ANGGOTA Pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang pergi ke Yogyakarta, Indonesia dalam misi membantu mangsa gempa bumi, baru-baru ini terkejut apabila melihat salib dan patung Hindu dalam sebuah masjid ketika menunai solat Zuhur di sebuah kampung di situ.
Laporan itu menyebut ketika ditanya penduduk kampung, mereka mengatakan itu perkara biasa atas dasar berkongsi melakukan ibadat dalam sebuah bangunan iaitu dengan Jumaat digunakan orang Islam, Ahad oleh orang Kristian dan Selasa untuk orang Hindu.
Sebelum ini, masyarakat Islam seluruh dunia dikejutkan dengan tindakan seorang wanita menjadi khatib dan mengimamkan solat Jumaat tanpa menutup aurat dan bergesel bahu antara lelaki dan perempuan dalam sebuah gereja di Amerika Syarikat.
Baru-baru ini, laporan agensi berita asing menyebut pihak berkuasa Indonesia menahan seorang lelaki selepas dia membaca surah al-Quran dalam bahasa Indonesia ketika mengimamkan satu solat fardu di negara itu.
Tahun lalu, rakyat Malaysia juga dikejutkan dengan penubuhan ‘kerajaan langit’ oleh seorang lelaki bergelar Ayah Pin dan dalam video cakera padatnya (VCD) yang dijual kepada orang ramai, Ayah Pin yang beragama Islam menunjukkan sikap toleransi dengan turut bersembahyang mengikut cara agama lain.
Ini antara beberapa contoh ekstrem perbuatan liberalisme dan pluralisme beragama yang mula ditunjukkan secara terbuka oleh segelintir individu dan kumpulan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Menyedari bahaya dan ancaman fahaman ini, sekumpulan ulama, intelektual Islam, pendakwah serta anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam berkumpul selama tiga hari di Ipoh, Perak, baru-baru ini, khusus untuk membincangkan masalah itu. Muzakarah Ulama 2006 itu bertemakan ‘Pemurnian Islam dari Liberalisme dan Pluralisme’.
Muzakarah diadakan setiap tahun sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memberi tumpuan terhadap fahaman yang dikatakan semakin menular dan mulai mendapat tempat tempat di kalangan golongan terpelajar yang ‘terpesona’ dengan kemajuan peradaban Barat.
Fahaman liberalisme dan pluralisme Islam ini dikatakan melihat pandangan hidup Islam yang berpandukan beberapa dasar seperti konsep tuhan, kenabian, ilmu dan agama diletakkan sebagai objek yang membingungkan dan perlu diperdebatkan.
Bagi penganjur muzakarah berkenaan, Barat sengaja mencipta pelbagai terminologi untuk meletakkan Dunia Islam dalam aneka perangkap mereka dengan menciptakan pelbagai istilah seperti Islam tradisional vs moden, Islam sederhana vs fundamentalis, Islam legalistik/formalistik vs substantif normatif, Islam budaya vs struktural serta Islam inklusif vs eksklusif.
Pada masa sama, Barat juga sengaja melontarkan pelbagai istilah dan pemikiran dengan aliran politik dan ideologi serta melakukan permainan istilah yang berbahaya dan asing seperti Islam Liberal dan Islam Plural dengan maksud mendatangkan keraguan umat Islam terhadap ajaran agamanya. Ia didakwa dilakukan semata-mata takut melihat kebangkitan semula ummah menerusi ideologi Islam sebenar.
Seorang profesor sosiologi agama di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat, Charles Kurzman, memperkenalkan istilah atau gerakan baru di Dunia Islam ini menerusi bukunya ‘Islamic Liberalism’ dan sebelum itu Leonard Binder cuba menyebarkan fahaman berkenaan dalam bukunya Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies.
Secara ringkas, ‘mazhab’ Islam Liberal berakar umbi kepada fahaman kebebasan tanpa batasan bagi membolehkan akal manusia digunakan secara sebebas-bebasnya untuk menghuraikan semua perkara.
Pengarah Eksekutif Institut Kajian Pemikiran dan Tamadun Islam Indonesia (INSISTS), Adnin Armas, ketika membentangkan kertas kerja ‘Sumber Liberalisasi Pemikiran Islam: Kes al-Quran’ dalam muzakarah itu, berkata pengikut fahaman berkenaan kini semakin berani mencabar akidah umat Islam dengan menyarankan agar al-Quran disunting semula dan disusun menjadi sebuah kitab baru dikenali al-Quran edisi kritis (a critical edition of the Quran) kerana mendakwa terdapat banyak kelemahan dalam isi kandungannya.
Katanya, golongan berkenaan yang sebahagiannya memiliki latar belakang pendidikan agama mula mengemukakan gagasan supaya al-Quran diolah semula pada 2002 di Indonesia sehingga sanggup mengeluarkan ungkapan antara lain: “Hakikat dan sejarah penulisan al-Quran sendiri sesungguhnya penuh dengan berbagai-bagai nuansa yang delicate (rumit), dan tidak sunyi daripada perdebatan, pertentangan, intrik dan rekayasa (direka-reka).”
Adnin berkata, fenomena itu adalah kes baru kerana ketika penjajahan Belanda, Inggeris dan Jepun di Indonesia sekalipun perkara seperti itu tidak berlaku. Malah, beliau berpendapat pemikiran yang mengkritik al-Quran itu bersumberkan daripada pandangan hidup Yahudi-Kristian.
Katanya, dengan menggunakan tafsiran baru kepada sumber dalaman tradisi Islam, golongan orientalis membangunkan teori baru yang bukan saja berbeza tetapi bertentangan dengan pendapat golongan ulama besar silam hingga sekarang.
Malangnya, kata beliau, ramai pemikir Islam terpengaruh dengan pemikiran itu sehingga pelbagai kritikan dilontarkan mereka terhadap kitab suci itu terutama dalam mempertikaikan mushaf Uthmani yang digunakan sekarang sebagai tidak asli.
“Untuk menangani persoalan berkenaan, sudah tiba masanya bagi golongan ulama meneliti karya orientalis ini secara serius. Menerusi tindakan membongkar akar pemikiran sekular-liberal, diharapkan ranting pemikir Islam yang terpengaruh dengan kerangka pemikiran Barat akan dengan sendirinya roboh,” katanya.
Kebimbangan sama diluahkan Profesor Madya Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Anis Malik Thoha, ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Implikasi Faham Pluralisme Agama’.
Beliau mempersoalkan apakah fahaman pluralisme agama benar-benar dapat mewujudkan tujuan mulia seperti kedamaian, kesetaraan, perpaduan dan toleransi sebagaimana yang dicadangkan atau akan menciptakan masalah baru yang semakin merumitkan lagi isu kemanusiaan dan ragam manusia yang ada sekarang.
Katanya, fahaman pluralisme agama dicipta dalam kerangka sekular, liberal dan logikal positivism Barat yang tidak percaya kepada perkara berunsur metafizik seperti hari kiamat dengan alasan tidak mungkin dapat dibuktikan secara empirik, bukan saja boleh menggoyah akidah ummah tetapi juga memberi implikasi dan menjurus terhadap usaha penghapusan agama, kepelbagaian formaliti serta cabaran terhadap hak asasi manusia.
Beliau mempersoalkan jika pengikut fahaman pluralisme percaya ‘persamaan semua agama secara penuh tanpa ada yang lebih berkuasa (superior) dan benar daripada yang lain’, adakah mereka boleh menerima agama primitif dan pagan yang turut membabitkan kepercayaan memakan daging manusia, sebagai satu bentuk agama setaraf dan dibenarkan amalannya?
Dr Anis menjelaskan jika semua agama diletakkan dalam satu kelompok sama bermakna wujud keseragaman dan tiada perbezaan antara satu sama lain dengan semua penganut agama berkenaan ‘dipaksa’ menerima fahaman itu, maka ia secara tidak langsung mewujudkan satu bentuk kepercayaan baru, manakala hak asasi penganut agama terbabit untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan sendirinya dinafikan.
Beliau juga mempersoalkan jika semua agama dianggap sama dan disamaratakan, tidakkah akan berlaku keadaan yang mana satu agama akan cuba menjadi superior dan mendominasi kepercayaan agama lain seperti dibuktikan di Barat apabila gagasan pluralisme dipraktikkan, kepercayaan dan amalan Kristian lebih menjadi dominan.
Menyedari bahaya ancaman liberalisme dan pluralisme agama itu, maka Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah berkenaan yang juga Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, dalam ucaptamanya meminta umat Islam di negara ini mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada orang Islam di negara lain sehingga tewas akibat diserang pemikirannya.
Beliau berkata, serangan pemikiran itu boleh mengubah fikiran dan kefahaman umat khususnya golongan elit dan terpelajar yang mengendalikan kehidupan orang Islam dari segi intelektual, politik, undang-undang dan lain-lain aspek kehidupan, sehingga mereka tidak yakin dan sangsi terhadap kesesuaian Islam dengan kehidupan moden bercirikan sains dan teknologi serta kemampuannya untuk menyelesaikan masalah semasa.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang bersidang dalam Musyawarah Nasional (Munas) Kali Ketujuh di Jakarta pada 24 dan 25 Julai tahun lalu, mengeluarkan fatwa bahawa ajaran Ahmadiyyah, liberalisme dan pluralisme sebagai ajaran sesat. Sejak itu, pengikut fahaman liberalisme dan pluralisme terus melakukan cacian dan makian terhadap MUI dan golongan ulama.
Dalam sejarah tamadun Islam, ramai di kalangan umat Islam sendiri yang mengeluarkan hujah atas nama ‘mengeluarkan umat Islam dari kemunduran’ dengan bercakap atau melakukan perbuatan yang melanggar syariat seperti Ziya Gokalp (1875-1924) di Turki yang menyarankan agar orang Turki bersolat menggunakan bahasa Turki agar mereka berasakan jiwa lebih dekat dengan Tuhan serta menganggap hukum Islam hanya bersumberkan nas al-Quran dan adat kebiasaan (urf) masyarakat di sesuatu tempat.
Begitu juga dengan pemerintah Islam Moghul di India, Akbar Khan atau ‘Akbar Agung’ yang menciptakan agama Din Ilahi menggabungkan semua agama atas alasan untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Namun, secara kebetulan atau mungkin disengajakan, sebahagian besar tokoh atau mereka yang cuba ‘memajukan ummah dari kemunduran akibat fahaman sempit Islam’ kebiasaannya mendapat sokongan atau menerima bantuan daripada pertubuhan atau negara Barat. Keadaan ini berlaku sejak dari zaman penjajahan Barat di negara Islam sehingga sekarang.
Umat Islam seharusnya sentiasa berhati-hati dengan serangan pemikiran terhadap mereka yang tidak pernah henti-henti sejak daripada zaman silam sehingga sekarang dan sentiasa kekal dalam agama itu sehingga hari kematian.
Firman Allah, bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutinya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kaum bertakwa.”
|