http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
Oleh DR. SIDEK BABA SEORANG remaja disuakan oleh seorang rakannya dengan sebatang rokok. Ia mengambilnya dan terus mencuba menghisapnya. Kali pertama terasa pening kerana asapnya. Kali kedua mula rasa seronok dan bergaya. Akhirnya merokok jadi biasa dan timbul rasa ketagih. Pada masa lain dia ditawarkan ganja. Mulanya dia menolak dan akhirnya ingin mencuba. Cubaan pertama terasa meloyakan tetapi semacam ada keseronokan. Dicuba lagi dan terasa khayalan yang amat mengasyikkan. Lalu ganja menjadi bahan ketagihan di samping rokok. Lama-kelamaan ganja menjadi terlalu biasa dan dia perlukan yang lain pula. Dia diperkenalkan dengan syabu, morfin dan heroin. Giannya lebih kuat. Khayalnya lebih tinggi dan lebih lama. Ia diperkenalkan dengan pasangan yang bukan sejenis. Terasa seronok ke disko-disko dalam percampuran bebas tanpa batas. Akhirnya terjebak dengan seks bebas dan seks rambang. Ketagihan menjadi amat tinggi. Ia tidak boleh melepasi diri daripada belenggu khayal dan ketagihan yang amat mencengkam. Lalu bertukar-tukar pasangan memburu kepuasan nafsu-nafsi. Ia tersentak sejenak bila didapati menjadi pembawa virus AIDS yang amat berbahaya. Menghisap rokok pada mulanya hanya sekadar ingin mencuba. Lantaran pengaruh kawan, ia tidak berfikir panjang. Setelah dicuba terasa seronok. Menjadi orang yang bergaya dan berasa seolah-olah berada pada alam dewasa. Lama-kelamaan mencuba jadi ketagih. Ketagihan semakin meningkat akhirnya dia mencuba bermacam perkara dan terjebak dengan penyakit yang amat menakutkan. Selalunya remaja tidak rasa menyesal. Kalau menyesal pun nasi sudah menjadi bubur. Jalan kembali amat payah sekali. Kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Ribuan remaja jenis ini sedang berada di lokap-lokap tahanan kerana pelbagai kes, di pusat-pusat serenti untuk dipulihkan atau di hospital-hospital untuk rawatan AIDS/HIV. Gambaran di atas adalah situasi remaja yang hilang pedoman. Mungkin kerana tekanan, pengaruh rakan sebaya, ingin menampilkan identiti diri, ingin menjadi dewasa menyebabkan remaja terjebak daripada ketagihan yang kecil kepada ketagihan yang amat dahsyat. Remaja pada tahap ini tidak lagi ada rasa malu. Hilang hormat kepada orang dan harta milik orang. Cenderung mencuri, mengambil harta orang malah membunuh kerana ketagihan mengatasi segala-galanya. Remaja perlu ada pedoman dalam hidup. Remaja tidak lahir tiba-tiba menjadi matang dan dewasa. Tidak semua kawan yang dicampuri mempunyai perangai yang baik. Tidak semua corak pergaulan berakhir dengan kebaikan. Remaja memiliki naluri dan nafsu yang tinggi. Memang sifat remaja ingin mencuba dan meniru. Kadang-kadang terdapat jiwa berontak pada diri remaja untuk melakukan apa saja. Lebih kerap dikatakan ‘jangan’, lebih kuat dorongan mereka untuk mencuba. Akhirnya cuba-cuba menjadi seronok. Seronok yang sementara diulang-ulang dan akhirnya menjadi ketagihan. Ketagihan yang seronoknya sekejap membunuh seluruh diri remaja. Dan akhirnya remaja menjadi bangkai bernyawa dan menjadi beban kepada orang lain pula. Remaja yang digambarkan di atas selalunya adalah remaja yang cicir dalam keluarga, cicir di sekolah dan cicir dalam masyarakat. Akibat tiadanya pedoman, ia mencari jawapan tentang hidup secara sendiri-sendiri. Orang-orang yang berpengalaman tidak mempunyai masa yang banyak untuk berkomunikasi dengannya. Ibu dan ayah sibuk di luar rumah. Anak-anak kurang berasa belaian, kasih sayang dan diberikan perhatian. Kadang-kadang perhatian hanya diberi terhadap makan pakai tetapi tandus dengan kata-kata yang merangsang dan bisikan yang mendorong. Di rumah tidak terdapat sumber contoh. Lalu rumah kata pergi, rakan sebaya kata mari. Akhirnya berlakulah episod hidup yang amat menyayat hati. Kebesaran Allah Anak-anak amat perlu diberi makna tentang hidup. Keyakinan ketuhanan adalah asas yang sangat penting. Yakin tentang kebesaran Allah menerusi tanda-tanda-Nya meyakinkan mereka tentang suatu kuasa. Mendidik kesedaran agama tidak sekadar melalui syarahan dan ceramah. Ajak anak-anak berbincang tentang sesuatu. Berikan contoh-contoh yang dekat dan hampir supaya ada kesedaran tentang rasa syukur, rasa malu, rasa taat, rasa hormat dan rasa patuh akan sesuatu. Ibu bapa adalah contoh terbaik. Kalau tidak ia menjadi ‘bapa borek, anak rintik’ atau ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Rasulullah s.a.w. memberikan kita peringatan tentang anak-anak yang asalnya dilahirkan fitrah ibarat kain putih. Ibu bapalah yang bakal mencorakkan warna kecenderungan, pemikiran dan gelagat anak-anak. Pada hari ini ramai di kalangan anak-anak yang tidak menerima olahan dan pedoman yang sewajarnya. Anak-anak menjadi terbiar dan masanya terisi dengan agenda hidup yang sia-sia, melalaikan dan akhirnya anak-anak merasakan hidup adalah satu kekosongan. Lalu hayunan kakinya menyebabkan ia melangkah ke tempat yang salah. Naluri ingin tahu menjadi bercelaru. Nafsu ingin mencuba meninggalkan malapetaka. Dan tekanan yang menghimpit diri akibat rasa tidak puas menyebabkan remaja menjadi tewas. Di samping rasa ketuhanan yang tinggi remaja perlu dibimbing ke arah memiliki rasa malu dan taat. Malu dan taat menyebabkan remaja tahu batasan dan adab. Orang-orang tua dan dewasa harus lebih dulu memiliki watak malu dan taat. Malu dan taat adalah asas pembentukan watak anak-anak menjadi baik. Malu dan taat kepada Allah menyebabkan ibu bapa melakukan solat dan amal-amal ibadah yang lain. Ibu bapa yang mentaati Allah dengan jiwa yang tulus akan dihormati oleh anaknya. Bapa yang malu kepada Allah tidak akan berkasar dan mendera isterinya. Apabila isteri hidup dengan kasih sayang suami, kasih sayang itu ditumpahkan pula kepada anak-anak. Apabila anak-anak yang disayangi sentiasa dibelai dengan kalimah yang merangsang kebaikan dan bisikan yang sentiasa memberikan pedoman, anak-anak tentunya berada dalam rahmat Allah. Perkara utama yang amat mempengaruhi remaja atau anak-anak ialah faktor contoh yang berada di sekitar mereka. Anak-anak mempunyai naluri memerhati, mencontohi dan meneladani. Ibu bapa harus menjadi guru atau pendidik yang faham akan pertumbuhan akal, emosi, psikik atau jiwa anak-anak di samping faham akan minat, bakat dan kecenderungan mereka. Memahami semua itu memudahkan ibu bapa mengambil pendekatan yang terbaik dan bijaksana, dengan memahami bagaimana pertumbuhan dan perkembangan diri anak-anak menjadi terisi dengan pedoman dan didikan yang berguna supaya anak-anak mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai salah-benar, halal haram, boleh dan tidak boleh serta dosa pahala. Allah memberikan manusia al-Quran sebagai pedoman. Tanpa al-Quran manusia tidak akan tahu siapa Tuhannya yang sebenar dan mengapa sesuatu itu diciptakan. Al-Quran tidak diturunkan kepada gunung-ganang, bukit-bukau atau batu-batan. Perkhabaran dari langit ini diturunkan kepada manusia iaitu Nabi Muhammad s.a.w.. Daripadanya Nabi dapat petunjuk dan pedoman. Ia memandu Nabi memahami maksud alam nyata dan alam ghaib yang kemudian membentuk watak Nabi yang bersifat contoh atau qudwah kepada seluruh umat manusia. Dengan al-Quran sebagai petunjuk dan Nabi sebagai contoh manusia mempunyai sumber yang terbaik bagaimana hidup harus berlalu dan bagaimana contoh meninggalkan pedoman. Tanpa pedoman remaja akan kehilangan pesan dan arah. Tanpa pedoman remaja akan kehilangan jalan dan hala tuju. Tanpa pedoman remaja tidak akan belajar daripada peristiwa lalu untuk dijadikan iktibar kerana yang lalu itu sering berulang kembali. Pedoman yang baik dan berguna terutama daripada pengajaran agama dan kerohanian boleh menyebabkan remaja tahu batasan salah benar, kenal pasti potensi diri untuk maju dan berjaya dan tahu akan jalan kembali bila tersasar dan hilang pedoman. - PROF. DR. SIDEK BABA IALAH PENSYARAH Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). |