IMAM AL-GHAZALI Rujukan Ihya Ulumuddin, Prof. TK. H. Ismail Yakub SH; MA , Edisi Malaysia, 1988 Di antara ulama’ besar yang menjadi rujukan dan banyak menyumbang kepada perkembangan syiar Islam ialah: 1) Imam Al-Bukhari, ulama’ hadith yang terbesar. 2) Imam Al-Asy’ari, ulama’ tauhid yang termasyhur. 3) Imam Al-Ghazali, pengarang ihya ulumuddin yang terkenal. Nama sebenar imam al-Ghazali ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad, Imam Besar Abu Hamid Al-Ghazali. Dilahirkan di Thusia, Khurasan pada 450H (1058M). Ayahnya bekerja membuat pakaian dari bulu dan menjual dipasar Thusia. Sebelum meninggal dunia ayah al-Ghazali berpesan kepada kawannya seorang ahli tasawwuf supaya mengasuh dan mendidik al-Ghazali dan adiknya Ahmad. Setelah meninggal, ayahnya hanya meninggalkan sedikit harta pusaka kerana beliau seorang yang miskin dan jujur. Semasa hidupnya, ayah al-Ghazali selalu mengunjungi ulama’ untuk memetik ilmu mereka, berbuat jasa dan memberi bantuan kepada mereka. Apabila mendengar huraian ulama’ beliau menangis dan selalu bermohon kepada Allah SWT supaya dikurniakan putera yang bijak dan berilmu. Semasa kecil, al-Ghazali mempelajari ilmu feqah di negerinya sendiri iaitu dengan Syekh Ahmad bin Muhammad Ar-Razikani. Selepas itu ke Jurjan berguru dengan Imam Abi Nasar Al-Ismaili. Beliau ke Nisapur dan berguru pula dengan Imam Al-Haramain. Di sanalah mulai kelihatan tanda ketajaman otak yang luarbiasa dan dia dapat menguasai beberapa ilmu pengetahuan pokok pada masa itu iaitu ilmu mantik falsafah dan fiqh mazhab Syafi’i. Gurunya imam Haramain memujinya dengan berkata “Al-Ghazali itu umpama lautan yang tak bertepi….”. Setelah imam Haramain meninggal dunia, al-Ghazali berangkat ke al-askar mengunjungi menteri Nizamul-muluk dari pemerintahan dinasti Saljuk. Sebagai ulama’ besar beliau disambut dan diakui oleh para ulama’ lain ketika itu dan dilantik menjadi pengetua di Perguruan Tinggi Nizamiyah di kota Baghdad pada tahun 484H selama 4 tahun. Pada tahun 488H, al-Ghazali pergi ke Makkah menunaikan Haji dan seterusnya ke Syam (Syiria), mengunjungi Baitu Muqadis dan terus ke Damaskus untuk beribadat dan menetap di masjid al-Umawi. Di sinilah beliau mula mengarang kitab ihya ulumuddin di suatu sudut masjid al-Umawi yang terkenal sehingga kini sebagai “Al-Ghazaliyah”. Keadaan hidup al-Ghazali pada ketika itu amat sederhana, pakaiannya dibuat dari kain kasar, menyedikitkan makan dan minum, mengunjungi masjid-masjid dan kampung, melatih diri memperbanyakan beribadat bagi mencapai keredaan Allah SWT. Al-Ghazali kemudian kembali ke Baghdad, mengajar dan menerangkan kitab ihya ulumuddin di Perguruan Nizamiyah,Nisapur. Akhirnya dia kembali ke kampung halamannya di Thusia dan mendirikan madrasah untuk ulama’ fiqh dan sebuah pondok untuk kaum sufi(tasawwuf) disamping rumahnya sendiri. Beliau membahagikan masanya untuk membaca al-Quran, mengadakan pertemuan dengan ahli sufi, mengajar ilmu kepada penuntutnya, mendirikan solat dan ibadat lainnya. Begitulah kehidupannya sehingga beliau wafat pada hari Isnin 14 Jamadil Akhir 505H(1111M) di Thusia. Jenazah beliau dikebumikan di makam Ath-Thabiran, berdekatan al-Firdausi. Al-Ghazali pernah berkata “Kuletakkan arwahku dihadapan Allah dan tanamkanlah jasadku dilipat bumi yang sunyi senyap. Namaku akan bangkit kembali menjadi sebutan dan buah bibir umat manusia di masa depan”. Al-Ghazali meninggalkan karangan-karangan kitabnya yang berjumlah hampir 100 buah banyaknya. Kitab akhlaknya mendapat perhatian yang besar di Eropah dan diterjemahkan oleh sarjana barat. Kitabnya yang amat terkenal di Barat ialah “Maqashidul-falasifah” (maksud ahli falsasah) dan “Tahafutul-falasifah”(kesesatan ahli falsafah) tetapi kurang dikenali di dunia Islam. Selepas 700 tahun al-Ghazali mengemukakan buku falsafahnya, barulah lahir sarjana Inggeris David Hume(1711-1776M) mengenai falsafah tersebut. Al-Ghazali seorang yang merendah diri dan selalu berkata “Wallahu a’lam” bererti Allah Yang Maha Mengetahui. Di zaman al-Ghazali masih berkobar pertentangan di antara ahli tasawwuf dan ahli fiqh. Maka salah satu usaha beliau adalah merapatkan kedua golongan yang bertentangan ini. |