Harakahdaily, 17 jun 2006
Sat | Jun 17, 06 | 01:38:43 PM Oleh Helmi Khalid iapalah diri ini untuk mencatatkan tentang tokoh ulung, bekas Presiden PAS, Almarhum Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor. Namun, apabila menyemak diari, terlihat tarikh 23 Jun, ingatan terhadap Ustaz semakin memuncak. Masih terbayang ratusan ribu lautan manusia mengiringi jenazah Almarhum ke pusara di bumi Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah pada tarikh tersebut empat tahun yang lalu. Almarhum telah pergi mendahului kita, setiap dari kita pasti ada kenangan tersendiri bersamanya, baik kenangan dari segi tutur cakapnya, sapaannya, gurauannya, teguran atau nasihat. Bagi amilin PAS, akan ada warung-warung tepi jalan yang memahat memori mereka bersama Ustaz, kalangan pimpinan mesti mempunyai lebih dari itu pengalaman bersamanya. Batang tubuh ulama' sering dikaitkan memberi syafaat kepada yang lainnya baik ketika mereka masih hidup atau telah meninggal dunia. Tidak hairanlah kisah seorang penjual air memperolehi untung luar biasa pada hari pengkebumian Almarhum jika dikaitkan dengan kisah ulama' dan syafaat tadi. Penulis sendiri setelah dapat tiga orang anak, baru mampu miliki sebuah 'rice cooker' itu pun kerana berjaya menjawab soalan dalam Rehlah Keluarga Harakah di Kota Bharu 2003, soalan bilakah tarikh pemergian Almarhum Ustaz Fadzil. Muktamar 2002 di Putik Kelantan menjadi pertemuan terakhir kita bersama Almarhum, menggulung perbahasan, segenap sudut dijelaskannya, dari gelaran Pak Kiai Shuhaimi sehinggalah menjawab bagaimana beliau mengambil pendekatan bersetuju berdiri satu pentas bersama Dr. Mahahthir dalam Forum Perdana membahaskan soal Palestin dan maruah ummah. Ketika semua bersalaman selepas selesai bermuktamar, penulis yang berada di 'porch' Putik tiba-tiba dipanggil oleh Almarhum, "Enta nak balik dengan sapa?, mana Nasir (Ketua Pemuda Kawasan Kuala Kedah), enta tolong habaq kat dia, ana dah suruh Ustaz Nasharuddin Daud ganti ana bagi ceramah Maulud di surau Pak Lang Men (Surau As-Syibyan, Kubang Rotan), enta balik kirim salam kat Pak Lang Men, ana mintak maaf tak boleh pi." Selepas mengaku semua yang dipesan, dalam hati berkata, walaupun baru saja berfikir untuk muktamar, Ustaz masih sempat cari orang gantikan tempatnya menyampaikan ceramah maulud. Terlalu banyak perkara yang perlu kita contohi, pernah ketika mengikuti Ustaz menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Kampung Alor Melintang, Anak Bukit, beliau menerima panggilan telefon. Tenang beliau menjawab, suaranya terlalu perlahan, habis perbualan telefon Ustaz tanya kepada Pengarah MTD Anak Bukit, "Azim, berapa buah rumah lagi?, kita perabih semua la no..." Habis semua rumah dilawati, barulah Ustaz bersuara, "Azim, ana nak kena balik rumah, kesian kat Kak Jah, barang kemas dia sapa curi tak tau, beg tangan pun berselerak, rumah ana tu pintu depan jarang tutup, Kak Jah dok belakang la tu, dia pun tak sedar, ana mintak diri dulu," Ketika ibu bapa lain sibuk melayani karenah anak-anak untuk menyambut Aidilfitri, Ustaz pernah menyampaikan ceramah di PASTI Kampung Gunung Sali, Alor Star pada malam Hari Raya. Beliau juga pernah untuk berpatah balik dari Ipoh ke Alor Star untuk menziarahi seorang nelayan di Kuala Kedah yang tercedera di laut bila mengetahui berita itu, ketika itu beliau sedang memandu ke Kuala Lumpur. Memandu kereta bersendirian sudah menjadi kelaziman, ada yang menegur kerana bimbang keselamatannya, tapi beliau menjawab, "Ana tak suka menyusahkan sapa-sapa." Mungkin tak ramai yang tahu, bekas Presiden itu juga gemar seterika baju sendiri, termasuklah kopiah putih yang dipakainya. Ingatan Ustaz amat luar biasa, bekas Setiausaha Pemuda PAS Kawasan Kuala Kedah pernah beritahu, dia berjumpa Ustaz untuk meminta tarikh satu program sambil pegang diari, Ustaz minta dia buka diari...."ok, 17 haribulan ni saya ada di lapang" (sambil tunjukkan jarinya pada diari). Itu di antara cebisan kisah ustaz yang pernah dilihat sendiri , pastinya terlalu banyak sikap yang boleh diambil sebagai pengajaran jika menyingkap nama Ustaz di lain-lain tempat, apatah lagi di persada antarabangsa. Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kedah ke 40 baru-baru ini antara lainnya menyebut, "kita mesti ikhlas mengakui bahawa kita belum mampu melahirkan Ustaz Fadzil Noor yang kedua." Ustaz Fadzil juga adalah insan biasa, menimba ilmu di Ma'ahad Mahmud Alor Star, sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir. Pernah bertugas sebagai pensyarah universiti, pernah dipecat dari kerja, pernah kalah dalam pilihan raya, menyampaikan ceramah, kuliah siang dan malam, dicaci, dihina, difitnah oleh pemimpin kerajaan, namun ketokohannya tetap terserlah, ramai yang berkata Ustaz tiada tolok bandingnya. Persoalannya mengapa? Dalam beberapa majlis yang terselit pengkisahan semula riwayat hidup Almarhum, kita menangis, kita kagum, kita sedih dengan liku perjuangan Almarhum, namun, adakah perasaan itu padam begitu saja selepas selesai program. Adakah 'Fadzil Noor kedua' akan muncul di kalangan pimpinan atau di kalangan amilin yang ada, namun jika direnung dalam-dalam, alangkah baiknya jika di semua peringkat ada 'Fadzil Noor kedua', pastinya perjuangan ini akan bertambah manis bila semuanya yang ada dalam PAS dikagumi seperti sanjungan kepada Almarhum Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor. - mks. |