http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Agama/20060405225803/Article/
Oleh Hasliza Hassan
GEMAR MEMBACA: Wan Akashah menjadikan bahan bacaan sebagai rujukan bagi memastikan dirinya berilmu dalam melaksanakan tugas sebagai pendidik dan pendakwah.PERASAAN bangga yang dirasakan sebagai murid apabila guru boleh mengingati namanya adalah sebab pendidik dan pendakwah, Wan Akashah Wan Abd Hamid, 42, memastikan sebolehnya beliau memanggil muridnya dengan nama mereka. Baginya, cara itu lebih mesra serta menjadikan hubungan antara murid dan guru lebih bermakna. Ini kerana murid akan berasa mereka benar-benar diberi perhatian, seterusnya memudahkan proses pendidikan.
Sikap ambil berat dan mudah mesra itu membuatkan beliau popular di kalangan pelajar sehingga mendapat undian tertinggi untuk dinobatkan sebagai ‘Guru Mithali 2002’ yang dianjurkan pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK), Selangor.
“Masa saya sekolah dulu, saya bangga apabila guru panggil nama saya. Rasa teruja kerana guru boleh ingat nama kita. Sebab itu apabila saya menjadi guru, saya nak tahu nama murid dan akan panggil mereka dengan nama mereka sendiri.
“Malah, saya juga tidak kekok ke asrama mereka untuk bersembang, pegang bahu apabila bercakap supaya hubungan itu lebih mesra. Saya yakin dengan cara ini, lebih mudah untuk mendidik mereka apabila hubungan baik itu ada.
“Saya selalu pesan kepada guru panggil pelajar dengan nama indah yang diberi ibu bapa mereka kerana ini akan membuatkan pelajar rasa bangga," katanya.
Tugas Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar SMAPK sejak lima tahun lalu, bagi menjaga kebajikan pelajar bukan tugas mudah. Tetapi, beliau seronok melaksanakannya kerana ingin melahirkan pelajar berjaya dalam bidang akademik dan kerohanian.
Beliau yang kini bercuti bagi menyambung pengajian doktor falsafah di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, tugas pendidik juga tidak terhad kepada mengajar, tetapi mereka juga sebagai pembimbing.
Jiwa mendidik tertanam dalam dirinya yang dilahirkan dalam keluarga pendidik. Bapanya, bekas Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Kubor Panjang di Pendang, Kedah, manakala ibunya guru mengajar al-Quran.
Pengalaman dipilih sebagai Ketua Umum ketika belajar di Maktab Mahmud, Alor Star, Kedah turut memberi kelebihan kepada anak ketujuh daripada sembilan adik beradik itu untuk menguasai seni mendidik secara berhikmah.
Selain memimpin dan menjadi ‘polis’ yang mendaulatkan undang-undang sekolah, antara tugas lain Ketua Umum ialah memberi tazkirah setiap pagi pada perhimpunan sekolah di hadapan guru serta pelajar.
Walaupun mengakui peringkat awal dilatih memberi tazkirah di hadapan rakan dan ada yang lebih senior daripadanya menimbulkan rasa panik serta kelu lidah, lama kelamaan perasaan itu dapat dikuasai.
Tugas kepemimpinan tidak berhenti setakat di sekolah menengah, tetapi terus disemai ketika melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.
Tradisi di sana, pelajar tahun dua perlu mengajar mereka yang di tahun satu dan begitulah seterusnya, melatih beliau menjadi seorang guru secara tidak langsung.
Peluang menimba pengetahuan di negara orang tidak disia-siakan begitu saja. Kesempatan bergaul dengan pendidik di kalangan ulama digunakan sepenuhnya Wan Akashah untuk menggali sebanyak ilmu yang mungkin.
Beliau sempat belajar dengan ahli fatwa Universiti Al-Azhar, Sheikh Musalam, mendalami tiga kitab muktabar iaitu Tafsir al-Quran Lil Iman Al-Arabi, Sahih Bukhari oleh Imam Bukhari dan Sirah Ibnu Hisham.
“Ini pengalaman berharga kerana saya akan duduk di sebelah Sheikh Musalam membacakan dua baris isi kandungan kitab. Kemudian beliau mengulasnya. Rasa bangga juga kerana dapat belajar dengan ulama terkenal.
“Saya ambil semua ilmu yang saya dapat dan kutip setiap pengalaman itu untuk diterjemahkan dalam pendekatan mendidik. Itulah yang saya persembahkan dan inilah yang dapat dilihat hari ini,” katanya.
Membahasakan diri dengan kata ganti ‘ustaz’, terbayang rasa bangga pada wajahnya apabila ilmu yang diperoleh dapat pula disebarkan kepada pelajar dan masyarakat yang lebih mengenali beliau sebagai penceramah.
Saat gembira baginya ketika menyampaikan ilmu kepada pendengar yang ada di depan, terutama pelajar serta anak muda yang pada hemat beliau memerlukan lebih perhatian serta bimbingan untuk mencorak kehidupan masa depan mereka.
Berdasarkan kajian juga, Wan Akashah berkata, pelajar serta remaja lebih cenderung meniru gaya idola mereka daripada guru, ibu bapa serta artis.
Menyedari sifat semula jadi itu, beliau menggunakan landasan serta pengaruh yang dimiliki guru untuk memperturunkan ilmu supaya dapat dimanfaatkan pelajar. Bukan saja demi kehidupan di dunia, malah sebagai persediaan kehidupan di akhirat.
Wan Akashah yang sentiasa mengamalkan sikap merendah diri dan mudah didekati walaupun kini tergolong di kalangan insan popular, tidak kekok untuk duduk ‘melepak’ dan bersembang dengan pelajar atau bekas pelajarnya.
Malah, penceramah yang wajahnya sudah biasa dilihat di televisyen, mahukan hubungan akrab yang terjalin dengan pelajarnya terus berkekalan.
Begitu juga nasihat yang disampaikan terutama kepada pelajar bermasalah yang pernah diberi bimbingan supaya tunjuk ajar dapat dimanfaatkan untuk kebaikan masa depan mereka.
“Saya tidak mahu berubah kerana saya seronok dapat minum bersama pelajar atau bekas murid saya. Saya juga bangga walaupun pernah marah pelajar, terutama yang bermasalah, mereka tetap menghormati saya.
“Itulah istimewa serta kelebihan hubungan murid dan guru jika dipupuk dengan betul. Guru yang melaksanakan amanah dengan ikhlas akan terus dikenang. Guru jika pencen pun, pangkat guru itu tidak gugur,” katanya.
Wan Akashah menyanjung tinggi status guru dan berharap masyarakat dapat menghargai profesion mulia itu. Tidak adil kerana sikap segelintir guru yang gagal memenuhi amanah, semua guru turut dicalit lumpur.
Pengalaman mendidik selama 15 tahun dan ketinggian ilmu yang dimiliki cukup terserlah melalui susunan kata-kata serta tonansi yang digunakan sepanjang pertemuan di rumahnya di Saujana Impian, Kajang.
Menurut Wan Akashah, semua itu terbina melalui minat yang mendalam untuk mencari ilmu dan menjadikan Rasulullah SAW yang menggunakan pendekatan penuh hikmah sebagai contoh paling mudah diikuti.
Kesempatan bertemu Wan Akashah yang turut ditemani isterinya, penceramah Siti Nor Bahyah Mahamood, terpacul soalan cepu mas, tidakkah beliau terasa dibayangi populariti isterinya yang memang hebat menyampaikan ceramah?
Jawapannya: “Saya nampak penceramah atau pendakwah wanita tidak ramai. Itu yang nampak ‘ustazah’ (panggilan Siti Nor Bahyah) lebih menonjol. Sebenarnya, saya juga adalah pengkritik ustazah nombor satu.
“Lagipun, saya bangga kerana dapat membantu ustazah dari segi topik ceramah yang ingin disampaikan dan kebanyakannya adalah hasil perbincangan serta percambahan idea kami berdua,” katanya.
Bagi mengelakkan fitnah, beliau lebih senang jika isterinya sentiasa ditemani sama ada dirinya sendiri, anak atau ibu mentua apabila memenuhi jemputan khususnya yang jauh.
PROFIL Nama: Wan Akashah Wan Abd Hamid Tarikh lahir: 24 April 1964 Tempat lahir: Kubor Panjang, Pendang, Kedah Isteri: Siti Nor Bahyah Mahamood Anak: Wan Muhammad Saifullah,19, Wan Nur Nadiyatul Husna,18, Wan Muhammad Afifuddin,15, Wan Muhammad Nasrullah,11 PENDIDIKAN: Maktab Mahmud, Alor Star, Kedah
Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Universiti Al-Azhar Mesir Ijazah Sarjana Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia
|
assalammualaikum...
saya nak tahu sangat apakah maksud nama akashah?saya berkenan meletakkan nama tersebut pada anak saya tapi saya msih belum ketemu maksudnye.sudah banyak saya cari didalam maksud nama-nama yang baik.ad diantaranya bermaksud langit tapi saya xpasti.saya terlalu minat semanis kurma..