KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Umat Islam di seluruh negara diminta berpuasa sunat esok (Khamis) dan menunaikan solat hajat pada malam hari untuk memohon ke hadrat Allah supaya mahkamah menolak permohonan Azlina Jailani untuk keluar Islam dengan menggugurkan nama Islam pada kad pengenalannya untuk dikenali sebagai Lina Joy. Dalam kes Lina Joy lawan Majlis Agama Islam, Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendaftaran Negara & Kerajaan Persekutuan di hadapan Mahkamah Persekutuan, Azlina memohon untuk pemansuhan (deletion) perkataan “ISLAM” sebagai agama dalam kad pengenalan Lina Joy. Permohonan ini ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pengerusi Front Bertindak Anti Murtad (FORKAD), Ustaz Riduan Mohamad Nor berkata pihaknya bimbang gejala murtad akan bertambah buruk jika mahkamah memberikan kebenaran kepada Azlina untuk keluar Islam. Sehubungan dengan itu beliau menyeru umat Islam juga diseru untuk hadir beramai-ramai di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya 28 Julai ini, untuk memberikan sokongan kepada pihak berkuasa agama untuk mempertahankan kesucian Islam di Malaysia. Agenda tersirat Menurut kumpulan NGO Pembela Islam (PEMBELA), isu yang dicabar oleh Lina Joy merupakan suatu yang amat serius kerana ia memberikan implikasi sama ada Artikel 11(1) membenarkan seorang Melayu Muslim mengisytiharkan diri keluar Islam dengan sendiri tanpa perlu pengesahan Mahkamah Syariah dan memilih agama lain untuk dianuti dan diamalkan. Menurut mereka ini adalah kes pertama isu Artikel 11(1) dibawa ke peringkat Mahkamah Persekutuan untuk ditafsirkan. Menyentuh lebih lanjut isu ini, Ustaz Riduan berkata, umat Islam merasakan ada suatu agenda tersirat apabila kes yang dibawa Lina Joy mendapat sokongan beberapa NGO bukan Islam (seperti Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Buddha dan Sikh, dan pemerhati luar negara seperti wakil kedutaan Amerika, Australia, dan lain-lain). Seorang peguam (anggota PPI) yang menghubungi Harakahdaily berkata, jika mahkamah membenarkan permohonan Lina Joy, status Islam sebagai Agama Persekutuan akan (Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan) tidak bermakna sama sekali kerana Islam akan dianut dan diamalkan seperti agama lain. Ini kerana katanya, menurut Perlembagaan Malaysia, Islam diletakkan di status yang tinggi dan berbeza daripada agama lain. Contoh, Artikel 12(2) kuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan oleh kerajaan (Persekutuan & Negeri) kepada institusi-institusi Islam seperti Masjid, Sekolah Agama Rakyat, dan lain-lain akan terhapus. Kes Lina Joy juga menyentuh Artikel 11(4), di mana ia memberi hak kepada kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang menyekat dakyah agama lain kepada orang Islam. Jika kes Lina Joy dibenarkan, Artikel 11(4) akan tidak bermakna lagi dan orang bukan Islam boleh memurtadkan orang Islam. Malah ia juga secara serius menyentuh Artikel 160, di mana MELAYU ditafsirkan sebagai beragama ISLAM. "Membenarkan kes Lina Joy bermakna membuka ruang untuk bangsa Melayu dihapuskan. Ini juga bermakna orang Melayu yang dibenarkan murtad secara automatis melupuskan status, hak-hak dan keistimewaannya sebagai Melayu," tegas beliau. Himpunan Raksaksa Anti-Murtad Sehubungan dengan itu PEMBELA turut menganjurkan Himpunan Raksaksa Anti-Murtad Negeri Selangor pada 30 Julai 2006 mulai jam 8.30 pagi di Dataran Surau An-Nur, Fasa 1, Bandar Baru Bangi, Selangor (berhampiran Darussyifaa'). Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, antara pemimpin NGO yang akan berucap adalah Yusri Mohamad (Presiden ABIM/Pengerusi Gabungan NGO Pembela Islam), Sulaiman Abdullah, Prof Dr Abdul Aziz Bari, Mohamed Hanipa Maidin, Dato Muhamad Burok dan Zulkifli Noordin. Manakala Ustaz Shafie Ngah bertindak sebagai moderator. Program tersebut adalah anjuran Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi/Surau-Surau, Gabungan NGO-NGO Bandar Baru Bangi, Jaringan Siswazah Malaysia (JASA), Front Bertindak Anti Murtad (FORKAD) dan PEMBELA. |