Login Weblog

Koleksi Artikel 1

Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.

Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Blogger 28 Ogos 2005

 

Menu
|Koleksi Artikel 1| |Koleksi Artikel 2| |Weblog OKU 2| |Weblog OKU 1| |e-Book|
Waktu Malaysia
Iklan





Waktu Solat
Alumni Maahad Hamidiah Kajang

Subscribe to Maahad Hamidiah
Powered by groups.yahoo.com

Fatwa Pengharaman Anti Hadith

Fatwa Pengharaman Anti-hadith

Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini: Ajaran Golongan Anti Hadith

ISI AJARAN

1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.

2. Menolak dua kalimah Syahadah.

3. Menolak Qada' dan Qadar

4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12 Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada wahyu.

5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam

6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.

TARIKH MUNCUL

1985

TEMPAT BERKEMBANG Seluruh Malaysia

TINDAKAN/HUKUMAN

Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:

1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996

2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46

3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78

4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3 (Sumber: )

Penutup

Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal 'iya zubillahi min zalik.

Fatwa Mufti Perak

Kategori : Akidah

Tajuk : Gerakan Anti-hadis

Isu : "A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –

(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;

(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;

(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;

(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa,

adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.

B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Fatwa :

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa "Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti berikut

C. OLEH YANG DEMIKIAN –

(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;

(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -

(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran- ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World";

(b) mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –

(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu,pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian."

Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49

Tarikh Pewartaan :

15 Feb 1996

Borak
Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

DATUK NIK MAHMUD
Tuesday, January 03, 2006
PERDANA MENTERI PADUKA RAJA KELANTAN

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

NAMA lengkapnya ialah Nik Mahmud bin Haji Nik Ismail Qadhi bin Haji Mahmud bin Cik Seman. Beliau meninggal dunia pada 1384 Hijrah/1964 Masihi. Ibunya bernama Wan Aisyah binti Wan Utsman.

GURU GURU NYA

Ayahnya, Haji Nik Wan Ismail Qadhi bin Haji Nik Wan Mahmud adalah sahabat Syeikh Ahmad al-Fathani. Kedua-duanya adalah ulama besar. Oleh itu Nik Mahmud mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri di Kelantan.

Setelah ayahnya wafat pada 1315 Hijrah/1898 Masihi, dalam tahun itu juga ibunya Wan Aisyah membawa Nik Mahmud dan tiga orang anaknya yang lain ke Mekah. Nik Mahmud diserahkan pengurusannya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

Oleh sebab ilmu-ilmu dalam bidang keislaman yang dipelajari oleh Nik Mahmud daripada ayahnya dipandang sudah memadai, maka al-Fathani hanya mendidik Nik Mahmud dalam bidang-bidang ilmu khusus, terutama ilmu pentadbiran dan siasah, serta diperlengkapkan lagi dengan ilmu pertahanan diri.

Sepanjang pendidikan pengkaderan putera-putera Melayu di Mekah yang dilakukan oleh al-Fathani, tidak ramai yang berbakat dalam ilmu pentadbiran dan siasah. Tetapi yang pasti, tercatat dua orang dari kerajaan Riau-Lingga, iaitu Raja Ali Kelana dan Raja Khalid Haitami (cucu Raja Ali Haji). Mereka yang berasal dari Kelantan pula ialah Nik Mahmud dan Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id yang kemudian dikenali memperoleh gelaran Datuk Laksamana.

Hubungan antara Nik Mahmud dengan Muhammad bin Muhammad Sa'id selanjutnya adalah saudara ipar, kerana Nik Mahmud berkahwin dengan Che Aisyah, adik kepada Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id. Walaupun pendidikan di Mekah yang diperoleh Nik Mahmud tidak begitu lama, namun semua guru kepada ulama-ulama yang saya tulis dalam artikel terdahulu juga menjadi guru kepada Nik Mahmud.

Selanjut al-Fathani mengirim Nik Mahmud ke Mesir. Pendidikan khusus untuk Nik Mahmud diberikan oleh al-Fathani di Bukit Jabal Suaidan, Mekah. Pendidikan siasah diberikan dengan menggunakan permainan catur. Sedangkan pendidikan pertahanan diri diberikan di tanah lapang, di tempat yang sama dengan menggunakan pedang, keris dan lainnya. Untuk memahirkan ilmu pertahanan diri, Nik Mahmud sentiasa membuat latihan di Bukit Jabal Suaidan yang disaksikan sendiri oleh al-Fathani.

Sebelum menceritakan pendidikan Nik Mahmud di Mesir, di sini saya petik satu peristiwa mengenai Nik Mahmud, Tok Kenali dan lain-lainnya bersama guru mereka, al-Fathani dalam perjalanan ke Beirut dan Mesir. Sewaktu al-Fathani mendapat mandat daripada ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan peristiwa khilafiyah antara Sayid Yusuf bin Ismail an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir), al-Fathani telah mengajak beberapa orang muridnya menemui kedua-dua ulama tersebut.

Telah menjadi tradisi al-Fathani dan ulama-ulama lainnya, jika akan menyelesaikan masalah-masalah besar, mereka sentiasa bermunajat di tempat-tempat yang makbul. Oleh itu ketika sampai di Tursina, beliau berdoa secara berjamaah. Untuk Nik Mahmud, al-Fathani berdoa, ``minta supaya Allah memberinya kedudukan orang besar di kerajaan Kelantan ... ``Doa di Tursina ternyata dikabulkan Allah, kerana setelah Nik Mahmud kembali ke Kelantan, akhirnya beliau digelar sebagai Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.

Beberapa pucuk surat al-Fathani di Mekah kepada Nik Mahmud ketika belajar di Mesir sebagai bukti kesungguhan al-Fathani memberikan pendidikan untuk mengangkat martabat bangsa Melayu, sebagaimana pesannya kepada Nik Mahmud, ``Dan mudah-mudahan anakanda meninggikan hemah pada mendapatkan barang yang sayugia mendapatkan dia, bagi seumpama diri anakanda di dalam ini masa, supaya terangkat dengan yang demikian itu oleh nama jenis Melayu, berat dan terhebat dengan dia oleh kerajaannya pada segala hati ajanib (orang asing, pen:). Dan tertamadun dengan dia oleh siasah mereka itu sebagai tamadun yang muafakat dengan syara.'' (Surat bertarikh 19 Rabiulakhir 1324 Hijrah/11 Jun 1906 Masihi). Surat yang sama maksudnya dengan bahagian yang saya petik ini juga pernah dikirim kepada Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, dan sultan-sultan dalam negeri Melayu lainnya.

Bukti kesungguhan dan penuh rasa tanggungjawab al-Fathani terhadap Nik Mahmud dapat kita pelajari daripada kalimat beliau, ``Dan tatkala sampai surat anakanda kepada bonda anakanda, daripada kenyataan minta tambah lima junaih itu, maka ia beri kepada Abang Awan Kenali dua junaih sahaja. Maka Abang Awan Kenali pun terima hendak pergi kirim kepada anakanda atas tangan Syeikh Abdul Hamid Kudus. Maka sampai khabar itu kepada ayahanda. Maka ayahanda hentikan dia dahulu. Dan ayahanda suruh akan dia minta tambah biar cukup lima junaih. Kemudian datang bonda anakanda ke rumah ayahanda bermusyawarat pada demikian itu, lalu ayahanda minta daripadanya kirim cukup juga kerana takut kepayahan hendak mengirim ...'' (Surat bertarikh 19 Rabiulakhir 1324 Hijrah/11 Jun 1906 Masihi).

AKTIVITI DI KELANTAN

Nik Mahmud sewaktu bergelar Dato' Bentara Setia, bersama-sama Tok Kenali dan Haji Muhammad bin Haji Muhammad Sa'id, berhasil menubuhkan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Perisytiharan oleh Sultan Muhammad IV di Istana Balai Besar pada 24 Disember 1915.Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berhasil menerbitkan majalah Pengasuh, Tok Kenali sebagai Ketua Pengarang yang pertama. Terbitan pertama 11 Julai 1918. Majalah Pengasuh masih terbit sampai sekarang, bererti majalah inilah majalah Islam di dunia Melayu yang paling lama dapat bertahan.

Nik Mahmud secara rasmi sebagai pentadbir dan diplomat tertinggi Kelantan mulai 29 April 1921, dengan gelar Dato' Perdana Menteri Paduka Raja. Beliau menggantikan Che Hassan bin Mohd. Salleh yang memegang jawatan Dato' Menteri Kelantan yang meninggal dunia pada 22 Januari 1921. Datuk Nik Mahmud meletak jawatan pada 27 Disember 1945, diganti oleh anaknya Nik Ahmad Kamil hingga tahun 1953.

Istilah yang digunakan setelah terbentuk Persekutuan Tanah Melayu tidak lagi memakai Perdana Menteri, diganti dengan Menteri Besar. Sangat banyak aktiviti Datuk Nik Mahmud sewaktu memegang jawatan Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan saya tinggalkan saja, saya berkesimpulan bahawa beliau adalah Perdana Menteri Kelantan/Menteri Besar yang paling terkenal dalam sejarah Kelantan sama ada sebelum atau pun sesudahnya.

KARYA KARYA

Walau pun Datuk Nik Mahmud merupakan tokoh dan ulama sebagai pentadbir tertinggi di dalam pemerintahan kerajaan negeri Kelantan pada zamannya, namun beliau sempat juga menghasilkan beberapa buah karya. Di antaranya yang sempat diterbitkan ialah:

* Cahaya Purnama Bagi Menerangkan Jalan Ugama. Ia diselesaikan di Kota Bharu, Kelantan pada 1 Syaaban 1336 Hijrah/12 Mei 1918 Masihi. Dicetak oleh Mathba'ah Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan. Kandungannya membicarakan perkara-perkara fardu ain, dimulai perbicaraan ilmu tauhid dan disudahi mengenai mengerjakan haji.

* Tajuk Kemuliaan. Diselesaikan pada 21 Syaaban 1350 Hijrah/31 Disember 1931 Masihi. Dicetak oleh Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dan Mathba'ah Asasiyah, Kelantan, 1350 Hijrah/1932 Masihi. Kandungannya membicarakan akhlak.

* Ringkasan Cetera Kelantan Mengandungi Silsilah Raja-raja Dan Tarikhnya. Diselesaikan pada 8 Ramadan 1351 Hijrah/4 Januari 1933 Masihi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Asasiyah Company Kelantan, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungannya menceritakan asal usul keturunan raja-raja Kelantan, Patani, raja-raja yang memerintah dari peringkat awal hingga ke zaman pengarangnya (Datuk Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan) dan lain-lain. Pada kata Pendahuluan/dinyatakan bahawa sejarah ini disalin daripada tulisan Pak Wan Mahmud, Menteri Besar yang ditulis dalam tahun 1197 Hijrah, diambil daripada perkataan Pak Bedulah (Abdullah). Dinyatakan oleh pengarang bahawa beliau telah membandingkan dengan naskhah yang lain dengan cermat, maka yang diatur ini adalah yang lebih sahnya.

* Perbendaharaan Mustika. Diselesaikan hari Isnin, 2 Jamadilawal 1363 Hijrah. Cetakan pertama Ismailiyah Press, Kota Bharu, Kelantan (tanpa tahun cetak). Dicetak atas kebenaran Nik Mustafa Fadhil (Datuk Seri Amar Diraja) bin Nik Mahmud. Ditandatangani oleh Raja Muda, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam, Pejabat Majlis Ugama Islam Kelantan pada tarikh 21 Julai 1946 Masihi. Kandungannya mengupas Al-Asmaul Husna, menghuraikan ilmu hikmah yang diamalkan oleh golongan khas.

* Pati Rahsia. Diselesaikan pada 1 Rejab 1363 Hijrah. Cetakan yang ketiga Haji Daud bin Haji Abu Bakar al-Ahmadi, 3296-B, Jalan Tengku Petra Semerak, Kota Bharu, Kelantan, 1389 Hijrah/1969 Masihi. Dicetak atas perbelanjaan Nik Ahmad Kamil (Datuk Seri Setia Raja) bin Nik Mahmud, dan dicetak atas kebenarannya. Ditandatangani oleh Raja Muda, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam, Pejabat Majlis Ugama Islam Kelantan pada tarikh 15 Jun 1946 Masihi, bilangan (3) 136/46. Kandungannya mengupas ilmu hikmah menggunakan berbagai-bagai, isim, wirid, doa, dan lain-lain.

KETURUNAN NYA

Di antara anak Datuk Nik Mahmud yang menjadi tokoh atau pembesar sama ada di Malaysia mahupun peringkat antarabangsa ialah Tan Sri Datuk Nik Ahmad Kamil (meninggal dunia 20 Disember 1977). Di antara anak Tan Sri Datuk Nik Ahmad Kamil pula ialah Tan Sri Datuk Nik Ibrahim Kamil, sekarang Pengerusi Southern Investment Bank Berhad, Kuala Lumpur.
posted by Blogger @ 10:47 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
About Me

Name: Blogger
Home: Malaysia
About Me:
See my complete profile
Kunjungan

Pengunjung Dari Negara Online
Previous Post
Archives
Links
Tarbiyyah
  • Uslub Dakwah
  • Sasaran Dakwah
  • Pengurusan Tanzim
  • Memahami Perjuangan Islam
  • Tarbiyyah : Satu Keperluan Harakah
  • Cabaran dan Persiapan Tarbiyyah
  • Prinsip dan Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah
  • Akhlak dan Adab Berjemaah
  • Tahaluf Dalam Islam
  • Al Murabitun
  • Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah
  • Maudhu' dakwah
  • Persiapan para da'ie
  • Halangan dan rintangan dalam perjuangan
  • Semakan Daftar Pemilih SPR
  • Semak Status Anda Di sini
  • Powered by

    Free Blogger Templates

    BLOGGER

    © 2006 Koleksi Artikel 1 .Template by Isnaini Dot Com