Utusan Malaysia, 17 ogos 2006
| WALAUPUN berbangsa Yahudi, ia bukan penghalang kepada keluarga Yousef untuk menerima kebenaran dan memeluk Islam. |
Susunan SITI AINIZA KAMSARI SAAT ini tidak tergambar betapa bencinya perasaan terhadap golongan yang bernama Yahudi. Apatah lagi yang menghuni di sebuah negara haram, Israel! Ini kerana mereka mempunyai satu gerakan yang cukup zalim dan kejam tanpa mempunyai nilai-nilai ketamadunan manusia kecuali bernafsukan binatang. Rejim Israel menjadikan manusia yang lain umpama binatang buruan yang kemudiannya dibunuh dengan kejam. Tanpa ada sebarang peraturan dan undang-undang yang membataskan kecuali berpaksi kepada undang-undang rimba! Walaupun mendakwa mereka mempunyai agama yang suci sebagai pegangan hidup. Istilah seperti Yahudi mabuk misalnya, merujuk kepada mereka yang hidup tiada pedoman dan sebagainya menggambarkan lagi betapa buruknya bangsa ini di pandangan masyarakat antarabangsa. Namun masih ada Yahudi yang waras akalnya. Malah sanggup meninggalkan segala macam doktrin dan dogma Yahudi dan akhirnya mengakui kebenaran Islam dan memeluk agama itu tanpa sebarang halangan dan prejudis. Antaranya, Yousef al-Khattab yang seisi keluarga memeluk Islam dengan seikhlas hati sekali gus membuktikan Islam agama sejagat. “Saya dilahirkan dalam keluarga Yahudi tetapi lebih bersifat sekular, iaitu kami tidak begitu taksub terhadap ajaran Taurat dalam setiap aspek kehidupan. “Bagi kami, ruang lingkup agama adalah ibadat dan bukan untuk dijadikan cara hidup” katanya. Ketika usianya mencecah 18 tahun, Yousef ingin melihat lebih jauh ke dalam agamanya sendiri, terutama dalam mempercayai kewujudan tuhan. Lantas memilih pengajian Rabbinical Orthodox Judaism ketika belajar di sekolah Yahudi. Pada 1988, Yousef kemudiannya menyambung pengajian peringkat tinggi, iaitu yang dikenali sebagai Yeshiva dan memulakan perjalanan hidupnya dengan mengikuti secara kultus atau mengamalkan ajaran yang selama ini dipelajari secara teori. Pada 1991, Yousef mengahwini seorang wanita berketurunan Yahudi, bernama Luna Mellul yang kemudiannya dikenali Qamar al-Khattab setelah memeluk Islam. “Isteri saya berasal dari sebuah bandar yang dikenali sebagai Tetouan di Maghribi dan mendapat pendidikan di sebuah sekolah Yahudi untuk kanak-kanak perempuan, Sampson Raphael Bet Yaakov atau Bais Yakov setelah berpindah ke Manhattan Amerika Syarikat,” kata Yousef. Mereka dikurniakan Rachamin Cohen (kini dikenali sebagai Abdel Rahman) setahun kemudian. Perkahwinan yang dibina pada masa itu, penuh bahagia tanpa sebarang konflik. Selepas kelahiran Rachamin, pasangan Yahudi ini kemudiannya menetap di sebuah komuniti Yahudi yang dikenali sebagai Satmar Hasidic di Williamsburg, Brooklyn Amerika Syarikat. Ketika menetap di situ, Yousef mula mendapati ada sesuatu yang tidak kena apabila ajaran Yahudi tidak menjadi satu amalan agama yang baik malah penuh dengan pembohongan dan penipuan. “Mereka menggunakan institusi seperti kuil Yahudi, synagogue dan institusi kewangan Yahudi, Bank Yeshiva untuk menggelapkan wang-wang sumbangan sehingga menjadikan kehidupan masyarakat Yahudi di situ agak teruk dan pengotor. “Ini menyebabkan saya berasa tidak lagi sesuai menetap dengan komuniti di situ. Apa lagi untuk membesarkan anak-anak” katanya. Sehingga 1998, pasangan ini dikurniakan tiga anak lagi iaitu Hesibeh, Abdul Aziz (dahulunya Ezra) dan Abdullah (dahulunya Ovadia). “Sehingga ke saat itu saya masih mempercayai bahawa agama Yahudi merupakan satu ajaran yang benar” katanya. Begitupun kata Yousef, beliau sebenarnya masih tidak begitu memahami ajaran sebenar agama itu kerana untuk memahami Judaisme ia terpaksa melalui tiga cara atau peringkat termasuk ‘peringkat yang tersembunyi’. Peringkat-peringkat itu sebenarnya menjadi sebahagian daripada teka-teki yang mengelirukan bagi mereka yang mengamalkan atau kultus Rabbinical. “Anda tidak akan dapat belajar sehingga habis teks-teks Rabbinic kerana ada kalanya anda hanya perlu tunduk dan patuh kepada ketua agama yang dikenali sebagai rabbi (atau Elders of Zion) yang menentukan tahap-tahap tertentu untuk seseorang itu mempelajari agama Yahudi. “Mereka inilah yang menterjemahkan agama Yahudi untuk anda dengan cara mereka yang tersendiri” kata Yousef. Tetapi apabila rabbi dapat mengesan Yousef mula mempertikaikan ajaran Yahudi menyebabkan dirinya sentiasa diperhatikan. “Rabbi hendak tahu ke mana kita hendak pergi dan dengan siapa kita berkawan, sehingga begitu sekali mereka mengawal penganut-penganutnya. “Tidak cukup setakat itu, malah atas nasihat Rabbi, mereka meminta kami sekeluarga supaya berpindah untuk menetap di Palestin dan menjadi sebahagian penduduk dalam kerajaan Israel,” katanya. Ini kononnya agar pegangan Yousef terhadap ajaran Yahudi semakin kukuh kerana hidup dalam lingkungan agama dan penganut yang lebih kuat pegangan mereka terhadap agama Yahudi. Pada September 1998, mereka sekeluarga menuju ke Tebing Barat Gaza dan menetap di sebuah penempatan Yahudi iaitu Gush Qatif di situ. Walaupun diberi pelbagai kemudahan ketika di situ tetapi peristiwa anaknya, Rachamin) ditipu oleh gurunya menyebabkan Yousef semakin tidak mempercayai agamanya sendiri. Rachamin ketika itu pulang dari sekolah dan sambil termengah-mengah kerana berlari beliau memberitahu bahawa guru yang mengajarnya di sekolah tidak menutup rambutnya dengan betul malah berpakaian menjolok mata. “Anak saya dan para pelajar yang lain tidak diajar mengenai Taurat kerana sebahagian besar masa mereka dihabiskan dengan hanya bermain dan menyanyi” kata Yousef. Peristiwa itu menyebabkan Yousef tekad berpindah walaupun ketika itu beliau sendiri berada dalam kesempitan wang dan harta. Malah menurut Qamar, beliau tidak menyenangi keadaan dan corak kehidupan pendatang Yahudi di situ. “Barulah saya mengenali siapa sebenarnya Yahudi. Antara lain sejak kecil anak-anak Yahudi yang hampir satu juta ramainya itu diajar supaya membenci dan menghina bangsa lain yang dianggap tidak layak mendiami bumi ini kecuali bangsa Yahudi. “Ini merupakan sifat pentingkan diri sendiri yang paling teruk pernah saya jumpa. Walaupun kami Yahudi, kami menentang sikap-sikap bongkak seperti itu,” kata Qamar. Yousef kemudiannya memilih menetap di Netivot, iaitu sebuah penempatan yang telah dirampas hak miliknya daripada rakyat Palestin pada 1948. Sebuah pertubuhan parti politik yang bercirikan agama, Shas kemudiannya membantu Yousef memulakan kehidupan. Mereka diberi sebuah rumah dan anak-anak Yousef dihantar ke sebuah sekolah persendirian sehingga anaknya berjaya menguasai bahasa Hebrew. “Tetapi ketika menetap di situ saya berkenalan dengan seorang Arab Islam yang berasal dari Arab Saudi dan selama dua tahun perkenalan itu, kami sering menghabiskan masa bertukar-tukar pandangan mengenai agama masing-masing. “Beliau sering bertanyakan kepada saya mengenai soal akidah dalam agama Yahudi untuk beliau bandingkan dengan tauhid uluhiah sebagai sebahagian daripada kepercayaan kepada monotheism dalam Islam” katanya. Oleh kerana Yousef tidak mampu menjawab dengan baik mengenai pertanyaan kawannya itu, beliau merujuk kepada rabbi-rabbi Yahudi bagi mendapatkan jawapan yang lebih pasti, tepat, jelas dan logik. Yousef begitu terperanjat apabila diberi hampir 1,001 jawapan yang berbeza-beza dan mengelirukan. “Malah Rabbi tidak dapat menunjukkan kepada saya di mana perkataan atau nama tuhan (Yahweh) ada disebut dalam teks ajaran dan kitab Taurat. “Ini menyebabkan saya semakin keliru terhadap pegangan saya selama ini. Lalu saya menuju ke penempatan Arab Palestin bagi mendapatkan senaskhah al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris,” katanya. Buat sekian kalinya, Yousef mengalami kejutan apabila mendapati kitab al-Quran itu mampu memberikan jawapan yang beliau cari selama ini. “Malah al-Quran bukan sahaja menjelaskan kedudukan dan siapa sebenarnya bangsa Yahudi tetapi Allah masih dengan begitu belas dan mengasihi mengajak orang Yahudi kembali ke ajaran Islam,” kata Yousef yang begitu bersyukur memiliki al-Quran dan tidak sanggup melepaskannya. Beliau sanggup menghabiskan masa membaca keseluruhan al-Quran yang menyebabkan beliau tidak teragak-agak meninggalkan agama Yahudi. “Saya memeluk Islam kerana saya tidak mampu menolak sebuah ajaran yang di dalamnya penuh dengan kebenaran dan menjawab pelbagai persoalan terutama soal ketuhanan. “Malah saya amat gembira kerana dua minggu selepas memeluk Islam, isteri saya pula memeluk Islam setelah beliau juga seperti saya mengkaji dan mendalami serba sedikit mengenai Islam terutama melalui al-Quran. Ini diikuti oleh anak-anak kami kemudiannya,” katanya. Akui Qamar, beliau terkejut dengan tindakan suaminya memeluk Islam kerana telah menjadi sebahagian dari ajaran agama Yahudi supaya membenci agama lain terutama Islam. “Tetapi Yousef tidak memaksa saya mengikut jejak langkahnya kerana dalam Islam dibenarkan seorang lelaki Islam mengahwini wanita dari golongan ahli kitab. “Tetapi saya juga ingin mengetahui apa yang Islam lakukan sehinggakan suami saya sanggup memeluk agama itu dengan saya sendiri cuba mengkaji mengenai Islam,” jelas beliau. Hasilnya, Qamar bangga mengakui kebenaran Islam. Kini Yousef sekeluarga menetap di Maghribi. Mereka gemar mendalami ajaran Islam dan bahasa Arab bagi mewujudkan keluarga Muslim yang sejati. “Walaupun berdarah Yahudi namun Islam membuatkan bangsa ini tiada bezanya seperti bangsa-bangsa yang lain kecuali iman dan takwa sahajalah yang menentukan kedudukan masing-masing di sisi Allah, tuhan yang satu, tuhan yang wajib disembah,” katanya. |