Kadi Kuala Lumpur yang pertama
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
ULAMA yang berasal dari Minangkabau ini adalah termasuk di antara orang yang pertama tinggal di Kuala Lumpur awal-awal Bandar Kuala Lumpur diterokai. Riwayat penting ini kemungkinan jadi kabur sekiranya kita tidak mendapat catatan salah seorang murid beliau yang bernama Haji Abdullah Hukum. Walaupun hanya sedikit sekali Haji Abdullah Hukum dalam Warta Ahad, 27 Oktober 1935, hlm. 7 dan 8 menyebut nama Haji Utsman bin Abdullah namun dapat dipanjangkan dengan pelbagai sumber yang lain. Kita tidak dapat menafikan peranan yang dimainkan oleh orang-orang Minangkabau di Malaysia, khususnya di Negeri Sembilan, selanjutnya termasuk juga Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur sebelum kemerdekaan Malaya 1957 adalah dalam Kerajaan Selangor, oleh itu ulama yang akan dibicarakan di bawah ini juga dimasukkan dalam senarai ulama-ulama yang berkhidmat di Kerajaan Selangor Darul Ehsan atau setelah merdeka bererti beliau adalah ulama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Beliau adalah Imam, Khatib dan Kadi Kuala Lumpur yang pertama. Haji Utsman bin Abdullah dilahirkan di Batu Sangkar, Minangkabau, Sumatera Barat tahun 1267 H/1850 M. Wafat di Kuala Lumpur, Rabiulawal 1337 H/Januari 1919 M. Dimakamkan di Perkuburan Islam Ampang, bersebelahan dengan saudaranya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdullah al-Minankabawi (nama orang tuanya ketika menjadi Syeikhul Islam Perak bernama Muhammad Thaiyib).
PENDIDIKAN
Pendidikan asas diperoleh di Batu Sangkar yang pada zaman itu sangat terkenal sebagai pusat penyebaran Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang dimulai oleh Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi, ulama besar Minangkabau yang sangat terkenal, yang kemungkinan termasuk ada hubungan dengan beliau. Pelajaran dilanjutkan di Mekah, di antara guru-gurunya di Mekah ialah: Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan `Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Nawawi al-Bantani, dan ramai lagi.
Gurunya dari kalangan ulama-ulama yang bukan bangsa Melayu pula di antaranya ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani dan ramai lagi. Penghujung tahun 1884 M Haji Utsman bin Abdullah pulang ke Minangkabau. Memperhatikan kepulangannya ke Minangkabau penghujung tahun 1884 M bererti Haji Utsman bin `Abdullah sempat belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani sekitar dua tahun saja, kerana ulama Patani itu mulai mengajar di Mekah sewaktu sesudah pulang dari Mesir tahun 1300 H/1882 M.
AKTIVITI DI KUALA LUMPUR
Catatan Haji Abdullah Hukum tentang Kuala Lumpur mula-mula diterokai sangat menarik juga, sebagai contoh bahawa hubungan dari Kelang ke Kuala Lumpur ketika itu masih menggunakan jalan sungai. Kalau musim kemarau bergalah menggunakan perahu dari Kelang ke Kuala Lumpur ditempuh antara 10 sampai 15 hari. Pada musim hujan, kerana air penuh, ditempuh hanya tiga hari saja. Menurut Haji Abdullah Hukum pula, bahawa jalan keluar masuk Kuala Lumpur ketika itu belum ada.
Orang-orang keluar masuk ikut jalan perahu atau jalan jejak orang. Rumah-rumah kedai Kuala Lumpur atap daun. Dinding rumah pula dari tanah liat. Jambatan di Jawa Street diperbuat daripada buluh. Jambatan dekat pasar diperbuat daripada dua batang kayu. Ketika Kuala Lumpur mulai berkembang, masyarakat Minangkabau ramai berhijrah ke Kuala Lumpur. Akan kealiman Haji Utsman bin Abdullah mulai terserlah maka pada waktu itulah orang-orang Minangkabau sepakat mengajak beliau pindah ke Kuala Lumpur kerana ingin mendalami lagi ilmu-ilmu tentang Islam. Untuk jaminan hidupnya tinggal di Kuala Lumpur masyarakat telah menghibahkan untuk beliau sebidang tanah. Tanah itu ialah sepanjang pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Kelang iaitu tanah yang dimulai dari Masjid Jamik Kuala Lumpur sampai ke kawasan yang berhampiran bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekarang.
Pengusaha
Haji Abdullah Hukum salah seorang murid Haji Utsman bin Abdullah dalam Warta Ahad, Oktober - November, 1935 mencatatkan bahawa Haji Utsman bin Abdullah yang diriwayatkan ini adalah mula-mula menjadi Imam dan kemudian menjadi Kadi Kuala Lumpur yang pertama. Beliau termasuk golongan orang kaya di Kuala Lumpur pada zaman itu.
Sungguhpun Haji Utsman bin Abdullah seorang ahli sufi, pengamal Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah dalam masa yang sama beliau juga tidak ketinggalan di tengah-tengah masyarakat yang bukan Islam di Kuala Lumpur pada zamannya, kekayaannya adalah setanding dengan orang-orang yang bukan Islam. Haji Abdullah Hukum murid beliau mencatatkan orang-orang kaya yang berasal dari Minangkabau yang sezaman dengan Haji Utsman bin Abdullah di Kuala Lumpur peringkat awal ialah Haji Abdus Samad, Haji Abdul Majid Panjang, Haji Abdus Samad Panjang, Haji Abdus Samad Kecil, Haji Muhammad Ali, Haji Utsman (Imam kemudian Kadi Kuala Lumpur), Haji Zainal Abidin, Hajah Fatimah, Haji Abdullah Panjang, Hasyim, Banginda Kaya Haji Arsyad dan Datuk Maharaja.
Dari kalangan orang Mandailing pula ialah Sutan Puasa. Orang Kerinci ialah Haji Arsyad. Orang Melaka ialah Datuk Abdullah dan mentua Haji Abdullah Hukum. Orang Pulau Pinang ialah Che' Din, Encik Baki. Orang Aceh ialah Haji Saleh dan ada seorang orang Linggi. Dan orang Terengganu ialah Che' Soh.
Selain sebagai seorang Imam dan Khatib Kuala Lumpur, kadi, serta terlibat sebagai seorang pengusaha, beliau juga giat mengajar. Di antara muridnya ialah Sultan Abdus Shamad Selangor, Raja Mahmud, Sutan Puasa, Haji Abdullah Hukum, dan ramai lagi. Sutan Puasa yang tersebut diriwayatkan berasal dari Mandailing, Sumatera Timur, beliau adalah Ketua Melayu (Dato' Dagang) yang pertama di Kuala Lumpur
Berdasarkan catatan Haji Abdullah Hukum, bahawa masjid yang pertama di Kuala Lumpur ialah yang didirikan oleh ayah mentua beliau bernama Encik Baki. Masjid tersebut didirikan di Kampung Melaka (Batu Lane), dinamakan dengan ``Masjid Melaka'' selanjutnya dinamakan juga dengan ``Masjid Keling'' juga Masjid ``Chulia''. Masjid Melaka didirikan oleh pakatan orang-orang Melaka, tukangnya juga berasal dari Melaka. Oleh itu semua pegawai masjid tersebut adalah ditangani oleh orang-orang yang berasal dari Melaka. Selanjutnya mendirikan sebuah masjid baru yang terletak dekat gedung Gian Singh di Jawa Street.
Oleh sebab terdapat dua masjid yang berdekatan, iaitu Masjid Melaka dan Masjid Minangkabau, maka telah terjadi perselisihan sesama orang Melayu kerana masing-masing akan mendirikan sembahyang Jumaat dalam masjidnya. Menurut Mazhab Syafie bahawa tidak dibenarkan mendirikan sembahyang Jumaat yang berbilang-bilang dalam satu negeri kecuali apabila darurat.
Sekiranya terjadi sembahyang Jumaat yang terdapat dua masjid atau lebih, maka yang sah sembahyangnya ialah di mana masjid yang lebih dulu takbiratul ihram, imam dalam masjid itu. Perselisihan sesama Islam dan sebangsa Melayu itu dapat di atasi secara bijaksana oleh Sultan Abdul Samad dengan cara supaya mendirikan sembahyang Jumaat secara bergiliran. Sekali Jumaat didirikan di Masjid Melaka, Jumaat yang berikutnya didirikan di Masjid Minangkabau, demikianlah seterusnya.
Peranan
Perselisihan sesama Islam dan sama-sama bangsa Melayu yang pernah terjadi ketika Kuala Lumpur mula-mula dibangun, serta peranan Sultan Abdul Samad seperti tersebut di atas patut dijadikan iktibar. Selain peranan Sultan Abdul Samad, yang termasuk salah seorang murid Haji Utsman bin Abdullah, dapat diambil kesimpulan bahawa tentu ada peranan yang dimainkan oleh Haji Utsman bin Abdullah sendiri. Nampaknya walaupun beliau berasal dari Minangkabau namun beliau tidak memihak kepada sesuatu pihak mana pun. Sebagai seorang ulama yang sekali gus seorang imam, khatib dan kadi ketika itu, beliau hanya terdiam, kemudian berfikir.
Buah fikirannya tidak disampaikan secara langsung kepada dua belah pihak yang sedang berselisih kerana kemungkinan pada pandangan beliau akan sia-sia belaka. Adalah langkah yang sangat bijak, buah fikirannya itu dipersembahkan kepada Sultan Abdul Samad. Demikianlah langkah yang kita perlukan pada semua penguasa (umara) dan ulama sepanjang zaman, sekiranya terjadi perselisihan sesama Islam dan sebangsa Melayu atau serumpun Melayu hendaklah diselesaikan secara bijaksana dan dapat diterima oleh semua pihak yang berselisih. Hendaklah kita sedar bahawa menyelesaikan sesuatu masalah secara tidak adil, apatah lagi berpihak kepada yang salah, adalah ibarat api di dalam sekam, padam pada satu ketika dan akan membakar pada ketika yang lain. Saya berpandangan bahawa Islam wajib bersatu padu, dan demikian juga bangsa Melayu juga wajib bersatu walau di negara mana pun mereka berada.
KETURUNAN
Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi memperoleh 7 orang anak iaitu;
1. Saodah binti Haji Utsman kahwin dengan Haji Abdur Rauf bin Syeikh Yusuf al-Minankabawi. Syeikh Yusuf al-Minankabawi adalah seorang ulama besar Minangkabau yang tinggal di Semenanjung. Salah seorang muridnya ialah Syeikh Abdul Wahhab Rokan yang sangat terkenal. 2. Haji Abdur Rahman bin Haji Utsman, salah seorang guru bahasa Melayu. Beliau mendapat pendidikan bahasa Melayu di Penyengat, Riau. Tahun 1903 menjadi Pengawas Sekolah-Sekolah Melayu di Singapura. Salah seorang muridnya ialah Tan Sri Mubin Sheppard. Haji Abdur Rahman bin Haji Utsman meninggal dunia pada 6 Februari 1975 M.
3. Haji Abdur Rahim bin Haji Utsman pengasas Majalah Guru. Beliau meninggal dunia pada 27 Ogos 1948 M.
4. Haji Abdul Jalil bin Haji Utsman, meninggal dunia tahun 1974 M.
5. Maimunah binti Haji Utsman, meninggal dunia tahun 1927 M.
6. Ahmad bin Haji Utsman, meninggal dunia tahun 1980 M.
7. Datuk Abu Bakar bin Haji Utsman, Datuk Syahbandar Sungai Ujong, Negeri Sembilan, meninggal dunia 24 Disember 1982 M.
Dari maklumat anak-anak beliau yang tersebut di atas dapat diambil kesimpulan bahawa ramai keturunan Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi tersebar di pelbagai negeri. Saya berterima kasih kepada Syahril salah seorang keturunan Syeikh Muhammad Nur, Kadi Langkat, yang ada hubungan kekeluargaan dengan ulama ini kerana banyak memberikan maklumat dalam penulisan artikel ini.
|