http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
Oleh ZUARIDA MOHYIN
| HUBUNGAN mesra terjalin antara Zuraini Mohd. Shokori dengan pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Sungai Merab Luar, Kajang, Selangor. |
BERSAING dalam pasaran kerja adalah lumrah kepada mereka yang bergelar siswazah. Fenomena yang biasa berlaku adalah sikap segelintir graduan dalam atau luar negara berlumba-lumba mencari peluang pekerjaan biarpun ia tidak menepati bidang pengajian masing-masing. Semuanya kerana tidak mahu diri dilabel sebagai penganggur terhormat.
Namun bagi Guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam di Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Sungai Merab Luar, Kajang, Selangor, Zuraini Mohd. Shokori, 24, dia bukan sahaja berusaha untuk mencari pekerjaan tetap yang bersesuaian tetapi turut berazam agar bidang yang dipelajari selama di menara gading dapat dimanfaatkan untuk insan lain. Bertekad atas dasar itulah maka pemegang ijazah sarjana muda Pengajian Islam dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini telah melawat ke Rumah Kebajikan Perkid (Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor) di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor pada saat-saat dia hampir menamatkan pengajian di universiti. “Saya mengetahui tentang pusat ini menerusi seorang sahabat yang pernah ke sana. Pertama kali ke sana hati saya sudah jatuh cinta. Perasaan sedih dan simpati silih berganti dan ia menguatkan keazaman saya untuk membantu anak-anak yatim itu biarpun hanya bergelar sukarelawan. “Rumah ini menempatkan remaja perempuan yang menghadapi pelbagai masalah sosial seperti mengandung anak luar nikah, mangsa rogol, sumbang mahram, lari dari rumah dan paling kronik kes hampir-hampir murtad kerana terpedaya dengan teman lelaki yang berlainan agama. Tambah menyedihkan pelatih-pelatih di sini merupakan paar pelajar sekolah berumur antara 13 hingga 17 tahun. “Perasaan simpati itu secara tidak langsung melahirkan semacam desakan dalaman untuk membantu mereka yang majoritinya anak-anak Melayu beragama Islam. Setelah bercampur gaul dengan mereka, saya dapati kesilapan yang dilakukan oleh remaja ini bukannya 100 peratus kesalahan mereka sendiri tetapi berpunca daripada kepincangan dalam institusi keluarga dan ketiadaan penghayatan Islam,” kata Zuraini yang mula aktif dengan Perkid pada Mei 2005 iaitu dua bulan selepas tamat pengajian di UKM. Menceritakan pengalamannya dalam kerja-kerja sukarelawan terutama di Perkid, anak bongsu daripada empat adik-beradik ini tidak dapat melupakan saat-saat apabila dia terpaksa mengendalikan kes pertama secara sendirian. Rasa tanggungjawab “Pengerusi Perkid iaitu Ustaz Masridzi Sat memberikan saya kes pelajar tingkatan empat yang berzina hampir 30 kali dengan teman lelakinya dalam tempoh tiga hingga empat bulan perkenalan. “Bila sahaja saya terima kes itu, perasaan pertama yang wujud dalam diri saya ialah rasa tanggungjawab, bersemangat serta bertekad untuk melakukan yang terbaik demi masa depan gadis tersebut,” jelasnya. Alhamdulillah, pengalaman dan ilmu teori yang diperoleh sepanjang di UKM banyak membantu. Pengalaman sebagai Pengerusi Helwa, Ikatan Studi Islam (ISIUKM) dan penyertaan dalam Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) sedikit sebanyak menyumbang kepada kerjaya dan aktiviti sukarelawannya. “Selain itu, sehingga kini saya bersyukur kerana dalam pelbagai tugasan yang diamanahkan, tidak kira semasa bergelar pelajar, guru mahupun sukarelawan, semuanya berjalan seiringan. “Malah saya seronok dapat menyumbang dan ini sedikit sebanyak menimbulkan minat pada diri saya untuk mendalami bidang kaunseling pada masa depan,” katanya. Namun, sejak bekerja di Darul Fuqaha, masa dan penglibatannya dengan Perkid agak terbatas. Pun begitu, Zuraini mendisiplinkan dirinya berkunjung ke sana, sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu sama ada pada cuti hujung minggu atau di sebelah malam. Ditanya mengapa minatnya dalam bidang sukarelawan begitu mendalam, kata Zuraini, kekerapan bertemu dengan pelatih-pelatih di Perkid menyedarkannya bahawa gadis-gadis itu kurang keyakinan diri atau terlalu bersikap rendah diri sehingga menenggelamkan kelebihan yang ada pada diri mereka. Beliau turut berterima kasih kepada Ustaz Masridzi dan isterinya kerana melaksanakan satu tanggungjawab yang cukup murni biarpun menghadapi pelbagai kekangan dan cabaran. Kesungguhan mereka turut menjadi pemangkin semangat kepadanya. “Apabila melihat pelatih-pelatih mengenali agama Islam dan terpancar kesedaran dan keinsafan pada wajah mereka, ia sudah cukup menggembirakan hati saya. Usaha dan matlamat di Perkid tidak akan berjaya tanpa sokongan sama ada dari segi material dan tenaga semua pihak terutama umat Islam. Menerusi ruangan ini saya menyeru mereka yang bermurah hati menghulurkan derma,” katanya. Ia boleh dilakukan melalui akaun Bank Islam 1206501002008 dan Maybank 562245500145 atas nama Perkid Selangor ataupun dengan menghubungi Ustaz Masridzi di talian 019-2572717 atau pejabat Perkid di talian 03-9021 3730. |
Untuk harga emas jongkong dan lain-lain yang hebat sila hubungi saya di goldman999.9@hotmail.com.
Harga lagi murah daripada Habib, Poh Kong dan dealer2 lain. Bekalan antarabangsa.
Rebat tunai segera RM 1,000 hingga RM 1, 500.
Terima kasih.