http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
TANZANIA atau dahulunya dikenali sebagai Tanganyika ialah negara yang terletak di bahagian timur Afrika. Ia bersempadan dengan Kenya, Uganda, Rwanda, Burundi, Republik Demokratik Congo, Zambia, Malawi dan Mozambique. Keindahan Tanzania terletak pada gunung Kilimanjaro yang diiktiraf sebagai gunung tertinggi di Afrika dengan ketinggian 5.985 meter. Selain itu, Tanzania juga mempunyai tiga buah pulau iaitu Pulau Zanzibar, Pulau Pemba dan Pulau Mafia. Zanzibar terkenal dengan tanaman cengkih dan ulama-ulama Islam. Keluasan wilayah Tanzania adalah 364,900 meter persegi dan mempunyai jumlah penduduk mencecah 36 juta orang. Jumlah penduduk beragama Islam adalah 35 peratus, Kristian (30 peratus) dan Animisme (35 peratus). Pulau Zanzibar mempunyai penganut Islam terbesar, iaitu sekitar 95 peratus daripada jumlah penduduknya. Tanzania merupakan salah sebuah negara termiskin di dunia dan bergantung sepenuhnya kepada sektor pertanian yang menyumbang kepada 85 peratus eksport. Kemasukan Islam ke Afrika Timur (Tanzania, Uganda dan Kenya) dipercayai bermula pada abad kelapan. Ahli -ahli arkeologi telah menemui beberapa peninggalan Islam seperti syiling emas, perak dan tembaga bertarikh 830M serta sebuah masjid tertua di Kizimkazi yang terletak di tenggara Zanzibar pada 1007. Pada 1332, Ibn Batuta pernah berkunjung ke Tanzania dan Zanzibar. Dalam persinggahannya, beliau mencatatkan bahawa hampir sebahagian besar penduduk pantai Afrika Timur beragama Islam dan bahasa Arab dijadikan sebagai bahasa pertuturan dan perdagangan. Ketika itu, Lautan Hindi dikenali sebagai ‘Laut Muslim’. Sultan Sayyid Said dari Dinasti Busaid di Muscat, Oman pada 1832 pernah memimpin Zanzibar dan kesultanan ini bertahan selama 132 tahun. Pengaruh kesultanan Sayyid Said berkembang hingga ke Kenya dan negara-negara pantai timur Afrika yang lain. Akibat pengaruh yang sangat kuat, bahasa Arab digunakan oleh penduduk asli Tanzania dan Zanzibar (Negro Bantu) sebagai dasar bahasa tempatan dengan sebutan Kiswahili atau Swahili. Mereka menyebutnya sebagai Afro-Islamic Language dan berbangga kerana bahasa Swahili menjadi salah satu daripada tujuh bahasa utama di dunia. Bahasa Swahili sebagai bahasa komunikasi Islam Afrika Timur digunakan oleh banyak negara Afrika seperti Kenya, Uganda, Congo, Madagascar, Mauritius dan beberapa suku di Afrika Tengah dan Barat. Portugal menyerang pantai timur Afrika pada abad ke-16 dan memerintah hingga abad ke-18. Pada abad ke-19, apabila berlakunya kemasukan Jerman dan Inggeris, para pejuang Kristian mula menyebarkan agama tersebut di kalangan penduduk Tanzania hingga menimbulkan beberapa konflik. Misalnya, perang Maji Maji yang tercetus pada 1905 hingga menyebabkan pembunuhan terhadap beberapa pejuang Kristian. Setelah Perang Dunia Pertama berakhir, penyebaran agama Kristian semakin hebat. Dengan itu, beberapa pertubuhan agama ditubuhkan, antaranya, African Association (1929) dan Jamiatul Islamiyya fi Tanganyika. Organisasi ini kemudian membentuk Tanganyika African Association (TAA) atau Tanganyika African National Union (TANU). TAA yang pada mulanya dikuasai orang Islam telah diambil alih oleh Julius K.Nyerere yang akhirnya menjadi presiden pertama Tanzania. Pada 1962, kongres organisasi Islam berlangsung di ibu kota Tanzania, Dar Es Salaam dan kemudiannya membentuk East African Muslims Welfare Society. Kesan daripada politik pecah dan perintah yang diamalkan Inggeris menyebabkan umat Islam di Tanzania dan luar Zanzibar ketinggalan dari aspek pendidikan walaupun nisbah peratus penduduk beragama Islam dan Kristian ketika itu tidak jauh berbeza. Zanzibar adalah pusat penyebaran Islam di Afrika Timur. Semasa zaman penjajahan, proses Islamisasi di Tanzania bermula dari Zanzibar yang dipelopori Sheikh Muhyidin bin Sheikh bin Abdullah al-Qahtany (1789-1869). Perkembangan Islam di Zanzibar dan Tanzania turut memberi ancaman kepada agama Katolik. Bukti sejarah penting dicatatkan ketika John Okello, seorang Kristian Militan dari Uganda, menyerang Zanzibar pada 11 Januari 1964. Beliau mendapat bantuan dari Tanganyika (sekarang Tanzania), Kenya, Uganda, Zimbabwe, Malawi dan Mozambique telah menyerang kira-kira 13,635 penduduk beragama Islam pada waktu tengah malam. Gerakan bawah tanah Okello di Zanzibar dibayangi oleh pemikiran Oscar Kambona iaitu orang kanan Julius Nyerere yang menyatakan pendiriannya pada Second War Conference of Churches pada 1910 bahawa Islam adalah ancaman terbesar bagi perkembangan agama Katolik di Afrika Timur. Bagi umat Islam di Tanzania dan Zanzibar, Julius Nyerere dianggap sebagai mastermind gerakan bawah tanah dalam Revolusi Zanzibar yang diketuai Okello. Segala dugaan yang berlaku semakin menguatkan semangat mereka untuk memperjuangkan agama Islam di Tanzania. Pada 1988, para pejuang agama Islam generasi muda telah mengadakan demonstrasi di Zanzibar. Dalam peristiwa tersebut, banyak tokoh Islam ditangkap, antaranya Seif Shariff Hamad. Hingga ke hari ini, orang Islam di Tanzania masih dibayangi wajah pengganas walaupun pada dasarnya mereka memperjuangkan hak dan kedudukan agar tidak terus tertindas. Misalnya, mereka pernah menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Akta Pencegahan Keganasan 2002. Berdasarkan kepada akta tersebut, ia tidak menyatakan agama dan kumpulan tertentu. Bagaimanapun, kelompok Islam dan sesetengah media tempatan serta NGO mengkritik kuasa yang diberikan kepada polis untuk menyiasat, mengenal pasti dan menahan pengganas. Setelah dua tahun dilaksanakan, pihak pemerintah tidak pernah menahan suspek, merampas harta benda atau mengenakan hukuman di bawah akta tersebut. Pada 2004, pihak polis Zanzibar telah menahan aktivis Islam, Sheikh Kurwa Shauri. Kerajaan Zanzibar mengarahkan agar beliau kembali ke Dar es Salaam. Shauri telah diusir kerana didakwa menimbulkan ketegangan dan mengganggu keamanan di Zanzibar. Hingga kini, tiada perkembangan mengenai kes tersebut dilaporkan. Pada 2004 semasa majlis derma amal yang diadakan di Dar es Salaam untuk menubuhkan sebuah universiti Islam di Morogro, Presiden Benjamin Mkapa telah menyerahkan bangunan pentadbiran kerajaan kepada Yayasan Pembangunan Islam (MDF). Bangunan tersebut akan digunakan untuk menubuhkan Universiti Islam Tanzania. Bagaimanapun hingga setakat ini, universiti yang diuar-uarkan masih belum memulakan operasinya. Di tanah besar Tanzania, pengurusan masjid diletakkan di bawah Majlis Kebangsaan Islam Tanzania (BAKWATA) yang mempunyai kuasa memilih mufti. BAKWATA memainkan peranan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penubuhannya pada 1968 menyebabkan parti Chama Cha Mapinduzi (CCM) digulingkan. Evolusi Islam di Tanzania tidak semudah yang disangkakan kerana ia berdepan dengan konflik dan ancaman pihak musuh iaitu Barat yang mempunyai kekuatan dari segi sokongan politik, sumber kewangan, senjata dan kekuatan sumber manusia. |