Utusan Malaysia, 27 julai 2006
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
| MOHD. Danial Edmund B. John. |
SYUKUR kepada Allah s.w.t. walaupun agama-Nya kini berhadapan dengan pelbagai asakan dan cabaran. Namun masih ada di celah-celah cabaran itu mereka yang akhirnya mengakui kebesaran-Nya dan tanpa paksaan mana-mana pihak sanggup meninggalkan agama asalnya untuk memilih Islam. Antaranya ialah Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya (IPD), Inspektor Mohd. Danial Edmund B. John, 25, yang memeluk Islam pada April lalu. Penulis mengenali beliau sejak hampir setahun lalu ketika bertugas di Meja Jenayah Utusan Malaysia. ‘Tuan Edmund’ ialah manusia yang sentiasa bersaing dengan masa. Sebagaimana pesatnya bandar raya Petaling Jaya itu sendiri, begitu jugalah kadar kemalangan jalan raya yang berlaku setiap hari di daerah itu. Jadi, Edmund tidak pernah senang duduk dan beliau sering dilihat berada di hampir setiap tempat kejadian kemalangan tanpa mengira kecil atau besar, panas atau hujan, siang atau malam, dekat atau jauh. “Melayan semua rekod kemalangan juga menyebabkan saya sering tidak menyedari begitu pantasnya masa berlalu. Tahu-tahu malam sudah melabuhkan tirai,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini. Oleh itu, bilakah Edmund berpeluang untuk mengenali Islam sehingga membolehkan beliau akhirnya mengucapkan kalimah syahadah? “Saya mengaku kerelaan saya meninggalkan ajaran Kristian dan memeluk Islam adalah kerana saya ingin mengahwini teman wanita saya yang merupakan seorang beragama Islam. “Dengan memeluk Islam, ia membolehkan saya bertunang dengannya baru-baru ini dan jika tidak ada sebarang aral, kami akan bernikah hujung tahun ini,’’ katanya sambil tersenyum. Pun begitu, Edmund yang kini mahu dikenali sebagai Danial berkata, beliau tidak begitu memikirkan soal perkahwinannya itu berbanding tanggungjawab utama beliau kini iaitu untuk belajar dan mengamalkan ajaran Islam dengan betul. “Walaupun perkahwinan itu penting, tetapi bagi saya mengenali dan mempelajari Islam itu kini lebih saya utamakan. “Ini kerana saya mahu mempunyai pegangan Islam yang kukuh bagi membolehkan saya dan tunang, Norawati Ibrahim, 26, mampu melayari bahtera perkahwinan yang kuat untuk menempuh sebarang cabaran yang mendatang,’’ katanya. Bagi Danial, tidak ada yang lebih menjamin kebahagiaan rumah tangga kecuali pasangan suami isteri itu mempunyai pegangan dan mengamalkan ajaran agama yang sama. “Saya tidak memeluk Islam semata-mata kerana menghormati agama bakal isteri saya. Ini kerana sekadar hormat sahaja berapa lama ia dapat bertahan. “Malah itu sebenarnya hanya bersifat luaran sedangkan menikmati iman yang sama dapat membereskan banyak perkara dalam perhubungan suami isteri,’’ jelasnya. Begitu pun Danial mengaku bukan mudah untuk beliau meninggalkan agama asalnya. Lebih-lebih lagi beliau yang berasal dari Tenom, Sabah adalah anggota suku kaum Lundayeh yang kebanyakan masyarakat di kampungnya merupakan penganut Kristian. “Saya sendiri dibesarkan oleh ibu bapa yang mempunyai kepercayaan dan pegangan yang begitu kuat terhadap Kristian aliran Protestan. Bapa saya sendiri ialah ahli gereja yang menyebabkan beliau dipandang tinggi oleh masyarakat,’’ katanya. Sebagai anak sulung daripada empat adik-beradik, Danial diasuh mengenai ajaran-ajaran Kristian dan beliau juga suka menghabiskan masa membaca kitab Injil. “Walaupun ada ibu saudara saya – yang satu-satunya memeluk Islam dalam keluarga kami – namun saya sendiri tidak pernah terfikir mengenai agama lain kecuali Kristian,’’ katanya. Sehinggalah Danial kemudian melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta di Taman Maluri, Cheras “Selepas saya mendapat diploma dalam jurusan Sains Komputer dan mula menyertai pasukan polis pada tahun 2003, saya masih mampu mempertahankan Kristian walaupun tidak lagi sekuat berbanding semasa berada di Sabah,’’ katanya. Tetapi apabila mula bertugas di IPD Petaling Jaya, pandangan hidupnya mula berubah akibat suasana baru di situ. “Di sini majoriti petugas dan kakitangannya beragama Islam. Jadi ini memberikan kesan pada diri saya secara tidak langsung. “Sedikit demi sedikit, saya mula mengenali Islam melalui pergaulan dan sehinggalah tiba bulan puasa, misalnya, saya sendiri ikut berpuasa,” tambahnya. Puasa Menurut Danial, suasana itu cukup harmoni lebih-lebih lagi apabila tiba masa berbuka puasa beramai-ramai. “Saya rasa sungguh gembira dengan suasana seperti itu tetapi apabila masing-masing kemudian berkejar pulang untuk merebut peluang mendirikan sembahyang sunat tarawih, misalnya, saya tiba-tiba menjadi sedih dan keseorangan. “Jadi semua ini menyebabkan saya cuba mengenali Islam dan atas dorongan dan sokongan kuat beberapa kakitangan di sini, niat saya untuk memeluk Islam menjadi semakin kuat,’’ katanya. Namun perjalanan memeluk Islam masih tidak mudah selagi Danial tidak menafikan ‘kebenaran’ ajaran Kristian yang beliau anuti selama ini. “Saya bukannya seorang alim malah mengaji Injil pun tidak habis tetapi pada masa itu saya tidak nampak apa kurangnya Kristian. “Jadi semasa mengikuti pengajian Islam di Perkim, saya selalu berdebat dengan ustaz mengenai Islam dan Kristian. “Kami berhenti berdialog hanya untuk sembahyang dan makan, yang lain sehingga larut malam kami tidak henti-henti membicarakan soal agama ini,’’ katanya. Akhirnya Danial dapat menerima dan mengakui sepenuhnya kebenaran mengenai Islam. “Malah yang lebih mengharukan Islam sebenarnya meletakkan Nabi Isa mempunyai kedudukan yang tinggi sehinggakan diperuntukkan surah Maryam dalam kitab suci al-Quran yang menjelaskan kedudukan Nabi Isa,” jelasnya. Kata Danial, penjelasan tersebut begitu menjawab persoalan selama ini sama ada baginda itu benar-benar tuhan atau nabi. “Rupa-rupanya baginda hanyalah seorang manusia yang menerima wahyu untuk memberi petunjuk kepada manusia yang lain dan bukan juga raja yang mempunyai kekuasaan atas hidup dan mati rakyatnya,’’ katanya. Perjalanan hidup Danial sebenarnya semakin ‘mencabar’ kerana pengislamannya itu bakal mengundang lebih banyak cabaran dan salah tanggapan ramai pihak. “Saya memaklumi perkara ini dan dalam keadaan saya masih begitu baru dalam Islam tentu saya memerlukan kekuatan dan ketabahan yang tinggi. “Namun, apa yang pasti pengislaman saya ini tidak melahirkan Danial yang lupa daratan, lupa pada asal usulnya jauh sekali ingin memisahkan diri daripada keluarga dan zaman lampaunya,’’ katanya. Kata Danial, beliau masih mahu menjadi anak yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan perbezaan agama tentunya bukan menjadi penghalang. “Saya begitu menyayangi dan sangat memerlukan keluarga saya dan berharap kepulangan saya pada suatu hari nanti ke pangkuan mereka dapat diterima dengan baik. “Kali ini lebih istimewa bersama bakal menantu sebagai anggota keluarga baru yang juga tidak sabar untuk mengenali dan menjadi sebahagian daripada hidup mereka,’’ katanya. |