Login Weblog

Koleksi Artikel 1

Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.

Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Blogger 28 Ogos 2005

 

Menu
|Koleksi Artikel 1| |Koleksi Artikel 2| |Weblog OKU 2| |Weblog OKU 1| |e-Book|
Waktu Malaysia
Iklan





Waktu Solat
Alumni Maahad Hamidiah Kajang

Subscribe to Maahad Hamidiah
Powered by groups.yahoo.com

Fatwa Pengharaman Anti Hadith

Fatwa Pengharaman Anti-hadith

Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini: Ajaran Golongan Anti Hadith

ISI AJARAN

1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.

2. Menolak dua kalimah Syahadah.

3. Menolak Qada' dan Qadar

4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12 Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada wahyu.

5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam

6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.

TARIKH MUNCUL

1985

TEMPAT BERKEMBANG Seluruh Malaysia

TINDAKAN/HUKUMAN

Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:

1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996

2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46

3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78

4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3 (Sumber: )

Penutup

Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal 'iya zubillahi min zalik.

Fatwa Mufti Perak

Kategori : Akidah

Tajuk : Gerakan Anti-hadis

Isu : "A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –

(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;

(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;

(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;

(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa,

adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.

B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Fatwa :

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa "Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti berikut

C. OLEH YANG DEMIKIAN –

(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;

(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -

(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran- ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World";

(b) mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –

(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu,pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian."

Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49

Tarikh Pewartaan :

15 Feb 1996

Borak
Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

ABU BAKAR AL-FUNTIANI
Wednesday, November 30, 2005
ULAMA PENGEMBARA

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DI DALAM ruangan Agama, Utusan Malaysia minggu lalu penulis menyentuh bahawa salah seorang keturunan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani ada yang berkahwin dengan keluarga ulama Pontianak.

Tanpa penulis menduga bahawa ulama yang akan diriwayatkan ini pernah menjadi sahabat dan guru kepada orang tua penulis dan mempunyai keluarga di Seberang Perai. Dalam tahun 1949 - 1950 di beberapa pulau di Pulau Tujuh, Kepulauan Riau didatangi oleh seorang ulama besar dari Singapura.Masyarakat menyebutnya Pak Tuan Alim Haji Abu Bakar. Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, Ketua Syarikat Al-Ahmadi & Co. Midai dan cawangannya Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura mengarahkan orang tua penulis, Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman, supaya mengeluarkan dana syarikat itu untuk mendirikan sebuah rumah wakaf sebagai kediaman ulama tersebut.

Rumah wakaf tersebut masih ada hingga sekarang. Ia terletak di sebelah kanan Masjid Baiturrahman di Pulau Midai, Pulau Tujuh, Kepulauan Riau. Sejak tahun 1950, Pak Tuan Haji Abu Bakar yang berasal dari Pontianak itu mempunyai kesan tersendiri dalam ingatan penulis, sungguhpun penulis lama tinggal di Pontianak namun sedikit sahaja memperoleh data mengenainya.

Tokoh yang diriwayatkan ini diperoleh di Seberang Perai dalam rangka menjejaki asal-usul ulama yang berada di kawasan itu, tepatnya pada 5 Rejab 1425 Hijrah/21 Ogos 2004 Masihi dan 6 Rejab 1425 Hijrah/22 Ogos 2004 Masihi. Di antara yang terpenting yang diperoleh di Pematang Bertam, bahawa ayah saudara Pak Tuan Haji Abu Bakar bernama Haji Ali bin Haji Muhammad Nur Pontianak meninggalkan keturunan yang ramai di Seberang Perai. Ayah Pak Tuan Haji Abu Bakar bernama Haji Abdul Ghani bin Haji Muhammad Nur adalah adik beradik kepada Haji Ali bin Haji Muhammad Nur. Adik beradiknya seramai 27 orang yang menetap di banyak tempat di dunia Melayu. Beberapa orang yang menjadi ulama besar di antaranya akan disentuh serba ringkas dalam artikel ini.

RIWAYAT

Setelah penulis menggabungkan hasil penyelidikan terkini yang diperoleh di Seberang Perai dengan dokumen Riau dan Pontianak yang ada pada penulis, maka dapatlah dipastikan bahawa Haji Abdul Ghani (ayah Haji Abu Bakar) itu adalah seorang penyandang gelaran Dato' Kaya Lela Pahlawan. Ada pun Haji Muhammad Nur atau Haji Muhammad Nur Putih itu ketika berada di Kemboja bernama Wan Muhammad Daram.

Oleh itu nama lengkap ulama yang berasal dari Pontianak yang diriwayatkan ini ialah Haji Abu Bakar bin Dato' Kaya Lela Pahlawan Haji Abdul Ghani bin Haji Muhammad Nur Putih @ Wan Muhammad Daram bin Encik Wan Mat Thalib bin Encik Wan Jeramat bin Umar (Megat Laksamana) bin Utsman (Dato' Kaya Megat Patan Pahang) bin Tuan Qadhi Ahmad. Tuan Qadhi Ahmad, datuk neneknya berasal dari Melaka yang terpaksa berpindah ke Bentan, seterusnya ke Kampar dan Minangkabau dalam peristiwa kedatangan Portugis.

Haji Muhammad Nur Putih @ Wan Muhammad Daram setelah mengembara ke pelbagai tempat di dunia Melayu akhirnya membuka kampung yang dinamakan Kampung Kemboja di Pontianak. Seluruh kampung itu adalah milik beliau. Berdampingan dengan Kampung Kemboja dinamakan Kampung Saigon dimiliki oleh Haji Yusuf Saigon adalah keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Haji Muhammad Nur Putih berkahwin banyak kali dan dikatakan mempunyai anak 27 orang. Setakat ini yang dapat dikesan hanya 10 orang.

SEBAR

Anak-anak beliau ialah:
1. Haji Sulaiman bin Muhammad Nur, beliau menyebarkan Islam di Lombok. Menurut riwayat, sampai sekarang masih terdapat pondok pesantren yang diasaskannya. Salah seorang anak beliau yang menjadi ulama besar ialah Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani. Beliau menghasilkan beberapa buah karya iaitu Babul Jum'ah, 28 Jamadilawal 1316 Hijrah, cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317 Hijrah. Tuhfatur Raghibin fi Taqlidil Qauli bi Shalatil Jum'ati bi Dunil Arba'in, 27 Syawal 1319 Hijrah, cetakan yang pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1319 Hijrah. Nuzhatut Tharaf fi Auzani Ilmis Sharfi, 6 Syawal 1321 Hijrah, cetakan pertama, Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 16 Safar 1322 Hijrah.

2. Haji Husein bin Muhammad Nur.

3. Haji Shalih bin Muhammad Nur.

4. Haji Ali bin Muhammad Nur, berkahwin dengan Hajah Sa'diyah binti Haji Abdullah bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani, anak-anaknya ialah: Aisyah, Abdur Razaq, Azizah dan Jamil.
5. Hajah Kaltsum binti Muhammad Nur.

6. Haji Abdul Ghani bin Muhammad Nur, anaknya Haji Abu Bakar Pontianak, yang sedang diriwayatkan.

7. Haji Mushthafa bin Muhammad Nur.

8. Haji Abdul Hamid bin Muhammad Nur,

9. Haji Abdul Aziz bin Muhammad Nur, termasuk salah seorang ulama besar Pontianak, menghasilkan di antaranya, Risalah Kitabish Shalah, bulan Zulhijjah 1316 Hijrah, dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, 6 Safar 1317 Hijrah, dengan huruf batu (litografi). Karyanya yang lain ialah Isnadul Ghulam fi Bayanil Imani wal Islam, atau judul dalam bahasa Melayu oleh pengarangnya, Persandaran Budak-Budak Yang Baharu Belajar Pada Menyatakan Iman dan Islam, 12 Jamadilawal 1325 Hijrah, dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin bin Abdullah, Kampung Gelam Singapura, 1325 Hijrah. Dicetak dengan huruf batu (litografi). Dan anak Haji Muhammad Nur Putih yang ke-10.

Haji Abdul Wahhab bin Muhammad Nur tinggal di Mekah, tidak pernah pulang ke dunia Melayu sehingga meninggal dunia di sana. Daripada karyanya yang berjudul Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat Taslim wat Tarhim dapat diketahui nama guru-guru beliau seperti ditulis pada halaman 26, ``Adalah tarhim yang dianjurkan oleh datuk guru kami, al-'Allamah Husein Pontianak'' seperti yang ditulis akan datang. Adalah Tok Guru Husein bin Sulaiman ini satu masa dengan guru kami asy-Syeikh Mukhtar bin `Atharid al-Batawi al-Bughri, dan guru kami al-'Allamah `Utsman Sarawak, dan guru kami asy-Syeikh `Abdul Qadir (bin Shabir] Mandailing, dan asy-Syeikh Ahmad Khathib Min[ang]kabau. (Syeikh) Husein (bin) Sulaiman ini hafiz al-Quran, cantik parasnya, al-'amil ash-shalih. Ia mengambil ilmu daripada ulama Mekah al-Musyarrafah, seperti: (Syeikh Sayid) Husein al-Habsyi dan lain-lain. Aku tidak tahu ahli Pontianak yang lebih alim daripadanya, berkata guru kami asy-Syeikh Abdul Qadir (bin Shabir) Mandailing, ``Kalau Husein bin Sulaiman tidak selalu turun ke Jawi nescaya boleh ia mengajar di Masjid al-Haram pada waktu Daulah al-'Utsmaniyah itu. Asy-Syeikh Abdul Qadir (bin Shabir) berkata bagiku''.

PENGETAHUAN

Daripada beberapa maklumat dapat dipastikan bahawa Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani (Pontianak) yang tersebut dalam tulisan di atas adalah saudara sepupu beliau sendiri, kerana sama-sama cucu kepada Haji Muhammad Nur Putih. Oleh itu dapat dipercayai bahawa Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani lebih banyak memperoleh pengetahuan daripadanya jika dibandingkan dengan ulama-ulama lainnya.

Walaupun kedua-duanya saudara sepupu tetapi umur Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani jauh lebih tua daripada Haji Abu Bakar kerana Haji Sulaiman (ayah Syeikh Husein) adalah anak daripada isteri pertama Haji Muhammad Nur Putih. Sedangkan Haji Abdul Ghani (ayah Haji Abu Bakar) adalah anak Haji Muhammad Nur Putih daripada isteri beliau yang kemudiannya.Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani pernah mengajar di Masjidil Haram, Mekah, Pontianak dan tempat-tempat lain di Kalimantan Barat, Singapura, Tembilahan dan tempat-tempat lain di Riau Daratan, juga Kepulauan Riau di antaranya pernah tinggal di Pulau Midai dan Pulau Bunguran/ Natuna.Barangkali sudah jadi sebati dengan keperibadiannya bahawa Tuan Guru Haji Abu Bakar mengajar dengan cara berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Pada akhir hayatnya atau beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia beliau mengajar di beberapa kampung di Seberang Perai dan sekitarnya.

1. Tafrihul Murid wal Ikhwan fi Tahshil Tajwidil Quran, diselesaikan pada 1 Jamadilakhir 1375 Hijrah/14 Januari 1956 Masihi. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai aspek tajwid al-Quran, termasuk perbandingan beberapa qiraah. Cetakan yang pertama oleh Al- Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan, Singapura, 1377 Hijrah.

2. Al-Muna fi Asbabil Ghina, diselesaikan pada hari Khamis, 21 Syawal 1359 Hijrah. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai amalan tilawah surah-surah tertentu dalam al-Quran, selawat, wirid, doa dan lain-lain sebagai ikhtiar mendapatkan kemudahan rezeki dan kekayaan. Cetakan pertama, Mathba'ah al-'Umariyah, 768, North Bird Road, Singapura, 1359 Hijrah.

3. Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat Taslim wat Tarhim, judul dalam bahasa Melayu oleh penyusunnya ialah Harapan Orang-Orang Yang Menuntut Kelebihan Khatam Al-Quran Dan Taslim Dan Tarhim, diselesaikan malam Sabtu, jam 12.20, 2 Zulhijjah 1379 Hijrah/28 Mei 1960 Masihi. Kandungannya membicarakan cara-cara melakukan khatam al-Quran, tarhim yang dibaca menjelang Subuh, taslim yang dibaca bulan Ramadan ketika akan melakukan sembahyang terawih. Selain itu terdapat beberapa amalan lainnya seperti ayat lima, selawat Syeikh Ahmad al-Badawi. Cetakan yang pertama Al-Ahmadiah Press, Singapura, 1379 Hijrah.

PENUTUP

Demikianlah riwayat Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani, yang meninggal dunia di Singapura pada tahun 1967 Masihi. Pada hari beliau meninggal dunia secara kebetulan saya berada di Singapura, dapat menyaksikan bahawa sangat ramai orang yang hadir menziarahinya, sama ada jenazah masih di rumah mahu pun hingga menghantar ke perkuburannya. Sebagai penutup artikel ini penulis berpendapat bahawa: ``Ulama perlu dekat kepada pemerintah yang adil supaya kebaikan dapat dikekalkan.

Ulama perlu dekat kepada pemerintah yang zalim untuk memberi nasihat terhadap mereka. Ulama perlu dekat kepada hartawan yang bertakwa dan dermawan untuk memudahkan pembiayaan pendidikan dan dakwah Islam. Ulama perlu dekat kepada orang miskin supaya timbul rasa belas kasihan. Ulama perlu dekat kepada sesama ulama supaya dapat bermuzakarah dan menambah ilmu pengetahuan. Ulama perlu dekat kepada orang yang jahil supaya dapat memberi pendidikan Islam terhadap mereka. Mudah-mudahan kita tetap berpandangan bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah insan Muslim, mukmin, ahlul Makrifatullah yang bertakwa kepada Allah s.w.t., bukan lainnya

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 10:02 AM   0 comments
OKU : PERJUANGAN DEMI SESUAP NASI
Thursday, November 24, 2005

Baru-baru ini aku menyertai komuniti oku di yahoogroups, walaupun sudah 13 tahun aku menjadi oku sebenarnya aku tiada rakan oku walau seorang pun, semua rakan dan orang sekelilingku adalah orang normal belaka.

Banyak info yang aku perolehi di sana, umpamnya orang buta di Malaysia kini bukan setakat membaca menggunakan Braille tetapi lebih advanced lagi, mereka menggunakan komputer dan dibantu dengan suatu perisian yang dinamakan jaws. Ini bukan cerita JAWS ditahun 70-an atau 80-an mengenai ikan jerung yang mengganas dan mencederakan manusia. Perisian Jaws ini mampu menterjemahkan tulisan di komputer kepada suara dan merupakan alat komunikasi oku buta yang penting sekarang dan di masa hadapan. Walau bagaimanapun ia masih mempunyai kelemahan kerana tidak dapat menterjemahkan masej berbentuk gambar.

Saya juga ada membaca puisi/ sajak dari oku, kadang-kadang rasa tersentuh juga. Ini merupakan sajak dari salah seorang ahli komuniti oku.

Petualangkah kita?
kalau kita menuntut hak kita
Petualangkah kita?
kalau kita bersuara untuk orang kita
Petualangkah kita?
Kalau kita menuntut peluang untuk sesuap nasi
Petualangkah kita?
Kalau kritikan kita untuk kesejahteraan orang kita
Petualangkah kita?
Kalau kita meraung kerana kita tersiksa
Petualangkah kita?
kalau berteriak melihat nasib sesama kita tidak terbela
Petualangkah kita?
Kalau tinta diguna untuk bercerita kepada mereka
Petualangkah kita?
Kalau teknologi dimanipulasi untuk mereka melihat kita
Petualangkah kita?

sesunguhnya TIDAK!!!

kita tidak menangis untuk diri sendiri
tapi kita menangis untuk kaum kita

kita bukan petualang!!
kita berjuang..dan itulah perjuangan
.

Secara keseluruhannya saya melihat OKU berjuang untuk mendapatkan sesuap nasi untuk dirinya, anak-anak, isteri dan keluarga mereka, ini amat berbeza dengan sesetengah orang politik yang berjuang untuk mendapatkan harta kekayaan, kemewahan, pangkat dan nama sekiranya mereka tidak meletakan tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah di dalam diri dan matlmat perjuangan mereka.

Wallahu a’lam…


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 8:23 AM   0 comments
Al-Jahiz pakar ilmu Haiwan
Sunday, November 20, 2005
Oleh Hasliza Hassan

Al-JAHIZ atau nama sebenarnya Abu Uthman `Amr bin Bahr adalah ilmuwan Islam yang dikagumi kerana cintanya yang tidak berbelah bagi dalam menimba ilmu pengetahuan.


Beliau yang dilahirkan pada 776 iaitu 14 tahun selepas Baghdad diasaskan Khalifah Abbassiyah al-Mansur, belajar membaca dan menulis atas galakan ibunya.

Diceritakan bahawa ibunya memberikan beliau 'sedulang' kertas nota dan memberitahunya bahawa kertas itu boleh menyara hidupnya kelak.

Sebagai anak yatim yang terpaksa membantu ibunya menjual roti dan ikan, beliau membuktikan peluang menimba ilmu terbuka untuk sesiapa saja, tanpa mengira taraf sosio ekonomi seseorang itu.

Al-Jahiz mencapai ketinggian ilmunya bukan sekadar dengan cara menghadiri kuliah, malah melalui pergaulan dengan ilmuwan di Mirdad, sebuah kawasan terbuka di pinggir Basra.

Mirdad menjadi tumpuan kabilah dan ilmuwan membanding nota mengenai berbagai-bagai ragam bahasa Arab Badwi.

Al-Jahiz juga sering mengunjungi masjid dan mempelajari hal yang berguna daripada pengunjung masjid yang lain.

Beliau menguasai bahasa dan sastera Arab dengan baik, selain mengkaji buku berbahasa Yunani.

Begitu pun, kepakarannya lebih menonjol dalam bidang ilmu haiwan berdasarkan buku karangannya.

Ketelitian beliau mengkaji pelbagai aspek kehidupan meningkatkan lagi pengetahuannya mengenai manusia sementara hasil bacaan mendedahkan beliau kepada dunia luar.

Al-Jahiz menulis lebih 200 naskhah buku meliputi bidang zoologi, tata bahasa Arab, puisi dan kamus.

Beliau dianggap sebagai salah seorang saintis Islam yang menulis mengenai saintifik dan subjek yang kompleks untuk orang kebanyakan.

Hasil kerja Al-Jahiz yang terpenting ialah Book of Animals iaitu Kitab al-Hayawan yang mengandungi tujuh jilid yang edisinya dicetak.

Ia mengandungi maklumat saintifik penting dan jangkaan konsep nombor yang hanya dibangunkan sepenuhnya pada separuh abad ke-20.

Dalam buku itu, Al-Jahiz membincangkan perkara mengenai peniruan haiwan iaitu sesetengah parasit menyesuaikan warnanya mengikut haiwan yang ditumpanginya.

Beliau juga menulis panjang lebar mengenai pengaruh cuaca dan amalan pemakanan manusia serta tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang hidup di persekitaran geografi serta kawasan yang berbeza.

Al-Jahiz membincangkan mengenai komunikasi di antara haiwan, psikologi dan tahap intelek serangga dan beberapa spesies haiwan. Selain itu, beliau menyediakan turutan yang lengkap mengenai organisasi sosial serangga yang diperoleh daripada pemerhatiannya.

Antaranya bagaimana serangga menyimpan bijian di dalam sarang yang tidak rosak pada musim hujan, tindak balas serangga terhadap cahaya dan mencadangkan satu kaedah memerangkap nyamuk dan lalat.

Pada peringkat awal pelopor sains zoologi dan antropologi, Al-Jahiz telah menemui bahawa kesan alam sekitar terhadap kehidupan haiwan dan juga memerhati perubahan spesies haiwan berdasarkan beberapa faktor.

Dalam beberapa muka buku itu, beliau turut menggambarkan konsep sains yang biasanya berlainan dengan konsep yang dinyatakan oleh Charles Darwin.

Sebanyak 87 lembaran daripada buku Book of Animals (kira-kira satu pertiga daripada teks asal yang ditulis oleh al-Jahiz) kini dipelihara dan disimpan di Perpustakaan Ambrosiana di Milan, Itali.

Koleksi itu, (salinan daripada naskhah asal) bertarikh kurun ke-14 dimiliki oleh pemilik terakhir, Abd al-Rahman al-Maghribi, pada 1615.

Lembaran daripada buku Book of Animals itu mengandungi lebih 30 ilustrasi dalam bentuk kecil.

Al-Jahiz kembali ke Basra selepas menghabiskan masa lebih 50 tahun di Baghdad.

Kisah kematian beliau mencerminkan kehidupan yang cintakan akan ilmu kerana beliau yang lumpuh tubuh badannya, mati tertindih oleh buku yang selalu tersimpan di sekelilingnya.

PROFIL
NAMA: Abu Uthman `Amr bin Bahr
GELARAN: Al-Jahiz kerana ketajaman matanya
TARIKH LAHIR: Tahun 150 hijrah bersamaan 767 masihi
TEMPAT LAHIR: Basrah, Iraq
MENINGGAL DUNIA: Tahun 255 hijrah bersamaan 869 masihi
SUMBANGAN: Membudayakan pencarian ilmu dan semangat cintakan kecemerlangan kepada masyarakat.

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 9:03 AM   0 comments
Katakan Tidak Pada Wahabi
Friday, November 18, 2005

Katakan Tidak Pada Wahabi

Oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Adalah malang apabila golongan yang kononnya kuat berpegang dengan agama tidak bersifat ilmiah. Sedangkan ilmu adalah teras kepada Islam yang tulen dan murni. Antara sikap tidak ilmiah ialah menuduh seseorang dengan sesuatu tuduhan palsu disebabkan tidak mahu atau berupaya menjawab persoalan yang dikemukakan. Sikap ini sama dengan Amerika sekarang yang menganggap sesiapa sahaja yang mengkritiknya sebagai pengganas sekalipun tanpa bukti.

Di Malaysia ini, wujud sikap yang sedemikian. Jika seseorang memberikan pandangan agama yang bukan menjadi perkara yang biasa diketahui oleh golongan agama tradisional tempatan, maka dia akan dilebelkan sebagai 'wahabi'. Sekalipun mungkin dia tidak tahu menahu wahabi itu apa?! Bahkan yang membuat tuduhan itupun kebiasaannya tidak begitu tahu apa itu wahabi?!

Jika kita bertanya kepada kebanyakan yang suka melebelkan orang lain sebagai 'wahabi'; apa itu wahabi? Berbagai jawapan diberikan. Ada yang katakan wahabi ialah sesiapa yang tidak qunut subuh. Jika kita beritahu dia, mazhab-mazhab yang lain juga demikian. Apakah al-Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Hanifah juga wahabi? Dia diam. Ada yang kata: wahabi tidak tahlil. Kita beritahu dia tahlil maksudnya La ilah illa ALLAH, tahmid bermaksud Alhamd li ALLAH, tasbih bermaksud subhana ALLAH. Setahu kita mereka ini menyebutnya. Mana mungkin, jika tidak, mereka kafir. Bahkan imam-imam di Arab Saudi menghafaz al-Quran dengan begitu hebat dan bacaan-bacaan mereka diperdengarkan di sana sini. Adakah mereka kafir?!! Ada yang kata wahabi adalah mereka yang belajar di Arab Saudi. Saya kata saya tidak belajar di Arab Saudi pun ada juga yang menuduh wahabi. Kemudian, kalau wahabi itu sesat, apakah sekarang Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabi sedang didiami dan diimami oleh golongan yang sesat?!! Ada yang kata wahabi ialah golongan tidak bermazhab. Kita beritahu dia Arab Saudi yang sebagai dituduh wahabi bermazhab Hanbali.

Agak yang lebih pandai menyebut; wahabi adalah pengikut Muhammad bin 'Abd al-Wahhab. Dari situ digelar pengikutnya 'Wahhabi'. Saya katakan saya sendiri dalam pengalaman yang singkat ini ada yang menuduh wahabi, sekalipun saya tidak begitu membaca buku-buku Muhammad bin 'Abd al-Wahhab. Saya hanya menganggapnya salah seorang tokoh-tokoh umat yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fiqh yang ulung untuk dirujuk fatwa-fatwa fiqhnya. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Bukan juga jaguh dalam hadith, sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak keras. Namun, sebagai tokoh, ada sumbangannya yang tersendiri. Dari segi ilmiah, secara peribadi saya tidak dapat banyak manfaat daripadanya. Namun sumbangannya tidak dilupakan. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Aulawiyyat memujinya, dengan berkata: Bagi al-Imam Muhammad bin 'Abd al-Wahhab di Jazirah Arab perkara akidah adalah menjadi keutamaannya untuk memelihara benteng tauhid dari syirik yang telah mencemari pancaran tauhid dan dikotori kesuciannya. Beliau telah menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara tersebut. Beliau bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik. (m.s. 263, ctk. Maktabah Wahbah, Mesir). Bahkan Dr. Wahhab al-Zuhaili juga memujinya dengan menyebut: "Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya) "Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan al-salaf al-salih yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin 'Abd al-Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah. Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid'ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin 'Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih.." (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani 'Asyar, m.s 57-58). Bahkan banyak lagi puji-pujian beliau dalam risalah tersebut. Saya tidak pasti apakah tokoh-tokoh agama yang begitu ramai memuji Muhammad bin 'Abd al-Wahhab patut dituduh wahabi atau tidak?!!!

Antara kitab-kitab yang saya ajar ialah kitab fekah mazhab al-Imam al-Syafi'i. Saya baca kitab al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'i kerana ia agak mudah untuk generasi muda. Namun apabila saya menyebut apa yang terkandung dalam kitab tersebut yang tidak sama dengan amalan masyarakat, maka dituduh wahabi. Sedangkan kitab itu adalah kitab dalam Mazhab al-Imam al-Syafi'i. Tokoh-tokoh penulisnya, adalah tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi'i , iaitu al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan 'Ali al-Syarbaji. Namun apabila saya baca antara apa yang disebut dalam kitab tersebut: "Daripada bid'ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya" (1/263, Damsyik: Dar al-Qalam), saya dituduh wahabi. Apakah semua penulis itu wahabi?!!. Mereka katakan kepada saya, jangan baca! Itu tidak sama dengan mazhab syafii tempat. Saya tanya: Adakah ada dua mazhab al-Syafi'i??!. Tidak mengapalah, mari kita tengok apa kata kitab-kitab melayu jawi. Kata Syeikh Daud al-Fatani (semoga ALLAH merahmatinya) dalam Bughyah al-Talab: "(dan makruh) lagi bid'ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid'ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya" (2/34). Demikian juga kenyataan dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin. Begitu juga al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi menyebut: "Maka bid'ah yang tidak elok" (7/130). Apakah mereka semua juga wahabi?!!.

Apabila kita memberitahu amalan Nisfu Syaaban seperti yang dibuat oleh masyarakat kita bukan dari tunjuk ajar Nabi s.a.w. Mereka kata: "awak wahabi". Kita kata ini bukan daripada tulisan Muhammad bin 'Abd al-Wahhab, ini fatwa Dr Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya mengenai nisfu Syaaban, beliau menjawab: "Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi' tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha). Apakah beliau juga wahhabi?!!

Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676 H) adalah tokoh agung dalam mazhab al-Syafi'i. Pada zamannya, beliau membantah mengiringi jenazah dengan mengangkat suara membaca al-Quran. Beliau berkata: "Ketahui sesungguhnya yang betul lagi terpilih yang menjadi amalan al-salaf al-salih r.a ialah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat suara dengan bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata, iaitu lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah yang cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang menyanggahinya. Sesungguhnya Abu 'Ali al-Fudail bin 'Iyad r.a. pernah berkata -maknanya-: "Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan sedikit yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh dengan banyaknya golongan yang rosak". Adapun apa yang dilakukan oleh golongan jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan yang lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah haram dengan ijma' ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan Adab al-Qiraah keburukannya, besar keharamannya, dan fasiknya sesiapa yang mampu membantahnya tetapi tidak membantahnya". (Al-Nawawi, Al-Azkar, m.s. 225-226, Damsyik: Maktabah al-Ghazali). Saya percaya jika al-Imam al-Nawawi di zaman kini dan buat kenyataan ini, golongan yang taksub pegangan tempatan akan menuduhnya juga wahabi. Apatah lagi jika mereka membaca kenyataan al-Imam al-Nawawi ini menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi'i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya: "adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid'ah yang tidak disukai" (Al-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Mahazzab 5/320 Beirut: Dar al-Fikr).

Banyak lagi contoh-contoh lain jika hendak disebut. Maka fahamlah bahawa tuduhan wahabi kepada seseorang di negara kita ini kebanyakan adalah fitnah. Sebagai jawapan kepada persoalan yang tidak terjawab, maka diputarkan isu ke arah yang lain. Ia adalah lambang akhlak dan perilaku buruk pembuatnya. Memburukkan orang lain tanpa bukti dan ilmu. Kesemua mereka ini akan didakwa di akhirat kerana memutar belitkan fakta tanpa rasa takut kepada ALLAH. Tidak pernahkah mereka membaca firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 11-12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Adalah malang jika medan perbahasan ilmiah dijadikan medan fitnah memfitnah. Apatah lagi jika yang terlibat itu golongan agama. Kita sepatutnya hanya berada dalam sempadan fakta dan angka sahaja. Jangan terbabas ke peringkat tuduh menuduh secara tidak berakhlak. Umpamanya, memang benar kita dalam beberapa pandangan hukum, mengambil selain dari mazhab al-Syafi'i. Ini beradarkan kajian atau tarjih yang disandarkan kepada ulama lain. Di Malaysia pun memang banyak hukum yang tidak berpegang dengan mazhab al-Syafi'i, terutamanya dalam fiqh muamalat. Lihat sahaja hukum-hakam zakat di negara ini. Namun ini bukan bererti kita menghina al-Imam al-Syafi'i. Malang sebahagian yang berniat jahat membuat fitnah kononnya kita menghina Imam kita yang agung itu. Sedangkan saya sendiri pada Julai 2004 telah menulis tentang keagungan al-Imam al-Syafi'i dalam majalah ini dan demikian juga dalam buku-buku saya. Bahkan ada yang membuat cerita kononnya ingin dibakar kitab-kitab mazhab dan inilah wahabi. A'azu bi ALLAH min zalik (pohon perlindungan dengan ALLAH dari itu semua). Benarlah kata Kata Muhammad bin Salih al-'Ali: "Kebiasaannya, taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab fiqh yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan mereka…Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan berhati-hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap keras, mengkritik dan menyakiti.." (rujukan: Muhammad bin Salih bin Yusuf al-'Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah m.s. 113-114, Jeddah: Dar al-Andalus al-Khadra`).

Ramai pendakwah yang mengeluh dengan akhlak buruk ini. Saya juga berdukacita dan bersimpati. Apatah lagi jika ahli fitnah memakai gelaran ahli badan ulama. Lebih lagi kita sedihkan. Namun saya katakan kepada diri saya yang amat dhaif dan para pendakwah yang difitnah; bersabarlah. Telah pun difitnah sebelum ini para rasul yang mulia, sehingga Nabi Muhammad s.a.w dituduh ahli sihir dan gila. Al-Imam al-Syafi'i r.h pernah dituduh sebagai pendokong Syiah di zaman sehingga dia dihukum. Al-Imam Al-Bukhari r.h pernah tuduh sebagai bersefahaman dengan Mu'tazilah mengenai al-Quran, sehingga dia terpaksa keluar dari kampung halamannya. Demikian sejarah dan sirah para ulama kesemuanya tidak sunyi dari mainan golongan yang hasad dan khianat. Demikian tabiat dakwah ini yang sentiasa menuntut keikhlasan dan pengorbanan. Pada hari kita memulakan dakwah ke jalan ALLAH dan rasulNya ini, kita sepatutnya mengetahui denai berliku dan lorong berduri yang akan lalui di hadapan. Jika tidak bertemankan keikhlasan dan kecintaan yang tinggi kepada ALLAH dan Rasul, gugurlah kita satu persatu. Untuk itu dari awal kita mesti sedar hakikat ini. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Ada kata golongan wahabi enggan terikat dengan mazhab. Jadi sesiapa yang ada berpegang dengan mazhab lain dalam beberapa perkara, maka dia wahabi. Kita katakan kita amat menghormati mazhab dan memuliakannya. Dalam banyak perkara kita terkait dengan mazhab al-Syafii. Tetapi ahli 'tuduh menuduh' ini seperti kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syari`at dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabah sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya (pengkaji) membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah". (rujukan: Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al-Mazlum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah). Barangkali mereka juga kena masukkan al-Qaradawi dalam senarai wahabi seperti yang didakwa oleh Amerika terhadap beliau.

Dalam ilmu hadith pula, kita menyebut apa yang disebut oleh ulama-ulama hadith yang mendhaif atau menghukum sebagai palsu sebahagian hadith yang diamalkan oleh masyarakat kita. Umpamanya, kita memetik ulasan-ulasan para ulama terhadap Kitab Ihya 'Ulum al-Din. Bukan bertujuan menghina al-Imam al-Ghazali (semoga ALLAH merahmatinya), tetapi sebagai ingatan untuk kita. Malangnya, mereka yang tidak takutkan ALLAH membuat fitnah kononnya kita menganggap kita lebih alim dari al-Imam al-Ghazali. Di sini saya petik apa yang tertera dalam buku saya "Menangkis Pencemaran Terhadap Agama & Tokoh-Tokohnya" yang dicetak pada awal tahun 2004:

"Sebagai contohnya di sini kita sebutkan kitab Ihya`Ulum al-Din karangan al-Imam al-Ghazali r.h (meninggal 505H) secara khusus. Ini memandangkan ia merupakan yang paling masyhur dan banyak diguna pakai dalam masyarakat. Dengan kita menyedari bukan hanya kitab al-Ihya ini sahaja yang mengandungi hadith-hadith dhaif dan palsu, ada kitab-kitab lain juga banyak yang mempunyai masalah yang sama. Mengkritik hadith-hadith palsu dan dha`if dalam kitab al-Ihya ini tidaklah bererti kita menafikan sama sekali sumbangan penulisnya dan nilai-nilai baik yang terkandung di dalamnya. Sebagai seorang tokoh, tentunya Al-Ghazali mempunyai sumbangannya yang tersendiri. Namun ini tidak memboleh kita menyembunyi apa yang benar. Kita mendo`akan keampunan dan kerahmatan Allah untuknya dan juga kita. Namun persoalan kebenaran dan ilmu mesti dijelaskan. Firman Allah:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.( Surah al-Nisa`: 135)

Al-Ghazali seperti yang dinyatakan oleh al-Hafizd al-Zahabi (wafat 748H) ketika mengulas kesilapan-kesilapannya dalam kitab Ihya `Ulum al-Din: "Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan. (rujukan: Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala 19/339, Beirut :Muassasah al-Risalah)

Sesiapa sahaja yang mengkaji ilmu hadith tahu bahawa Al-Imam al-Ghazali bukan seorang pakar dalam bidang hadith, ini diakui oleh semua pihak, melainkan mereka yang jahil tentang ilmu hadith sahaja. Sehingga Taj al-Din al-Subki (meninggal 771H/ Beliau adalah tokoh mazhab al-Syafi'i yang terkenal) yang begitu mempertahankan al-Imam al-Ghazali dalam Tabaqatnya turut mengakui hal ini dengan menyatakan: "Adapun apa yang dianggap cacat pada kitab al-Ihya disebabkan kelemahan sebahagian hadith-hadithnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bukanlah seorang pakar dalam bidang hadith". (rujukan: Taj al-Din al-Subki, Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 3/449, Beirut :Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

Kita lihat apa yang kata tokoh-tokoh hadith umat mengenai kitab Ihya `Ulum al-Din antaranya:

-Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah: "Ketika berada di Damsyik dan Bait al-Maqdis, al-Ghazali mengarang kitabnya Ihya `Ulum al-Din, ianya sebuah kitab yang ganjil. Ianya mengandungi ilmu yang banyak berkaitan syarak, bercampur dengan kehalusan tasawwuf dan amalan hati. Namun padanya banyak hadith yang gharib, munkar dan palsu".( Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/186, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

-Kata al-Hafizd al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597H): "Kemudian datang Abu Hamid al-Ghazali menulis untuk golongan sufi kitab al-Ihya' berdasar pegangan mereka. Dia memenuhi bukunya dengan hadith-hadith yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya".( rujukan :Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 190, Beirut : Dar al-Kutub al-ilmiyyah)

-Kata al-Hafizd al-Imam al-Zahabi (wafat 748H): "Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadith-hadith yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak. Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat?. Ianya apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan".( Al-Zahabi, Siyar `Alam al-Nubala`, 19/339)

-Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (wafat 728H): "Abu Hamid (Al-Ghazali) tidak mempunyai kepakaran dalam hadith-hadith Nabi dan riwayat-riwayat salaf sepertimana yang dimiliki oleh ahli yang mengetahui perkara itu. Mereka dapat membeza antara yang sahih dan yang tidak sahih. Oleh itu al-Ghazali menyebut dalam kitab-kitabnya hadith dan athar yang palsu dan dusta, yang mana kalau mengetahuinya tentu dia tidak menyebutnya".( Ibn Taimiyyah, Dar`u Ta`arud al-`Aql wa al-Naql, 7/149, Riyad : Dar al-Kunuz al-Adabiyyah).

Ada yang kata, kalau iya pun, banyak lagi isu yang lebih penting. Kita katakan alhamd lil Lah, atas kurnia ALLAH, banyak isu-isu ilmiah utama di negara ini, kita antara yang awal membincangkannya. Isu Islam Liberal, isu Astora, Syiah dan seumpamanya. Tulisan-tulisan kita banyak tentang isu-isu itu. Adapun isu-isu yang disebutkan tadi hanya sampingan sebagai menjawab persoalan-persoalan yang dibangkit oleh generasi baru yang luas pembacaannya. Namun telinga anda hanya memetik apa yang anda benci dan memekakkan diri dari apa yang anda suka. Kami pohon keampunan dari Allah untuk kami dan anda juga !!

Justeru, jauhkan diri fitnah-menfitnah kerana itu perlambangan akhlak yang buruk dan peribadi yang amat rendah. Kita kurang kecewa apabila pelakunya itu 'Shahrir Long'. Namun kita akan kecewa jika hal ini dilakukan oleh golongan agama, yang berakhlak dan mempunyai maruah diri. Mungkin ada orang yang benar-benar ingin menasabkan dirinya kepada wahabi. Namun kita sejuta kali menyebut : 'Katakan tidak untuk wahabi'. Ya untuk syafii, ya untuk Hanbali, Ya untuk Maliki, Ya untuk Hanafi. Dengan syarat tidak ekstrim dan taksub. Tapi no untuk wahabi kerana ia bukan aliran yang cukup untuk dimazhabkan.


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 9:46 AM   0 comments
RAJA MUHAMMAD TAHIR RIAU
Monday, November 14, 2005
HAKIM RIAU-LINGGA DAN ULAMA FALAKIAH

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ILMU Hisab dan Falakiah berkembang dalam kerajaan Riau-Lingga dimulai oleh Raja Ali Haji yang belajar daripada Saiyid Abdul Rahman bin Ahmad al-Mashri di Betawi.

Apabila pujangga Riau itu ke Mekah mengikut orang tuanya, Raja Haji Ahmad pada tahun 1243 H/1817 M, Raja Ali Haji dan ayahnya mentahqiqkan pelbagai ilmu kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, termasuk Ilmu Hisab dan Falakiyah. Raja Ali Haji selain seorang pengarang, juga mengajar ilmu-ilmu keIslaman kepada kerabat-kerabatnya, di antara mereka yang menjadi ulama besar dan Hakim ialah Raja Haji Muhammad Tahir bin Raja Haji Abdullah (al-Marhum Mursyid).Raja Haji Muhammad Tahir merupakan orang pertama di Riau yang menulis dalam bidang Ilmu Hisab dan Falakiyah sebagai dokumentasi.

Kemunculannya boleh disenaraikan dalam golongan di antara orang-orang pertama melakukan penulisan ilmu itu di dunia Melayu. Hal tersebut diakui, kerana pada peringkat awal memang tidak ramai ulama dunia Melayu melakukan penulisan ilmu tersebut, bahkan termasuk sampai ke zaman kita sekarang ini (1425 H/2004 M) sangat sedikit sekali yang menulis perkara itu.

Walau bagaimanapun Syeikh Abbas Kuta Karang Aceh dan lain- lain telah mendahului Raja Haji Muhammad Tahir Riau. Naskhah hisab dan falak karya beliau hanyalah dapat diketahui dan dipelajari melalui salinan yang dibuat oleh putera beliau sendiri, iaitu Raja Haji Muhammad Sa'id, seorang ulama Riau-Lingga yang banyak menghasilkan karya.

Oleh sebab asas Ilmu Hisab dan Falak telah dirintis oleh kedua-dua orang kerabat Diraja Riau-Lingga itu, ia memberi laluan mudah kepada Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari memperkembangkan ilmu itu. Kerabat Diraja Riau-Lingga merupakan orang pertama memperkenalkan dan memperkembangkan karya-karya hisab dan falak Syeikh Tahir Jalaluddin itu melalui natijah-natijah yang mereka terbitkan di Singapura.

Yang memperkenalkan karya Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari itu masih keluarga dekat dengan ulama ini, di antara mereka ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan dan Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud.

KETOKOHAN

Raja Haji Muhammad Tahir telah dikenali sebagai tokoh Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah melalui beberapa jalur, ayahnya Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-9 adalah seorang ulama pengamal thariqat, bahkan beliau digelar dengan Marhum Mursyid. Ketokohan beliau ini diakui oleh gurunya, Syeikh Ismail Minangkabau sebagai seorang Mursyid dalam Thariqat Naqsyabandiah al-Khalidiyah yang diamalkannya.

PENDIDIKAN

Sewaktu ayahnya, Raja Haji Abdullah membuat surat wasiat, 26 Zulhijjah 1276 H/1859 M, Raja Muhammad Tahir belum akil baligh lagi, sedangkan anaknya yang tua, Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong berada di Mekah. Saudara tuanya, ialah Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong yang telah diberi kepercayaan oleh ayahnya untuk mendidik Raja Muhammad Tahir.

Raja Haji Muhammad/Tengku Nong sendiri sebelum ke Mekah telah mendapat pendidikan daripada ayahnya. Juga sewaktu di Riau-Lingga beliau diasuh oleh Syeikh Ismail Minangkabau hinggalah beliau berangkat ke Mekah mengikut ulama yang berasal dari Minangkabau itu.

Raja Muhammad Tahir mendapat pelbagai ilmu daripada abangnya termasuklah Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Beliau juga sempat belajar kepada Raja Ali Haji. Di antara pengetahuan yang dipelajarinya daripada Raja Ali Haji ialah Ilmu Bahasa Melayu, termasuk karang mengarang, Ilmu Sosiologi, Sejarah, Ilmu Hisab/Falak dan lain-lain lagi.

Selepas itu Raja Haji Muhammad Tahir melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Selama berada di Mekah beliau dalam pemeliharaan Syeikh Ismail Minangkabau dan keluarganya. Di antara guru-gurunya di Mekah ialah: Syeikh Ismail Minangkabau, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan ramai lagi.

KEJAYAAN

Raja Haji Muhammad Tahir adalah seorang ulama besar kerajaan Riau-Lingga dalam masa transisi kejayaan kerajaan itu kepada masa kerajaan itu dimusnahkan oleh pihak penjajah Belanda. Walaupun keadaan pada ketika itu sangat mencabar, namun beliau masih sempat mendidik kaum kerabatnya mengenai ilmu-ilmu keIslaman. Dua orang anak beliau yang berilmu pengetahuan, Raja Haji Muhammad Sa'id dan Tengku Badariyah. Beliau jugalah sebagai pendidik anak saudaranya iaitu Raja Ali/Tengku Selat bin Raja Haji Muhammad/Tengku Nong. Raja Ali/Tengku Selat digelar masyarakat dengan ``Bapak Gembala Perniagaan Melayu''.

Raja Haji Muhammad Tahir juga dikenali sebagai tokoh ``murabbir ruh'' (pendidik kerohanian). Beliau adalah Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah seperti orang tuanya, Raja Haji Abdullah/Marhum Mursyid. Ramai kerabat Diraja Riau-Lingga ditawajuh atau dibaiah oleh beliau sendiri, di antaranya termasuk putera beliau, Raja Haji Muhammad Sa'id, anak saudara beliau, Raja Ali/Tengku Selat, dan ramai lagi.

Perkara ini jelas dalam sepucuk surat wasiat Raja Haji Muhammad Tahir kepada Raja Ali/ Tengku Selat itu. Kata beliau, ``Sesungguhnya Raja Ali yang tersebut itu sebagai munassibku sebagaimana yang telah diijazahkan oleh saudaraku Raja Haji Muhammad yang tersebut itu atasku .''

PENULISAN DAN PEMIKIRAN

Raja Haji Muhammad Tahir tidak menghasilkan karangan, jika dibandingkan penulisan Raja Haji Muhammad Sa'id, putera beliau, ternyata puteranya itu lebih produktif. Yang dapat dikesan setakat ini ialah: 1. Naskhah Hisab. 2. Syair Pintu Hantu. Pada Naskhah Hisab beliau menggunakan nama lengkap Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid al-Khalidi. Pada penulis ada sebuah manuskrip yang merupakan salinan puteranya Raja Haji Muhammad Sa'id, tarikh 1 September 1910 M. Naskhah Hisab juga pernah dimuat dalam Natijah Al-Usrah, terbitan Mathba'ah Al-Usrah, 5-2 Palembang Road, Singapura, tahun 1336H/ 1917 M-1918 M. Dimuat lagi salinan Raja Haji Muhammad Sa'id yang tersebut.

MENYALIN

Untuk menyemak pemikiran dan gaya bahasa Raja Haji Muhammad Tahir itu, dirasakan perlu menyalin mukadimah Naskhah Hisab itu, ialah, katanya, ``Kemudian daripada itu maka inilah natijah bagi tahun hijrah nabawiyah 1336 yang masuk ke dalamnya tahun milad 1917 dan 1918 melengkapi akan segala waktu sembahyang, dan menyatakan segala musim-musim, dan hari-hari besar dan lainnya sebagaimana yang dilihat di dalamnya.

Ada pun takwim sehari bulan yang di dalam natijah ini ialah atas hisab qamari yang hakiki, iaitu dihubungkan sehari bulannya apabila pada ketika masuk matahari maka bulan masih tertinggal di atas ufuk, padahal telah berhimpun bulan itu dengan matahari pada ketika siangnya. Syahdan segala auqat (waktu-waktu, pen:) ini atas hisab zaman wusta urufi, iaitu jam yang dipakai oleh orang putih. Permulaannya dari pukul 12 tengah malam.

Adalah segala auqat ini bagi negeri-negeri yang hampir khatulistiwa dan bagi negeri-negeri yang aradnya 1 dan 2 darjat ke Utara, iaitu seperti: Riau, Singapura, Johor, Batu Pahat, Muar, Melaka, Kampar, Siak, Pontianak, Sambas, Mempawah, Sarawak, Siugu, Padang Sidempuan, Rawa, Ternate, Sintang, dan negeri-negeri yang bersamaan dan berhampiran aradnya dengan dia. Maka bolehlah beramal dengan dia pada negeri-negeri arad satu darjat dan dua darjat ke Selatan.

Dan negeri-negeri yang aradnya tiga, empat dan lima darjat ke Utara dan ke Selatan dengan syarat berihtiyathlah masing-masing ahli negeri itu sekadar lima minit hingga lapan minit. Ada pun negeri-negeri yang memakai jam negeri asing itu, maka sayugianya memakai tafawut di antara dua taul. Pada tiap-tiap satu darjat tafawutnya empat minit. Jika negeri yang diikut jamnya itu sebelah Barat, yang negerinya sebelah Timur, maka ditambah. Dan jika negeri yang diikut jamnya itu di sebelah Timur dan negerinya di sebelah Barat maka dikurangkan.

Seperti: Melaka mengikut jam Singapura (sebelah Timur Melaka). Singapura taulnya 108.51 darjat, Melaka taulnya 102.15 darjat tafawut taulnya 1.36. 1.36 darjat kali empat minit sama dengan 6.24 minit (iaitu pukul 12 Singapura sama dengan 12.06 Melaka). Tersalin daripada: Naskhah Hisab Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid. Oleh Muhammad Sa'id bin Muhammad Tahir Riau Singapura, 14 Mei 1917 M.''Demikianlah transliterasi mukadimah Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir pada Natijah Mathba'ah Al-Usrah, 1336 H/1917-1918 M. Kandungannya pula banyak perkara-perkara yang menarik sebagai contoh pada halaman 32 pengarangnya mencatatkan bahawa sampai Muharam 1336 H bersamaan Oktober 1917 M, ``... telah lalu dari masa turun Nabi adam a.s. daripadanya syurga 8195 tahun.''Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir yang disalin oleh Mudir Mathba'ah Ahmadi, 50 Minto Road, Singapura, 15 Ogos 1920, lain pula kandungannya dengan salinan di atas sesudah mukadimah lalu membicarakan judul Gerhana Bulan Gelap selanjutnya tertulis, ``Berlaku hikmah al-Ilahiyah, dan harakat falakiyah, dan qawaid hisabiyah dengan bahawasanya menengahi bumi antara jirim bulan dan matahari pada 15 Safar, malam Khamis, sanah 1338 berbetulan 27 Oktober tahun 1920, gerhana bulan gelap. Permulaan gerhana pukul 7.46. Permulaan gelap pukul 9.02. Pertengahan gelap pukul 9.37. Permulaan terang pukul 10.12. Kesudahan gerhana pukul 11.27.''

MEMPERKENALKAN

Transliterasi yang bersumber daripada kedua-dua salinan karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau di atas adalah bertujuan memperkenalkan jalan ilmiah dan gaya bahasa ulama silam kita mengenai ilmu yang kurang diminati orang. Jika membicarakan kandungan kedua-dua sumber tersebut, maka ruangan yang diperuntukkan tidak cukup memadai. Oleh itu memperkenalkan ini lebih lengkap perlu difikirkan. Selain karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau yang disebutkan di atas barangkali masih ada karya beliau belum diketahui. Saya mempunyai sebuah surat wasiat beliau kepada saudaranya Raja Ali/Tengku Selat juga boleh dianggap sebagai satu karya tulisannya.

KETURUNAN

Putera Raja Haji Muhammad Tahir yang menjadi ulama besar ialah Raja Haji Muhammad Sa'id (wafat di Singapura, 11 Safar 1338 H/4 November 1919 M) dan Tengku Badariyah (wafat di Singapura, 10 Rabiulawal 1347 H/26 Ogos 1928 M). Raja Haji Muhammad Sa'id adalah seorang ulama besar Riau-Lingga mendapat pendidikan di Mekah dan Tengku Badariyah adalah seorang tokoh perempuan Riau-Lingga yang mahir berbahasa Arab, baik percakapan mahupun penterjemahan. Kedua-dua mereka akan dibicarakan dalam artikel yang tersendiri.

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 10:16 AM   0 comments
GELANG TANGAN EMAS CUCUKU HILANG!
Sunday, November 13, 2005

GELANG TANGAN EMAS CUCUKU HILANG!

KECUAIAN KITA! @ PENCURI YANG LICIK?

Jika dulu saya pernah menulis artikel mengenai tumpasnya seorang peragut di Masjid Makmuriah. Kini ada satu lagi cerita mengenai kecuaian kita menyebabkan barang kita hilang. Semoga cerita ini akan memberi pengajaran kepada kita terutamanya apabila keluar bersiar-siar atau membeli belah di tempat awam terutama kawasan yang sesak dengan pengunjung.

Kisah ini berlaku kira-kira tiga bulan lalu iaitu dalam bulan September 2005 di sebuah pekan kecil bernama Sungai Besar. Pekan ini terletak di dalam Daerah Sabak Bernam, Selangor iaitu di utara Selangor yang bersempadan dengan Perak.

Bagi orang yang biasa ke Sungai Besar terutama dari lembah Kelang, Perak dan Pahang mereka tentu menyebut Sungai Besar ini sebagai Syurga Pakaian kerana terdapat pakaian yang dijual dengan harga yang murah di pekan ini. Malah ada yang menyamakan Sungai Besar seperti Pengkalan Kubur di Kelantan dan Tangkak di Johor.

Setiap kali cuti terutama pada hari Sabtu dan Ahad, akan berlaku kesesakan jalanraya di pekan kecil ini terutamanya apabila hendak menyambut perayaan atau cuti sekolah. Ketika itu jalan yang sepatutnya satu lorong akan menjadi seperti tiga lorong kerana kereta yang berlapis-lapis. Keadaan ini mungkin berbeza dari keadaan lima belas tahun dulu.

Ekonomi Yang Yang, Arked Man, Arked Warisan dan gedung-gedung pakaian begitu sinonim dengan pekan ini. Bukan sahaja orang ramai membeli pakaian, malah peniaga pasar malam dan pasar harian biasanya memgambil bekalan pakaian untuk jualan mereka di sini. Mungkin kerana harga pakaian disini empat hingga lima kali lebih murah dari di Chow Kit atau di Lembah Kelang.

Dalam kesibukan membeli-belah seorang datuk dan nenek membawa cucu perempuannya yang berusia dalam lingkungan dua tahun di pekan kecil ini. Cucunya sebenarnya balik bercuti ke kampung bersama orang tuanya dari Kuala Lumpur.

Semasa membeli-belah, rupanya kedua ibubapanya lupa menanggalkan gelang emas yang dipakai oleh anaknya. Cucunya dengan gembira mengikut datuk dan nenek pergi membeli-belah, bukan apa budak kecil memang suka kalau dibawa berjalan.

Semasa datuknya berada di kedai kasut, ada seorang perempuan yang boleh dipanggil makcik tersenyum-senyum ramah mendekati cucunya. Datuk dan nenek ini pula sibuk memilih kasut yang sesuai untuk cucunya, mereka pun membalas senyumannya. Akhirnya mereka membelikan kasut yang ada lampu, bila kanak-kanak ini pijak menyalalah lampu itu dengan berkelip-kelip dengan berbagai-bagai warna.

Setelah puas membeli-belah, mereka pun pulang ke rumah. Beberapa jam selepas itu, ibu anak kecil itu bertanya pada anaknya “Kakak mana gelang kakak?”. Habislah hilang gelang tangan yang berharga RM500 itu. Kanak-kanak dua tahun manalah dia tahu, dengan selamba dia terus bermain-main dengan kasut baru yang ada lampu itu.

Datuk dan Nenek pun tak perasan macam mana gelang tu boleh hilang. Nak dikatakan tercicir gelang tu ketat, lagi pun dah lama pakai tek pernah tertanggal pun. Mungkinkah orang yang tidak dikenali yang tersenyum-senyum itu memotongnya semasa menghampiri kanak-kanak itu? Ini kerana datuk dan nenek itu baru perasaan, dua kali dia terserempak dengan orang yang sama di kedai kasut dan kedai pakaian.

Artikel ini bukan hendak menuduh sesiapa, tapi beringatlah kalau nak bawa anak kecil, pastikan mereka tidak memakai barang kemas yang mahal-mahal. Kehilangan boleh berlaku sama ada kecuaian kita atau liciknya Si Pencuri. Semoga kisah ini akan menjadi pengajaran yang berguna untuk kita semua.

Wallahu a’lam….


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 11:41 PM   0 comments
About Me

Name: Blogger
Home: Malaysia
About Me:
See my complete profile
Kunjungan

Pengunjung Dari Negara Online
Previous Post
Archives
Links
Tarbiyyah
  • Uslub Dakwah
  • Sasaran Dakwah
  • Pengurusan Tanzim
  • Memahami Perjuangan Islam
  • Tarbiyyah : Satu Keperluan Harakah
  • Cabaran dan Persiapan Tarbiyyah
  • Prinsip dan Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah
  • Akhlak dan Adab Berjemaah
  • Tahaluf Dalam Islam
  • Al Murabitun
  • Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah
  • Maudhu' dakwah
  • Persiapan para da'ie
  • Halangan dan rintangan dalam perjuangan
  • Semakan Daftar Pemilih SPR
  • Semak Status Anda Di sini
  • Powered by

    Free Blogger Templates

    BLOGGER

    © 2006 Koleksi Artikel 1 .Template by Isnaini Dot Com