KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan sikap sebahagian wakil rakyat negeri ini yang disifatkan baginda sebagai lebih cenderung bekerja untuk kepentingan diri, kelompok atau puak mereka saja.
Baginda bertitah, perbuatan sedemikian bukan saja mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan negeri, malah boleh menyebabkan mereka menderita selain memberi imej buruk terhadap Selangor.
Sambil mengingatkan wakil rakyat supaya tidak menyalahgunakan jawatan, baginda mahu mereka yang dilantik sebagai ahli majlis perbandaran atau ahli lembaga pengarah syarikat kerajaan sentiasa mematuhi undang-undang.
“Beta tidak mahu mereka menyalah guna kuasa dan beranggapan boleh berbuat sesuka hati tanpa takut melanggar undang-undang atau seolah-olah mereka kebal daripada dikenakan tindakan,” titahnya pada istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda ke-61 di Istana Alam Shah, semalam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor dan Kerabat Diraja Selangor, turut hadir.
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, semua wakil rakyat perlu mengambil berat dan memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan segera masalah rakyat khususnya berkaitan perumahan, jalan raya, sekolah, banjir, tanah runtuh dan pencemaran alam.
“Tiada guna dilaungkan Selangor itu maju, mempunyai bangunan cantik dan kilang perusahaan yang besar jika kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat belum sampai ke tahap memuaskan.
“Aduan dan rintihan rakyat perlu diatasi segera bagi mengelak mereka terus berada dalam keadaan yang tidak selesa. Beta mahu semua pihak supaya segera bermuafakat memberi perkhidmatan cemerlang,” titahnya.
Baginda juga meminta semua pegawai dan kakitangan kerajaan bersikap matang, menggunakan kebijaksanaan dan mengelak birokrasi dalam menyelesaikan masalah supaya tidak ada tugas yang dilengah-lengahkan.
Pada masa sama, baginda menitahkan semua penduduk dari negeri lain yang berhijrah ke sini supaya tidak membawa gejala negatif hingga menimbulkan masalah di negeri ini.
“Beta tidak menghalang sesiapa pun datang ke Selangor untuk mencari rezeki tetapi jika menimbulkan masalah, pihak berkuasa akan dititah untuk mengambil tindakan keras,” titahnya.
Pada istiadat itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengetuai senarai 102 penerima darjah kebesaran dan pingat, dengan dikurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Anugerah sama turut dikurniakan kepada Ahli Dewan Diraja Selangor, Datuk Syed Mohd Yusof Syed Nasir manakala Orang Besar Bergelar, Tengku Datuk Ramli Tengku Shahrudin pula menjadi penerima tunggal Darjah Kebesaran Kelas Pertama Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran Datuk Setia.
Masing-masing 14 penerima dikurnia Darjah Kebesaran Kelas Kedua Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan Darjah Kebesaran Dato' Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS). Kedua-dua kurniaan itu membawa gelaran Datuk.
Selain itu, 13 dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Selangor (SMS) dan Darjah Kebesaran Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS).