SULTAN YANG MENGASIHI ULAMA
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
ANTARA sekian ramai sultan di dunia Melayu, terdapat beberapa orang sultan yang terlibat secara langsung dalam aktiviti Islam. Ada yang mengasihi ulama, bahkan ada yang mempunyai pengetahuan yang luas tentang agama Islam. Ada juga yang menghasilkan karangan berupa risalah atau pun kitab.
Sultan Sulaiman, Sultan Selangor Darul Ehsan dapat dikategorikan seorang sultan yang mengasihi ulama. Mengenainya dapat dibaca dalam riwayat Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syaikhul Islam Selangor, dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, terbitan Isnin, 22 Mac 2004, Seksyen 3, halaman 9.Nama lengkapnya ialah Sultan Alauddin Sulaiman Syah bin Raja Muda Musa bin Sultan Abdul Samad bin Raja Abdullah bin Sultan Ibrahim Syah bin Raja Lumu (Sultan Salehuddin Syah, Sultan Selangor yang pertama) bin Upu Daeng Celak (Yamtuan Muda Riau yang kedua). Sultan Sulaiman lahir pada 19 Rabiul Akhir 1282 Hijrah/11 September 1865 Masihi dan mangkat pada 30 Muharam 1357 Hijrah/31 Mac 1938 Masihi. Baginda Sultan Sulaiman merupakan Sultan Selangor ke-5, yang bertahta pada tahun 1898 Masihi - 1938 Masihi, memerintah dalam masa lebih kurang 40 tahun.
KETURUNAN
Memperhatikan jalur keturunan di atas dapat dipastikan bahawa dari sebelah ayah baginda, Sultan Sulaiman adalah keturunan anak Raja Bugis yang berasal dari Luwuk, Sulawesi dan dari sebelah ibu baginda adalah keturunan puteri Kerajaan Riau. Datuk neneknya, Raja Lumu adalah adik beradik dengan pahlawan Melayu yang terkenal, iaitu Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah yang meninggal dunia dalam peperangan melawan Belanda di Teluk Ketapang, Melaka pada 18 Jun 1784 Masihi.
Raja Haji secara rasminya dianugerah sebagai Pahlawan Nasional Indonesia yang disertai dengan Piagam dan Tanda Kehormatan Bintang Mahaputera Adipradana pada 11 Ogos 1997 oleh Presiden Republik Indonesia yang ditandatangani oleh Soeharto.
AKTIVITI ISLAM
Atas rasa kewajipan dan tanggungjawab menyebar dan mempertingkatkan pengetahuan Islam di Kerajaan Selangor, Sultan Sulaiman telah mendatangkan beberapa orang ulama besar dalam kerajaan yang diperintahnya. Antara ulama yang paling dekat dengannya ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani. Sultan Sulaiman sangat mesra dan kasih kepada Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani dalam Selangor sendiri hinggalah ketika beliau satu ketika pergi ke luar negara (terutama ke London), ulama yang berasal dari Patani itu ikut bersama-sama dalam rombongan beliau.
Peristiwa ini mencerminkan bahawa Sultan Sulaiman berusaha sedemikian rupa menggabungkan kerjasama, kesepaduan dan keserasian antara umara dan ulama sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w. -Dalam penyebaran Islam di negeri lain selain Selangor, Sultan Sulaiman juga mempunyai rasa tanggungjawab. Sebagai buktinya, walaupun baginda kasih terhadap Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, namun kerana masyarakat Jambi sangat memerlukan ulama, baginda merestui keberangkatan Tengku Muhammad dari Klang ke Jambi.
Sebagai bukti bahawa Sultan Sulaiman mementingkan pembangunan keIslaman, beliau juga membina sebuah masjid yang diberi nama dengan nama baginda iaitu Masjid Alauddin di Kuala Langat, Selangor. Di masjid tersebutlah Sultan Alauddin Sulaiman Syah selalu membaca khutbah Jumaat, khutbah kedua-dua hari raya; Aidilfitri dan Aidiladha. Dalam gambar kelihatan bahawa baginda sedang menyampaikan khutbah. Ini sebagai bukti bahawa baginda adalah seorang sultan yang mampu dan aktif dalam kegiatan-kegiatan Islam.
PENULISAN
1. Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman, diselesaikan 1337 H/1919 M. Cetakan ketiga, Mathba'ah New Klang Press, Klang, 15 Jamadilakhir 1349 H/1930 M. Kandungan, setelah ``Pendahuluan'' oleh baginda sendiri, Rahman al-Fathani. Antara pandangan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, ``Terlihatlah hamba yang daif atas kitab ini, Pohon Ugama, karangan bagi Yang Maha Mulia Sultan Selangor Maulana al-Mu'azzam Sir Alauddin Sulaiman Syah ... Maka patut dijadikan pelajaran kanak-kanak yang mubtadi pada tiap-tiap sekolah ugama supaya berkekalan manfaatnya istimewa pula ...'' Kandungan yang menjadi topik perbahasan keseluruhan ialah mengenai akidah. Pada halaman 25 terdapat gambar baginda sedang duduk di atas mimbar Masjid Alauddin dalam rangka membaca khutbah. Ilmu Tauhid
2. Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki Perempuan, Agama Islam 1, diselesaikan di Istana Mahkota Puri, Klang 3 Zulhijjah 1348 H. Dicetak oleh The Boon Hua Press, Klang, 1349 H/1930 M. Kandungan, antara kalimat baginda yang bersajak pada pendahuluan, ``... pada bicarakan ilmu tauhid pangkal agama Islam. Yang sangat hampir fahamnya dan mengertinya bagi segala awam. Dicadangkan dia bagi mereka yang berkehendak kemenangan lama. Daripada kanak-kanak yang baharu belajar di dalam sekolah agama ...'' Pada halaman 27 terdapat satu judul yang agak menarik, ialah ``Nasihat Guru Pada Murid''. Mengenai ini baginda menulis dalam bentuk puisi yang terdiri daripada 22 bait empat-empat rangkap. Sebagai contoh, beberapa bait antaranya ialah: ``Tuntutlah ilmu akhirat dunia, hidup matimu dapat bahagia. Ke manamu pergi jadi mulia, tidaklah hidup sia-sia Pergi sekolah janganlah segan, ilmu agama jangan dilupakan Sama dituntut sama amalkan, dua-duanya sama muliakan. Agama Islam amat sebenar, peraturannya cukup benar. Tetaplah padanya jangan nanar, beroleh kebajikan yang bersinar ... ``
*Puisi yang mengandungi pemantapan pengenalan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. di atas baginda tutup dengan beberapa bait, katanya, ``Sekadar ini rencananya disurat, supaya ingat jangan melarat. Menghafaz membaca janganlah berat, iman di dada akar berurat. Cinta ibu harus diingat, bapa berharap beserta sangat Anak yang soleh jadi semangat, setiap waktu setiap saat. Harap ibu orang yang cinta, bapa dan kaum pula serta. Anak berilmu alim pendeta, biarlah habis wang harta Karya di atas juga telah disemak oleh Tengku Mahmud Zuhdi al- Fathani. Selain memuji kandungan karya, Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani juga memuji baginda sultan, katanya, ``... padahal ia daripada karangan orang yang mempunyai akal yang sempurna. Dan tinggi hemah pada meneguhkan tiap-tiap pekerjaan yang berguna. Iaitu mereka yang menghamparkan atas rakyatnya naung kurnia. Dan aman hadhrat yang mentadbirkan dan memerintahkan negeri Selangor Darul Ehsan Yang Maha Mulia Maulana as-Sultan Sir Alauddin Sulaiman Syah ibni al-Marhum Maulana al-Mu'azzam Raja Musa ...''
KETURUNAN
Sultan Sulaiman berkahwin beberapa kali dan mempunyai keturunan yang ramai. Yang dipaparkan dalam artikel ini sekadarnya sahaja, kerana ketiadaan cukup ruangan. Perkahwinan pertamanya dengan Tengku Ampuan Maharum binti Tunku Dhiyauddin/Tengku Kudin Kedah, memperoleh seorang putera dan empat puteri. Putera baginda ialah Sultan Ghiatuddin Riayat Syah, Sultan Selangor yang ke-7 (1942 M- 1945 M).
Baginda berkahwin pula dengan Cik Hasnah/Cik Aminah binti Pelong Makam Bandar, memperoleh dua putera dan dua puteri. Putera yang menjadi sultan ialah Sultan Hisamuddin Alam Syah, Sultan Selangor yang ke-6 (1938 M- 1942 M dan 1945 M - 1960 M). Baginda sempat menjadi Yang Dipertuan Agong Malaysia ke-2 tetapi tidak sempat mengakhiri jabatannya kerana baginda mangkat (1960 M). |