harakahdaily, 16 julai 2006
Sun | Jul 16, 06 | 03:03:08 PM Oleh Azamin Amin KUALA LUMPUR, 16 Julai (Hrkh) - Pameran 'Misteri, Jin, Hantu Keranda dan...' di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam yang berlangsung baru-baru ini mendapat liputan pelbagai akhbar dan reaksi 'hangat' orang ramai kerana 'hantu-hantu' yang dipamerkan didakwa sebagai asli dan bukannya replika. Malah, dilaporkan bahawa hantu-hantu tersebut seperti Langsuir yang dipamerkan dikatakan masih bernyawa kerana rambutnya semakin panjang, Toyol dikatakan boleh hidup semula jika dipuja manakala bagi sesiapa yang bernasib baik akan 'bertemu' pocong dalam waktu-waktu tertentu. Namun dakwaan ini telah disanggah oleh Timbalan Mursyidul Am PAS dan pengamal perubatan alternatif Islam terkenal, Dato' Dr Haron Din, bahawa tidak pernah berlaku dalam sejarah, bahawa makhluk halus ini boleh ditangkap dalam bentuk rupa asal mereka. Katanya, hantu seperti pocong, langsuir, toyol adalah jenis makhluk halus mengikut kepercayaan orang melayu dan dalam al-Quran makhluk halus ini disebut sebagai Jin, Syaitan, Iblis dan Ifrit. "Saya ragui kesahihannya kerana ia berlawanan dengan ayat al-Quran tentang makhluk halus," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi. Beliau berkata, dalam sepotong ayat al-Quran menyatakan,"sesungguhnya mereka (mahkluk halus) boleh melihat kamu, sedangkan kamu tidak boleh melihat mereka." Namun demikian, katanya Allah mengizinkan makhluk halus menyerupai rupa bentuk seperti ular hitam yang menakutkan, bayang-bayang, angin ribut dan sebagainya. "Yang saya tahu, makhluk halus boleh dilihat dengan rupa bentuk yang lain tetapi bukan dalam bentuk asal mereka,"katanya. Beliau mengisahkan pernah berlaku, ada iblis yang menganggu Rasulullah s.a.w. ketika solat lalu Rasulullah s.a.w. menangkapnya dan terlintas nabi untuk menambat makhluk tersebut di salah satu tiang masjid, sehingga dapat dilihat dan dipermainkan oleh kanak-kanak Madinah. Namun niat itu dibatalkan kerana katanya, Rasulullah teringat kepada sepotong ayat Al-Quran, yang merujuk kepada Nabi Sulaiman a.s. yang telah pun memohon kepada Allah untuk memberinya kuasa luar biasa dan kuasa memiliki semua jenis makhluk halus, angin dan awan yang tidak boleh ditiru atau dimiliki oleh mana-mana manusia selepasnya dan sehingga ini, tidak ada satu riwayat daripada para sahabat yang pernah melihat melihatkan mahkluk halus yang ditangkap oleh Rasulullah itu. Katanya, dalam Perang Badar, ada juga kumpulan iblis menyerupai rupa bentuk manusia untuk membantu tentera musuh, yang akhirnya cabut lari setelah berhadapan dengan tentera Islam dan semua kisah ini menunjukkan mahkluk halus boleh menyerupai pelbagai rupa tetapi tidak kepada bentuk asal mereka. "Saya khuatir makhluk halus yang dipamerkan hanyalah 'dummy' ataupun muslihat berbentuk sihir oleh pencipta-penciptanya untuk mempengaruhi dan memperdaya masyarakat." katanya lagi. Sebaik-baiknya, bahan-bahan ini dibuat kajian terlebih dahulu dengan mengabungkan kepakaran ahli agama dan ahli-ahli saintis supaya dapat membuktikan bahawa ini adalah mahkluk halus ataupun tidak tanpa mempamerkan terlebih dahulu kepada orang ramai. "Bukti yang ada hanyalah bersandarkan dakwaan-dakwaan pihak-pihak tertentu seperti dukun ataupun bomoh yang dicurigai kesahihannya," katanya lagi. Seperti contoh katanya, mumia yang tubuhnya kekal hingga ke hari ini, kajian saintifik mendapati bahawa paru-parunya dipenuhi air akibat lemas di laut dan bila dirujuk kepada al-Quran ternyata benar bahawa beliau adalah Firaun yang cuba membunuh Nabi Musa a.s. di laut merah dan ini menunjukkan bahawa kajian menyeluruh daripada ahli sains dan ahli-ahli agama dapat membukti kesahihan satu-satu perkara. Ditanya tentang persoalan akidah berkaitan kehadiran orang ramai yang ingin mengenali 'hantu-hantu' tersebut, beliau menyifatkannya sebagai fitrah dan naluri manusia yang ingin tahu dan malah Islam menggalakkannya kalau ianya bersifat ilmiah. Namun katanya, objektif penganjur dipertikai kerana kalau ianya berbentuk ilmiah dan menambahkan pengetahuan perlulah dijalankan kajian secara menyeluruh dan wujud bukti-bukti yang sahih sebelum dipamerkan kepada orang ramai. Malah katanya beliau sangsi tanggapan bahawa pameran tersebut dapat menambahkan ketaqwaan dan keimanan mereka kepada Allah setelah mengenal makhluk halus tersebut. "Sedang suasana persekitaran, cerita dan babak di pameran tersebut dibuat untuk menyeram dan menakutkan lagi orang ramai.Sepatutnya pameran sebegitu menambahkan lagi keberanian kita dan membuktikan kita boleh 'menguasai makhluk tersebut tetapi merujuk kepada laporan akhbar ia adalah sebaliknya," katanya. "Seumpama ibu dan ayah menakut-nakutkan anak-anak mereka supaya tidur, tujuan baik tetapi kaedahnya sangat negatif," katanya. |