Oleh Zalifah Mohd Yatim JOHOR BAHRU: Sepuluh muka surat sebuah al-Quran bagi surah yang menunjukkan tanda kiamat dan kisah Nabi Muhammad S.A.W yang digunakan murid tahun empat Sekolah Agama Jalan Kebun Teh, di sini, tiba-tiba muka suratnya kosong dan hilang ayatnya. Setiap dua muka surat hilang bagi Surah ke 46 iaitu Surah Al-Ahqaaf, Surah Muhamad (Surah ke-47), Surah Al-Fat-H (Surah ke-48) dan Surah Al-Hujuraat (Surah ke-49) dan Surah Qaaf (surah ke-50) hanya disedari selepas seorang murid tahun empat membelek al-Quran berkenaan untuk dibaca kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.
Antara ayat yang hilang bagi Surah Al-Ah Qaaf iaitu ayat 21 hingga 35, Surah Muhamad (ayat 20 hingga 38), Surah Al-Fah-H (ayat 16 hingga 28) dan Surah Al-Hujaraat (ayat 12 hingga 18) dan Surah Qaaf (ayat 1 hingga 15). Penolong Kanan Sesi Petang sekolah itu, Mohd Al Fadialah Salikin, berkata pelajar yang dikenali Wan Shahrizal yang berusia 10 tahun mahu menggunakan al-Quran itu terkejut apabila mendapati ada antara muka surat tiada cetakan. Sedangkan katanya, setiap bilik darjah di sekolah itu memiliki sekurang-kurangnya 20 al-Quran untuk kegunaan bagi kemudahan pelajar untuk mata pelajaran bacaan al-Quran. “Al-Quran yang hilang cetakan muka surat itu memang biasa digunakan pelajar dan setiap hari dibuka untuk bacaan di dalam bilik darjah, ia antara al-Quran yang diwakafkan seseorang kepada sekolah berkenaan,” katanya. Menurutnya, kebetulan al-Quran itu ditemui di dalam kelas beliau yang banyak mengajar mengenai tanda-tanda kiamat, penghancuran dan keruntuhan kaum termasuk kaum Nabi Muhammad s.a.w. Katanya, kehilangan muka surat sebahagian daripada kebesaran Allah dan ingatan kepada semua pihak supaya tidak meninggalkan tetapi terus mendalami al-Quran. Sementara itu, guru sekolah itu, Norahdat Mohamed, berkata, kehilangan muka surat itu menarik perhatian ramai murid untuk melihat kebesaran Allah. “Sekurang-kurangnya kebesaran ini jika dilihat dari sudut positif dapat mengalakkan lebih ramai mendalami dan membaca al-Quran. Malah sekurang-kurang dengan hanya membuka untuk menelitinya sudah satu rahmat daripada-Nya,” katanya. Sementara itu, Guru Besarnya, Sazali Misran, berkata al-Quran itu akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Johor (Maij) agar kajian lebih mendalam dapat dilakukan. “Ia akan diserah kepada pihak bertanggungjawab dalam tempoh terdekat,” katanya. .................. Harian Metro |