Berita Harian, 29 jun 2006
Oleh Hasliza Hassan
NIAT asal ke Mesir untuk melancong melihat negara orang, tetapi akhirnya menetap di sana selama 10 tahun untuk menimba pengetahuan dalam bidang qiraat (pembacaan) al-Quran di Universiti Al-Azhar Mesir. Mengimbau kembali perjalanan hidupnya itu, Pensyarah al-Quran dan al-Qiraat di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Nazri Abdullah teringat kepada perbualan di antara Imam Malik dengan Khalifah Harun Al-Rasyid.
Ketika itu, pemerintah berkenaan meminta Imam Malik datang ke rumah untuk mengajar anaknya. Kata Imam Malik yang terkandung 1,000 pengertian: “Ilmu itu bukan mencari tetapi dicari.”
“Hingga kini saya pegang kata-kata Imam Malik dan saya bersyukur kerana berpeluang mencari ilmu. Kini matlamat saya ialah memanfaatkan ilmu dipelajari bersama mereka yang mencari ilmu.
“Saya memang tidak sangka pemergian ke Mesir rupa-rupanya titik awal pencarian ilmu. Bayangkan dulu saya tidak tahu membaca al-Quran dan sekarang saya mengajar kaedah membaca al-Quran,” katanya.
Anak kelahiran Gombak, Selangor itu, tidak malu mengakui beliau mula belajar membaca al-Quran pada usia 22 tahun atas kehendak hatinya dan keinginan yang kuat mendorongnya mempelajari ilmu berkaitan al-Quran.
Perasaan suka untuk belajar al-Quran timbul selepas terdengar perbualan dua penumpang bas yang bercakap dalam bahasa Arab, ketika dalam perjalanan pulang dari Chow Kit, Kuala Lumpur.
Malangnya, pada masa itu, beliau yang berniaga daging di Pasar Chow Kit tidak nampak peluang ke arah mendalami ilmu al-Quran atau bahasa Arab.
Apabila ke Mesir pada 1988, Mohd Nazri tidak membawa sebarang bekalan ilmu kerana beliau memang tidak fasih membaca al-Quran apatah lagi bertutur dalam bahasa Arab.
Sebagai budak yang baru hendak belajar, beliau terpaksa mengikuti kelas asas tajwid dan menghafal peraturan membaca al-Quran dengan betul di Maahad Qiraat al-Azhar, Universiti al-Azhar.
Selepas boleh membaca al-Quran dengan lancar atas bantuan rakan serta usaha gigihnya, Mohd Nazri terus mencambah ilmu yang ada dan mempelajari kaedah qiraat sehingga peringkat seterusnya.
“Pada mulanya niat saya ke Mesir kerana hendak melancong. Mak saya tanya lama ke di sana, saya kata bosan nanti saya baliklah. Kemudian apabila saya belajar tajwid, saya kata lepas pandai nanti saya nak balik Malaysia.
“Bak kata Imam Shafie, lagi banyak kita belajar lagi banyak kita tidak tahu sebab Allah akan buka semua ilmu-Nya. Lepas belajar tajwid, saya belajar qiraat dan seterusnya. Itu yang duduk Mesir sampai 10 tahun,” katanya.
Mohd Nazri berkata, sebagai perantau yang mencari ilmu di negara orang, semua perlu dilakukan atas inisiatif sendiri kerana tiada siapa yang akan memaksa atau menyokong.
Menyedari hakikat itu, beliau bangga kerana diri yang pada mulanya tidak tahu langsung membaca al-Quran, akhirnya berjaya memiliki diploma dan ijazah sarjana muda bidang qiraat al-Quran melalui daya usahanya sendiri.
Katanya, ilmu qiraat memerlukan minat yang mendalam disebabkan bidang itu agak rumit kerana perlu menghafal dalil dan matan yang menjadi panduan kepada setiap bacaan.
Qiraat al-Quran adalah bacaan al-Quran yang diturunkan Allah melalui Jibrail kepada Rasulullah SAW.
Semuanya ada tujuh bacaan mutawatir, yang bersambungan daripada tujuh iman kepada Rasulullah SAW iaitu Imam Nafi, Imam Ibnu Kathir, Imam Abu Amru, Imam Ibnu Amir, Imam A’sim, Imam Hamzah dan Imam Kisaei.
Setiap imam mempunyai dua rawi (anak murid) yang meriwayatkan bacaan itu daripada gurunya.
“Perlu difahami, perbezaan pendapat adalah fitrah manusia dan begitu juga dalam bidang qiraat al-Quran ini kerana masing-masing ada lahjah. Samalah macam orang Kelantan dialek lain, Negeri Sembilan loghat lain.
“Saya belajar 10, tujuh bacaan mutawatir dan tiga lagi qiraat yang sahih yang diterima untuk dipelajari sebagai fardu kifayah. Bagi saya, jika kita dapat kuasai ilmu ini, ia adalah satu kelebihan,” katanya.
Sekembalinya ke tanah air pada 1998, Mohd Nazri terus memohon untuk mengajar di Darul Quran dan diterima sebagai guru sandaran selama lima bulan sebelum diserapkan ke jawatan tetap hingga sekarang.
Niatnya satu - untuk mengembangkan ilmu qiraat al-Quran yang belum begitu menyerlah di kalangan masyarakat negara ini dan hanya difahami oleh mereka yang mendalami bidang berkenaan.
Kini, beliau berbangga kerana ilmu itu menjadi satu syarat wajib kepada pelajar di Darul Quran.
Selain itu, penonton program realiti Akademi al-Quran (AQ) yang disiarkan di TV9 turut didedahkan dengan ilmu qiraat bersama peserta yang diajar kaedah bacaan sebelum mereka diuji secara spontan oleh juri.
Mohd Nazri yang juga salah seorang juri AQ berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada penonton AQ, mereka berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ilmu qiraat.
Beliau yakin dengan usaha berterusan, mereka yang berminat mendalami ilmu qiraat akan mampu menguasai tujuh kaedah bacaan al-Quran, seterusnya melahirkan lebih ramai golongan yang boleh membaca al-Quran dengan cara bacaan berbeza.
“Saya berterima kasih kepada Datuk Wan Muhammad Abdul Aziz yang ketika itu Pengetua Darul Quran yang memberi sokongan kepada cita-cita saya mengembangkan ilmu qiraat.
“Begitu juga TV9 yang memperkenalkan program AQ, Ketua Pengarah Jakim dan Pengetua Darul Quran kerana memberi peluang saya terbabit secara langsung dalam program itu.
“Ini adalah sumbangan kecil saya kepada umat Islam. Saya bersyukur diberi peluang ini oleh Allah kerana mungkin jika saya tidak ke Mesir, saya masih lagi menjual daging di Pasar Chow Kit,” katanya.
PROFIL
Nama: Mohd Nazri Abdullah
Tarikh lahir: 26 September 1966
Tempat lahir: Gombak, Kuala Lumpur
Pendidikan:
Diploma Qiraat al-Quran Maahad Qiraat al-Azhar, Universiti al-Azhar Mesir
Ijazah Sarjana Muda Qiraat al-Quran Maahad Qiraat al-Azhar, Universiti al-Azhar Mesir
Isteri: Mozirisah Mohd Zain
Anak: Mashitah Farhana, 12, Muslimah Solehah, 12, Marwan al-Hakam, 11, Mus’ab Umair, 7.
|