http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
DALAM buku saya tentang Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari telah saya tulis bahawa salah seorang anak ulama besar itu ada yang bernama Syihabuddin al-Banjari. Walau bagaimanapun hingga kini masih belum dapat keterangan yang jelas bahawa Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Banjari, dan kebanyakan menggunakan istilah 'al-Funtiani' pada hujung nama, apakah beliau cucu kepada ulama besar Banjar itu ataupun bukan. Yang jelas beliau berasal dari Banjar dari pihak sebelah ayahnya, dan ada riwayat dari sebelah ibunya pula berasal dari Karangan (Mempawah, bahagian hulu). Apa yang dimaksudkan dengan 'al-Funtiani' pula ialah Pontianak, kerana ayahnya tinggal di Pontianak, Kalimantan Barat. Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Banjari pula dilahirkan di Pontianak bukan tempat lainnya. Istilah 'al-Funtiani' pada konteks ulama yang diriwayatkan ini hendaklah dinisbahkan atau dibangsakan kepada 'Pontianak', kerana di kemudian hari jangan jadi keliru jika dinisbahkan atau dibangsakan kepada Pontian yang berada di Johor. Bagi saya adalah satu kekeliruan yang besar, yang ditulis oleh Martin van Bruinessen (sarjana yang berasal dari Belanda) dalam bukunya Tarekat Naqsyabandiyah Di Indonesia yang menyebut bahawa Syeikh Utsman dipanggil juga dengan 'al-Sarawaki' (lihat Tarekat Naqsyabandiyah, Penerbit Mizan, Bandung, Safar 1413/Ogos 1992, hlm. 120). Berlaku kekeliruan di sini kerana Syeikh Utsman bin Syihabuddin hanya menggunakan dua istilah saja dihujung nama 'al-Funtiani' ataupun 'al-Banjari'. Yang memakai nama hujung dengan 'As-Sarawaqi' ialah Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab as-Sarawaqi yang berasal dari Sarawak. Kedua-duanya betul bernama Utsman, tetapi seorang berasal dari Pontianak dan yang seorang lagi berasal dari Sarawak. Kedua-dua nama orang tuanya juga berbeza, yang berasal dari Pontianak ayahnya bernama Syihabuddin, sedang yang berasal dari Sarawak ayahnya bernama Abdul Wahhab. Kedua-dua ulama yang bernama Syeikh Utsman yang berasal dari Borneo/Kalimantan itu hidup sezaman dan sama-sama terkenal. Pendidikan Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani mendapat pendidikan awal dari lingkungan keluarga sendiri dan selanjutnya belajar kepada beberapa orang ulama di Pontianak. Di Pontianak pada zaman beliau masih kanak-kanak memang ramai ulama bangsa Arab terutama keturunan Saiyid. Bahasa Arab komunikasi sangat mudah diperoleh pada zaman itu kerana beberapa kampung di sekitar Istana Sultan Pontianak, terutama Kampung Arab dalam pergaulan lebih banyak menggunakan bahasa Arab jika dibandingkan dengan bahasa-bahasa selainnya. Jadi Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani seorang yang fasih menggunakan bahasa Arab. Pendidikannya yang terakhir di Mekah, di antara gurunya ialah Saiyid Muhammad Shalih bin Abdur Rahman az-Zawawi (lahir 1246 H/ 1830 M, wafat 1308 H/1890 M), Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani, Saiyid 'Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (lahir 1230 H/1814 M, wafat 1315 H/1898 M) dan ramai lagi. Syeikh Abdul Hamid ad-Daghistani asy-Syarwani adalah ulama besar dalam Mazhab Syafie di Mekah, beliau yang tersebutlah yang menulis Hasyiyah Syarh at-Tuhfah Syeikh Ibni Hajar. Salah seorang anak beliau ialah Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid ad-Daghistani asy-Syarwani wafat di Pontianak pada 20 Jamadilakhir 1314 H, dimakamkan di Perkuburan Al-Marhum Pangeran Bendahara Syarif Ahmad Al-Qadri Pontianak. Ada pun Saiyid Abdullah az-Zawawi juga seorang ulama besar, Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Beliau berhijrah ke dunia Melayu, mula-mula ke Riau dan akhirnya menjadi Mufti di kerajaan Pontianak. Tidak kurang hebat dan penting ulama kita dunia Melayu yang disebut oleh Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani yang beliau nyatakan pada halaman depan karyanya Tajul 'Arus, katanya, "Ini kitab karangan Syeikh Tajuddin bin Athaullah Askandari hamba gantikan lafaz Arabnya dengan lafaz Melayu. Sa-nya hamba tashhih (disahkan) kepada guru hamba Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani ..." Oleh sebab tahun lahir mahupun catatan tahun Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani mulai belajar di Mekah belum diketahui maka agak sukar menjejaki teman-teman yang seangkatan beliau yang sama-sama belajar kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Walau bagaimana pun saya berhasil menemui sepucuk surat yang beliau tulis di Mekah, pada hari Khamis, bulan Zulhijjah 1296 H bererti pada tarikh tersebut beliau telah berada di Mekah. Surat dari beliau itu ditujukan kepada Haji Sulaiman bin Haji Adam di negeri Sanggau, Kalimantan Barat. Surat yang ditulis di Mekah bulan Zulhijjah 1296 H telah mendahului semua karya beliau yang dimulai dengan Tajul 'Arus, yang diselesaikan pada 24 Ramadan 1304 H. Karya terakhir ialah Fat-hul Mutafakkirin, diselesaikan 16 Rejab 1324 H, di Taif. Dari tarikh yang tersebut kita dapat membanding dengan kemunculan ulama yang berasal dari Pontianak yang lainnya, yang sezaman dengan beliau, kemungkinan peringkat murid beliau, bukan sebagai sahabat. Ulama Pontianak yang terkenal yang dianggap peringkat murid Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani ialah Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani, karyanya yang terawal ditulis tahun 1316 H dan karya terakhir ditulis tahun 1321 H. Penulisan Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani adalah satu-satunya ulama Pontianak yang paling banyak karyanya yang tersebar di seluruh dunia Melayu, jika dibandingkan dengan ulama Pontianak yang lainnya. Bahkan beberapa judul di antaranya masih diajar di beberapa pengajian pondok tradisional dunia Melayu. Di bawah ini saya senaraikan 11 judul karangan beliau yang telah dijumpai iaitu; 1. Tajul 'Arus, diselesaikan 24 Ramadan 1304 H. Kandungannya mengenai tasawuf, merupakan terjemahan dari kitab At-Tanwir fi Isqathit Tadbir karangan Syeikh Ibnu Athaullah as-Sakandari. Terdapat banyak edisi cetakan di antaranya oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1358 H/1939 M. Ditashhih oleh gurunya Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. 2. Fat-hul Mekah, diselesaikan 1310 H. Kandungan mengenai sejarah Nabi Muhammad s.a.w. bersama sahabat-sahabatnya dapat menaklukkan kota Mekah. Hanya terdapat satu edisi cetakan oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 17 Safar 1311 H. Ditashhih oleh Syeikh Abdur Rahman Gudang bin Syeikh Muhammad Ali bin Syeikh Ismail al-Fathani. 3. Tanwirul Qulub fi Isqati Tadbiril 'Uyub, diselesaikan 12 Sya'ban 1311 H. Kandungan mengenai tasawuf, merupakan terjemahan dari kitab At-Tanwir fi Isqatit Tadbir karangan Syeikh Ibnu Athaullah as-Sakandari. Masih diajarkan di beberapa pondok pengajian tradisional. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 15 Ramadan 1311 H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Mesir, Sya'ban, 1343 H. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1353 H/1934 M. Cetakan mutakhir ditashhih oleh Syeikh Abdullah bin Ibrahim Kedah, juga terdapat tashhihan Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi al-Azhari. 4. Risalah Tafsir Surah Yasin, diselesaikan 12 Rabiulakhir 1312 H, di Mekah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah Mekah, 1330 H. Kandungan merupakan terjemahan dan tafsir surah Yasin yang dipetik daripada Tafsir Jamal dan Tafsir Jalalain. Risalah Tafsir Surah Yasin ini adalah penting, kerana banyak isu semasa dalam masyarakat sekarang, ada golongan yang membidaahkan membaca surah Yasin, terjawab dalam kitab tersebut. Sebagai contoh yang dibidaahkan, bahawa bidaah membaca surah Yasin malam Jumaat. Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani menulis hadis lengkap dengan lafaz Arabnya, lalu beliau terjemah, "Barang siapa membaca ia akan surah Yasin pada malam Jumaat, nescaya ber-Subuh-Subuh ia diampun baginya [oleh] Allah." 5. Ashal Khutbah, tidak diketahui tarikh selesai penulisan kerana beberapa halaman bahagian akhir belum ditemui. Kandungan membicarakan berbagai-bagai bentuk khutbah yang ditulis dalam bahasa Arab yang diberi gantungan maknanya dalam bahasa Melayu. Tebal (halaman yang dijumpai) 318 halaman. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1314 H. 6. Judul sebenar belum diketahui kerana hanya dijumpai mulai halaman sembilan hingga halaman akhir, iaitu halaman 16. Pada halaman akhir terdapat nama Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani sebagai pengarangnya. Diselesaikan pada hari Ahad, 19 Syaaban 1317 H, di Mekah. Kandungan membicarakan permasalahan ketika mengerjakan ibadah haji dan umrah. 7. Fadhilat Mekah Dan Adab Ziarah Madinah Dan Fadhilat Negeri Thaif, diselesaikan 30 Rabiulawal 1319 H. Kandungan menceritakan keadaan Mekah, Madinah dan Thaif. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al- Kainah, Mekah, 1319 H. 8. Nurul Anwar, diselesaikan 16 Rejab 1324 H. Kandungan membicarakan peperangan Nabi Muhammad s.a.w. sesudah hijrah, peperangan Saiyidina Ali sesudah menjadi khalifah Islam, dan lain-lain. Rujukan utama penyusunan kitab ini ialah Nurul Abshar. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah Mekah, 1324 H 9. Fat-hul Mutafakkirin Supaya Bertempat Iman dan Yaqin, diselesaikan 16 Rejab 1324 H, di Taif. Kandungan membicarakan tafsir beberapa ayat al-Quran yang bersangkutan dengan tasawuf. Dipetik dari karya Saiyid Ahmad Zaini Dahlan daripada hadis Jami'us Shaghir as-Suyuthi. Cetakan yang pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 24 Ramadan 1324 H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Mesir, Shafar 1349 H. Cetakan yang pertama ditashhih oleh pengarangnya sendiri. Cetakan lanjutan ditashhih oleh Syeikh Ahmad Sa'ad al-Filfulani dan Syeikh Abdullah Ibrahim al-Qad-hi (Kedah). 10. Risalah Bergantung Maknanya Di Bawahnya Maulid al-Barzanji, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan merupakan Kitab Barzanji bergantung makna dalam bahasa Melayu. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Miriyah, Mekah al-Mahmiyah, 1324 H. 11. Irsyadul 'Ibad, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan merupakan terjemahan hadis Nabi s.a.w., petikan dari kitab Munabbihatul Qulub. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 13 Syawal 1324 H
|