) pada 02 September 2005, bertempat di Hotel Shah Village Petaling Jaya)

1.0: Mukaddimah:

Idea-idea Islam liberal sebenarnya bukanlah merupakan satu gagagsan baru yang kini sedang berkembang luas dalam beberapa buah negara Islam. Faktor orientalisme dan aliran modernisme pada abad ke-19 dan 20 mempunyai pertalian yang rapat dengan aliran Islam liberal masa kini. Dalam kertas ringkas ini, kita akan meneliti idea-idea pokok Islam liberal dan sekaligus melihat latar belakang para ideolognya. Selanjutnya beberapa respon kritikan dari kalangan cendekiawan Muslim semasa akan dikemukakan. Akhir sekali wacana Islam liberal pada malam ini akan membahaskan implikasi-implikasi yang sedang dirasai oleh umat Islam akibat jangkitan virus pemikiran Islam liberal secara umum di dunia saat ini dan khususnya di rantau Asia Tenggara.

2.0: Idea-Idea Pokok Islam Liberal Dan Beberapa Figur Ideolognya:

2.1: Kritikan Terhadap Teks al-Qur'an:

Antara tokoh kontroversi pemikiran Islam liberal saat ini ialah Nasr Hamid Abu Zaid (NHAZ). Anak kelahiran Mesir yang kini sedang bertugas di Institut Pengajian Asia, Universiti Leiden, Belanda, telah dihukum murtad oleh Jawatankuasa Fatwa, Universiti al-Azhar, Mesir beberapa
tahun lalu kerana kritikannya kepada al-Qur'an dan lain-lain aspek terpenting dalam agama Islam. Dia telah menulis beberapa buah karya mengenai teks al-Qur'an seperti Mafhum al-Nas – Dirasah fi 'Ulum al-Qur'an (Kefahaman Mengenai Teks – Satu Kajian Mengenai al-Qur'an) dan Naqd al-Khitab al-Dini (Wacana Nalar Agama). Dalam kajiannnya terhadap al-Qur'an, NHAZ banyak menggunakan kaedah hermeneutic. Sebagai seorang harmeneut, maka tahap terpenting dalam melakukan kajian terhadap makna teks, adalah melakukan analisis terhadap corak teks itu sendiri. Hanya dengan penggunaan kaedah yang sedemikian, maka maklumat-maklumat tentang pengarang teks itu dapat diketahui. NHAZ yang jelas terpengaruh dengan teori hermenuetik Frederich Schliemarcher (1768–1834) telah mengaplikasikan teori tersebut dengan melontarkan satu teori bahawa "al-Qur'an yang telah diturunkan melalui malaikat Jibril (a.s) kepada seorang Muhammad yang manusiawi. Bahawa, Muhammad, sebagai penerima pertama, sekaligus penyampai teks adalah bagian dari realitas masyarakat. Membahas Muhammad sebagai penerima teks pertama, bererti membicarakan seorang manusia yang dalam dirinya terdapat harapan-harapan masyarakat yang terkait dengannya (Adian Husaini dan Henri Salahudin, 2004, ms. 34).

Tentang konsep wahyu dan Muhammad versi NHAZ dan yang sejenis dengannya, mereka memandang al-Qur'an – setidak-tidaknya sampai pada tingkat perkataan – bukanlah teks yang turun dari langit (surga) dalam bentuk kata-kata aktual – sebagaimana pernyataan klasik yang
masih dipegang pelbagai kalangan – tetap merupakan spirit wahyu yang disaring melalui Muhammad dan sekaligus diekspresikan dalam tapal batas intelek dan kemampuan linguistiknya. Jadi, takrif NHAZ yang sedemikian itu telah meletakkan Junjungan Muhammad (saas) semacam seorang "PENGARANG" al-Qur'an. Kata mereka lagi bahawa Muhammad sebagai seorang yang ummiy, bukanlah penerima pasif wahyu, tetapi juga mengolah redaksi al-Qur'an, sesuai kondisinya sebagai manusia biasa. Konsep yang menyatakan bahawa teks al-Qur'an sebagai "spirit wahyu dari Tuhan" begitu identitik dengan konsep teks Bible, bahawa "the whole Bible is given by inspiration of God." Pandangan tadi adalah lanjutan dari pemikiran klasik orientalis-orientalis Barat generasi awal yang telah mendakwa dan seterusnya mendi`ayahkan idea bahawa Islam itu adalah "agama bikinan Muhammad" dan hukum Islam disebut sebagai "Muhammadan Law", sementara umat Islam digelar sebagai "Mohammadan". Para penganut konsep al-Qur'an versi NHAZ enggan menyatakan "Allah berfirman dalam al-Qur'an" sebab mereka mendakwa bahawa al-Qur'an adalah kata-kata Muhammad atau al-Qur'an adalah karya bersama antara Tuhan dan Junjungan Muhammad (saas). NHAZ juga berhujah bahawa teks dalam apa bentukpun, adalah pada hakikatnya produk budaya (…inna 'n nass fi haqiqatihi wa jawarihi muntaj 'ath thaqafah).

Selanjutnya, NHAZ mengkritik keras metod tafsir para mufassir ternama Ahlus Sunnah wa 'l-Jama`ah. Selepas ini disebut dengan singkatan perkataan ASJ. Katanya tanggapan yang menyebut bahawa otoriti tafsir adalah milik mutlak mufassir terdahulu adalah salah. NHAZ mendakwa bahawa kesilapan mereka ialah kerana adanya kekeliruan yang mendasar di kalangan ASJ dahulu dan sekarang yang suka mengaitkan "makna teks" dan dalalahnya dengan makna kenabian, risalah dan turunnya wahyu. Kaum ASJ menyusun sumber-sumber utama penafsiran al-Qur'an pada empat hal: Rasulallah, para sahabat, tabi`in, dan terakhir iaitu tafsir bahasa.

Selain daripada NHAZ, seorang lagi pemikir kontroversi liberal Muslim ialah Muhammad Arkoun, professor pemikiran Islam di University Sorbone, Perancis. Kajian Arkoun mengenai al-Qur'an adalah dengan menggunakan pendekatan "sejarah" atau "historical method". Antara
karya-karya yang sangat disanjung di dunia Barat serta dalam beberapa buah negara Islam saat ini ialah The Unthought in Contemporary Thought (2002) dan Min al-Ijtihad Ila Naqd al-`Aql al-Islami (1992). Arkoun yakin bahawa kajian kritis sejarah tentang al-Qur'an adalah satu bentuk ijtihad. Menurut Arkoun lagi bahawa pendekatan terhadap fenomena wahyu dari perspektf umum. Dia memasukkan berbagai fenomena kitab suci dari komunitas agama lain, seperti kitab agama Hindu, Buddha, dan lebih penting lagi kitab Injil Perjanjian lama dan Perjanjian Baru. Dari perspektif antropologi, Arkoun meletakkan sifat nabi sesuai dengan fenomena yang disebut sebagai "production of great men" (intaj rijal al-`izam) dalam sejarah. Menurutnya lagi seorang nabi itu adalah seorang pemimpin yang bijaksana, yang dianugerahkan semangat raksaksa dan imaginasi hebat. Arkoun memperdebatkan segala bentuk "kesucian", yang menganggap Tuhan secara aktif terlibat setiap saat dalam sejarah, dalam period heroik dan karismatik para nabi.

Mengenai wahyu, Arkoun membaginya dalam dua peringkat. Peringkat pertama adalah apa yang biasanya al-Qur'an menyebutnya sebagai Ummu 'l Kitab (induk Kitab) (Al-Qur'an, 13:39), dan pada peringkat kedua apa yang disebut sebagai berbagai kitab termasuk Bible, Gospel dan
al-Qur'an. Ummul Kitab adalah Kitab Langit, wahyu yang sempurna, dari mana Bible, Gospel dan al-Qur'an berasal. Arkoun yakin bahawa pada peringkat pertama wahyu adalah bersifat abadi, tidak terikat dengan waktu, serta mengandung kebenaran tertinggi. Justeru wahyu jenis ini adalah kebenaran absolut di luar jangkauan manusia yang tersimpan di Lauh Mahfuz. Bagaimanpun, Arkoun turut berpandangan bahawa wahyu hanya dapat difahami oleh manusia pada tahap kedua. Inilah jenis wahyu yang diistilahkan oleh Arkoun sebagai "edisi dunia" yang telah mengalami modifikasi, revisi dan substitusi. Kata Arkoun; "Kitab Langit hanya boleh diikuti oleh para pemeluknya melalui versi tertulis dari kitab-kitab suci yang ada sekarang… Aspek kedua dari Kitab Induk/Langit ini kemudian harus tunduk dengan pelbagai rintangan dalam kenyataan sejarah yang arbitrer." (Arkoun, Rethinking Islam Today, ms. 241). Dengan membandingkan bentuk lisan dan tulisan dalam al-Qur'an, Arkoun menyatakan dengan tegas bahawa al-Qur'an lebih suci, lebih autentik dan lebih dapat dipercayai ketika masih dalam bentuk "wacana" jika dibanding dalam bentuk tertulis. Alasannya menurut Arkoun kerana al-Qur'an terbuka untuk semua erti ketika dalam bentuk lisan, dan dalam bentuk tulisan tidak lagi begitu. Sebaliknya dia mendakwa bahawa penggunaan alat-alat tulis seperti pena dan kertas telah mengurangi status al-Qur'an yang bersifat ketuhanan sebagai sebuah buku dunia.

Ulil Absar selaku pengasas Jaringan Islam Liberal (JIL) menyimpulkan pemikiran mengenai teks al-Qur'an dengan menimbulkan masalah pemikiran pokok dalam pemahaman Islam sekarang ini adalah adanya pandangan yang dominan tentang teks sebagai sesuatu yang "supreme", sehingga pemahaman atas teks itu kerapkali mengabaikan kenyataan dan pengalaman manusia yang konkrit. Akibatnya adalah pengasingan manusia dari pengalamannya sendiri, kerana supremesi teks yang berlebihan. Ulil Absar mahukan wahyu dan pengalaman manusia (termasuknya di dalamnya adalah akal) adalah sama kedudukan dan status "epesitemologis" nya dalam tindakan penafsiran (Ulul Absar, ms.427-428).

2.2: Idea Teologi Pluralis:

Selain dari bidang kajian kritis mengenai al-Qur'an, satu lagi aspek pemikiran Islam liberal yang sedang merebak saat ini ialah peri pentingnya masyarakat beragama Islam menerima adanya "teologi pluralis". Adalah jelas bahawa idea teologi pluralisme agama telah bermula dengan penerbitan karya-karya kontroversi Nurkholis Madjid yang baru saja berpulang ke alam baqa Isnin lalu. Sebagai seorang lokomotif yang nyaris dikultuskan di Indonesia dan handal dalam menyajikan bahan-bahan klasik secara terpilih, Cak Nur amat kuat menganjurkan supaya toleransi antara agama-agama dunia dapat dilaksanakan semaksimum mungkin. Dalam buku Pluralitas Agama: Kerukunan Dalam Keragaman, Cak Nur menjelaskan maksud teologi inklusif lawan eksklusif. Katanya; "Umat Islampun diperintahkan untuk sentiasa menegaskan bahawa kita semua, para penganut kitab suci yang berbeda-beda itu, sama-sama menyembah Tuhan yang Maha Esa, dan sama-sama pasrah (muslimun) kepadaNya." Jadi, mengikut Cak Nur bahawa "kebenaran dan keselamatan" suatu agama bukan monopoli sesuatu agama. Justeru, dari perspektif teologi inkulisf bahawa dakwaan hanya agamanya sahaja yang benar dan menjadi jalan keselamatan adalah salah dari segi teologi!

Alwi Shihab yang kini adalah Menteri Kesejehteraan Sosial Indonesia adalah seorang lagi pendiri mazhab pluralisme agama. Dalam bukunya Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama, beliau mendakwa bahawa ayat al-Qur'an yang acap kali digunakan untuk membuktikan eksklusifnya agama Islam iaitu dalam Surah al-Baqarah: 62 dan al-Mai'dah: 69. Ketika menghuraikan ayat-ayat tersebut, Alwi berpandangan bahawa hal itu tidak diperuntukkan bagi Muslim sahaja, tetapi bagi segenap mereka yang percaya kepada Tuhan sepanjang sejarah umat manusia. Hujah yang dipakai oleh Alwi di sini ialah rujukannnya kepada perkataan "menyerah diri" dalam agama Islam dan lain-lain agama adalah manefastasi keimanan seseorang individu itu terhadap Tuhannya. Alwi juga begitu yakin bahawa ayat-ayat al-Qur'an dalam Surah al-Baqarah: 62 dan al-Ma'idah: 69 adalah bersifat inklusif untuk semua agama. Justeru, beliau menterjemahkan ayat tersebut seperti berikut; "Sesungguhnya mereka telah beriman, iaitu, Yahudi, Kristen dan kaum sabi'in. Mereka yang percaya pada Tuhan dan Hari Akhir dan berbuat kebaikan akan menerima pahala dari Tuhan mereka. Mereka tidak akan merugi dan berdukacita." Pokoknya, Alwi percaya bahawa dengan hanya terdapat pengakuan eksistensi orang-orang yang berbuat baik dalam setiap "masyarakat beragama" maka layaklah mereka menerima pahala dari Tuhan. Idea teologi pluralisme didokong kuat oleh lain-lain sarjana seperti Abdul Rahman Wahid, Djohan Effendi, Budhy Munawar Rachman, Masdar F. Mas`udi, Arief Budiman dan lain-lain. Pokoknya mereka percaya bahawa Islam yang dikehendaki dalam zaman yang berubah ini ialah Islam yang bercitra kemanusiaan dan kedamaian bukan Islam yang "theocentric exclusive".

2.3: Penolakan Terhadap Syari'at Islam

Golongan liberal Islam menolak pelaksanaan Shari'at Islam. Abdullah al-Naim, seorang penulis yang berasal dari Sudan telah menghasilkan sebuah karya yang berjudul Toward an Islamic Reformation (1989) yang intinya merombak pemahaman orang Islam terhadap shari`at. Abdullah mempopularkan bahawa syari'ah adalah "human" bukannya "divine". Seperkara yang wajar mendapat perhatian, pemikiran shari`ah Abdullah al-Nai'mi adalah lanjutan dari pemikiran Islam Mahmud Muhammad Taha yang telah mati dihukum bunuh dalam era kepimpinan Presedian Ja`afar Numairi kerana mendakwa bahawa shari`at Nabi Muhammad masih belum berakhir, dan dia adalah penyempurnanya. Justeru, Abdullah menyuarakan pendapatnya bahawa syari`at Islam khususnya Islamic Public Law mesti dirobah kerana teks agama tidak perlu diikuti secara literal (harfiyyah). Abdullah Ahmad al-Na`imi melengkpakan hujahnya dengan berkata;

"I have shown that shari'ah was in fact constructed by Muslim jurists over the first three centuries of Islam. Although derived from the fundamental divine sources of Islam, the Qur'an and Sunnah. Shari'ah is not divine because it is the product of human interpretation of those sources..." (ms. 1850).

Sehubungan dengan penolakan shari`ah, para pendiri Islam liberal menolak dengan tegas konsep "Negara Islam". Selain daripada Cak Nur, Dr. M. Amien Rais, mantan Ketua Muhammadiyyah Indonesia menolak gagasan adanya perintah Tuhan dalam al-Qur'an dan al-Sunnah untuk menegakkan negara Islam. Yang ada kata Amein Rais ialah peri pentingnya melaksanakan etos-etos Islam seperti menegakkan kedailan sosial dan penciptaan masyarakat egalitarian. Amein Rais dapat menerima PANCASILA yang sedang dipraktiskan di Indonesia sebagai memenuhi sebahagian daripada ajaran Islam (Dr. M. Amein Rais, 1997, ms. xxii). Golongan Muslim liberal bersekongkol dengan inteligensia dan pembuat-pembuat dasar di negara-negara Barat bahawa Islam politik atau al-Islam al-Siyasi hendaklah ditentang habis-habisan.

3.0: Respons Terhadap Pemikiran Islam Liberal:

Adalah jelas bahawa pemikiran NHAZ dan yang bersamaan dengannya adalah bertentangan dengan pendapat jumhur para `ulama tentang al-Qur'an seperti yang terungkap dalam satu disiplin khusus yang dinamakan `Ulum al-Qur'an. Pendapat yang diterima pakai secara jumhur ialah al-Qur'an itu dari segi lafaz dan makna adalah dari Allah (swt). Junjungan Muhammad (saas) hanyalah sebagai penyampai sahaja. Baginda tidak mengapresiasi atau mengolah wahyu yang diterimanya. Kedudukan Junjungan Muhammad (saas) selaku penyampai wahyu adalah pasif. Baginda tidak menambah atau mengurangi apa yang telah diwahyukan kepadanya menerusi malaikat Jibril (a.s). Baginda terpelihara dari segala kesalahan, kerana beliau itu adalah ma`sum. Al-Qur'an memperakukan hakikat tersebut dengan firmanNya; "Dan Dia (Muhammad (saas) tidak menyampaikan sesuatu, kecuali (dari) wahyu yang diwahyukan kepadanya" (Surah al-Najm: 3). Bahkan al-Qur'an memberi ancaman kepada Nabi Muhammad (saas); "Seandainya dia (Muhammad) sebahagian dari perkataan atas (nama) Kami, niscaya kami pegang dia pada tangan kanannya, kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya." (Surah al-Haqqah: 44-46).

Memang benar bahawa teks al-Qur'an dalam bahasa Arab dan beberapa di antaranya berbicara tentang budaya ketika itu. Tetapi al-Qur'an tidak tunduk kepada budaya. Al-Qur'an justeru merombak budaya Arab dan membangun suatu polar pemikiran dan peradaban baru. Istilah-istilah dalam al-Qur'an walaupun dalam bahasa Arab, tetapi ia telah mengalami makna yang baru berlawanan dengan kefahaman masyarakat jahiliah Arab dahulu. Ketika konsep teks al-Qur'an dibongkar, dan dilepaskan dari statusnya sebgai "kalam 'ul lLlah", maka al-Qur'an itu akan diperlakukan sebagai teks bahasa dan sastera serta produk budaya. Ini bermakna bahawa teks al-Qur'an hanya dapat difahami sebagai metod sejarah (historisitis), tanpa memperhatikan bagaimana Junjungan Muhammad (saas) dan para sahabat utama memahami ayat-ayat yang ditanzilkan dalam kehidupan mereka. Banyak yang menyangka bahawa kajian teks al-Qur'an versi NHAZ adalah berangkat daripada tradisi Islam, pada hal kajian yang telah dilakukan oleh NHAZ adalah menyamai metodologi kajian di Barat yang berakar kepada kajian teks Bible yang
bermasalah. Pada hakikatnya NHAZ telah berusaha untuk menghidupkan semula kritikan orientalis Barat seperti Alphonse Minga, Arthur Jeffery, Burton, Joseph Puin dan ramai lagi, terhadap kesucian al-Qur'an. Lihat sahaja ungkapan Mingana – seorang Profesor Arab Kristian yang berasal dari Iraq di Universiti Birmingham dalam tahun 1927. Katanya; "The time has surely come to subjet the text of the Kur'an to the sam criticism as that to which we subject to Hebrew and Aramaic of the jewish Bible and the Greek of Christian scriptures." (Adian Husaini dan Henri Salahudin, ms. 37-38). Nampak ketara kepada kita bahawa NHAZ ingin melupuskan kesakralan al-Qur'an sehingga ianya boleh menjadi bahan kajian yang bersifat subjektif lagi.

Mengenai Arkoun, kita dapat membuat kesimpulan bahawa dia amat terpengaruh dengan kaedah historitis Marx. Beliau nampaknya tidak mahu mengakui metodologi untuk kepentingan al-Qur'an, tetapi menggunakan kajian al-Qur'an untuk mengabsahkah keyakinan metodologi Barat yang diyakininya. Al-Qur'an secara jelas merupakan sebuah Kitab untuk didengar (al-Qur'an 7: 24), dan tentu untuk dibaca serta direfleksikan (al-Qur'an, 3: 82; 38: 29). Walaupun Arkoun menerima kesakralan al-Qur'an dalam bentuk lisan, tetapi dia enggan menerima tuntutan untuk mendengar apa yang merupakan implikasi daripada penerimaan tersebut. Sebaliknya, Arkoun bertanya kenapa al-Qur'an mensakralkan sejarah yang bersifat umum dan bagaimana al-Qur'an menerapkan sebuah erti yang tidak pasti. Kerana begitu kuat dipengaruhi oleh pemikiran dan metodologi Barat termasuk idea "deconstructicism" Focoult, Darida dan Gama, amat banyak berlaku kesamaran, kekeliruan dan kebodohan dalam analisisnya. Bagi sesiapa yang tidak tahu tentang ilmu semiotika, paparan Arkoun tentang al-Qur'an menjadikannya satu kajian matametik. Memang benar dakwaan Arkoun bahawa kajian kaedah al-Qur'an yang digunakan olehnya yang disebut sebagai "the close official corpus" (korpus rasmi tertutup) pada hakikatnya sama dengan penggali lubang kubur untuk dirinya sendiri. Jika konsep al-Qur'an sebagai "kalam 'ul Llah" berhasil diruntuhkan, maka giliran berikutnya adalah Hadis Nabawi yang dalam beberapa dekad lalu telahpun dipolemikkan oleh sebahagian penulis Muslim seperti Kasim Ahmad. Mohamad Arkoun, umpamanya, menyatakan
pandangan kontroversinya bahawa Hadis itu tidaklah sakral kedudukannya kecuali setelah Imam al-Shafi`iy melakukan penyaringan terhadapnya.

Ungkapan Cak Nur sewajarnya dibantah. Apakah benar penganut Islam, Kristian, Hindu, Budha, Konfusius dan sebagainya sama-sama menyembah Tuhan Yang maha Esa dan sama-sama pasrah kepadaNya? Bukankah antara Islam dan Kristian serta Yahudi terdapat perbedaan akidah yang sangat prinsip? Hal ini dapat dilihat dalam Surah al-Ma'idah: 72-75. Adalah jelas bahawa penganut Kristian telah melakukan amalan syirik – apalagi para penganut Hindu, Budha dan lain-lain. Dalam subjudul sebuah makalah Cak Nur yang berjudul "Satu Tuhan, Beda Jalan", dia menghurai dengan panjang lebar bahawa Islam juga mengakui keabsahan agama-gama lain dan kitab sucinya. Jadi, jika diteliti ayat-ayat seperti dalam Surah al-Ma'idah: 66 adalah jelas menolak dengan tegas konsep "inklusif" semua agama dunia. Cak Nur nampaknya cuba mengelak daripada mengutip ayat-ayat al-Qur'an yang mengecam atau mengutuk sikap kaum Yahudi dan Nasrani seperti yang terdapat dalam Surah al-Ma'idah ayat 72-75. Selain itu, pemikiran Cak Nur yang kononnya mendakwa bahawa dia banyak bergantung dengan hujah Ibn Taymiyyah ketika menjustifikasikan teologi inklusif, pada hakikatnya adalah
berlawanan dengan apa yang telah ditulis oleh Ibn Taymiyyah secara komprehensif. Dalam bab yang berjudul "Kaum Yang DiMurkai Allah Adalah Yahudi, Yang Tersesat Adalah Nasrani", dalam kitab ini Ibn Taymiyyah menghuraikan dengan panjang lebar larangan ALlah swt untuk menyerupai orang-orang kafir, khususnya Yahudi dan Nasrani, termasuk menghadiri perayaan-perayaan besar mereka. Ibn Taymiyyah telah mengutip sebuah Hadis yang menyatakan; "Sesungguhnya orang-orang Yahudi adalah yang dimurkai, sedangkan kaum Nasrani adalah yang tersesat." (HR Tarmizi). Jelas sekali tindakan Cak Nur mengutip-mengutip pandangan Ibn Taymiyyah untuk meletakkannya dalam bingkai "teologi inklusif dan pluralis" merupakan tindakan yang tidak bermoral. Benar sekali seperti ungkapan Adian Husaini dan Nuim Hidayat, antara tokoh muda intelektual Muslim Indonesia yang telah berjaya menggugah pemikiran Cak Nur secara khusus dengan kata-kata berikut; "Selama puluhan tahun Nurkholis berhasil membonceng nama besar Ibn Taymiyyah untuk memuluskan misinya, Gerakan Pembaharuan Islam Liberal. Sayang sekali, kaum Muslimin kurang mencermati hal yang sangat serius bagi akidah Islam ini." (Adian Husaini dan Nuim Hidayat, 2002, ms. 79).

4.0: Implikasi-Implikasi Pemikiran Islam Liberal Ke Atas Umat Islam:

4.1: Aliran pemikiran Islam liberal adalah bertentangan dengan prinsip a'qidah Islam. Pemikiran Islam liberali boleh menjadikan seorang Muslim menjadi murtad, kufr, syirik dan fasiq. Pokoknya ia berlawanan dengan doktrin ASJ.

4.2. Adalah jelas bahawa gerakan pemikiran Islam liberal telah mulai berhasil menimbulkan keraguan akidah dan seterusnya memecah-belahkan umat Islam seperti yang kini sedang berlaku di Indonesia sehingga Majlis Ulama Islam (MUI) di Indonesia telah mengeluarkan fatwa bahawa pemikiran Islam liberal itu adalah HARAM pada 25 Julai yang lalu.

4.3. Kehadiran Muslim liberalis yang kini menjadi "celebrities" di dunia telah memberi peluang dan ruang untuk musuh-mush Islam seperi Zionis, Evangelis Kristian, sekularis liberal Barat, pengembang-pengembang agama Hindu, Buddha, Bahai, Sikh dan lain-lain menyusup masuk secara lansung dan tidak langsung bagi merealisasikan cita-cita jahat mereka untuk melemahkan status agama Islam dan masyarakatnya supaya terus terpinggir dari arus perdana
masyarakat.

4.4. Golongan Muslim liberalis kini mendapat dokongan moral dan material dari pelbagai individiu terutamanya dari Dunia Barat. Ini dapat dilihat dari persidangan, seminar, bengkel yang dianjurkan di dunia Islam. Di Malaysia, pada tahun 2003 telah diadakan satu persidangan antarabangsa mengenai Islam dan cabaran modeniti yang dinamakan KALIF. Dalam seminar tersebut telah dihadirkan ramai tokoh-tokoh liberal Muslim dengan tujuan untuk mempengaruhi inteligensia Muslim di Malaysia supaya bersikap kritis terhadap warisan Islam (al-turath al-Islami).

4.5. Atas nama "moderat Islam/Muslim", kehadiran Muslim liberal telah menyebabkan doktrin Islam yang syumul dalam world viewnya sebagai "al-din" sedang diturunkan stat usnya untuk menjadi agama sivil atau agama peribadi semata-mata. Konsep "moderat" tidak lagi diukur dengan skala al-Qur'an dan al-Sunnah yang hakiki seperti kaitannya dengan keadilan (ummatan wasatan). Pada masa ini beberapa konsep dan institusi asas Islam serta pemeluknya seperti jihad, hudud, da'wah, madrasah dan sebagainya sedang dicairkan dengan Islam dalam
bijana Barat seperti Islam Amerikana. Justeru, terlalu banyak "think-tank" Barat yang mengakui tentang Islam seperti projek Rand Corporation, SIM di Leiden, Belanda, Institut Brooke, Washigton, D.C. dan yang lain-lain.

4.6. Dari segi syari'at, pemikiran Islam liberal menganjurkan supaya "otoriti agama" tidak lagi berada di tangan para 'ulama sebaliknya atas nama "egalitarian" siapa sahaja boleh mentafsirkan agama! Hukum-hukum Islam seperti poligami mahu dihapuskan kononnya ia adalah berlawanan dengan realiti zaman moden.

4.7. Aliran untuk melonggarkan status hukum-hukum Islam supaya ianya lebih terbuka bagi menyesuaikan dengan peredaran zaman dengan menggunakan justifikasi DARURAH dan mengaplikasikan IJTIHAD secara wewenang.

4.8. Mutakhir ini masyarakat bukan Muslim di Malaysia dan di lain-lain tempat semakin berani melontarkan fikiran mereka mengenai agama Islam termasuklah mempersoalkan kewibaan Majlis Fatwa Kebangsaan dan otoriti 'ulama. Gagagasan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama-Agama (IRC) adalah satu usaha nekad pimpinan bukan Islam untuk mencari jalan melemahkan status Islam dan umat di Malaysia ketika umat Islam kuat mengukuhkan diri mereka dengan identity Islam bagi menghadapi cabaran dalaman dan luaran yang semakin menyemarak.

4.9. Di Malaysia, beberapa ngo, antaranya, Sisters in Islam, adalah antara pendukung Islam liberal yang kuat mempromosikan isu kesetaraan kaum jenis lelaki dan permepuan. Ia mendapat dokongan moral dari beberap figure politik nasional serta begitu akrab jarinagnnya dengan beberapa agensi di dunia Barat.

5.0: Kesimpulan:

Gerakan pemikiran Islam adalah satu usaha yang terancang secara langsung atau tidak langsung. Pemikiran Kurzman dalam karyanya Liberal Islam mempunyai jaringan yang luas dengan kegiatan pemikiran Islam liberal di dunia pada masa ini. Kaum intelektual Muslim di mana sahaja berasa tidak wajar menyepi diri dengan menanggapi pemikiran Islam liberal sebagai satu gerakan yang tidak merbahaya dari segi akidah. Strategi yang sedang digunakan oleh liberalis Muslim ialah menidakkan adanya "otoriti agama". Ulama diserang habis-habisan dengan pelbagi cemuhan, sinisime dan maki hamun. Sesungguhnya serangan pemikiran ke atas umat Islam atau apa yang disebut "al-ghuzuwwu al-fikri" masih belum berakhir. Sebaliknya ia menjadi semakin menyemarak dengan berlindung di bawah panji-panji progresif, kesederhanaan, modeniti, keamanan dan kedamaian, kemanusiaan dan hak asasi manusia. Wallahu 'alam bi 'l-sawab.

Dr. Muhammad Nur Manuty

Pengarah CESMACS

Jum`at 2 September, 05.

posted by Blogger @ 6:49 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
About Me

Name: Blogger
Home: Malaysia
About Me:
See my complete profile
Kunjungan

Pengunjung Dari Negara Online
Previous Post
Archives
Links
Tarbiyyah
  • Uslub Dakwah
  • Sasaran Dakwah
  • Pengurusan Tanzim
  • Memahami Perjuangan Islam
  • Tarbiyyah : Satu Keperluan Harakah
  • Cabaran dan Persiapan Tarbiyyah
  • Prinsip dan Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah
  • Akhlak dan Adab Berjemaah
  • Tahaluf Dalam Islam
  • Al Murabitun
  • Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah
  • Maudhu' dakwah
  • Persiapan para da'ie
  • Halangan dan rintangan dalam perjuangan
  • Semakan Daftar Pemilih SPR
  • Semak Status Anda Di sini
  • Powered by

    Free Blogger Templates

    BLOGGER

    © 2006 Koleksi Artikel 1 .Template by Isnaini Dot Com