Login Weblog

Koleksi Artikel 1

Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.

Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Blogger 28 Ogos 2005

 

Menu
|Koleksi Artikel 1| |Koleksi Artikel 2| |Weblog OKU 2| |Weblog OKU 1| |e-Book|
Waktu Malaysia
Iklan





Waktu Solat
Alumni Maahad Hamidiah Kajang

Subscribe to Maahad Hamidiah
Powered by groups.yahoo.com

Fatwa Pengharaman Anti Hadith

Fatwa Pengharaman Anti-hadith

Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini: Ajaran Golongan Anti Hadith

ISI AJARAN

1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.

2. Menolak dua kalimah Syahadah.

3. Menolak Qada' dan Qadar

4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12 Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada wahyu.

5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam

6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.

TARIKH MUNCUL

1985

TEMPAT BERKEMBANG Seluruh Malaysia

TINDAKAN/HUKUMAN

Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:

1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996

2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46

3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78

4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3 (Sumber: )

Penutup

Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal 'iya zubillahi min zalik.

Fatwa Mufti Perak

Kategori : Akidah

Tajuk : Gerakan Anti-hadis

Isu : "A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –

(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;

(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;

(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;

(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa,

adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.

B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Fatwa :

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa "Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti berikut

C. OLEH YANG DEMIKIAN –

(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;

(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -

(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran- ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World";

(b) mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –

(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu,pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian."

Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49

Tarikh Pewartaan :

15 Feb 1996

Borak
Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

ITNM & UKSB ketengah pemikiran Bennabi
Thursday, May 31, 2007
Utusan Malaysia, 31 mei 2007

Oleh: W. RAHIMAH DRAMAN

SEBUT sahaja nama Ibnu Khaldun, semua tahu malah tokoh ilmuwan besar Islam ini dihormati dan dikagumi seluruh manusia terutama kalangan sarjana, ilmuwan maupun para ahli falsafah dan perubatan sama ada Muslim atau bukan Islam di seluruh dunia.

Pemikiran dan keilmuan Ibnu Khaldun juga terus berkembang dalam pelbagai genre keilmuan yang melibatkan sebahagian besar kehidupan masyarakat hari ini. Namun mungkin jarang daripada kita yang tahu mengenai nama Malik Bennabi serta cetusan pemikiran dan keilmuannya sebagai tokoh dan cendekiawan Islam terulung pada abad ke-20 ini.

Tetapi itulah yang telah dibawa dan dikupas serta diterjemahkan oleh ilmuwan kita, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady mengenai pemikiran dan keintelektualan Bennabi sebagai tokoh ilmu terbilang kelahiran Tebessa, Algeria pada tahun 1905.

Selaku Felo Utama Akademik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Muhammad Uthman, mengetengahkan keintelektualan Bennabi melalui penterjemahan ke atas salah sebuah buku hasil karyanya yang bertajuk, Asal Usul Masyarakat Manusia - Rangkaian Hubungan Sosial untuk digali keilmuannya.

Bagi memperluaskan lagi pemikiran dan keintelektualan Bennabi (1905-1973) sebagai sarjana Islam kontemporari di kalangan masyarakat Malaysia (Melayu khususnya), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), anak syarikat Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, telah mengadakan Wacana Intelektual Pemikir khusus mengenai ketokohan Bennabi pada 23 Mei lalu.

Buku Asal Usul Masyarakat Manusia: Rangkaian Hubungan Sosial karya Bennabi yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh Dr. Muhammad Uthman itu menjadi pilihan pada majlis wacana ilmiah tersebut.

Pemikiran dan keintelektualan tokoh ilmuwan yang banyak menyumbangkan kepada teori peradaban manusia bertunjangkan konsep masyarakat Islam itu dibentangkan sendiri oleh penterjemahnya, Dr. Muhammad Uthman.

Bennabi menurut Dr. Muhammad Uthman, meskipun mendekati sastera Perancis, namun beliau lebih terpengaruh dengan buku yang berunsurkan Islam dan berjinak dengan gerakan Islah yang berkembang pesat di dunia Islam waktu itu.

“Bennabi dilihat sebagai ilmuwan yang telah memanjangkan keilmuan dalam kehidupan yang melibatkan seruan ke arah pencantuman roh dan akal daripada pemikir seperti Ibnu Khaldum, As-Shaffie dan Imam Al-Ghazali,” katanya.

Ini kerana katanya, wacana pemikiran dan keintelektualan keempat-empat tokoh ilmuwan Islam itu sangat penting dalam mencetuskan pemikiran yang positif dan utuh untuk manusia.

Menurut Dr. Muhammad Uthman, apabila al-Quran dijadikan tulang belakang dalam kehidupan intelektual, pasti membawa keharuman hidup rohani dan jasmani.

“Bennabi membawa masyarakat supaya jangan kita sampai tenggelam punca yang menyebabkan hilangnya peradaban dalam keintelektualan,” ujarnya.

Malah Bennabi melalui lewat buku yang diterjemahkan itu kata beliau, turut mengingatkan kita supaya kembali kepada asal usul budaya hakiki manusia itu sendiri.

Bennabi sebenar, beritahu Dr. Muhammad Uthman, telah mengajar kita supaya jangan silau dengan Barat. Tetapi ambil mana yang sesuai sahaja dan hendaklah berfikiran secara jiwa yang merdeka, bukan kerana kesilauan (Barat).

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 6:31 AM   0 comments
Cabaran terhadap ulama
Wednesday, May 30, 2007
Harakahdaily, 29 mei 2007

Dr Shafie Abu Bakar

Tue | May 29, 07 | 12:59:14 PM

Ulama tidak dipertikaikan lagi dari segi kedudukan, hieraki dan martabat. Allah mengiktiraf ulama sebagaimana firman-Nya bermaksud: Allah mengangkat orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan yang dikurniai ilmu berada pada ketinggian darjat. (al-Mujadalah, 58: 11)

Pengiktirafan diperkukuhkan lagi dengan firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-hambanya ialah ulama. (Fatir, 35: 28).

Manakala Rasulullah s.a.w. menegaskan dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda bermaksud: Para ulama adalah pewaris nabi-nabi.

Pada hadis lain diriwayatkan oleh Muadh bahawa baginda bersabda bermaksud: Orang alim adalah pemegang amanah Allah Subhanahu wa Taala di muka bumi.

Sesungguhnya induk bagi Islam ialah al-Quran dan Sirah Nabi Muhammad dengan perbuatan, kalam dan pembawaannya merupakan tafsiran terhadap Islam dan para sahabat dengan penuh amanah melanjutkan maklumat dan keilmuan kepada pendukung-pendukung Islam selanjutnya. Sekadar menyebut beberapa dari kalangan mereka seperti Sayidatina Aishah r. anha, Abdullah Ibn Umar, Abdullah Ibn Abbas, Abdullah Ibn Mas`ud r. anhum dan sebagainya. 2. Membina tradisi ilmu

Generasi Tabi`in dan Tabi` al-Tabi`in dan Atba` Tabi` al-Tabi`in menghuraikan Islam dari perspektif keilmuan khusus yang diwarisi oleh generasi-generasi selanjutnya.

Antara mereka seperti Al-Imam Malik dengan karya al-Muwatta` berhubung dengan keilmuan hadith dan juga fiqh, Ash`ari-Maturidi yang berhubung dengan `aqidah, Ibn Kathir dengan bidang tafsir, Ibn Ishak berhubung dengan Sirah al-Nabawiyyah, Al-Muhasibi di dalam bidang tasawwuf terutama dengan kitab pentingnya al-Ri`ayah li Huquqi Allah, Ibn Aqil berhubung dengan nahu, Ibn Rashiq berhubung dengan sastera terutama dengan kitabnya yang berjudul Al-`Umdah.

Asas yang diletakkan oleh tokoh-tokoh `ulama` ini menjadi induk bagi perkembangan ilmu-ilmu berkenaan dan cabang-cabang keilmuan yang berkembang daripadanya.

Termasuklah berbagai-bagai bidang ilmu sains yang ditokohi oleh berbagai-bagai `ulama`, antaranya Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd, Al-Biruni, Ibn Maskawayh, Jabir bin Hayyan, al-Khawarizmi, al-Battani, al-Farghani, al-Razi, al-Bitruji, al-Zarqali, al-Ghazali dan sebagainya.

Para ulama juga mengarang karya-karya yang berhubung dengan siasah dan pentadbiran seperti Al-Farabi dengan bukunya yang berjudul al-Madinah al-Fadhilah, Al-Mawardi dengan bukunya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Al-Tha`alabi dengan Adab al-Muluk, al-Ghazali dengan Nasihat al-Muluk dan Ibn Khaldun dengan Al-Muqaddimah. Hasilnya Islam bangkit sebagai sebuah tamadun yang menjunjung ilmu pengetahuan. Semuanya menjadi panduan dan pegangan umat Islam dan tamadun ini turut dimanfaat oleh mereka yang bukan Islam.

3. Mengembara demi dakwah

Kalangan ulama tidak saja mengajar dan menghasilkan kitab-kitab keilmuan, tetapi antara mereka turut menghadapi cabaran, setengah daripada mereka menghadapi fitnah dan tekanan seperti yang dihadapi misalnya oleh Imam Abu Hanifah, Ahmad bin Hanbal, Ibn `Arabi dan Al-Hallaj.

Sesetengah mereka mengambil risiko mengembara bagi mengembangkan agama Islam dan keilmuan. Alam Melayu dikunjungi ulama-pengembara bagi mengembangkan ilmu pengetahuan seperti Syeikh Ismail, Syeikh Abdul Aziz, Syeikh Abul Khair, Syeikh Abu Ishaq, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Syeikh Sharif Muhammad al-Baghdadi. Melalui dakwah yang dibawa mereka atau yang seumpama mereka kita di alam Melayu, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu menerima nikmat agama Islam.

4. Perkembangan ilmu tempatan

Di Alam Melayu Islam berkembang atas daya usaha `ulama` membangunkan institusi keilmuan Islam di pusat-pusat keilmuan setempat mengajar, memperkenalkan tulisan jawi sebagaimana bukti terawal terdapat pada Batu Bersurat di Hulu Terengganu (1312M.) dan mengarang kitab-kitab bagi perkembangan keilmuan yang sekali gus memperkembang dan meningkatkan martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.

Tempat-tempat yang menjadi pusat perkembangan Islam ialah seperti Pasai dengan tokoh seperti Makhdum Patakan, Melaka seperti Kadhi Munawir, Terengganu dengan tokoh seperti Abdul Malik bin Abdullah, Aceh seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Singkel, Banjar seperti Muhammad Arshad al-Banjari, Patani seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Zainal Abidin al-Fatani, Syeikh Nik Mat , di Palimbang Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, di Johor seperti Raja Ali Haji dan Tun Seri Lanang, Kedah seperti Tuan Hussein Kedah, manakala dari Kelantan seperti Tuan Tabal dan Tuan Ali Kotan dan sebagainya.

Ulama ini mengarang kitab-kitab, membuka institusi pendidikan dan mengajar keilmuan Islam. Ulama` tidak saja sebagai pendakwah, pengarang dan pembuka institusi pendidikan agama, tetapi juga sebagai penasihat dan pemandu di dalam bidang politik dan pentadbiran. Jika di dalam tradisi peradaban Islam lahirnya penulis di dalam bidang politik dan pentadbiran seperti al-Farabi, al-Mawardi, al-Tha`alabi, al-Ghazali dan Ibn Khaldun, maka di dalam peradaban Melayu-Islam lahir ulama`-pengarang di dalam bidang politik dan pentadbiran.

Mereka seperti Bukhari al-Jauhari dengan karyanya berjudul Tajul-Salatin, Nuruddin al-Raniri dengan karyanya yang berjudul Bustanul-Salatin, Tun Seri Lanang dengan karyanya Sulalatul-Salatin (Sejarah Melayu), Raja Ali Haji dengan karyanya Tuhfat al-Nafis dan Syeikh Abdul Qadir Patani (?) dengan karya Kitab Nasihat Segala Raja-Raja (Milik Sultan Zainal Abidin III Terengganu).

Tokoh-tokoh `ulama`, pengarang, pendidik dan pembimbing politik dan pentadbiran ini adalah merupakan mujahid yang menyebarkan Islam dan menjadikan rantau alam Melayu sebagai rantau Islam dan kini merupakan kawasan yang paling ramai umat Islam di dunia. Semangat dan jihad serta dakwah mereka ini patut menjadi tauladan dan ikutan bagi para ulama`.

5. Ulama benteng menentang penjajahan

Apabila penjajah tiba dan ingin menguasai politik dan ekonomi Negara-negara Alam Melayu-Islam, tokoh-tokoh ulama dan pengikut-pengikut mereka merupakan benteng Islam dan pejuang-pejuang yang mempertahankan Islam. Lantaran itu kita dapati Syeikh Daud Fatani dan keluarganya selepas berjihad, terpaksa berpindah ke Makkah setelah tidak dapat mempertahankan Patani dari serangan Siam, Syeikh Abdul Samad Palimbang syahid di Senggora kerana mau membebaskan negeri-negeri Melayu Islam di Selatan Siam.

Ulama-ulama Indonesia seperti Imam Bonjol berperang (Perang Paderi) dengan Belanda mempertahankan Islam. Fatahillah yang menyebarkan Islam di Jawa mempertahankan negaranya dari di kuasai penjajah, di Terengganu tokoh `ulama` seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan pengikut-pengikutnya memberontak menentang kemasukan British di Terengganu, manakala di Kelantan Tok Janggut menganjur pemberontakan di Pasir Putih Kelantan menentang kemasukan British di Kelantan dan tokoh-tokoh seperti Tok Gajah, Tok Bahaman, Mat Kilau menentang penjajah British yang mulai masuk menguasai Pahang.

Penjajah mendapat tentangan dari anak tempatan atas dasar cintakan agama dan kasihkan Negara. Ada dua pendekatan yang diambil penjajah. Pertama secara kekerasan sebagaimana dilakukan oleh Sepanyol di Filipina yang memaksakan penduduk yang telah Islam di sana menerima Kristian, walaubagaimana penduduk Islam terus-terusan menentang penjajah Sepanyol hingga kepada pemerintah kini di Selatan Filipina, khususnya di kepulauan Mindanao.

Manakala pihak British di Malaya, mengambil sikap berlembut dengan tidak menyentuh agama Islam yang dianuti penduduk di Malaya. Mereka menguasai politik dan Ekonomi, tetapi membiarkan agama, tanpa memberi perhatian untuk meningkatkannya dan tidak diberi nilai ekonomi. Lantaran itu pendidikan keislaman ketinggalan.

6. Ulama dan perjuangan kemerdekaan

Dalam perjuangan kemerdekaan tanahair para ulama adalah kalangan yang terawal mencetus perjuangan kemerdekaan seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Tok Gajah, Tok Bahaman, Mat Kilau. Mereka diikuti oleh tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Haji Sulong Patani, Syed Abdul Rahman (Tuan Paloh) Terengganu, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi membawalah kepada Abu Bakar al-Baqir Gunung Semanggol, Haji Muhammad Fuad, Dr. Abbas, Dr. Burhanuddin Hilmi dan Profesor Zulkifli Muhammad.

Ironinya, bahawa pejuang-pejuang Islam yang mempelopori perjuangan kemerdekaan, bukanlah mereka yang dapat menikmati kepimpinan dan hasil kemerdekaan. Mereka disisihkan, sebagaimana Islam itu sendiri disisihkan dari mendapat pembelaan dan pembiyayaan dari segi pendidikan dan tiada peluang dari segi ekonomi.

Sebaliknya perjuangan kemerdekaan diambil alih pihak nasionalis. Apabila perjuangan dicapai melalui nasionalis di Malaysia yang terdapat di dalamnya sedikit elemen keagamaan, tetapi lebih dipinggirkan menjadikan pihak yang memperjuangkan Islam seperti di Malaysia, tidak senang dengan peminggiran dan membawa kepada tertubuhnya Parti Islam Setanah Melayu (PAS) pada tahun 1951.

7. PAS dan ulama

Dewan Ulama PAS adalah Dewan tertinggi dalam parti (Fasal 37) yang dewan ini baik peringkat Pusat maupun pada peringkat negeri antaranya bertujuan menjalankan usaha menyatukan tenaga dan pemikiran `ulama bagi memperkuat dan mempertingkatkan perjuangan Islam serta menyusun dan menjalankan kegiatan tarbiah dan pendidikan di kalangan ahli-ahli Pas dan mengatur program latihan kepimpinan bagi membentuk petugas-petugas parti yang berilmu, beriman, bertaqwa, berpengalaman dan memahami perkembangan semasa.(Fasal 43 (f)(i & ii).

Dewan Ulama adalah pemandu parti yang bertanggungjawab memperkukuhkan dalaman parti dan memperkasakannya dengan nilai-nilai keislaman. Dewan Ulama juga memandu dan menunjukkan arah berhubung dengan interaksi parti dengan pihak luaran seperti mengenai tahaluf siyasi kerjasama Pas dengan parti yang bukan PAS atau ahli PAS dengan yang bukan Islam dan sebagainya. Pada dasarnya arah yang dipandu oleh `ulama` berjaya menegakkan ahli parti beridentitikan Islam, mempunyai watak dan pembawaan yang berbeza dari ahli-ahli parti yang lain.

8. Cabaran luaran

Cabaran yang sukar dihadapi oleh Pas, juga ulama, ialah sedang Pas meletakkan tujuan Pas (Fasal 5), ialah (i) bagi memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah dan (ii) mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara sedangkan pemerintahan negara bergerak daripada Nasionalisme + Agama kepada Liberalisme.

Nasionalisme adalah faham yang timbul pada pertengahan abad ke 19 akibat dari revolusi Perancis dan penguasaannya terhadap negeri-negeri di Eropah yang bangkit menentang Perancis seperti Jerman dan Itali atas platform nasionalis bagi mencapai kemerdekaan. Bagi Negara-negara Islam yang mengambil pendekatan nasionalisme seperti di Mesir (1919), Afghanistan (1919) seterusnya merebak ke Indonesia (1945) termasuk di Malaya (1946) menjadikan platform perjuangan adalah atas faham nasionalisme dan menjadikan keagamaan yang didukung sebagai force perjuangan yang menjadikannya lebih kental kerana berjuang menghalau penjajah, lantaran mereka adalah `kafir` dan `penjajah`.

Tetapi penyatuan antara Nasionalisme + Agama bukan sesuatu yang asli dan sesuai, sebab itu mudah luntur dan terpisah apabila nasionalisme itu cair dan penyatuan dengan keagamaan menjadi longgar. Kelonggaran nampak berlaku di dalam politik di Mesir, Indonesia bahkan Malaysia.

Nasionalisme di Malaysia dipertahankan di dalam politik atas nama kaum seperti Umno bagi orang Melayu, MCA bagi orang Cina dan MIC bagi orang India yang selalu menimbulkan konflik dalaman bagi mempertahankan kepentingan kaum dalam ikatan parti itu.

Bagi Umno mempertahankan Islam sebagai tugas warisan, bukan sebagai dasar perjuangan, bahkan atas dasar desakan dan kehendak orang Melayu, khususnya dari parti yang memperjuangkan Islam seperti PAS. Sebagai contoh kerajaan terpaksa turut meneruskan pendidikan agama di sekolah-sekolah agama dan menjadikannya sebahagian dari kurikulum pendidikan pada peringkat sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi, atas kehendak masyarakat, tetapi tanpa komitmen sepenuhnya.

9. Menipisnya Nasionalisme

Mendepani arus perkembangan semasa yang berorientasikan ekonomi dan kemajuan dan mendepani globalisasi dan dunia tanpa sempadan, nasionalisme yang tanpa ideologi itu semakin terhakis dan menipis. Malaysia memilih pengkoporatan dan penswastaan yang menjadikan Dasar Ekonomi Baru dilemma dan semi gagal, sebenarnya mau tidak mau nasionalisme menipis dan bergerak ke arah falsafah dan ideologi yang lebih munasabah baginya samada sosialis, conservative, anarchisme dan sebagainya.

Tetapi yang paling logik bagi pergerakan politik nasionalisme di Malaysia, khususnya Umno ialah bergerak ke arah Liberalisme demokrasi. Arah inilah pergerakan politik dominan di Malaysia yang secara langsung mencabar PAS, khususnya ulama`. Liberal mengarah kepada `social attitudes` yang bermaksud `keterbukaan fikiran dan pendapat`, memberi hak individu, memberi kebebasan, lebih berpandukan reason, keadilan dan toleransi dan kepelbagaian (Heywood, A., Political Ideologies, 2005: 28).

10. Kesan

Liberalisme yang bergerak dari nasionalis memberi kesan termasuk kepada orang Melayu dan dasar negara sendiri sebagai contohnya pengabaian terhadap Bahasa Melayu yang sebelum itu perjuangan bahasa adalah menjadi teras perjuangan nasionalisme Melayu.

Tetapi kini perjuangan bahasa ini telah longlai, terabai dan terpinggir. Kesan liberalisme ini juga berlaku terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan yang kini mewajibkan penggunaan bahasa Inggreis bagi pelajaran matematik dan Sains yang melemahkan Dasar Pelajaran dan Bahasa Melayu. Selain dari itu ianya memberi kesan ke arah meliberalkan agama, memisahkannya dari urusan keduniaan, mengagungkan kebebasan pergaulan yang menimbulkan krisis moral terutama di kalangan muda muda.

11. Kesan liberalisme terhadap Islam

Kesan Liberalisme yang mencabar PAS, antaranya kebimbangan UMNO bahawa dengan tumpuan kepada Islam akan memperkuatkan lawan dari PAS yang berprinsipkan Islam, maka berlaku manipulasi terhadap Islam, Pada zaman pemerintahan Dr Mahathir yang sering memandang sinis terhadap PAS dan mau mematikan visi Pas yang mau pemerintahan Negara berdasrkan Islam telah mengisytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam.

Ia bertujuan mematikan perjuangan PAS, walaupun mereka tahu dari segi perlembagaan dan praktiknya Negara ini adalah Negara sekular. Ini berikutan dari dasar `Menerapkan Nilai-Nilai Islam` dan kini `Islam Hadhari` pada era Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi. Pendekatan ini mencelarukan penganut Islam dan menghalang perkembangan Islam sebenarnya.

Kesan liberalisme dari segi perundangan yang menjadi cabaran dan seharusnya diberi tumpuan oleh Ulama` ialah pertembungan antara perundangan civil dan pengasingan undang-undang Syariah 1988. dan permintaan supaya menghormati (Article 121(1A) dan pertembungan antara kedua-duanya (Respecting the Constitution, The Star, 3 May, 2007: N51).

12. Pertembungan antara perundangan syariah dan sivil

Kesan liberalisme terhadap Islam antaranya timbulnya isu-isu pertembungan perundangan sivil dan syariah seperti permohonan Lina Joy menuntut agar ditiadakan identiti Islamnya dalam kad pengenalannya. Nama Islamnya Azlina Jailani. Perebutan jenazah seorang muallaf M.Moorthy yang meninggal antara Jabatan Agama dengan bekas isteri si mati M. Kaliammal yang bukan Muslim, kes ini masih pada peringkat appeal oleh bekas isteri M.Moorthy, arahan menyerahkan anak-anak di bawah umur kepada suami yang bukan Islam apabila isterinya menganut Islam -Kes Raimah Bibi Noordin yang menganut Islam dengan bekas suami Hindu P. Marimuthu dan 6 orang anaknya (NST, May 3, 2007: 6), masalah nafkah isteri yang tidak Islam menjaga anak-anak apabila suaminya masuk Islam dan melarang suami dari membawa anaknya sama ke dalam Islam (NST, March 31, 2007: 9), bantahan yang bukan Islam terhadap kes yang ada hubungan dengan mahkamah Syariah yang meminta mereka ke mahkamah Syariah (The Sun, Mach 29, 2007: 5).

13. Masalah Moral

Dari segi yang lain pula umat Islam, khususnya ulama` berdepan dengan Masalah `Policing Moral` yang menegah penguatkuasa pejabat agama membuat serbuan terhadap pesalah moral kecuali mendapat kebenaran polis dan mesti disertai pegawai polis senior (the Sun March 25, 2005: 1), bahkan menganggap sebagai tidak wajar pegawai-pegawai agama mengintai, apalagi membuat serbuan terhadap kes-kes khalwat, kerana kononnya Islam tidak menggalakkan melihat orang melakukan dosa (NST, Disember 15, 2006: 11).

Anehnya larangan di atas mendapat sokongan beberapa Menteri dan ahli parlimen muslim. Mereka menyokong memorandum 58 NGOs dan 249 individu membantah `polising moral` yang berkait dengan serbuan oleh JAIS di sebuah kelab di Damansara pada Januari 2005 itu.

Soal hiburan melampau juga melibatkan masalah moral seperti cadangan membuka tempat hiburan hingga jam 5.00 pagi bagi menarik pelancong (BH, 6 Julai 2006: 11), hiburan yang dianggap melampau melalui media letronik hingga pihak JAKIM mengeluarkan garis panduan hiburan, tetapi dibantah oleh Dr. Rais Yatim dari KEKKWA, menyebabkan syor JAKIM itu ditangguhkan (BH: 28 Mei, 2005: 1).

14. Menyentuh kesucian Islam

Persoalan yang lebih serius dan mencabar yang dihadapi Islam dan ulama, ialah tuduhan yang melabelkan Islam sebagai agama ganas. Ianya merupakan konspirasi teratur dipelopori Amerika bagi merosakkan image dan reputasi Islam.

Begitu juga tuntutan yang maukan Islam tertakluk di bawah Interfaith Religious Commission (IRC) dan mendapat bantahan kuat dari kalangan umat Islam. Tetapi mendapat sokongan 10 menteri. Perkara ini dibangkit di parlimen (The Sun March 26-27, 2006:8) dan dijawab oleh Datuk Seri Abdullah yang mengalu-ngalukan penubuhan IRC dengan syarat tidak menyentuh kesucian Islam. Hingga kini perkara ini ditangguh dan digantungkan.

Cabaran yang mendepani ulama termasuklah Persoalan Hak dan Kebebasan Wanita yang selalu dikemukakan oleh Sisters In Islam, Persoalan berhubung dengan Hak dan Kebebasan memilih agama. Desakan yang pernah dikemukakan oleh Lim Keng Yaik yang kemudian ditarik balik agar pengajaran matapelajaran agama dipisahkan dari sekolah kebangsaan (NST, May 2, 2005: 2) Persoalan kongsi raya yang dibimbangi boleh merosakkan akidah (BH, 14 Jun 2006: 7).

Beberapa pandangan terbaru yang menjadi tanda tanya umat Islam berhubung dengan pendapat Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri bin Zainal Abidin bahawa tidak wajar diintip mereka yang berkhalwat, kerana kononnya orang Islam tidak digalakkan melihat orang yang melakukan dosa (NST, 15 Disember, 2006: 1).

Beberapa pandangan beliau yang lain, bahawa orang bukan Islam yang menganut Islam tidak perlu menukarkan nama asal kepada nama baru yang lebih sesuai dengan Islam dan harus menjawab salam dari yang bukan Islam (The Star 4 May, 2007: N6). `Ulama` juga seharusnya memberi respons terhadap cadangan agar diadakan dialog peradaban antara agama yang diharap lebih memberi kefahaman terhadap masyarakat dan menghormati agama.

Ulama adalah pembimbing dan bukan tunduk kepada kehendak institusi tertentu hingga sanggup mengubah identiti ulama kerana tunduk pada kehendak institusi berkenaan demi publisiti.

Pendeknya `ulama` sebagai pemandu dan penunjuk arah, harus memberi respond dan pandangan terutama berhubung isu umat Islam semasa misalnya persoalan ekonomi Islam dan bank Islam yang mendapat dokongan bukan saja dari orang Islam, tetapi juga bukan Islam.

Perjalanan organisasi yang melibatkan umat Islam seperti OIC. `Ulama` wajar memberi pandangan persoalan antarabangsa misalnya penguasaan Amerika di Iraq, konflik antara puak Sunni dan Syiah dan cara penyelesaian yang wajar bagi umat Islam Iraq.

`Ulama` perlu mengeluarkan pendapat berhubung dengan kehadiran Amerika dan kewajaran Nato di Afghanistan, tekanan Amerika terhadap Iran berhubung dengan isu nuklier dan cadangan-cadangan yang patut diambil.

Pandangan-pandangan patut diberi berhubung dengan pergolokan di Dhafur, kemasukan tentera Habshah ke Erietria dan pergolakan di Sudan. Pandangan juga perlu datang dari ulama berhubung dengan konflik di Selatan Thailand dan Filipina dan kekecohan politik di Bangladesh. Setakat ini respond ketara dari Pas dan ulama ialah mengenai keganasan Israel di Palestin dan konflik Israel-Lubnan pada pertengahan tahun 2006.

15. Penutup

Ulama seharusnya bukan saja mampu membicara dan menyelesaikan masalah dalaman, tetapi juga cabaran yang dihadapi umat. Bagi PAS dan `ulama` hendaklah meletakkan dirinya sebagai sebuah kerajaan, walaupun tidak memerintah, ulama sebagai pembimbing harus menjadi pembimbing dan jurucakap parti, memahami segala persoalan yang dihadapi, mampu memperkatakannya dan kalau boleh menyelesaikan persoalan negara dan antarabangsa hingga PAS diyakini berkemampuan oleh masyarakat.

Ulama sebagai pembimbing dan terlibat dengan kegiatan keilmuan, maka Ulama juga sewajarnya dari masa ke masa hendaklah lebih banyak menerbitkan buku bersifat ilmiah bagi panduan ahli dan umat, juga menerbitkan risalah mengenai permasalahan umat Islam, isu-isu semasa dan pandangan mengenai isu-isu khusus. Dengan ini visi dan misi ulama dapat diikuti dan dihayati dengan jelas, ini sesuai dengan kedudukan dan wibawa ulama sebagai `Warathatul Anbiya``pemandu dan pembimbing umat. Sekian. - lanh

*Disesuaikan dari ucapan pembukaan Mesyuarat Agung Dewan Ulama Selangor di Sungai Besar Selangor pada 18 R. Akhir 1428 bersamaan 6 Mei 2007.

Bangi
12 Jamadil Awal 1428, 29 Mei 2007

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 9:18 AM   0 comments
Bacaan ilmiah elak umat terjerumus ajaran sesat
Berita Harian, 30 mei 2007

PENDEDAHAN mengenai wujudnya kumpulan ajaran sesat terus mengganggu ketenangan masyarakat melalui aktiviti menimbulkan kekeliruan seperti ajaran Ayah Pin, Al-Arqam dan Nasrul Haq yang sudah tidak asing lagi khususnya di Malaysia.

Sehingga kini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyenaraikan 125 kumpulan ajaran sesat yang bertapak di negara ini.

Ancaman ajaran sesat tidak mengenal bangsa, agama mahupun kedudukan status kemajuan negara. Memandangkan fenomena itu masih menyelubungi kehidupan masyarakat, usaha memerangi ajaran sesat perlu ditangani dengan berkesan.

Ditakuti pula, jika dibiarkan akan memberi kesan negatif kepada sejarah politik, sosial, ideologi dan psikologi umat Islam.

Buku Ajaran Sesat Mengenali Jalan Yang Terpesong mengupas persoalan ajaran sesat secara khusus dan percanggahannya dengan konsep akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kini menjadi pegangan umat Islam negara ini.

Hasil penulisan Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Darul Iman Malaysia, Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, juga menyingkap penyebaran ajaran sesat di Malaysia serta peranan pihak bertanggungjawab membanteras aktiviti jenayah itu.

Sejarah Islam mencatatkan Baginda Rasulullah SAW sendiri menyaksikan kumpulan ajaran sesat yang mengisytiharkan mereka keluar daripada Islam, begitu juga pada zaman sahabat dengan kemunculan kumpulan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Perbincangan mengenai ajaran sesat dalam buku Ajaran Sesat Mengenali Jalan Yang Terpesong turut membicarakan ajaran sesat daripada perspektif al-Quran dan sunnah selain menekankan implikasinya secara mendalam.

Ajaran sesat boleh menjurus kepada perbuatan syirik, iaitu dosa paling besar dan murtad, memutuskan pegangan daripada Islam dengan niat, perkataan atau perbuatan berbentuk persendaan, penghinaan atau kepercayaan.

Antara daya tarikan ajaran sesat seperti diketengahkan penulis buku itu ialah ajaran mudah dan tidak membebankan. Dalam erti kata lain, pengikut ajaran sesat cepat tertarik dengan konsep mudah dan ringan dalam Islam.

Unsur mitos menyebabkan ahli kumpulan berasakan ajaran itu istimewa berbanding ajaran lain. Banyak lagi ciri ajaran sesat yang diketengahkan termasuk imej guru atau pengasas ajaran itu dan kerahsiaan ajaran.

Engku Zaki berkata, matlamat menghasilkan buku yang mengupas persoalan berhubung ajaran sesat bertujuan menyelamat dan memperkasa akidah umat Islam supaya dapat menepis segala ancaman ajaran sesat serta memartabatkan kembali kedudukan umat Islam sebagai umat terbaik.

Buku Ajaran Sesat Mengenali Jalan Yang Terpesong sesuai dijadikan sumber rujukan atau sebagai bacaan ilmiah supaya dengan ilmu serta pengetahuan yang dikongsi bersama dapat mengelak umat Islam daripada terjerumus ke dalam ajaran sesat.

Walaupun pendedahan mengenai ajaran sesat sudah kerap dilakukan, namun kejahilan umat Islam sendiri mendorong ajaran songsang itu terus bertapak subur. Kepercayaan dan taksub kepada golongan yang mendakwa alim dan mempunyai hubungan istimewa dengan Allah, menyebabkan ajaran sesat terus subur.

Pemahaman dan penghayatan mengenai ajaran sesat serta implikasinya terhadap akidah dan masyarakat penting bagi menjana umat Islam sebagai umat terbaik seperti dituntut al-Quran.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 7:35 AM   0 comments
Haid tak jejas kesempurnaan ibadah haji
Friday, May 25, 2007
Berita Harian, 25 mei 2007

Bersama Tabung Haji Oleh Tengku Aziz Raja Abdullah


MASALAH haid kadangkala mengganggu kelancaran wanita mengerjakan ibadat haji dan umrah. Oleh itu, satu kefahaman dalam masalah ini perlu difahami dan diberi perhatian oleh wanita.

Wanita yang didatangi haid diharam sembahyang, puasa, tawaf, duduk dalam masjid, bersetubuh, menyentuh dan membaca Al-Quran.

Darah haid keluar paling minimum ialah satu hari satu malam (24 jam), manakala tempoh maksimum ialah 15 hari 15 malam dan tempoh kebiasaannya antara tiga hingga tujuh hari mengikut kebiasaan individu.

Jika haid keluar satu hari satu malam kemudian berhenti satu hari satu malam atau darah haid keluar dua atau tiga hari, kemudian berhenti dua hari secara umum, Mazhab Syafi’e berpendapat hari yang darah keluar dan hari darah berhenti dikira tempoh haid.

Dalam Al-Iqna ditambah tiga syarat:

l Hari darah terhenti dan hari darah keluar tidak melebihi 15 hari.

l Tempoh darah terhenti dan keluar tidak kurang daripada satu hari atau satu malam iaitu tempoh minimum haid.

l Hari suci atau tempoh suci yang menyelangi antara dua haid tidak kurang daripada 15 hari.

l Tempoh suci antara dua haid ialah 15 hari. Ulama fiqh bersepakat bahawa warna darah haid pada hari kebiasaan ialah kehitaman, merah, kuning dan keruh. Warna kuning dan keruh yang keluar hari kebiasaan haid dikira sebagai darah haid.

Darah yang keluar selepas hari kebiasaan haid tidak dikira sebagai haid. Oleh itu, jika masalah itu berlaku ke atas jemaah haji ketika berada dapatlah melakukan ibadat di Makkah dengan sempurna tanpa ragu-ragu.

Tanda wanita suci daripada haid ialah kering tempat darah keluar (faraj) tanpa ada kesan warna darah, sama ada merah, kuning atau keruh yang tinggal pada kapas atau seumpamanya yang dimasukkan dalam faraj sekadar hujung jari. Jika kapas atau yang seumpamanya itu didapati basah dan tidak ada kesan warna seperti di atas, itu juga sudah dianggap suci.

Putih bersih bermaksud apabila kapas atau seumpamanya yang dimasukkan dalam faraj sekadar hujung jari didapati putih, bersih, kering atau masih ada kebasahan yang putih jernih ia juga dianggap bersih.

Permasalahan wanita dalam haid ialah:

l Keluar darah selepas tempoh maksimum haid

Bagi wanita yang pertama kali datang haid, Mazhab Syafi’e berpendapat, hendaklah mengira darah haidnya satu hari satu malam saja iaitu tempoh minimum haid. Darah keluar selepas satu hari satu malam adalah dikira sebagai darah istihadah.

Bagi wanita pertama kali datang haid tetapi dapat membezakan antara darah haid atau tidak, maka Syafi’e mensyaratkan dengan tiga syarat iaitu tempoh darah yang keluar tidak kurang daripada tempoh minimum haid (24 jam), darah yang keluar tidak melebihi tempoh maksimum haid (15 hari) dan tidak kurang daripada tempoh minimum suci antara dua haid.

Bagi wanita yang sudah biasa mengalami haid dan dapat atau tidak dapat membezakan warna darah. Wanita ini hendaklah mengira tempoh haid mengikut kebiasaan haidnya. Darah yang keluar melebihi hari kebiasaan haidnya hendaklah dikira sebagai darah istihadah.

l Darah yang keluar ketika hamil

Wanita yang keluar darah ketika hamil adalah darah haid. Dalam Ashab Al-Syafie berpendapat jika wanita hamil mendapati darah keluar seperti hari kebiasaan haidnya dan sifat darah itu juga sama dengan sifat darah haid, maka darah itu dikira sebagai darah haid. Jika darah itu keluar pada hari yang bukan hari kebiasaan haid, maka darah itu bukan darah haid.

l Darah keluar selepas putus haid

Tiada had pada tempoh haid. Namun, umur kebiasaan bagi perempuan putus haid adalah di antara umur 49 hingga 62 tahun. Walau bagaimanapun, menurut pandangan perubatan, putus haid berlaku apabila tiada lagi benih aktif yang dapat mengeluarkan hormon. Jika ada, mungkin tidak aktif.

Kebanyakan wanita Malaysia putus haid pada purata umur 49 hingga 50 tahun. Pada pandangan perubatan, wanita akan dikira benar-benar putus haid apabila tiada haid selama enam bulan berturut-turut. Walau bagaimanapun, jika ada haid lagi selepas putus haid, ia bukan darah haid tetapi darah penyakit. Oleh itu, pemeriksaan dengan doktor perlu untuk menentukan darah itu darah haid atau tidak.

l Angin keluar melalui (qubul) faraj

Pada pandangan Mazhab Syafi’e, angin yang keluar daripada faraj wanita atau zakar lelaki adalah batal wuduk (ada orang yang mengalami keadaan sedemikian). Walau bagaimanapun, jika angin tidak keluar daripada permukaan faraj dan hanya berada di dalam saja, maka ia tidak membatalkan wuduk.

l Kelembapan faraj

Kadangkala berlaku kelembapan pada faraj. Kelembapan ini adalah sifat faraj menghasilkan lelehan untuk mengelakkan kulit mukosa daripada melekit dan mengering. Ulama fiqh berpendapat, kelembapan faraj akibat daripada lelehan yang dihasilkan mukosa tidak membatalkan wuduk. Bandingan sama keadaannya dengan seorang yang menjulurkan lidahnya keluar daripada mulut dalam keadaan lidah itu basah dan lembap air liurnya. Kemudian dia memasukkannya kembali ke dalam mulutnya dan menelan air liur itu, perbuatannya tidak membatalkan puasa kerana air liur pada lidah tidak terpisah daripada lidahnya.

Permasalahan haid dengan haji/umrah:

l Datang haid ketika berniat ihram. Boleh mandi sunat ihram, boleh berniat untuk ihram sekalipun dalam keadaan tidak suci.

l Datang haid selepas berniat ihram. Dibenarkan melakukan semua kerja haji dan umrah kecuali tawaf. Wanita yang datang haid ketika di Makkah dibolehkan melakukan zikir, bertahmid, tahlil dan takbir serta talbiyah.

l Mengerjakan haji tamattuk dan datang haid sebelum tawaf. Jika wanita memilih melakukan haji tamattuk kemudian datang haid sebelum tawaf umrah dan dibimbangi luput haji, dia boleh niat ihram haji berserta umrah (Qiran). Dengan itu, dia bertukar daripada haji tamattuk kepada haji Qiran. Ini pandangan majoriti fuqaha. Wajib bayar dam.

l Haid selepas wukuf dan tawaf rukun. Jika wanita datang haid selepas wukuf di Arafah dan selepas tawaf rukun sedangkan haidnya tidak suci sehingga hampir hendak pulang ke tanah air, dia tidak perlu tawaf Wida’ dan tidak dikenakan dam.

Bagi wanita yang datang haid atau nifas ketika hendak melakukan umrah, sampai ke Miqat dia boleh berniat ihram umrah kemudian mengucap talbiyah sehingga sampai ke Makkah.

Apabila sampai di Makkah, dia tidak boleh masuk ke Masjidil Haram, dia mesti berada di dalam ihramnya sehingga suci.

Apabila suci hendaklah mandi wajib, kemudian hendaklah tawaf di Kaabah tujuh keliling, kemudian sa’ie antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Selepas itu bergunting rambut dan bebaslah daripada ihramnya. Umrah itu sah dan tidak dikenakan dam. (Muhamamad al-Ajami, Al-Umrah : 21)

Bagi wanita yang haid/nifas ketika haji, sampai ke Miqat dia boleh berniat ihram haji (Ifrad) kemudian mengucap talbiyah sehingga sampai ke Makkah. Apabila sampai di Makkah, dia tidak boleh masuk ke Masjidil Haram, dia mesti berada di dalam ihramnya sehingga suci.

Apabila suci hendaklah mandi wajib, kemudian tawaf (selamat datang) di Kaabah tujuh keliling, kemudian tunggu hari berangkat ke Arafah untuk melakukan wukuf. Selepas itu lakukanlah amalan wajib dan rukun haji seperti biasa. Haji itu sah dan tidak dikenakan dam.

Wanita berihram di Miqat, kemudian datang haid atau nifas selepas ihramnya itu, dia terus berada di dalam ihramnya dengan erti tidak boleh melakukan perkara dilarang dan tidak boleh tawaf sehingga suci. Apabila suci hendaklah mandi wajib. Selepas itu tawaf umrah tujuh keliling dan sa’ie umrah tujuh kali.

Kemudian menggunting rambut dan bebaslah daripada ihramnya itu dan halal baginya melakukan segala yang dilarang ketika ihram. Umrah sah dan tidak dikenakan dam.

Perempuan berihram di Miqat (Tamattuk dan niat haji di Tanah Haram), kemudian datang haid atau nifas selepas ihram, dia terus berada di dalam ihramnya dengan erti tidak boleh melakukan perkara dilarang dan boleh melakukan amalan lain seperti wukuf, bermalam di Muzdalifah, bermalam dan melontar di Mina serta bergunting. Tidak boleh tawaf rukun sehingga suci. Apabila suci hendaklah mandi wajib. Selepas itu tawaf haji tujuh keliling dan sa’ie haji tujuh kali. Haji itu sah dan tidak dikenakan dam.

Jika wanita itu datang haid ketika tawaf, hendaklah cepat-cepat keluar dari tempat tawaf dan pakailah tuala wanita dan terus berada di dalam ihramnya sehingga suci dan mandi wajib. Kemudian tawaf, sa’ie. Ditambah dengan bergunting (jika umrah). Dengan itu bebaslah daripada ihramnya.

Apabila datang haid selepas tawaf dan sebelum sa’ie, hendaklah memakai tuala wanita dan boleh melakukan sa’ie tidak disyaratkan suci daripada hadas. Kemudian bergunting (jika umrah) dan bebas daripada ihramnya.

Jika datang haid selepas selesai mengerjakan umrah atau haji sebelum keluar dari Makkah, dia tidak boleh melakukan Tawaf Wada. Dia boleh pulang ke tanah air tanpa mengerjakan Tawaf Wada’ dan tidak dikenakan dam.

Apabila seseorang wanita hendak mengerjakan haji atau umrah dan bimbang kedatangan haid, dia boleh mengambil pil pencegah haid. Perbuatan ini harus mengikut ulama dan tidak salah.

Kefahaman masalah haid amat berguna dan menjadi fardu ain kepada setiap orang (khasnya wanita). Oleh itu, jika jemaah haji ada persoalan dalam masalah haid, haji atau umrah boleh rujuk kepada ustaz atau ustazah yang berada di maktab dan zon ketika berada di Tanah Suci.

Ia penting bagi menjadikan amalan haji dan umrah kita sempurna dan diterima Allah.



Penulis ialah Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 7:31 AM   0 comments
Perasaan malu perisai masalah gejala sosial
Berita Harian, 25 mei 2007

Oleh Endok Sempo M Tahir


KEBANYAKAN malapetaka sosial yang menimpa masyarakat hari ini seperti gejala seks rambang, hidup bersekedudukan tanpa nikah, main kayu tiga, anak luar nikah, penderaan wanita dan kanak-kanak, wabak Aids adalah kerana hilang atau kurangnya sifat malu dalam diri manusia.

Daripada Abi Mas'ud al-Badri berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di antara ucapan kenabian pertama (Adam) yang didapati manusia (daripada generasi ke generasi) adalah, “Jika engkau tidak malu maka perbuatlah apa yang engkau inginkan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hadis Nabi SAW ada menyatakan bahawa: “Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Maksud hadis itu ialah jika kesopanan atau sifat malu sudah hilang, iman juga akan hilang. Betapa besarnya pengaruh antara kesopanan dan keimanan kepada diri seorang wanita itu.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Apabila seorang itu terbabit dengan perzinaan, dia bukan lagi beriman, apabila seseorang itu mencuri, dia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu meminum arak, dia bukan lagi seorang beriman, apabila seseorang itu menyeleweng selepas diberi amanah oleh orang lain, dia bukan lagi seorang beriman, dan apabila seseorang di antara kamu menipu, dia bukan lagi seorang beriman, oleh itu berjaga-jagalah.”

Justeru, malu seorang lelaki atau wanita itu datang daripada sifat malu kerana takut kepada Allah.

“Setiap agama mempunyai kriteria dan kriteria (agama) Islam adalah sifat malu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sifat malu dan memelihara kehormatan adalah perhiasan dan perisai bagi mereka yang percayakan adanya pembalasan pada hari akhirat. Perisai inilah yang menghalang mereka daripada terjerumus melakukan dosa serta noda zahir dan batin.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila seseorang menyertakan keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya, ia akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia akan menjadi indah.” (Hadis riwayat al-Imam at-Tirmizi)

Allah menggantungkan kebahagiaan dan kejayaan insan kepada kemampuannya menjaga kehormatannya. Tidak ada jalan menuju kebahagiaan dan kejayaan tanpa menjaga kehormatan. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang beriman. (Yaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, orang yang menunaikan zakat, orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barang siapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-7)

Perbuatan zina yang keji bermula daripada pandangan mata. Oleh itu, Allah mendahulukan perintah untuk memalingkan pandangan mata sebelum perintah menjaga kemaluan kerana banyak musibah besar bermula daripada pandangan pertama.

Imam Ibnu Qayyum al Jauzi berpendapat: “Barang siapa yang mampu menjaga empat perkara ini, dia menyelamatkan agamanya. Al-Lahazhat (pandangan pertama), al-Khatharat (fikiran melintas di benak), al-Lafazhat (lidah dan ucapan), al-Khathawat (langkah nyata untuk sesuatu perbuatan).

Rasulullah SAW memerintahkan kita memelihara diri daripada perbuatan dibenci Allah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Malu adalah cabang iman dan iman di dalam syurga dan kurang sopan itu adalah sebahagian daripada kekerasan hati, kekerasan hati adalah di dalam api neraka.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi)

Menjaga batas pergaulan lelaki dan wanita adalah cara memupuk sifat malu. Walau apapun yang kita lakukan, mesti dibenteng dengan sifat malu. Kita perlu meletakkan batas dalam minda kita diikuti dengan perbuatan yang mengukuhkan komitmen.

Sifat malu atau (haya') adalah benteng iman. Kerana kita malu kepada Allah, malu kepada manusia dan kepada diri sendiri, maka kita terhalang daripada menjatuhkan maruah dengan perlakuan maksiat. Terbuka atau tersembunyi, sifat malu itulah yang menjadi benteng daripada suasana persekitaran yang merosakkan iman.





Penulis ialah ahli jawatankuasa Wanita JIM Pusat dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 7:23 AM   0 comments
TM Net perkenal portal Islam Addeen
Utusan Malaysia, 25 mei 2007

TM Net Sdn. Bhd. (TM Net) mempamerkan komitmennya untuk meningkatkan penggunaan Internet dalam bidang pendidikan Islam dengan menyumbang peralatan komputer kepada Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), baru-baru ini.

Di samping itu, TM Net turut memperkenalkan Addeen, portal pendidikan dan gaya hidup Islam, termasuk kandungannya - Program Multimedia Al-Quran (QUMP).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TM Net, Zainab Hashim berkata, portal ini akan memudahkan pemahaman dan pendidikan tentang agama Islam.

“TM Net menyokong penuh penggunaan Internet dalam semua aspek pendidikan dan pengenalan kandungan baru berteraskan Islam secara online ini adalah sebahagian daripada agenda kami untuk membangunkan kandungan tempatan yang positif dan menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan sebuah komputer riba, pencetak warna, mesin pengimbas serta dua cakera padat QUMP bernilai RM8,000 di Masjid Negeri Melaka (juga dikenali sebagai Masjid Al Azim Fasa II), April lalu.

Addeen adalah laman web komprehensif bagi pendidikan dan gaya hidup Islam yang memaparkan ajaran dan bimbingan Islam melalui portal multimedia interaktif.

Ia direka khusus untuk berfungsi sebagai sumber untuk panduan amalan rohani dan jasmani yang boleh diamalkan untuk memperkaya dan memperbaiki akhlak serta gaya hidup umat Islam.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Melaka Selatan, Kamaldin Mohd. Danim berterima kasih serta memuji TM Net atas hasil inovasi dan faedah meluas kandungan portal Addeen kepada komuniti Islam.

“Kami terpegun dengan komitmen TM Net membangunkan pendidikan Islam menerusi portal Addeen. Inisiatif ini memang wajar dan tepat kerana Internet boleh menjadi saluran efektif untuk menyebarkan maklumat dan memudahkan penghayatan ajaran Islam sama ada kepada umat Islam dan bukan Islam.

“Sekali gus mendidik para remaja tentang akhlak dan tabiat murni yang diterapkan dalam akidah Islam,” katanya.

Kandungan Addeen direka khusus sebagai sumber rujukan online yang komprehensif bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang amalan dan gaya hidup umat Islam. Kandungannya disediakan dalam format digital dan disimpan dalam arkib pengetahuan online yang memaparkan berita, artikel, klip video dan audio yang boleh dimuat turun ke telefon bimbit.

Portal ini bertujuan menyediakan bimbingan rohani yang sihat mengenai topik seperti Motivasi Diri, Bimbingan Rohani, Bimbingan Keluarga, Bimbingan Pelajar, Perihal Perkahwinan, Perihal Rumah tangga dan Kefahaman Islam.

Portal ini juga turut memuatkan QUMP yang menyediakan bahan audio, video, gambar, buku elektronik, bahan bantuan belajar, dokumentari dan terjemahan bagi membantu pembelajaran al-Quran, ilmu hadis dan sejarah Islam.

Untuk maklumat lanjut mengenai Addeen dan TM, sila layari http://addeen.bluehyppo.com dan www.tm.com.my.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 6:33 AM   0 comments
Harus melagukan bacaan al-Quran
Utusan Malaysia, 25 mei 2007

SOALAN 1

Saya ada nas yang mengatakan bacaan al-Quran tidak boleh dilagukan. Sila lihat surah Yasin ayat 69 & 70.

Tetapi ada seorang ustaz mengatakan itu tidak benar. Beliau menyatakan yang Nabi Muhammad s.a.w suka bacaan al-Quran secara taranum (berlagu) lalu mengeluarkan hadisnya sekali untuk menyokong hujahnya itu

JAWAPAN:
Sebelum saya menjawab soalan-soalan saudara, elok sekiranya jika saya jelaskan punca keraguan, iaitu ayat 69 dan 70 dari surah Yasin, maksud firman Allah dalam kedua-dua ayat tersebut, Dan kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan Kitab yang memberi penerangan. Supaya dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup (hatinya) dan supaya Pastilah (ketetapan azab) terhadap orang-orang kafir.

Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Aku bukanlah seorang penyair dan bersyair tidak wajar bagiku” (al-Alusiy, Bahr al-Muhit, jld:12, hlm: 481).

Imam al-Alusiy ketika menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa, “Allah menafikan bahawa Rasulullah s.a.w. bukanlah seorang penyair, malahan baginda adalah Rasul yang diutus menyampaikan wahyu Allah yang tiada tandingan baginya, tiada bicara yang menyerupai dengannya atau setanding dengannya. (al-Alusiy, Bahr al-Muhit, jld:12, hlm: 481).

Fakhruddin al-Razi menjelaskan: “dalam ayat ini Allah menafikan tuduhan kuffar terhadap Nabi sebagai penyair. Apabila Rasulullah menyampaikan ayat-ayat suci kepada golongan kuffar mengajak kepada Allah mereka akan menuduh dengan berkata: Sesungguhnya engkau adalah tukang syair”. (Tafsir al-Kabir, jld;13, hlm:85 )

Membaca al-Quran dengan taranum (berlagu) hukumnya tidak haram, malahan ia disunatkan. Ini berdasarkan kepada hadis-hadis Rasulullah, di antaranya yang bermaksud: Hendaklah kamu menghiasi bacaan al-Quran dengan suara yang indah. Hadis lain yang bermaksud: Barang siapa yang tidak melagukan bacaan al-Quran dia bukanlah dari kalangan kami. (riwayat al-Bukhari ).

Imam al-Syafie mengharuskan bacaan al-Quran berlagu, imam al-Nawawi juga mengharuskan bertaranum dalam bacaan al-Quran, dan ramai lagi ulama fikah yang mengharuskan tarannum dalam bacaan al-Quran. Apabila al-Quran dibaca dengan intonasi arabiah (lagu arab) akan terserlah mukjizat al-Quran.

Alunan lagu mesti sesuai dengan ayat, supaya tidak terkeluar dari kehendak makna al-Quran.

Jelas di sini bahawa ayat di atas bukanlah tegahan dari membaca al-Quran secara bertaranum (berlagu).

Ayat pertama menafikan bahawa al-Quran bukanlah seperti mana yang didakwa oleh orang-orang kafir sebagai syair. Ayat kedua menjelaskan tugas dan peranan Rasulullah s.a.w.

SOALAN 2
Bolehkah sesuatu hadis itu di gunakan untuk menolak apa yang telah difirmankan oleh Allah dalam al-Quran?

JAWAPAN:
Tidak boleh. Ini kerana al-Quran sampai kepada kita secara mutawatir wajib terima setiap huruf dan kalimatnya tanpa sebarang keraguan. Hadis pula secara asasnya terbahagi kepada tiga iaitu sahih, hasan dan daif.

Setiap kategori hadis ini ada penilaiannya. Sekiranya ada hadis yang bertentangan dengan al-Quran, maka yang diutamakan ialah ayat al-Quran berbanding hadis. Namun, tiada hadis yang bertentangan dengan ayat al-Quran.

Sekiranya ada hadis yang bertentangan dengan al-Quran maka hadis itu perlu diteliti dari beberapa sudut. Pertamanya dari sudut kesahihan nas, yang keduanya dari sudut nasikh atau mansukh hadis tersebut.

Jika soalan ini dikaitkan dengan ayat yasin di atas serta nas keharusan membaca al-Quran berlagu ia tidak tepat. Malahan tafsirannya juga tersasar dari kehendak Allah s.w.t.

SOALAN 3
Antara al-Quran dan hadis, yang mana lebih kuat faktanya?

JAWAPAN:
Sudah semestinya al-Quran lebih kuat faktanya, namun perlu diingat bahawa al-Quran telah dijelaskan oleh hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Rasulullah diutus untuk menjelaskan kepada manusia isi kandungan al-Quran. Sekiranya tidak ada hadis, maka perkara di dalam al-Quran yang tidak difahami oleh manusia.

Contohnya, di dalam al-Quran, Allah s.w.t. memerintahkan orang yang beriman menunaikan solat, mendirikan solat hukumnya wajib bagi setiap orang yang mukalaf.

Namun al-Quran tidak menjelaskan bilangan waktu solat melainkan solat subuh dan isyak, selainnya dijelaskan oleh hadis-hadis Rasulullah.

Bilangan rakaatnya juga tidak dijelaskan di dalam al-Quran melainkan hadis-hadis baginda yang menjelaskannya.

* Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui e-mel ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M,

Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

Faks: 03-9222 4967.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 6:30 AM   1 comments
Tuan Guru Nik Aziz rasmikan bangunan baru PAS di Jalan Raja Laut
Tuesday, May 22, 2007

Harakahdaily Mon | May 21, 07 | 06:19:37 PM KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh)- Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat sebentar tadi merasmikan bangunan Pejabat Agung PAS yang baru di Jalan Raja Laut dekat sini sebagai mercu tanda baru bagi membuktikan komitmen PAS untuk terus unggul di persada politik negara.

Majlis yang penuh dengan gilang gemilang tersebut dihadiri oleh Presiden PAS, ImageDato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, wakil-wakil NGO dan kedutaan asing.

Hari ini Bangunan PAS yang terletak di tengah-tengah nadi bandaraya Kuala Lumpur dengan secara rasminya diisytiharkan sebagai asas penggerak Islam dan demokrasi dalam negara. Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam ucapannya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah dan melahirkan kegembiraan beliau kerana PAS berjaya melangkah kehadapan dengan membawa obor Islam yang relevan sepanjang zaman.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran disusuli dengan ucapan aluan Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.

Sejurus selepas Tuan Guru Nik Aziz memberikan ucapan, ditayangkan persembahan multimedia yang menyorot sejarah penubuhan bangunan PAS.

Selepas daripada itu, Tuan Guru Nik Aziz diiringi oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato' Seri Anwar membuka tirai plak papan perasmian dan disertakan dengan doa yang dibacakan sendiri oleh Mursyidul Am.

Presiden PAS, dalam kata aluannya dalam buku cenderamata sempena perasmian bangunan PAS berkata pemilikan bangunan tujuh tingkat yang tersergam di tengah kota bakal menjadi tatapan dan kebanggaan penyokong PAS seluruh negara.

Beliau berkata, seharusnya bangunan baru PAS menjadi panduan kepada wargakota yang selama ini asing daripada PAS, untuk mendekati PAS.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Bangunan dan Pengurusan Harta PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata usaha untuk memiliki sebuah Pejabat Agung PAS di ibukota dimulakan dengan penubuhan Tabung
Bangunan PAS sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, hasil sumbangan berterusan ahli PAS, penyokong dan para dermawan, akhirnya pihak beliau memulakan usaha sejak dua tahun lalu untuk mencari lokasi yang sesuai sebagai peranan PAS sebagai sebuah parti politik nasional dan gerakan Islam yang terbesar di negara.

Beliau turut memberikan komitmen menjadikan bangunan baru sebagai pusat menggerakkan penyuburan demokrasi dan aktiviti parti pembangkang dalam negara.

Bangunan tujuh tingkat itu menempatkan semua organisasi PAS di peringkat pusat di bawah satu bumbung dengan dekorasi dalaman yang eksklusif dan canggih.

Bagi Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar, kewujudan bangunan baru PAS melebarkan syiar Islam di kawasan strategik yang penting dan memberikan kesan imej jangka panjang tentang iltizam PAS untuk memainkan 'centre-stage role' dalam mengemukakan dasar alternatif berteraskan Islam kepada rakyat Malaysia.

Berita lanjut disiarkan dalam Harakah edisi 1336 minggu ini.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 8:03 AM   0 comments
Syahadah hindar gangguan syaitan ketika hadapi
Berita Harian, 22 mei 2007

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh



KEMATIAN adalah suatu yang pasti dihadapi setiap manusia sama ada dia bersedia atau tidak, maut pasti menjengah. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah, akan diambil nyawa kamu oleh malaikat maut yang ditugaskan buat kamu, kemudian kepada Tuhanmu kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Sajdah, ayat 11)

Saat menghadapi sakaratul maut adalah detik kritikal kepada orang yang akan dicabut nyawa. Hayat penghabisan itu bakal menentukan sama ada seseorang itu mati dalam iman atau mati sebagai seorang kufur. Sehubungan itu, panduan ajaran Islam ada menerangkan kepentingan talqin syahadah iaitu mengajar kalimah tauhid kepada orang yang berada dalam keadaan sakaratul maut. Malaikat akan datang memberitahu mengenai terputusnya kelazatan dan kenikmatan hidup dalam masa sama, iblis dan syaitan juga berkeliaran mencari peluang memalingkan hati dan menghasut serta memperdaya supaya orang itu tergelincir imannya dan seterusnya menjadi calon pengisi neraka seperti mereka dan keturunannya. Anak cucu cicit iblis ketika itu akan mengelilingi manusia dan muncul dengan menyerupai wajah orang terdahulu yang disayangi manusia tadi.

Dengan wajah manusia bertopengkan iblis itu, mereka membisikkan hasutan ke telinga supaya jangan mempercayai Allah SWT , Rasul, kitab al-Quran dan Hari Kiamat. Namun manusia yang kuat iman dan pegangan agamanya serta ketika hidup sentiasa mengekalkan solat dan puasa tidak akan mudah termakan bisikan syaitan.

Maka di sinilah pentingnya peranan kerabat terhampir pesakit mengajar dan mengulang-ulang serta membisikkan kalimah syahadah supaya tidak lekang daripada mulutnya supaya akhir kalamnya nanti dengan sebutan kalimah itu. Amalan ini digalakkan malah disunatkan dilakukan orang yang hidup ke atas orang yang berada di saat hampir kematian.

Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Talkinkanlah (ajarkanlah) orang hendak meninggal dunia dari kalangan kamu dengan perkataan La Ila Ha Ilallah.” (Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah). Dalam satu riwayat lain daripada Huzaifah, ada sambungan hadis, “Kerana ia (talkin) boleh menghapuskan dosa terdahulu.”

Daripada Othman bin Affan, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dengan penyaksian tiada tuhan melainkan Allah, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Muslim).

Saidina Umar al-Khattab juga pernah menyebut yang maksudnya: “Hendaklah kamu hadir kepada orang yang hendak meninggal dunia daripada kalangan kamu dan ingatkanlah kepada mereka kerana sesungguhnya mereka melihat apa yang kamu tidak nampak, dan talkinkanlah mereka dengan kalimah tiada Tuhan melainkan Allah.”

Orang yang hadir tidak dibenarkan membaca talkin dengan suara nyaring dibimbangi berat lidah pesakit untuk menuturkannya, sebaliknya ajarkanlah kepada mereka dengan suara yang perlahan.

Menurut Imam al-Ghazali, kepentingan kalimah ini dibisikkan ke telinga pesakit supaya ia menghabiskan hayatnya dalam keadaan hatinya tiada mengingati perkara lain kecuali Allah, dan apabila tiada di dalam hatinya kecuali Tuhan Yang Esa, maka melalui kematian itu, dia akan mencapai nikmat tertinggi dalam perjalanannya menuju Allah.

Orang yang hadir juga disunatkan menasihatkan pesakit supaya bersangka baik dengan Allah yang mendatangkan kepadanya detik kematian bakal dihadapinya. Ia adalah senjata sangat ampuh untuk menangkis serangan syaitan di saat ia dalam keadaan yang kritikal itu.

Dalam satu riwayat daripada Wathilah bin al-Asqa’ menyebut: “Talkinkan dan hadirkan kepada orang yang hendak meninggal dunia antara kamu dengan ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ serta gembirakanlah ia dengan syurga, kerana orang lelaki mahupun perempuan, di saat genting itu akan kebingungan. Demi Allah, pandangan terhadap malaikat maut saja terasa lebih hebat daripada seribu kali pukulan pedang. Demi Allah, tidak akan keluar jiwa seseorang daripada dunia hingga setiap keringatnya merasa sakit kerana bingungnya.”

Hadis daripada Ma’qil ibn Yasar ada menyebut bahawa baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Bacalah surah Yasin ke atas orang-orang mati dari kalangan kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan dianggap sahih oleh Ibn Hibban)

Seperkara lagi yang penting bagi semua manusia bernyawa ialah melazimkan bacaan doa supaya mati dalam keadaan husnul khatimah dan minta dijauhkan daripada mati dalam keadaan su’ al-khatimah. Inilah yang diajar Nabi Muhammad SAW melalui doanya yang bermaksud: “Ya Allah, sudahilah pengakhir hayat kami dengan husnul khatimah dan janganlah sudahi pengakhir hayat kami dengan su’ al-khatimah.”

Sesungguhnya pengajaran daripada al-Quran dan al-Sunnah ini adalah satu petunjuk bahawa kematian manusia bukanlah penamat kehidupan, tetapi ialah adalah satu jambatan menuju ke alam yang lebih luas dan kekal abadi.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 7:58 AM   1 comments
Harus bernazar untuk dekatkan diri kepada Allah
Friday, May 18, 2007
Utusan Malaysia, 18 mei 2007

Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH


SOALAN 1
Apakah nazar dan apa hukumnya dalam Islam?

JAWAPAN

NAZAR menurut istilah ulama fikah ialah beriltizam untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan kewajipan yang tidak disyarakkan secara mutlak atau tidak terikat dengan sesuatu yang mewajibkan dari melakukannya.

Dalil dari al-Quran dan hadis mengenai keharusan nazar, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Mereka menunaikan nazar dan takut akan suatu hari yang azabnya merata di mana-mana. (al-Insan: 7)

Sabda baginda Rasulullah s.a.w. daripada Aisyah r.a yang bermaksud, Sesiapa yang bernazar untuk taat kepada Allah maka taatilah akan-Nya dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat kepada-Nya maka janganlah membuat maksiat kepada-Nya. (riwayat Bukhari)

Berdasarkan dalil di atas dan dalil-dalil yang lain, ulama berpendapat nazar hukumnya harus dalam Islam jika seseorang itu bernazar untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.

BAGAIMANAKAH caranya jika seseorang itu ingin bernazar?

JAWAPAN

JIKA seseorang itu hendak bernazar, pertama sekali hendaklah dia mengetahui dengan apa dia mahu bernazar. Maka di sini nazar terbahagi kepada tiga bahagian seperti berikut;

lNazar Lajaj: nazar yang berlaku ketika seseorang itu hilang pertimbangan diri akibat terlalu marah.

Contohnya dia berkata: “Sekiranya aku bercakap dengan si fulan maka demi Allah atasku puasa sebulan”. Nazar jenis ini ada dua keadaan dari satu sudut ia seperti bersumpah tidak mahu bercakap, dari sudut yang lain pula seperti nazar, maka orang yang bernazar boleh memilih sama ada tebus sumpah atau menunaikan nazarnya.

lNazar al-Mujazah (Mukafaah): nazar yang mana seseorang itu bergantung pada sesuatu keadaan yang akan menyebabkan dia akan melakukan sesuatu. Contohnya, berkata orang yang bernazar itu: “Sekiranya Allah menyembuhkan penyakitku ini maka demi Allah aku akan bersedekah seekor kambing”.

l Nazar Mutlak: nazar yang semata-semata hendak mendekatkan diri kepada Allah dan tidak didahului oleh apa-apa masalah. Contohnya, seseorang itu berkata: “Bagiku berpuasa kerana Allah pada hari Khamis”.

Nazar jenis kedua dan ketiga adalah nazar semata-mata mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Kerana hukumnya hanyalah harus, kalau tidak bernazar tidak dikira berdosa.

Namun manusia sentiasa berusaha untuk meletakkan dirinya di hadapan Allah melalui amal ibadat. Ini termasuklah menghampirkan diri melalui iman. Namun tidak ramai yang suka bernazar, ini kerana bila seseorang itu bernazar maka hendak dia tunaikan nazarnya selagi mana nazarnya tidak bertentangan dengan syariat Allah.

SOALAN 3

BAGAIMANA pula jika seseorang itu tidak melakukan nazar bila sudah tertunai hajatnya?

JAWAPAN

BERNAZAR supaya Allah memberi sesuatu pemberian atau pengurniaan. Contohnya: “jika saya sembuh dari penyakit ini maka akan saya sedekahkan seekor kambing kerana Allah”.

Selepas sembuh hendaklah dia menunaikan nazarnya kerana Allah. Jika enggan atau ingkar dikira berdosa. Jika tidak dapat ditunaikan nazarnya maka hendaklah ditebus nazar sepertimana menebus sumpah, sama ada memberi makan kepada 10 orang miskin dengan hidangan yang mengenyangkan mereka, memberi pakaian kepada 10 orang miskin atau membebaskan seorang hamba yang beriman.

Jika ketiga-tiga ini tidak mampu dilakukan maka hendaklah berpuasa tiga hari berturut-turut. Dalilnya, hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin Amir daripada Rasulullah s.a.w., baginda bersabda yang bermaksud, Kafarah (menebus) nazar seperti kafarah (menebus) sumpah. (riwayat Muslim)

SOALAN 4

WAKTU bilakah paling sesuai untuk bernazar?

JAWAPAN

ISLAM tidak menentukan bilakah waktu yang paling sesuai untuk bernazar. Namun kebiasaannya orang akan bernazar apabila berhadapan dengan sesuatu masalah atau sesuatu musibah.

Namun, Islam tidak menghalang penganutnya untuk bernazar, dengan erti kata untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.

SOALAN 5

APAKAH yang paling mudah untuk kita bernazar.

JAWAPAN

Jika seseorang itu ingin bernazar maka hendak dia bernazar dalam perkara yang diharuskan Islam, dan mampu melaksanakannya.

Pertama: Perkara yang dinazar itu merupakan perkara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bukan nazar dalam melakukan maksiat kepada Allah dan tidak boleh bernazar dalam perkara yang harus seperti makan, minum, tidur dan sebagainya.

Kedua: Perkara yang dinazar itu bukan daripada kewajipan yang memang telah diwajibkan dari mulanya lagi. Contohnya, jika seseorang itu bernazar untuk solat Zuhur atau ingin mengeluarkan zakat hartanya maka nazarnya itu tidak sah kerana nazarnya itu tidak membawa kesan kepada kewajipan yang baru.

Ini disebabkan solat Zuhur dan zakat hartanya itu memang telah wajib dari mulanya lagi tanpa memerlukan kepada nazar lagi.

- Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui e-mel ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M,Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

Faks: 03-9222 4967.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 6:29 AM   0 comments
Memartabatkan e-fatwa
Utusan Malaysia, 18 mei 2007

Oleh: MOHD. NOR MAMAT


PORTAL Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mentakrifkan e-fatwa sebagai satu laman web yang menyediakan maklumat-maklumat fatwa iaitu keputusan fatwa dan fatwa yang telah diwartakan di negeri-negeri seluruh Malaysia. e-fatwa adalah aplikasi berasaskan web dan dibangunkan oleh Bahagian Perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan dikemas kini oleh Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada pegawai-pegawai di Jabatan-Jabatan Mufti di seluruh Malaysia.

Secara teknikalnya, e-fatwa bukan sahaja berupa laman web tetapi lebih berperanan sebagai aplikasi pengurusan pangkalan data fatwa secara elektronik yang telah dibangunkan bersama oleh autoriti Jakim dan Jabatan-Jabatan Mufti seluruh Malaysia. Kemunculan portal e-fatwa membuka lembaran baru ke arah menyemarakkan maklumat Islam di Internet. Portal e-fatwa telah diusahakan oleh Jakim dan Jabatan Mufti seluruh Malaysia sejak 2001. Ia telah dilancarkan secara rasminya pada 23 Disember 2003 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Setelah lebih empat tahun digunakan, e-fatwa kini menerima 169,316 pelawat sejak 1 April 2003. Mutakhir ini, kita sering didedahkan dengan istilah tekno-daie yang awalnya diperkenalkan secara meluas dalam negara kita oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Kejayaan menggabungkan teknologi dan daie dalam projek portal e-fatwa membuktikan umat Islam perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam suatu kumpulan ataupun secara kolektif.

Kejayaan berikutnya pula ialah usaha memberikan komitmen dalam mempelbagaikan lagi maklumat di dalam e-fatwa ini dan menggunakan aplikasi tambahan seperti e-forum di kalangan pentadbir pengurusan istinbat dan mufti seluruh negeri. Ini sudah tentu memberikan suatu manfaat yang baik dan boleh menyelesaikan sesuatu masalah tanpa bertemu di dalam sesuatu mesyuarat. Bahkan e-forum boleh memberi peluang berbincang secara langsung sebelum sesuatu muzakarah diadakan.

Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Abdul Munir Yaacob membayangkan laman web itu bakal memberikan maklumat yang lengkap kepada umat Islam di negara ini. Ini boleh menjadi jalan penyelesaian kepada sikap sebahagian besar umat Islam tidak mengendahkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan kerana sukar memperoleh maklumat atau dokumen berkaitan sebelum ini.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menggambarkan pelancaran laman web e-fatwa itu tepat pada masanya dan orang ramai terutamanya golongan muda mudah mengetahui fatwa yang dikeluarkan.

Di Malaysia, e-fatwa telah menjadi satu sumber utama yang menghubungkan masyarakat Islam dengan mufti sebagai mewakili ulama yang autoritatif dalam menjalani kehidupan harian membabitkan aspek akidah, ibadah, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Portal e-fatwa ini mengandungi dua bahagian utama berkaitan fatwa iaitu fatwa yang diwartakan dan fatwa yang tidak diwartakan bagi setiap negeri di seluruh Malaysia.

Tinjauan ke atas kandungan fatwa dalam portal e-fatwa semasa mendapati sebahagian negeri memasukkan fatwa yang diwartakan sementara sebahagian negeri tidak berbuat demikian termasuk WP, Sarawak dan Sabah. Malah terdapat juga fatwa berkaitan penggunaan hormon umpamanya diletakkan dalam klasifikasi ‘perubatan’ sementara di negeri lain diletakkan dalam klasifikasi ‘lain-lain’.

Tinjauan juga mendapati klasifikasi fatwa yang digunakan adalah tidak terpiawai dengan satu kaedah yang tertentu. Ini dapat dilihat dengan kepelbagaian klasifikasi yang digunakan oleh setiap negeri malah lebih menarik apabila terdapat negeri yang menggunakan klasifikasi ‘lain-lain’ sebagai jalan mudah. Ini tentunya menyukarkan pengguna yang keliru dengan kedudukan fatwa yang sama di negeri yang berbeza.

Terdapat juga perbezaan dari sudut penyediaan maklumat keterangan kepada hujah sesuatu fatwa. Keterangan ini adalah sesuatu yang amat penting kepada masyarakat dalam memahami ketelusan sesuatu fatwa yang dikeluarkan. Didapati sebahagian negeri memasukkan ruang keterangan manakala sebahagian besarnya tidak. Keputusan fatwa semata-mata tanpa keterangan jelas bakal mengundang seribu satu perbahasan selanjutnya.

Dari sudut maklumat semasa fatwa yang dipaparkan dalam e-fatwa, didapati kandungan fatwa yang paling terkini adalah dikeluarkan pada 2002. Secara ironisnya, tiada sebarang fatwa diputuskan atau diwartakan oleh mana-mana negeri mahupun Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan sejak 2003 sehingga kini. Rintisan pembangunan portal e-fatwa adalah seharusnya mempercepatkan penyebaran fatwa kepada masyarakat umum yang sudah tentu tidak memerlukan tempoh lama untuk tujuan percetakan dan penjilidan seperti amalan konvensional.

Memandangkan dasar dan kandungan e-fatwa boleh ditentukan oleh negeri-negeri dengan persetujuan Bahagian Penyelidikan dan Keurusetiaan & Perhubungan Antarabangsa Jakim, beberapa cadangan dikemukakan untuk dipertimbangkan bagi tujuan penyeragaman serta penambahbaikan e-fatwa.

Tinjauan evaluatif ini bukanlah dibuat secara komprehensif tetapi agak memadai untuk tujuan pemantapan portal e-fatwa yang sedia ada demi memartabatkan lagi kedudukan fatwa dan institusi mufti peringkat nasional dan global. Perhatian dan penelitian perlu ditumpukan kepada beberapa perkara yang asas iaitu:

Fatwa yang tertera dalam e-fatwa hendaklah sentiasa dikemas kini memandangkan masyarakat Islam memerlukan fatwa bagi tujuan rujukan kes atau permasalahan yang berlaku dari semasa ke semasa.

Jenis klasifikasi yang digunakan hendaklah seragam dan konsisten antara setiap negeri agar tidak mengelirukan pengguna dan memudahkan carian maklumat fatwa oleh masyarakat Islam.

Kaedah klasifikasi hendaklah ditentukan oleh mufti atau jawatankuasa instinbat berdasarkan dominasi hukum yang lebih cenderung kepada permasalahan akidah, ibadah, muamalat dan sebagainya.

Keupayaan carian pantas menerusi enjin carian perlu disediakan untuk lebih efisien dan efektif berdasarkan kepada klasifikasi yang seragam.

Rujukan keterangan/ulasan adalah sangat penting untuk memberi kefahaman dan keyakinan masyarakat Islam terhadap sesuatu hukum yang diputuskan. Ia juga melambangkan ketelusan institusi mufti membuat sesuatu hukum berasaskan kepada prinsip dan premis yang tepat.

Sokongan grafik/multimedia juga boleh membantu mempertingkatkan kefahaman masyarakat Islam. Umpamanya, permasalahan berkaitan suntikan hormon yang disertakan dengan grafik hormon akan lebih memperjelaskan kepada pengguna yang tidak mengetahui tentang hormon.

Interaksi masyarakat dengan mufti menerusi e-forum juga wajar disediakan terutamanya yang membabitkan panduan kehidupan. Meskipun tidak memerlukan kepada keseluruhan panduan dan jawapan daripada mufti itu diwartakan atau disebarkan, namun panduan autoritatif daripada mufti adalah amat berharga bagi masyarakat Islam di samping mengelakkan kepelbagaian pandangan yang tidak autoritatif.

Komitmen kerajaan dalam menyebarkan sesuatu fatwa untuk kesejahteraan dan keharmonian masyarakat sudah tentu memerlukan ketekunan masyarakat untuk mengakses fatwa serta menghormatinya dalam kehidupan harian mereka. Sebagaimana pengalaman di Brunei yang penguatkuasaan fatwanya agak mudah apabila jumlah masyarakat Islam yang kecil mudah menerima dan mengakses fatwa yang disampaikan. Aspek penambahbaikan yang perlu ditekankan, bagaimana pula fatwa tersebut juga boleh menjadi rujukan global umat Islam yang lain, sekurang-kurangnya rujukan umat serantau.

Secara mudahnya, kita memahami bahawa fatwa adalah sesuatu yang amat penting untuk umat Islam selepas terhentinya wahyu, al-Quran dan hadis. Apatah lagi dalam suasana semasa yang semakin mengelirukan dan umat Islam berada dalam ketandusan ilmu, maka fatwa adalah jalan penyelesaian kehidupan yang paling bermakna. Dengan wujudnya e-fatwa, ia menjadi sumber rujukan autoritatif mudah akses, sebagai panduan kepada kehidupan masyarakat dengan hanya klik, sebagai medan forum interaksi masyarakat-mufti secara maya, sebagai sumber ilmu autoritatif akademik yang tersedia sepanjang masa dan juga sebagai penyelesaian kekeliruan dan salah faham isu semasa pada bila-bila masa dan di mana-mana secara global. Akhirnya, adalah amat wajar e-fatwa digarap secara lebih efisien dan efektif dengan kandungan yang terkini dan sistematik.

- PENULIS ialah Koordinator Perhubungan Korporat dan Pensyarah Kanan Pusat

Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 6:26 AM   0 comments
Jangan ulang kisah Si Tanggang
Tuesday, May 15, 2007
Utusan Malaysia, 15 Mei 2007

Aminah Zakaria.

“KasihNYA ibu membawa ke syurga, kasih saudara masa berada”. Begitulah antara bait-bait lirik lagu Kasih Ibu yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Kedudukan ibu dalam Islam juga diletakkan di tempat yang tinggi dan banyak ayat-ayat- al-Quran menyuruh anak-anak berbuat baik kepada ibu bapa seperti ayat 14 dalam surah Luqman.

Bagaimanapun, dewasa ini penghormatan anak kepada ibu seakan-akan hilang. Buktinya berlaku pelbagai insiden seperti anak mencaci dan memukul ibu termasuk yang ‘membuang’ ibu ke pusat-pusat jagaan orang tua.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto IZHAM JAAFAR menemu bual bekas Penolong Kanan Kolej Islam Sultan Alam Shah, Datin Aminah Zakaria bagi mengupas persoalan ini. UTUSAN: Antara orang yang istimewa dalam hidup setiap insan ialah ibu. Apakah kewajipan anak terhadap ibu?

AMINAH: Kewajipan khusus anak-anak ialah menyediakan diri untuk menyenangkan hati ibu. Sebabnya, dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda, keredaan Allah adalah pada keredaan ibu bapa.

Sebagai anak, kita perlu ingat bahawa sekuat mana pun kita beribadat tetapi jika kita tidak menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa, Allah tidak akan reda kepada kita.

Allah berfirman, Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah pula...(al-Ahqaf: 15)

Pernah suatu ketika, Rasulullah didatangi oleh seorang budak yang bertanya, “ibu saya lumpuh lalu semua urusan seperti memandikan dan menyuap makan saya lakukan sepenuhnya. Saya berkhidmat kepada ibu. Adakah perbuatan itu sudah dikira berbakti kepada ibu saya?”

Rasulullah bersabda, “belum walaupun satu peratus tetapi engkau tidak termasuk anak derhaka.”

Pendek kata, walau sehebat itu pun khidmat anak kepada ibu, ia masih belum mencukupi untuk membalas jasa dan susah payah ibu melahir, mendidik dan membesarkan kita.

Larangan menderhaka kepada ibu bapa dinyatakan secara jelas dalam surah al-Israk: 23. Apakah ciri-ciri derhaka itu?

AMINAH: Dalam ayat tersebut Allah berfirman, Dan Tuhanmu memerintahkan supaya jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya lanjut usia dalam pemeliharaanmu, janganlah kamu mengatakan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Jika berkata ‘ah’ pun tidak boleh apatah lagi menyakitkan hati, memukul atau sehingga membunuh yang menjadi sebesar-besar dosa. Dosa kita kepada ibu bapa ini adalah dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Sepatutnya, kita perlu melayan mereka dengan sebaik mungkin, mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka semasa hidup lebih-lebih lagi apabila mereka telah mati. Mendoakan ibu bapa adalah antara sifat anak yang soleh.

Perbuatan mengangkat suara kepada ibu bapa sudah dikira derhaka. Kalau mengangkat tangan (memukul) lebih teruk lagi derhaka seseorang anak itu.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda ditanya oleh seorang pemuda, “siapakah orang yang paling perlu untuk saya berbuat baik”. Rasulullah bersabda, “ibumu, kata pemuda itu lagi, selepas itu, ibumu, selepas itu, ibumu, selepas itu, bapamu.”

Ada juga pendapat mengatakan dua pertiga daripada khidmat bakti anak adalah untuk ibu dan hanya satu pertiga untuk bapa. Terutama apabila ibu sudah lanjut usia.

Ini membuktikan betapa menghormati ibu itu adalah wajib selagi mana ia tidak menyalahi perintah Allah.

Pepatah Melayu ada menyebut, seorang ibu boleh menjaga 10 anak tetapi 10 anak tidak boleh menjaga seorang ibu. Apakah maksud yang tersirat di sini?

AMINAH: Ibu ini oleh sebab kasih sayang yang terlalu hebat terhadap anak-anak masih mampu tersenyum menjaga dan membesarkan walaupun 10 anak. Tetapi kasih anak kepada ibu sedikit sahaja.

Sepatutnya anak-anak perlu berebut-rebut untuk menjaga ibu bapa semasa mereka sudah tua. Sebabnya, rumah siapa yang dipilih oleh ibu tinggal itulah anak yang soleh atau solehah.

Dalam hal ini, ibu bapa juga berperanan mengasuh dan mendidik anak dengan baik sejak mereka kecil. Ini supaya apabila kita tua, anak-anak pula akan menjaga kita. Ini ditegaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya, berbuat baiklah kepada ibu bapa kamu nescaya anak-anak kamu berbuat baik kepada kamu.

Jika ada perselisihan atau masalah dengan ibu bapa selesaikan segera. Sebagai anak, kita jangan ego walau setinggi mana kedudukan atau jawatan kita. Ibu tetap ibu walaupun jika mereka itu buta huruf.

Sabda Rasulullah, “sesiapa yang bangun pagi dan melakukan sesuatu yang menyenangkan hati ibu bapanya maka terbuka dua pintu ke syurga. Begitulah juga pada waktu petang. Tetapi barang siapa yang melakukan sesuatu yang tidak diredai oleh ibu bapanya maka terbuka dua pintu neraka”.

Sebab itu anak-anak perlu segera memohon maaf kepada ibu bapa jika berselisih faham. Jangan biarkan sehingga tidak bertegur sapa bertahun-tahun lamanya.

Jika semasa kecil kita tidak mendapat didikan yang sewajarnya disebabkan oleh keadaan ketika itu, apabila dewasa hendaklah kita memaafkan ibu kita.

Adakah perbuatan menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang-orang tua itu boleh dianggap ‘membuang’ mereka dan derhaka?

AMINAH: Dalam hal ini, kita tidak boleh menghukum semua perbuatan sedemikian sebagai menderhaka.

Namun, menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang tua-tua hendaklah menjadi pilihan terakhir bagi mana-mana anak.

Jika dalam situasi anak tidak mampu menjaga ibu bapa disebabkan mereka lumpuh, anak tersebut perlu memilih tempat yang ibunya reda. Kalau dengan reda, itu tidak mengapa.

Tetapi jangan pula menghantar ibu bapa ke pusat jagaan kerana hendak melepaskan tanggungjawab. Golongan beginilah yang dianggap menderhaka.

Namun begitu, tidak ada ibu bapa yang suka tinggal di rumah orang tua-tua. Mereka lebih suka tinggal bersama anak dan cucu. Oleh sebab itu, anak-anak kena berfikir 100 kali sebelum bertindak menghantar mereka ke pusat jagaan tersebut.

Bagaimanakah kisah ‘Alqamah atau si Tanggang dapat dijadikan pengajaran oleh anak-anak sekarang?

AMINAH: Kedua-dua kisah ini mempunyai persamaan dari segi perbuatan anak yang tidak mahu makan masakan ibu sehingga menyebabkan ibu tadi berkecil hati.

Kes si Tanggang, dia enggan makan pisang salai yang dimasak oleh ibunya selepas beroleh kekayaan sehingga menyebabkan hati ibunya terguris. Akhirnya Tanggang disumpah menjadi batu.

‘Alqamah pula adalah anak yang baik. Setiap kali pergi ke masjid, dia akan menziarahi ibunya. Cuma pada suatu hari, ibunya memberitahu ingin pergi ke rumah ‘Alqamah.

‘Alqamah dan isterinya amat gembira mendengar berita tersebut. Mereka pun menyediakan pelbagai jenis masakan sebagai menyambut kedatangan ibu ‘Alqamah.

Rupa-rupanya, ibu tadi membawa makanan yang telah dimasaknya untuk dinikmati di rumah ‘Alqamah. Bagaimanapun, isterinya menyimpan makanan tersebut dan menghidangkan apa yang dimasaknya.

Disebabkan perkara itu, ibu ‘Al`qamah berkecil hati sehingga menyukarkan anaknya itu menyebut kalimah tauhid semasa sakaratul maut.

Rasulullah pun diberitahu tentang hal tersebut dan baginda bertanya kepada ‘Alqamah bagaimana hubungannya dengan ibu. Lalu beliau menjawab, ada sedikit salah faham.

Rasulullah kemudiannya memanggil ibu ‘Alqamah dan memintanya memaafkan anaknya supaya boleh mengucap syahadat. Bagaimanapun, ibunya enggan kerana hatinya sangat terguris akibat peristiwa tempoh hari.

Oleh sebab itu, Rasulullah mengarahkan para sahabat mengumpul kayu untuk membakar ‘Alqamah. Sabda baginda, sebelum dibakar di akhirat aku ingin tunjukkan dia dibakar di dunia.

Melihatkan keadaan itu, barulah ibunya memaafkan ‘Alqamah. Sejurus itu, barulah ‘Alqamah boleh mengucap dengan lancar.

Satu contoh lagi ialah kisah Juraij. Beliau adalah seorang yang kuat beribadat. Setelah lama tidak bertemu, pada suatu hari, ibunya datang ke rumah Juraij dan mengucap salam. Ketika itu Juraij sedang solat sunat di tempat khas di dalam rumahnya.

Kerana terlalu kuat beribadat, Juraij tidak menghiraukan kedatangan ibunya. Sebaliknya dia meneruskan solat sunat.

Ini menyebabkan ibunya berkecil hati dan berdoa supaya anaknya dipertemukan dengan wanita jahat.

Kebetulan berdekatan kediaman Juraij terdapat sekumpulan pengembala kambing wanita. Salah seorang daripadanya amat tertarik kepada Juraij tetapi dia mengetahui yang tidak akan mendapat perhatian daripada Juraij.

Wanita itu pun berzina dengan pengembala kambing yang lain dan apabila mendapat anak mendakwa itu adalah hasil hubungannya dengan Juraij.

Apabila berita itu tersebar, maka penduduk kampung datang memukul Juraij kerana mendakwanya bertopengkan agama tetapi sebenarnya jahat.

Akhirnya, Juraij meminta kebenaran untuk bertanya dengan bayi itu siapakah bapanya yang sebenar. Dengan kuasa Allah, bayi yang masih merah itu boleh berkata-kata dan menceritakan hal yang sebenarnya. Barulah Juraij dilepaskan oleh penduduk kampung.

Kisah-kisah ini memberi pengajaran kepada kita betapa pentingnya kita menghormati ibu. Hatta dalam kesibukan beribadat pun tidak boleh dijadikan alasan mengabaikan ibu. Apa yang penting, kita perlu sentiasa menjaga hubungan baik dengan ibu bapa.

Ingatlah sabda Rasulullah, “dua perkara yang siapa melakukannya akan diazab oleh Allah semasa di dunia lagi iaitulah berbuat zalim dan menderhaka kepada ibu bapa.”

Ramai yang menyedari harga kasih sayang ibu setelah mereka meninggal dunia. Bagaimana kita menunjukkan kasih sayang kepada mereka semasa hayat masih ada?

AMINAH: Saya menyeru mereka yang ibu bapanya masih hidup agar merebut peluang untuk berbakti kepada mereka. Anak-anak perlu sentiasa berusaha menggembirakan hati ibu bapa.

Elakkan daripada perbuatan yang menyakitkan hati atau yang boleh merunsingkan fikiran mereka.

Tunjukkan kasih sayang kepada mereka sebagaimana mereka mengasihani dan menjaga kita semasa kecil.

Kalau kesihatan mereka kurang baik, boleh kita bekalkan dengan makanan tambahan supaya mereka lebih sihat dan bertenaga untuk beribadat.

Selepas kematian mereka bukan bermakna tugas anak sudah selesai. Sebaliknya kita perlu terus berkhidmat dengan mendoakan mereka agar mendapat pengampunan Allah dan diangkat martabat mereka.

Doa anak soleh kepada ibu bapa adalah antara tiga perkara yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad yang dapat membantu Muslim selepas kematian.

Seperkara lagi yang boleh dilakukan apabila ibu bapa meninggal ialah berbuat baik dengan adik-beradik dan sahabat mereka.

Bagi mereka yang tidak mempunyai anak, adalah menjadi tanggungjawab anak saudara menjaga ibu saudara semasa mereka lanjut usia. Anak-anak saudara tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 6:23 AM   0 comments
Hiasan ayat al-Quran juga dakwah
Monday, May 14, 2007
Berita Harian, 14 Mei 2007

KITAB Suci al-Quran yang mengandungi 6,236 ayat ternyata kaya dengan pelbagai pengajaran dan panduan untuk hidup manusia. Bagaimanapun, hanya sebahagian kecil saja daripada ayatnya yang sering menjadi pilihan kebanyakan umat Islam di Malaysia. Apabila kita menyusuri rumah atau premis milik umat Islam di negara ini, ayat yang biasa dilihat adalah begitu terhad, iaitu ayat Kursi (al-Baqarah:255), ayat Seribu Dinar (al-Talaq:2-3), surah al-Tawbah:128-129, surah Yasin, surah al-Sajdah, surah al-Waqi’ah, surah al-Mulk, surah al-Fatihah, surah al-Falaq, surah al-Nas, surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun.

Umat Islam sepatutnya berfikiran jauh dan menggunakan manfaat hiasan pada ayat al-Quran sebagai serampang dua mata iaitu peringatan mengenai mesej yang hendak disampaikan Allah SWT dan bahan dakwah kepada golongan bukan Islam.

Anjakan paradigma di dalam dakwah kepada orang Islam yang cetek ilmu agamanya dan golongan bukan Islam perlu diluaskan dengan penggunaan hiasan ayat al-Quran secara lebih meluas dan menjangkau kebiasaan.

Penggunaan hiasan ayat terpilih daripada al-Quran perlu dipamerkan di papan tanda di sekolah, jalan raya dan premis awam untuk menunjukkan bagaimana al-Quran benar-benar berinteraksi dengan manusia dan berfungsi sebagai panduan kehidupan mereka.

Isu semasa dan menarik perhatian pandangan awam boleh disentuh dengan meletakkan ayat tertentu pada tempat dan waktu yang sesuai. Di samping seni tulisan khat yang indah, ayat itu mesti disertakan dengan terjemahannya sekali agar maksudnya boleh difahami semua orang yang melihat. Di antara ayat yang boleh dicadangkan ialah;

l Surah al-Asr yang menyebut mengenai kepentingan masa. Surah ini sesuai ditampal di sekolah, universiti dan pejabat dengan tujuan untuk mengingatkan peranan memanfaatkan masa untuk belajar dan bekerja.

l Ali ‘Imran 185, bermaksud “Setiap jiwa akan merasai kematian dan al-Nisa’:78 yang bermaksud: Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. Ayat ini sesuai ditampal di mana saja kerana ia akan sentiasa mengingatkan umat Islam mengenai kematian yang pasti menimpa setiap makhluk bernyawa. Sekiranya ayat ini ditampal di setiap lebuh raya, kadar kemalangan jalan raya juga mampu dikurangkan.

l Al-Nisa’:29, yang bermaksud; Janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat pengasih kepadamu” Ayat ini juga sesuai ditampal di lebuh raya bagi mengingatkan pemandu jalan raya serta mat rempit agar lebih berhati-hati dan berhemah. Juga sesuai digunakan di dalam kempen ‘Tak Nak Merokok’ yang dilancarkan kerajaan. Penggunaan ayat ini sememangnya bertepatan kerana memandu dengan berbahaya dan merokok adalah tindakan yang boleh membawa kepada jenayah bunuh diri.

l Al-Baqarah:188, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya), dan ayat al-Nisa’:28, yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Ayat ini pula sesuai ditampal di mana-mana premis kerajaan atau agensi yang sering terdedah dengan ancaman rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Apabila membaca ayat ini, orang yang waras pemikirannya akan berfikir panjang sebelum menawarkan rasuah atau menerimanya.

l Keseluruhan surah al-Humazah dan al-Hujurat:11, yang bermaksud; “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari golongan lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim”.

l Al-Baqarah:261, yang bermaksud: Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya, dan ayat al-Tawbah:60, yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, dan orang miskin, dan amil yang mengurusnya, dan orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. Ayat ini sesuai ditampal di premis perniagaan yang mencatatkan keuntungan perniagaan banyak sebagai suatu peringatan kepada sesetengah individu tentang kewajipan membayar zakat dan kelebihan bersedekah.

l Al-Nisa’:58, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat”. Ayat ini amat sesuai ditampal di pejabat wakil rakyat, bangunan Parlimen dan bangunan mahkamah sebagai usaha untuk mengingatkan umat Islam terutama sekali pihak yang terbabit dengan pemerintahan tentang kepentingan menunaikan amanah serta menegakkan keadilan.

l Al-Baqarah:155 & 156, yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar: (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Juga ayat al-Syua’ara’:80 yang bermaksud : Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku”.



Ayat ini sesuai ditampal di hospital dan klinik untuk mengingatkan semua musibah yang menimpa adalah satu ujian daripada Allah dan menguatkan tahap keimanan mereka kepada Allah dengan mengharapkan penyembuhan hanya daripada Allah SWT.

Selain itu, untuk tambah menjayakan usaha ini, pihak yang bertanggung jawab mencetak hasil seni khat al-Quran perlu melakukan perubahan dan berusaha untuk memilih ayat yang lebih memberikan manfaat kepada perkembangan minda dan iman umat Islam.

Tindakan meluaskan penggunaan ayat al-Quran sebagaimana yang telah dinyatakan di atas akan dapat membuka mata orang bukan Islam tentang kesyumulan Islam melalui al-Quran yang menyentuh semua aspek kehidupan manusia.


Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 7:32 AM   0 comments
Batu 5 gunung asas binaan Kaabah
Friday, May 04, 2007
Berita Harian, 4 Mei 2007

KAABAH adalah bangunan paling mulia dalam Masjidil Haram, menjadi kiblat seluruh kaum muslimin di dalam solat mereka. Kaabah adalah rumah ibadat pertama yang dibina di muka bumi.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya rumah ibadat pertama yang didirikan untuk manusia adalah yang terdapat di Bakkah, yang penuh keberkatan sebagai petunjuk kepada seluruh alam. Padanya terdapat tanda kekuasaan Allah, Maqam Ibrahim, barang siapa yang memasukinya ia dijamin keamanannya.” Bangunan Kaabah dibina daripada batu batan yang diambil daripada lima gunung iaitu Gunung Lubnan, Tur Zalta, Tun Sina, Judi dan Hira’.

Menurut sebahagian ulama, sebelum pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, Kaabah dibina sebanyak tiga kali iaitu oleh malaikat, Nabi Adam dan Nabi Shith. Kaabah hasil binaan Nabi Shith kekal beribu tahun lamanya sehinggalah banjir besar pada zaman Nabi Nuh memusnahkannya.

Menurut Al-Nawawiyy, Kaabah dibina sebanyak lima kali, pertama oleh malaikat atau Nabi Adam atau Shith bin Adam seperti yang di sebut al-Suhailyy, kedua binaan Nabi Ibrahim, ketiga binaan Quraisy, keempat binaan Ibn Zubair dan terakhir binaan al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqaflyy. Struktur binaan terakhir inilah yang ada hingga ke hari ini.

Namun, binaan Kaabah sebenarnya pernah mengalami pembaikan besar pada zaman Sultan Murad Keempat daripada pemerintahan Uthmaniyyah. Pada tanggal 19 Syaaban 1039 Hijrah, berlaku banjir besar yang menyebabkan seramai lebih daripada 1,000 jemaah terkorban. Pembaikan itu siap pada Ramadan tahun berikutnya.

Pada zaman pemerintahan Kerajaan Saud, Kaabah mengalami dua kali pembaikan iaitu ketika pemerintahan Raja Saud bin Abd Aziz pada 1377 Hijrah/1956 Masihi kerana berlaku keretakan di beberapa bahagian dinding dan bumbung Kaabah. Baginda memerintahkan supaya pembaikan dilakukan.

Kedua, pada zaman pemerintahan Raja Fahd bin Abd Aziz. Kaabah sekali lagi mengalami kerosakan akibat binaannya yang terlalu lama sejak zaman Sultan Murad IV. Lantaran, pada 1417 Hijrah/1996 Masihi baginda memerintah pembaikan dilaksanakan.

Kaabah mendapat perhatian pemerintah Islam sepanjang zaman kerana pembinaannya semata-mata untuk beribadat kepada Allah. Ini dipaparkan dalam doa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ketika mereka membina Kaabah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (Ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara dan tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seseorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah, ayat 127-129)

Justeru, pengunjung Makkah perlu memelihara diri, tingkah laku, pekerjaan syirik dan dosa kerana Kaabah dibina untuk menafikan syirik dan mendirikan ibadat semata-mata kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan menyatakan): “Janganlah kamu mempersarikatkan (menduakan) sesuatu pun dengan aku dan sucikanlah rumah-Ku. Ini bagi orang yang tawaf, dan orang yang beribadat dan yang rukuk serta sujud.” (Surah al-Hajj, ayat 26)

Ketinggian binaan Kaabah adalah 14 meter, manakala panjangnya Hajarul Aswad ke Rukun Iraqi adalah 12.84 meter. Ukuran dari Rukun Iraqi ke Rukun Syami adalah 11.28 meter. Ukuran di antara Rukun Syami dan Rukun Yamani adalah 12.11 meter, manakala ukuran panjang antara Rukun Yamani hingga ke Hajarul Aswad adalah 11.52 meter.

Terdapat pelbagai nama dan panggilan yang merujuk kepada Kaabah. Kepelbagaian nama itu menunjukkan kehebatan dan kemuliaan Kaabah. Antaranya:

l Al-Bait – yang bermaksud rumah.

l Baitullah – yang bermaksud rumah Allah.

l Al-Bait al-Haram – yang bermaksud rumah yang mulia.

l Al-Bait al-Atiq – yang bermaksud rumah lama yang mulia.

l Al-Qiblah – yang bermaksud kiblat.

Keseluruhannya Kaabah adalah suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan. Al-Tabrani meriwayatkan di dalam Al Mu`jam Al Kabir dari Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Kaabah setiap hari, 60 untuk orang yang melakukan tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang memandangnya.”

Namun, terdapat beberapa bahagian Kaabah yang menjadi tumpuan dan perhatian lantaran kelebihan dimilikinya.

l Hajarul Aswad – sepotong batu berasal dari syurga. Warna asalnya lebih putih daripada putih susu. Dikatakan ia menjadi hitam kerana luruhnya dosa manusia yang mengucupnya.

Pelbagai peristiwa sejarah dilalui Hajarul Aswad. Hinggalah ke hari ini, yang masih tinggal daripada Hajarul Aswad adalah lapan kepingan sebesar biji tamar yang diikat pada lilin yang dicampur kasturi di dalam lingkungan perak. Sesiapa yang ingin mengucupnya hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan itu.

l Rukun Yamani – penjuru Kaabah yang berbetulan dengan Rukun Hajarul Aswad bagi orang sedang tawaf. Ia salah satu daripada dua rukun yang didirikan di atas asas binaan Nabi Ibrahim. Rasulullah SAW menyentuh rukun itu ketika tawaf.

l Hijir Ismail – pada asalnya termasuk dalam binaan Kaabah yang dibina Nabi Ibrahim. Ia dikeluarkan daripada Kaabah ketika binaan Quraisy. Justeru, solat di dalamnya menyamai solat di dalam Kaabah.

.l Multazam – kawasan hadapan Kaabah di antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah. Dikatakan Multazam adalah kawasan yang paling mustajab doa.

Menurut sebahagian riwayat, orang Quraisy sebelum Islam menjadikan Multazam tempat melafazkan sumpah terutama bagi menyelesaikan perbalahan di kalangan mereka.

l Mizab – pancuran emas yang diletakkan bagi menjadi laluan air daripada bumbung Kaabah masuk ke dalam Hijir Ismail. Menurut sebahagian pendapat, di bawahnya adalah di antara tempat paling mustajab doa.

l Syazarwan – jubin yang dibina di bahagian bawah dinding Kaabah. Tingginya kira-kira dua kaki. Ia diletakkan untuk menandakan saiz asal Kaabah yang dikurangkan ketika binaan Quraisy berbanding binaan Nabi Ibrahim. Justeru, ia adalah sebahagian daripada Kaabah. Bertawaf di atasnya atau sebahagian anggota badan di atasnya menyebabkan tawaf tidak sah.

l Kiswah – kelambu atau tutupan yang diletakkan di atas Kaabah. Diriwayatkan, orang pertama yang meletakkan kiswah Kaabah adalah tubba’ al-Himyariyy As’ad Abi Karb. Rasulullah sendiri mengkiswahkan Kaabah begitulah dilakukan khulafa dan pemerintah Islam dari dulu hingga kini.

Kini, kiswah Kaabah dibuat di sebuah kilang khas di Makkah. Ia mula dibuat kilang pada 1346 hingga 1357 Hijrah. Kemudian terhenti seketika dan kiswah diperbuat di Mesir. Ia beroperasi semula pada 1382 Hijrah. Pada 1397 Hijrah /1977 Masihi, sebuah kilang baru untuk kiswah dibina di Umm al Jud dan beroperasi hingga hari ini.

Kiswah Kaabah diperbuat daripada 658 kilogram sutera mentah yang ditenun. Ukurannya setelah siap ditenun adalah 658 meter persegi. Kos pembuatannya sebanyak 17 juta riyal Arab Saudi yang dibelanjakan setiap tahun. Kiswah akan diganti dengan yang baru pada pagi 9 Zulhijah (hari Wukuf) setiap tahun.

l Maqam Ibrahim - batu yang terdapat kesan dua tapak kaki Nabi Ibrahim. Batu itu kini diikat dengan perak dan diletakkan dalam sebuah tempat diperbuat daripada tembaga berwarna keemasan.

Menunaikan solat di sisi Maqam Ibrahim mempunyai kelebihan yang besar. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah sebagai tempat berhimpun bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian dari Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.” (Surah al-Baqarah, ayat 125)

l Telaga Zamzam – terdapat di hadapan Kaabah di kawasan antara Hajarul Aswad dan Multazam. Ia dikatakan terbit daripada terjahan kaki Nabi Ibrahim dan ada riwayat menyatakan ia terbit hasil daripada pukulan sayap Jibrail.

Kelebihan air daripada telaga Zamzam ini dinyatakan di dalam hadis Nabi SAW. Ia adalah air yang terbaik di atas muka bumi dan meminumnya boleh menyembuhkan penyakit dengan izin Allah.

Demikianlah sorotan sejarah Tanah Haram dan kelebihan Masjidil Haram. Jemaah Haji mahupun Umrah hendaklah menginsafi kemuliaan Tanah Haram. Mereka sewajarnya memelihara adab dan perilaku sebagai tetamu Allah sepanjang berada di Tanah Haram. Semoga jemaah dapat menghayati, mendalami makna dan tujuan menunaikan haji dan umrah.



Penulis ialah Pengkursus Ibadat Haji, Lembaga Tabung Haji

Labels:


Baca Lagi...
posted by Blogger @ 9:06 AM   0 comments
About Me

Name: Blogger
Home: Malaysia
About Me:
See my complete profile
Kunjungan

Pengunjung Dari Negara Online
Previous Post
Archives
Links
Tarbiyyah
  • Uslub Dakwah
  • Sasaran Dakwah
  • Pengurusan Tanzim
  • Memahami Perjuangan Islam
  • Tarbiyyah : Satu Keperluan Harakah
  • Cabaran dan Persiapan Tarbiyyah
  • Prinsip dan Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah
  • Akhlak dan Adab Berjemaah
  • Tahaluf Dalam Islam
  • Al Murabitun
  • Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah
  • Maudhu' dakwah
  • Persiapan para da'ie
  • Halangan dan rintangan dalam perjuangan
  • Semakan Daftar Pemilih SPR
  • Semak Status Anda Di sini
  • Powered by

    Free Blogger Templates

    BLOGGER

    © 2006 Koleksi Artikel 1 .Template by Isnaini Dot Com