JIHAD RUJUKAN: JIHAD, Kupasan lengkap mengenai jenis-jenis Jihad, gelanggang-gelanggang dan selok-belok bagi pelaksanaannya. KARANGAN: Dr Muhammad Na’eem Yasin, Pensyarah Fakulti Syariah Universiti Jordan Penerbit: Yayasan Islam Terengganu Penterjemah: Ismail bin Mohd. Hassan, 1985 Imam Ibnu Taimiah mendefinisikan Jihad itu hakikatnya ialah berusaha sungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang diredhai Allah dari keimanan, amal soleh dan menolak sesuatu yang dimurkai Allah dari kekufuran, kefasikan dan kederhakaan. Kebanyakan ulama’ membahagikan jihad kepada lima bahagian iaitu:- 1. Jihad menentang hawa nafsu. 2. Jihad menentang hasutan syaitan. 3. Jihad menentang golongan kafir. 4. Jihad terhadap golongan munafik (sifat-sifat kaum munafik dan cara-cara tindakan menentang mereka menurut al-Quran). 5. Jihad terhadap orang-orang zalim dan fasik (jihad menentang ahlul mungkar menurut prinsip al-amru bil ma’aruf wan nahyu anil mungkar). Kebanyakan orang Islam hari ini memahamkan jihad itu hanya mempunyai satu pengertian sahaja iaitu mengangkat senjata menentang orang-orang kafir yang menganggu gugat umat Islam dalam agama mereka seperti yang berlaku dalam peperangan salib, sedangkan pada zaman ini dorongan-dorongan ke arah itu belum terhimpun dan mendesak seluruh umat Islam mengambil tindakan berpadu untuk menentang kedurjanaan pihak musuh Islam kecuali di beberapa tempat seperti di Palestin, Afghanistan dan Iraq yang memerlukan umat Islam melancarkan jihad menentang golongan kafir. Buku ini baik untuk dibaca dan difahamkan oleh kita kerana ia menerangkan secara lengkap setiap jenis-jenis jihad itu kepada lima peringkat dan menerangkan setiap satunya bersandarkan dalil Al-Quran dan As-Sunnah serta menjelaskan tentang cara-cara dan selok-belok untuk melaksanakannya menurut ajaran Islam yang maha suci. Imam As-Syahid Hassan al-Banna pernah menulis dalam risalah ta’alim yang menjadi garis panduan kepada semua pendokong harakah Islamiyyah terutama ahli ikhwanul muslimin mengenai jihad iaitu: “Peringkat jihad yang pertama ialah mengingkari dengan hati dan peringkat yang paling tinggi ialah berperang dijalan Allah. Di antara kedua-dua peringkat jihad itu terdapat jihad lisan, tulisan, tangan dan menyatakan kebenaran kepada pemerintah yang zalim. Dakwah tidak akan hidup tanpa jihad. Sejauhmana ketinggian dan keluasan ruang lingkup dakwah pada jalan Allah, begitulah juga ketinggian dan keluasan ruang lingkup jihad pada jalan Allah. Begitulah juga mahalnya harga yang diperlukan untuk membantu perjuangan dakwah dan besar pula pahala bagi mereka yang beramal”. Dr Said Ramadhan Al Butti mengatakan Jihad ialah mencurahkan tenaga pada jalan meninggikan kalimah Allah dan menegakkan masyarakat Islam. Memberikan tenaga melalui peperangan adalah sebahagian darinya. Adapun tujuannya pula ialah menegakkan masyarakat Islam dan membentuk ‘Daulah Islamiyyah yang sebenar’. Abdullah bin Al Mubarak mengungkapkan kata-katanya berkenaan jihad:- Wahai abid di Al Haramain! Jika saudara melihat kami Nescaya saudara tahu bahawa Saudara hanya bermain-main dengan ibadat Kalau pipi saudara dibasahi air mata Leher kami pula dibasahi darah Kalau kuda saudara penat di dalam kebatilan Kuda kami pula penat di medan perang Wangi-wangian adalah untuk kamu Wangi-wangian kami pula adalah debu-debu akibat hentakan kaki-kaki kuda Mudah-mudahan kita tidak menjadi golongan seperti yang dinyatakan oleh Syed Qutb di dalam tafsir Fi Zilalil Quran: “Sesunggunya manusia yang paling bersemangat dan maju ke depan, kadang-kadang adalah orang yang paling pengecut dan mundur apabila berhadapan dengan sesuatu peristiwa. Bahkan ini mungkin boleh dijadikan kaedah. Ini adalah kerana terlalu bersemangat dan maju ke depan lazimnya berpunca dari tidak tahu menilai hakikat sesuatu tugas, bukannya berpunca dari sifat berani dan tahan lasak. Ia juga dari sikap tidak tahan menanggung kesempitan dan derita. Lalu sifat tidak sabar itu mendorong bergerak kehadapan untuk mengalahkan musuh tanpa menilai kekuatan dan ketahanan diri sendiri. Jadi apabila mereka berhadapan dengan realiti dan mendapati bahawa tugas itu lebih berat dari yang disangka, mereka menjadi saf yang pertama mundur dan tumbang. Tetapi orang yang tahan lasak dan tidak mundur ialah orang yang dapat mengawal diri, sabar menanggung kesempitan dan derita pada beberapa ketika serta membuat persiapan dan pandai menilai hakikat tugas harakah. Sejauh mana kesabaran jiwa menanggung tugas-tugas ini, maka mereka akan bersabar, tidak gopoh dan membuat persediaan untuk menghadapinya. Orang-orang yang terlalu bersemangat maju ke depan tadi mungkin tidak bersetuju dengan cara ini dan menganggapnya sebagai kelemahan. Di dalam peperangan barulah terbukti manakah di antara dua golongan tadi lebih tahan lasak dan lebih jauh pandangannya. Wallahu aklam…. |