Rujukan:Mahmood Shith Khattab, Islam Dan Kemenangan, Pustaka Ikhwan, Jilid 1, 1988
Orang-orang Arab di zaman Jahiliyyah hidup mundur dari segi politik, sosial, ekonomi dan ketenteraan berbanding orang-orang Rom dan Parsi. Pada masa dahulu dua kuasa besar ini merupakan tuan kepada orang-orang Arab di Iraq, Syria dan di Yaman. Bahkan orang-orang Habsyi pun mempunyai tempat dan kedudukan yang tinggi di Yaman. Apakah pengaruh Islam dalam mencapai kemenangan? Apabila Islam datang, ia telah mengangkat kedudukan politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan mereka. Umat Islam telah menguasai Rom, Parsi, Habsyah dan beberapa kawasan lain dari China di sebelah Timur hinggalah ke jantung Peranchis di sebelah Barat, dari Siberia di sebelah Utara hinggalah ke Lautan Hindi di sebelah Selatan. Dahulunya mereka miskin tidak bersenjata, tinggal di khemah-khemah di tengah padang pasir. Selepas masuk Islam mereka telah berubah menjadi kaya-raya, mendiami istana-istana, banglo-banglo mewah di Bandar-bandar di tepi tebing sungai. Dari segi ketenteraan mereka dahulunya tiada keinginan mempertahankan tanahair mereka dari dijajah oleh Rom dan Parsi. Malah orang Habsyi pun tidak berjaya disaingi oleh mereka. Selepas datangnya Islam mereka menjadi kuat dan perkasa dan telah memenuhi bumi dengan sikap toleransi dan keadilan. Jadi berdasarkan senario ini jelaslah bahawa Islam mempunyai pengaruh tertentu kepada sesebuah umat yang lemah kepada umat yang kuat dan gemilang. Apakah yang ada pada Islam? Sebelum kedatangan Islam, orang Arab mahir dalam perang gerila, mahir menggunakan senjata dan menunggang kuda. Mereka mempunyai kepakaran bergerak dengan mudah dari suatu tempat ke suatu tempat lain dalam waktu yang singkat serta sedikit beban pentadbiran. Apa yang kurang ialah mereka selalu berpecah-belah, pertentangan di antara sesama sendiri amat hebat. Oleh itu segala kemahiran perang dan keberanian semulajadi itu hanylah sia-sia, tidak berfaedah malah memusnhakan di antara mereka sesama sendiri. Apabila Islam datang ia telah menyatukan aqidah dan gerakerja mereka, menyatukan barisan dan organisasi, menanam jiwa berdisiplin dan patuh, membersih dan mensucikan diri, mengwujudkan keseimbangan antara kebendaan dan kerohanian. Ini menjadikan segala usaha mereka teratur dan berdisiplin di bawah satu kepimpinan untuk mencapai matlamat yang sama. Sejak itu mereka bersatu dan di kenali sebagai umat Islam yang bersaudara dan berkasih sayang sesama mereka. Apakah hikmah ibadah dalam Islam? Rasulullah SAW telah memimpin dua ribu orang dalam umrah qadha’, memimpin seratus ribu orang dalam Haji Widak. Mereka berjalan dengan penuh teratur, berlari anak(saie), menyentuh rukun-rukun dah Hajar Aswad dengan tertib. Kesemua ini adalah mengikut peraturan Islam. Mereka dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri yang diyakini suci dirinya dan benar oleh para sahabat RA. Keyakinan inilah yang merupakan tulang belakang dan kekuatan jiwa umat Islam. Islam mewajibkan umatnya bersolat, diikuti pula dengan solat berjamaah yang ditunaikan oleh umat Islam dibelakang seorang imam. Mereka menunaikan rukun-rukun solat dan sujud dengan penuh keserasian yang mengkagumkan. Nilai-nilai solat ini telah tersemat di dalam jiwa umat Islam. Orang-orang Arab yang biasanya degil, tidak mahu tunduk pada kehendakm luar akhirnya dapat dididik dengan kepatuhan dan disiplin dalam solat berjamaah ini. Solat berjamaah telah mengambil tempat sebagai medan permulaan yang hakiki untuk melatih orang-orang Islam berdisiplin. Sikap berdisiplin umat Islam di dalam solat telah mendorong semangat bersatu sesama mereka dan menimbulkan rasa persamaan yang lebih luas di antara mereka. Bentuk kesatuan berdasarkan ikatan kekelurgaan kini bertukar kepada kesatuan yang lebih besar dan kukuh iaitu kesatuan aqidah. Nilai-nilai di dalam Islam inilah yang menjadikan mereka gagah perkasa dan umat gemilang dan dikenang di sepanjang zaman. Wallahua’lam… |