ILMUWAN kelahiran Iran, Muhammad Bin Yahya Bin Ismail Bin Abbas Abu al-Wafa' al-Buzjani berjaya memukau ilmuwan Barat dengan ilmu dan kepintarannya.
Malah, ada antara ilmuwan Barat yang sanggup mengakui sebahagian karya Al-Buzjani sebagai karya mereka demi kepentingan diri sendiri.
Penguasaan tokoh Islam dalam ilmu pengetahuan memang tidak dapat dinafikan. Begitu juga sumbangan Al-Buzjani yang mempelopori ilmu algebra untuk menyelesaikan masalah rumit dalam matematik.
Masalah matematik yang sukar diselesaikan dengan angka lebih mudah jika diselesaikan menggunakan kaedah algebra, selain memberi sumbangan kepada beberapa cabang dalam ilmu matematik, khususnya geometri dan trigonometri.
Dalam bidang geometri, beliau memberi sumbangan besar kepada penyelesaian masalah, termasuk membabitkan kompas dan formula pembinaan segi empat tepat yang sama dengan segi empat lain.
Al-Buzjani juga dikenali pakar dalam bidang sains, teknologi, astronomi dan kejuruteraan. Pencapaian beliau sukar ditandingi mana-mana ilmuwan pada masa itu.
Kajian Al-Buzjani membabitkan perkara dan masalah sukar dalam ilmu kejuruteraan seperti berkaitan ukuran garis, sudut, bentuk permukaan dan bongkah seperti segi empat, segi tiga, lingkaran serta segi tepat.
Keadaan ini memperlihatkan kehebatan dan kebolehan Al-Buzjani yang tidak ada pada individu lain.
Di antara kejayaan besar Al-Buzjani ialah menemui kaedah melukis rangka dan rajah serta bentuk bangunan dalam banyak dimensi. Tidak hairan Al-Buzjani, digelar orang pertama mengkaji ilmu kejuruteraan.
Justeru, beliau dilihat sebagai pelengkap kepada pengajian ilmu kejuruteraan dan membaiki segala kelemahan dalam ilmu itu.
Karya beliau dibidang ini kitab al-Manazil fil al-Hisab iaitu satu ulasan terhadap buku karya al-Khawarizmi, tokoh matematik sebelum itu.
Al-Buzjani juga menghasilkan buku panduan khusus untuk pekerja dan pedagang yang mengandungi formula matematik serta sifir yang mudah difahami.
Buku lain hasil karyanya dalam bidang matematik ialah Kitab `Ilm al-Hisab, dan Kitab al-Handsa.
Dalam bidang astronomi, Al-Buzjani mengkaji kedudukan planet dan bagaimana ia beredar. Beliau juga adalah salah seorang ahli jawatankuasa meneropong bintang yang ditubuhkan kerajaan Syarat al-Daulah pada 377 Hijrah.
Bagi memastikan kajiannya dapat dijadikan panduan pelajar dan masyarakat ketika itu, Al-Buzjani menghasilkan kitab al-Kamil, yang mengandungi tiga bahagian khusus berkaitan planet.
PROFIL
Nama: Muhammad Bin Yahya Bin Ismail Bin Abbas Abu al-Wafa' al-Buzjani.
Gelaran: Al-Buzjani.
Tarikh lahir: 328 hijrah bersamaan 940 masihi.
Tempat lahir: Wilayah Buzjan, Khurasan, Iran.
Meninggal dunia: 338 hijrah bersamaan 998 masihi
Sumbangan: Menemui kaedah algebra, geometri dan melukis rajah dalam pelbagai dimensi.
sumber :
Berita Harian Online