Login Weblog

Koleksi Artikel 1

Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.

Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Blogger 28 Ogos 2005

 

Menu
|Koleksi Artikel 1| |Koleksi Artikel 2| |Weblog OKU 2| |Weblog OKU 1| |e-Book|
Waktu Malaysia
Iklan





Waktu Solat
Alumni Maahad Hamidiah Kajang

Subscribe to Maahad Hamidiah
Powered by groups.yahoo.com

Fatwa Pengharaman Anti Hadith

Fatwa Pengharaman Anti-hadith

Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini: Ajaran Golongan Anti Hadith

ISI AJARAN

1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.

2. Menolak dua kalimah Syahadah.

3. Menolak Qada' dan Qadar

4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12 Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada wahyu.

5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam

6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.

TARIKH MUNCUL

1985

TEMPAT BERKEMBANG Seluruh Malaysia

TINDAKAN/HUKUMAN

Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:

1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996

2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46

3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78

4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3 (Sumber: )

Penutup

Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal 'iya zubillahi min zalik.

Fatwa Mufti Perak

Kategori : Akidah

Tajuk : Gerakan Anti-hadis

Isu : "A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –

(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;

(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;

(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;

(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa,

adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.

B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Fatwa :

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa "Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti berikut

C. OLEH YANG DEMIKIAN –

(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;

(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -

(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran- ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World";

(b) mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –

(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu,pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian."

Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49

Tarikh Pewartaan :

15 Feb 1996

Borak
Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

MUHAMMAD UMAR BIN ENCIK HARUN BIN MALIM BUNGSU
Thursday, June 30, 2005
Pengembaraan dan Pengubatan

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SETELAH kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis pada 1511 Masihi, ramai pembesar Melaka bertempiaran ke pelbagai tempat di seluruh pelosok dunia Melayu. Yang diriwayatkan ini adalah salah seorang daripada keturunan pembesar Melaka yang nama lengkapnya ialah Muhammad Umar bin Encik Harun bin Malim Bungsu.

Ibunya bernama Ruqaiyah binti Haji Abdul Qadir bin Haji Abdul Ghani bin Wan Muhammad Daram bin Encik Wan Mat Thalib bin Encik Wan Jermat bin Umar (Megat Laksamana) bin Utsman (Dato' Kaya Megat Patan Pahang) bin Tuan Kadi Haji Ahmad. Tuan Kadi Haji Ahmad inilah yang berasal dari Melaka.

Beliau melalui penderitaan yang panjang sebagai orang buruan Portugis. Mula-mula beliau berhijrah dari Melaka ke Johor, dan terus ke Bintan. Selanjutnya ke Minangkabau dan terakhir di Kampar. Setelah itu keturunan beliau bertebaran di mana-mana. Selain kembali ke Semenanjung, ada juga yang sampai ke Champa.

Daripada waris keluarga ini telah muncul berbagai-bagai keilmuan dan penulisan. Ada yang muncul sebagai pembesar dalam pemerintahan, pentadbir, dan lain-lain sejenisnya. Ada yang menjadi ulama.

Ada yang muncul sebagai saudagar, pengusaha, perkebunan, dan banyak lagi. Muhammad Umar bin Encik Harun yang dibicarakan ini adalah salah seorang daripada keturunan keluarga di atas yang muncul sebagai 'Nakhoda Pelayaran' dan 'Pakar Perubatan Tradisional'.

Muhammad Umar bin Encik Harun lahir di Kampung Tambelan, Pontianak, pada malam Khamis 3 Jumadilawal 1275 H/9 Disember 1858 M. Wafat pada usia 73 tahun pada malam Ahad, jam 12.00 lebih sedikit, 28 Safar 1348 H/4 Ogos 1929 M. Mendapat pendidikan asas daripada lingkungan keluarga sendiri di Kampung Tambelan, Pontianak.

Selain itu, Muhammad Umar bin Encik Harun juga belajar daripada beberapa orang ulama yang datang ke Pontianak pada zaman itu.

Ulama bangsa Arab pada zaman itu sangat ramai, di antara mereka ialah Saiyid Shalih az-Zawawi dan anaknya, Saiyid Abdullah az-Zawawi. Muhammad Umar bin Encik Harun sempat belajar dengan kedua-dua ulama Arab itu. Selain itu, ulama juga datang dari Banjar, Bugis, Patani, Kelantan, Terengganu dan tempat-tempat lain. Daripada pelbagai sumber yang dikumpulkan dapat dipercayai bahawa Muhammad Umar bin Encik Harun telah menguasai banyak bidang ilmu, terutama sekali ilmu tauhid dan tasawuf. Kemudian Muhammad Umar bin Encik Harun, mempraktikkan pelayaran dan perubatan iaitu hasil daripada usaha yang gigih melalui pengembaraan di beberapa negeri di seluruh dunia Melayu.

Jika kita menoleh ke belakang dan membandingkan dengan masa sekarang, ia mencerminkan Muhammad Umar bin Encik Harun adalah seorang yang benar-benar hebat dalam dunia pelayaran. Pengembaraannya semuanya ditempuh dengan perahu layar, sedangkan dunia Melayu yang dilayari cukup luas.

ILMU PELAYARAN

Tidak ramai tokoh ulama dunia Melayu menulis tentang ilmu pelayaran, oleh itu sangat menarik sebuah manuskrip karya Muhammad Umar bin Encik Harun diperkenalkan dalam artikel ini.
Manuskrip tersebut diberi judul Jurnal Pelayaran dan Petua Melayu, diselesaikan antara tahun 1291 H/1874 M hingga 1293 H/1876 M. Kandungannya dicatatkan hadiah daripada Muhammad Umar bin Harun kepada Haji Muhammad Arsat yang dinyatakan pada halaman akhir, "Bahawa ini surat daripada kekanda Muhammad Umar bin Harun datang ke hadapan adinda al-Haji Muhammad Arsat bin al-Marhum Tuan al-Haji Mahmut... di dalam negeri Kotaringin (nama sekarang Kotawaringin, pen:) adanya.

Antara topik penting yang ditulisnya ialah:
1. Perkara Jurnal Pelayaran Dari Pontianak Mau Pergi Di Tanah Jawa Dan Kotaringin.
2. Perkara Jurnal Pelayaran Dari Kuala Sambas Mau Pergi Singapura Hendak Tahu Duduknya Pulau-Pulau Di Sebelah Barat Adanya.
3. Perkara Jurnal Menyusul Dari Tanah Jawa Sampai Di Tanah Barat Maka Tersebut Satu-Satu Pelayaran Adanya.

Selanjutnya tentang pelayaran dinyatakan juga ukuran-ukuran perahu.
Dalam 'Jurnal Pelayaran dan Petua Melayu, disebut juga tentang pelangkahan. Dapat dipastikan Muhammad Umar bin Encik Harun adalah seorang yang sangat berpengalaman dalam pelayaran, oleh itu ilmu pelangkahan yang beliau sebut dipraktikkannya.

Di antara tulisan beliau tentang pelangkahan berbunyi, "Fasal ini pelangkahan manca lima sahaya terima kepada Haji Muhammad Ali bin Nakhoda Mu'alim Kecil di Pontianak kepada sanah 1293, dan kepada 15 hari bulan Rabiulawal hari Isnin (15 Rabiulawal 1293 H/10 April 1876 M, pen:), adanya."

Khazanah

Dalam khazanah peninggalan Muhammad Umar bin Encik Harun juga dapat kita ketahui bahawa dalam dunia pelayaran yang menggunakan perahu layar pada zaman dulu juga sangat diperlukan ilmu tentang taqwim.

Mengenai taqwim beliau menyebut, "Fasal ini taqwim Arab di Pontianak tarikh sanah 1291, dan kepada 14 hari bulan Rabiulawal (14 Rabiulawal 1291 H/1 Mei 1874 M, pen: ), hari Jumaat sahaya terima kepada Haji Umar bin Samsudin adanya."

Beliau sebut pula tentang taqwim Jawa, "Fasal ini taqwim Jawa sahaya terima kepada Haji Ali bin Nakhoda Mu'alim Kecil di Pontianak kepada tarikh sanah 1293, dan kepada 15 Rabiulawal hari Isnin (15 Rabiulawal 1293 H/10 April 1876 M, pen: ), adanya." Memperhatikan tarikh dan nama guru, bererti serentak dengan ilmu pelangkahan.

PENULISAN

Salah satu karyanya yang lain ialah Sya'ir Negeri Tambelan, selesai penulisan tercatat pada halaman akhir, "Tamatlah syair hari Ahad, bulan Muharam tahun lebih empat" (hari Ahad, Muharam 1304 H). Kandungannya membicarakan asal usul keturunan Dato' Kaya Tambelan yang ditulis dalam bentuk puisi/syair. Kedua-dua manuskrip di atas diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422 H/20 Disember 2001 M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Buku Perubatan Muhammad Umar Bin Harun Pontianak adalah sebuah lagi karya beliau. Kandungannya secara garis besar ialah catatan bermacam-macam jenis penyakit yang beliau kenal pasti dan cara menangani pengubatannya. Setiap penyakit ada ubatnya, oleh itu dicatatnya pula cara-cara mengubati pelbagai penyakit.

Catatan ini rasanya kurang sempurna, oleh itu setiap sesuatu ubat Muhammad Umar bin Harun mencatat pula nama seseorang yang mengajarnya sesuatu ubat, tarikh penerimaan dan lengkap nama tempat atau negeri yang dirantauinya. Di antara kandungan Buku Perubatan Muhammad Umar Bin Harun Pontianak saya senaraikan sebagai berikut:

1. Ubat Sakit Cacar, mengenai penyakit ini ada catatan beliau bahawa di Pontianak dan sekitarnya pernah ditimpa bala dan wabak sakit cacar, ramai orang mati akibat penyakit tersebut.

Oleh itu, Muhammad Umar bin Harun telah belajar mengubati penyakit cacar itu daripada beberapa orang guru, di antaranya ialah Encik Muhammad Ali, Kampung Sampit, Pontianak.
Selain itu beliau terima ilmu ini pada 7 Muharam 1313 H daripada Haji Abdus Shamad di Pontianak. Juga daripada Saiyid Husein bin Saiyid Syaikh yang berasal dari Riau, Pulau Penyengat.
2. Ubat Kudis Gatal, 6 halaman, pada bahagian ini Muhammad Umar bin Harun menyatakan bahawa beliau belajar mengubati penyakit tersebut daripada orang yang beliau panggil 'ayahanda Encik Unus', tahun 1293 H.
3. Ketumbuhan Dalam Mata Atau Sakit Mata.
4. Pelbagai Doa. Banyak doa yang nadir dibicarakan pada bahagian ini, dibicarakan juga tentang sembahyang sunat kifayah al-baul yang sering dipercakapkan oleh ahli sufi.

Amalan sembahyang sunat kifayah al-baul, Muhammad Umar bin Harun menyatakan beliau menerima daripada Haji Khathib Razi Palembang, Kampung Tabing Garinting diperhuluan Palembang, Sumatera Selatan. Menurutnya, beliau bersusah payah mudik (menyusuri sungai hingga jauh ke perhuluan), satu hari dari Marugan.

5. Penyakit Buruk ialah satu bala yang pernah terjadi di Pontianak. Penyakit tersebut berbau sangat busuk, seluruh badan tumbuh seperti kudis yang disebut pekung yang mengandungi nanah.

Belajar

Untuk mengubat penyakit tersebut Muhammad Umar bin Harun menyebut bahawa beliau telah belajar daripada Haji Ali bin Haji Abdur Rahman Tok Kaya, Encik Wan Muhammad Juling. Tahun 1305 H/1888 M, Muhammad Umar bin Harun mengambil ilmu yang dibicarakan daripada Wa'na Rasa Wan Muhammad.

Di sini juga terdapat catatan bahawa beliau berada di Siantan, Midai, Tambelan dan Pulau Bunguran kerana mengubati orang sakit biri-biri, puru dan lain-lain.

Penyakit biri-biri oleh masyarakat Melayu disebut juga 'penyakit kebas', iaitu sejenis penyakit pada tubuh kita, terutama pada bahagian tangan ataupun kaki, ditekan mula-mula cekung ke dalam, secara beransur-ansur cekung akan hilang dengan agak lambat kembali seperti sebelum ditekan.

Ketika itu sangat ramai orang sakit. Dicatatkan pula bahawa ilmu perubatan ini diterima daripada Encik Aji bin Yusuf Siak di Kotaringin, yang menerimanya daripada Saiyid Muhammad, menantu Sultan Abdul Jalil Sukudana.

Catatan

Mengenai penyakit yang tersebut juga, terdapat dalam catatan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, bahawa beliau akan ke Siantan, tetapi manakala sampai di Jemaja beliau dapat satu khabar dan beliau terpaksa kembali ke Singapura.

Selain membicarakan perubatan seperti tersebut di atas, Buku Perubatan Muhammad Umar Bin Harun Pontianak juga membicarakan tentang melihat rasi jodoh yang baik ataupun sebaliknya. Petua ini diterima daripada Haji Husein Kotaringin tahun 1304 H/1887 M.

Untuk menghadapi permusuhan atau perkelahian, sihir dan lain-lain, Muhammad Umar bin Harun juga mengamal dua ayat akhir surah at-Taubah seperti yang pernah disebut oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa buah kitabnya.

Selain menghasilkan karangan, Muhammad Umar bin Encik Harun juga pernah menyalin sebuah karya Raja Ali Haji yang berjudul Sya'ir Bab an-Nikah, selesai penyalinan tercatat pada halaman akhir, "Tersurat di negeri Tambelan pada 24 hari bulan Zulkaedah, malam Khamis pukul dua belas kepada tahun sanah 1313 (24 Zulkaedah 1313 H, pen:). Dan menyalin surat Bab an-Nikah Dato' Petinggi Tambelan, dan dia menyalin surat Raja Ali Riau, Pulau Penyengat. Ada pun yang empunya surat ini hamba, Muhammad Umar orang Pontianak, Kampung Tambelan, itulah adanya."

PENUTUP

Daripada semua yang telah dipaparkan di atas saya berkesimpulan dari segi pengubatan dan berhadapan dengan pelbagai penyakit yang sangat berbahaya, Muhammad Umar bin Harun berani bertarung dengan penyakit-penyakit itu.

Sebaliknya Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, sungguhpun beliau sangat terkenal dalam bidang falak, tidak sanggup menempuh cabaran penyakit-penyakit yang berbahaya itu.

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 7:07 AM   0 comments
SYEIKH ABDUL RAHMAN MINANGKABAU
Wednesday, June 29, 2005
Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PERKEMBANGAN thariqat shufiyah di Minangkabau sudah cukup lama. Mulai Islam masuk di Minangkabau, Thariqat Syathariyah serentak berkembang sama. Penyebar Islam yang pertama di Minangkabau ialah Syeikh Burhanuddin Ulakkan, salah seorang murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Daripada Thariqat Syathariyah ia berlanjutan dengan Thariqat Naqsyabandiyah.

Ulama yang diriwayatkan ini adalah ulama Minangkabau yang sangat memahami dan mengamalkan kedua-dua thariqat tersebut. Walau bagaimanapun, setelah wafat Syeikh Abdur Rahman al-Minankabawi dan Syeikh Ismail al-Minankabawi, terjadi pertikaian pendapat atau khilafiah mengenai 'Thariqat Naqsyabandiyah'. Pertikaian itu dimulai daripada beberapa tulisan Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif yang juga berasal dari Minangkabau tetapi mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai imam dan khatib Mazhab Syafie di Mekah.

Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi dibantah keras oleh ulama besar lain yang berasal Minangkabau iaitu Syeikh Muhammad Sa'ad Mungka al-Minankabawi yang berasal dari Mungkar Tua, Minangkabau. Polemik antara mereka berjalan terus hinggalah kemunculan Dr. Syeikh Jalaluddin dengan 'Persatuan Pembelaan Thariqat Islam' (singkatan PPTI).

Beliau juga mendapat tentangan. Yang agak menarik ialah golongan yang menentang beliau adalah daripada lingkungan ulama Thariqat Naqsyabandiyah juga. Yang menentang ialah Syeikh Sulaiman ar-Rasuli yang termaktub dalam karya berjudul Tabligh al-Amanat fi Izalah al-Munkarat wa asy-Syubuhat. Selesai penulisan pada 19 Jumadilakhir 1373 H/23 Januari 1954 M. Dicetak oleh Mathba'ah Nusantara, Bukit Tinggi, 1373 H/1954 M.

Pendidikan

Nama lengkap ulama yang dibicarakan ini ialah Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah al-Minankabawi. Ulama ini dilahirkan pada tahun 1192 H/1777 M di Batuhampar, Payakumbuh, Sumatera Barat. Ayahnya Abdullah bergelar Rajo Baintan dan ibunya terkenal dengan sebutan Tuo Tungga. Memperhatikan nama orang tuanya, Abdullah, negeri asal dan tahun kelahirannya ada kemungkinan Syeikh Abdur Rahman ini adalah adik-beradik dengan Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi al-Minankabawi (wafat 1280 H/1863 M), ulama besar ahli Thariqat Naqsyabandiyah yang sangat terkenal yang dibicarakan sebelum ini.

Penelitian lanjut masih diperlukan. Pada sekitar usia 15 tahun Abdur Rahman belajar agama daripada seorang ulama di Galogandang, Batusangkar, juga di daerah Sumatera Barat. Dari sana, dia melanjutkan pelajarannya ke Tapaktuan, Aceh Barat, selama lapan tahun.

Kemudian, dia berangkat ke Mekah untuk melaksanakan haji dan memperdalam pelajarannya selama tujuh tahun. Dipercayai sewaktu beliau berangkat ke Mekah, pada masa itu di Mekah telah terdapat ramai ulama dunia Melayu yang terkenal di antaranya ialah Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi, Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain.

Dipercayai bahawa Syeikh Abdur Rahman Minangkabau pernah belajar daripada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam beberapa pengajian Syeikh Abdur Rahman Minangkabau bersama-sama dengan Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau menadah kitab belajar daripada ulama-ulama yang lebih tua kerana pada masa itu Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau, selain mengajar, juga belajar. Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau bertindak sebagai 'Ketua Thala'ah' (tutor) sedangkan Syeikh Abdur Rahman Minangkabau adalah di bawah kelompok tela'ahnya.

Selain belajar daripada ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu seperti yang disebut itu, Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau dan Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau juga sempat belajar daripada ulama-ulama yang berasal daripada bangsa Arab yang terkenal pada zaman itu.

Di antara mereka ialah Syeikh Utsman Dimyathi, Syeikh Muhammad Sa'id Qudsi, Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais, Saiyid Ahmad al-Marzuqi, Syeikh Abdullah Afandi dan ramai lagi.

Perbandingan ketokohan

Banyak cabang ilmu yang telah dikuasai oleh Syeikh Abdur Rahman Minangkabau. Yang paling digemarinya ialah tilawah al-Quran, sekurang-kurangnya tujuh qiraah dikuasainya dengan baik. Sebagaimana telah disebutkan, Syeikh Abdur Rahman Minangkabau juga adalah seorang penganut Thariqat Naqsyabandiyah dan merupakan seorang mursyid Thariqat Naqsyabandiyah, iaitu sama dengan Syeikh Ismail Minangkabau. Walau bagaimanapun, Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau lebih menyerlah dalam sejarah jika dibandingkan dengan Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau.

Populariti ini mungkin disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau mengajar di rumahnya di Mekah dan Masjid al-Haram Mekah, sedang Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau hanya mengajar di negerinya sendiri. Faktor lain ialah Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau menyebar ilmu dan Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah dalam kerajaan Riau-Lingga. Selanjutnya Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau membuka tempat suluk di Semabok, Melaka, Pondok Upih di Pulau Pinang dan juga membina tempat suluk di Kedah dan Perak.

Faktor lain pula, walau pun Syeikh Abdur Rahman Minangkabau juga menghasilkan karangan mengenai tasawuf, namun nama yang ditulis pada karangan hanya 'Abdur Rahman' saja, bererti belum cukup jelas. Dalam simpanan saya terdapat dua buah manuskrip karya beliau, sebuah mengenai Thariqat Syathariyah dan sebuah lagi mengenai Thariqat Naqsyabandiyah. Kedua-dua karya tersebut belum pernah diterbitkan dalam bentuk cetakan. Ini jelas berbeza dengan karya-karya Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau yang nama beliau ditulis secara lengkap. Karya-karya Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau selain dijumpai dalam bentuk manuskrip, beberapa judul karyanya juga tersebar berupa bahan cetakan.

Zawiyah Suluk

Walaupun realiti perbandingan di atas, kita tidak dapat memandang kecil peranan Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau kerana beliau telah menghabiskan waktu-waktu hidupnya belajar selama lebih 40 tahun, dan beliau pulang ke kampung halamannya, Batuhampar, pada usia lebih 60 tahun. Tak ubahnya seperti Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan beberapa ulama dunia Melayu lainnya yang pulang ke kampung halaman pada usia yang sudah sangat lanjut kerana jihad menuntut ilmu demi kemuliaan Islam.

Apabila Syeikh Abdur Rahman Minangkabau tiba di kampung halamannya, beliau segera melancarkan kegiatan dakwah dan pendidikan di lingkungan masyarakatnya yang masih sangat terbatas pengetahuan keagamaannya. Akhirnya beliau berhasil mendirikan zawiyah pendidikan menurut tradisi di Minangkabau, tak ubahnya seperti pondok di Patani atau pondok-pesantren di Jawa. Namun ada sedikit bezanya kerana di zawiyah beliau itu disediakan pula tempat untuk melakukan suluk.

Tradisi suluk di satu tempat secara dibimbing oleh seorang 'Syeikh Mursyid' sangat terkenal dalam Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah, tetapi beberapa thariqat lain tidak mempopularkan istilah itu, namun istilah yang lebih disepakati ialah 'khalwat'. Istilah 'khalwat' adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang menyuruh Saiyidina Ali bin Abi Thalib Karramahullahu wajhah melakukan zikir dalam khalwat (maksudnya: melakukan zikrullah di tempat yang sepi seorang diri).

Lama kelamaan tempat suluk yang diasas dan dibimbing secara langsung oleh Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau itu dikenali dengan nama 'Kampung Dagang' kerana ramai orang pendatang menuntut ilmu ataupun bersuluk ke tempat itu. Dikatakan antara 400 hingga 1,000 orang datang belajar thariqat dan bersuluk di zawiyah Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau setiap tahun.

Generasi penerus

Apabila Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau wafat pada tahun 1317 H/1899 M, lembaga pendidikannya dilanjutkan oleh anaknya Syeikh Arsyad bin Syeikh Abdur Rahman Minangkabau. Pada masa pimpinan Syeikh Arsyad bin Syeikh Abdur Rahman Minangkabau, cabaran golongan penentang thariqat sangat dirasakan. Sebagai contoh, Syeikh Amrullah (datuk pada Prof. Dr. Hamka), adalah seorang pengamal Thariqat Naqsyabandiyah, tetapi anak beliau Dr. Syeikh 'Abdul Karim Amrullah adalah seorang tokoh pembaharuan yang menolak thariqat.

Ada orang meriwayatkan bahawa Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau selain aktif dalam bidang pendidikan dan dakwah Islam, beliau juga mempunyai beberapa orang keturunan yang aktif dalam bidang-bidang lainnya, termasuk politik. Menurut riwayat Dr. Muhammad Hatta yang dikenali di Indonesia sebagai tokoh 'Bapak Proklamator Kemerdekaan Republik Indonesia' bersama Soekarno adalah salah seorang keturunan Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau. Selain dianggap tokoh tertinggi Indonesia, Dr. Muhammad Hatta juga pernah menjadi 'Wakil Presiden Republik Indonesia' (yang pertama sewaktu Indonesia mulai merdeka). Selain itu nama beliau ditonjolkan pula sebagai 'Bapak Koperasi Indonesia'.

Pandangan

Thariqat shufiyah, termasuk Thariqat Naqsyabandiyah, atau apa pun namanya, adalah kaedah ke arah menyuburkan kerohanian dalam Islam. Oleh itu ajaran tersebut perlu dipertahan dan dikembangkan. Para ahlinya perlu memberi penjelasan kerana ada pihak-pihak tertentu yang beranggapan bahawa thariqat shufiyah adalah termasuk dalam kategori ajaran sesat. Anggapan seperti demikian perlu dijawab bahawa ajaran thariqat shufiyah adalah merupakan 'zikrullah'.
Sedangkan 'zikrullah' adalah sangat banyak disebut dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Dengan demikian perlu ditegaskan bahawa ajaran thariqat shufiyah adalah berdasarkan al-Quran, hadis Nabi s.a.w., dan ijmak ulama sejak dulu hingga sekarang.

Sejak dulu hingga sekarang, selain para ulama mengamalkan sesuatu thariqat shufiyah, dalam masa yang sama ia juga diamalkan oleh para sultan dan pembesar dalam dunia Islam termasuk sultan dan pembesar di dunia Melayu. Memperhatikan dunia yang penuh cabaran seperti sekarang ini, sangatlah perlu bagi kita, mulai rakyat jelata hingga para pemimpin yang beragama Islam, menyisihkan sedikit waktu untuk melakukan 'zikrullah'.

Marilah kita mulai melakukan 'zikrullah' di tengah-tengah kita mempercakapkan pelbagai persoalan duniawi. Perlu kita sedari bahawa yang kita percakapkan kadang-kadang ada manfaatnya, namun tiada dapat dinafikan barangkali lebih banyak yang sia-sia, melalaikan, dan merugikan. Bahkan ada yang menjadi dosa yang akan ditanggung di akhirat nanti. Kita mengharapkan mudah-mudahan para pemimpin yang beragama Islam termasuk dalam golongan ahli ibadah, ahli zikir dan betul serta tepat dalam berfikir untuk kepentingan umat.

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 7:09 AM   0 comments
SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI
Tuesday, June 28, 2005
Pengarang Sabil al-Muhtadin

Oleh WAN MOHD. SHAGIR ABDULLAH

NAMA lengkap Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah bin Abdur Rahman al-Banjari bin Saiyid Abu Bakar bin Saiyid Abdullah al-'Aidrus bin Saiyid Abu Bakar as-Sakran bin Saiyid Abdur Rahman as-Saqaf bin Saiyid Muhammad Maula ad-Dawilah al-'Aidrus, dan seterusnya sampai kepada Saidina Ali bin Abi Thalib dan Saidatina Fatimah bin Nabi Muhammad s.a.w. Riwayat kedatangan datuk nenek Syeikh Muhammad Arsyad ke dunia Melayu terjadi pertikaian pendapat. Ada riwayat mengatakan bahawa yang pertama datang ialah Saiyid Abdullah bin Saiyid Abu Bakar as-Sakran.

Beliau telah datang ke Filipina, dan berhasil mendirikan Kerajaan Mindano. Menurut H.M Syafie bahawa ayah Abdullah bernama Saiyid Abu Bakar (bererti datuk kepada Syeikh Muhammad Arsyad) adalah Sultan Mindano.

Abdullah pula pernah sebagai pemimpin peperangan melawan Portugis, kemudian ikut melawan Belanda lalu melarikan diri bersama isterinya ke Lok Gabang (Martapura).

Dalam riwayat yang kurang jelas, apakah Saiyid Abu Bakar as-Sakran atau pun Saiyid Abu Bakar bin Saiyid `Abdullah al-'Aidrus, dikatakan berasal dari Palembang pindah ke Johor, selanjutnya ke Brunei Darussalam, Sabah dan Kepulauan Sulu.

Yang terjadi pertikaian pendapat pula nama ayah Abdullah, selain dikatakan Abdullah bin Abdur Rahman dan Abdullah bin Saiyid Abu Bakar, ada lagi riwayat yang menyebut bahawa Abdullah itu adalah anak Kerta Suta. Kerta Suta anak Muslihuddin. Muslihuddin anak Muhammad Aminuddin.

Pendidikan

Muhammad Arsyad al-Banjari lahir pada malam Khamis, pukul 3.00 (waktu sahur), 15 Safar 1122 H/17 Mac 1710 M, wafat pada 6 Syawal 1227 H/3 Oktober 1812 M. Pendidikannya ketika kecil tidak begitu jelas, tetapi pendidikannya dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Sangat popular bahawa beliau belajar di Mekah sekitar 30 tahun dan di Madinah sekitar lima tahun. Sahabatnya yang paling penting yang banyak disebut oleh hampir semua penulis ialah Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi dan Syeikh Abdul Wahhab Bugis, yang terakhir ini menjadi menantu beliau. Gurunya pula yang banyak disebut ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syeikh `Athaullah dan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani al-Madani. Selama belajar di Mekah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari tinggal di sebuah rumah yang dibeli oleh Sultan Banjar. Rumah tersebut terletak di kampung Samiyah yang disebut juga dengan Barhat Banjar. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan kawan-kawannya selain belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab, juga belajar kepada ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu. Di antara guru mereka yang berasal dari dunia Melayu ialah: Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh dan Syeikh Muhammad `Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani, dan barangkali ramai lagi.

Hampir semua ilmu keislaman yang telah dipelajari di Mekah dan Madinah mempunyai sanad atau silsilah yang musalsal mulai daripada beliau hingga ke atasnya. Hal ini cukup jelas seperti yang ditulis oleh Syeikh Yasin Padang dalam beberapa buah karya beliau. Lama masa belajar di Mekah dan Madinah, dalam jumlah pelajaran dan jenis kitab yang banyak dipelajari, ditambah lagi belajar kepada ulama yang benar-benar ahli di bidangnya masing-masing, di tempat sumber agama Islam itu sendiri, serta diperoleh daripada ulama-ulama yang warak, maka tidaklah diragui bahawa Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari akhirnya menjadi seorang ulama besar tanah Jawi atau dunia Melayu. Kewarakannya diakui oleh ulama-ulama yang datang kemudian daripada beliau kerana banyak bukti-buktinya. Selain bukti berupa karya-karyanya, juga dapat diambil kira tentang jasa-jasanya mencelikkan mata terutama rakyat Banjar atau seluruh dunia Melayu melalui karangannya yang paling terkenal Sabil al-Muhtadin. Selain itu ternyata keturunan beliau sangat ramai yang menjadi ulama. Ini sebagai bukti bahawa Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari telah berhasil membasmi kejahilan selain untuk dirinya peribadi, untuk keturunannya, keluarga besar Banjar, bahkan juga pengaruhnya dirasakan di seluruh dunia Melayu. Hal ini dikeranakan memang hampir tidak ada ulama dunia Melayu yang tidak kenal dengan karyanya Sabil al-Muhtadin yang tersebut itu.

Sahabat-sahabat

Walaupun nama-nama sahabatnya yang banyak disebut oleh beberapa orang pengarang, namun untuk melengkapi maklumat ini, di bawah ini saya salin kembali senarai nama sahabatnya yang telah diketahui. Mereka ialah: 1. Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani. 2. Syeikh `Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi, iaitu datuk kepada Saiyid `Utsman Mufti Betawi yang terkenal. 3. Syeikh `Abdul Wahhab Sadenreng Daeng Bunga Wardiyah berasal dari Bugis, yang kemudian menjadi menantu kepada Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al Banjari. 4. Syeikh Ahmad Razzah orang Mesir. 5. Syeikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, pengarang kitab ad-Durr an-Nafis. 6. Syeikh Mahmud bin Kinan al-Falimbani. 7. Syeikh Muhammad `Asyiquddin bin Shafiyuddin al-Falimbani. 8. Syeikh Muhammad Shalih bin `Umar as-Samarani (Semarang) yang digelar dengan Imam Ghazali Shaghir (Imam Ghazali Kecil). 9. Syeikh `Utsman bin Hasan ad-Dimyati. 10. Syeikh `Abdur Rahman bin `Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi 11. Syeikh Haji Zainuddin bin `Abdur Rahim bin `Abdul Lathif bin Muhammad Hasyim bin `Abdul Mannan bin Ahmad bin `Abdur Rauf al-Fathani. 12. Kiyai Musa Surabaya dan ramai lagi.

Penulisan

Tradisi kebanyakan ulama, ketika mereka belajar dan mengajar di Mekah, sekali gus menulis kitab di Mekah juga. Lain halnya dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari, walaupun dipercayai bahawa beliau juga pernah mengajar di Mekah, namun karya yang dihasilkannya ditulis di Banjar sendiri. Lagi pula nampaknya beliau lebih mencurahkan khidmat derma baktinya di tempat kelahirannya sendiri yang seolah-olah tanggungjawab rakyat Banjar terbeban di bahunya. Ketika mulai pulang ke Banjar, sememangnya beliau sangat sibuk mengajar dan menyusun segala macam bidang yang bersangkut-paut dengan dakwah, pendidikan dan pentadbiran Islam. Walaupun begitu beliau masih sempat menghasilkan beberapa buah karangan. Karangannya yang sempat dicatat adalah seperti berikut di bawah ini:
1. Tuhfah ar-Raghibin fi Bayani Haqiqah Iman al-Mu'minin wa ma Yufsiduhu Riddah ar-Murtaddin, diselesaikan tahun 1188 H/1774 M
2. Luqtah al-'Ajlan fi al-Haidhi wa al-Istihadhah wa an-Nifas an-Nis-yan, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M.
3. Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquhi fi Amri ad-Din, diseselesaikan pada hari Ahad, 27 Rabiulakhir 1195 H/1780 M
4. Risalah Qaul al-Mukhtashar, diselesaikan pada hari Khamis 22 Rabiulawal 1196 H/1781 M.
5. Kitab Bab an-Nikah.
6. Bidayah al-Mubtadi wa `Umdah al-Auladi
7. Kanzu al-Ma'rifah
8. Ushul ad-Din
9. Kitab al-Faraid
10. Hasyiyah Fat-h al-Wahhab
11. Mushhaf al-Quran al-Karim
12. Fat-h ar-Rahman
13. Arkanu Ta'lim as-Shibyan
14. Bulugh al-Maram
15. Fi Bayani Qadha' wa al-Qadar wa al-Waba'
16. Tuhfah al-Ahbab
17. Khuthbah Muthlaqah Pakai Makna. Kitab ini dikumpulkan semula oleh keturunannya, Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, tanpa dinyatakan tarikh cetak.

Ada pun karyanya yang pertama, iaitu Tuhfah ar-Raghibin, kitab ini sudah jelas atau pasti karya Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari bukan karya Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani seperti yang disebut oleh Dr. M. Chatib Quzwain dalam bukunya, Mengenal Allah Suatu Studi Mengenai Ajaran Tasawuf Syeikh Abdus Samad AI-Falimbani, yang berasal daripada pendapat P. Voorhoeve. Pendapat yang keliru itu telah saya bantah dalam buku Syeikh Muhammad Arsyad (l990). Dasar saya adalah bukti-bukti sebagai yang berikut:
1. Tulisan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ``Maka disebut oleh yang empunya karangan Tuhfatur Raghibin fi Bayani Haqiqati Imanil Mu'minin bagi `Alim al-Fadhil al-'Allamah Syeikh Muhammad Arsyad.''
2. Tulisan Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dalam Syajaratul Arsyadiyah, ``Maka mengarang Maulana (maksudnya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, pen:) itu beberapa kitab dengan bahasa Melayu dengan isyarat sultan yang tersebut, seperti Tuhfatur Raghibin ...'' Pada halaman lain, ``Maka Sultan Tahmidullah Tsani ini, ialah yang disebut oleh orang Penembahan Batu. Dan ialah yang minta karangkan Sabilul Muhtadin lil Mutafaqqihi fi Amrid Din dan Tuhfatur Raghibin fi Bayani Haqiqati Imani Mu'minin wa Riddatil Murtaddin dan lainnya kepada jaddi (Maksudnya: datukku, pen :) al-'Alim al-'Allamah al-'Arif Billah asy-Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari.''
3. Pada cetakan Istanbul, yang kemudian dicetak kembali oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura tahun 1347 H, iaitu cetakan kedua dinyatakan, ``Tuhfatur Raghibin ... ta'lif al-'Alim al-'Allamah asy-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.'' Di bawahnya tertulis, ``Telah ditashhihkan risalah oleh seorang daripada zuriat muallifnya, iaitu `Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad `Afif mengikut bagi khat muallifnya sendiri ...''. Di bawahnya lagi tertulis, ``Ini kitab sudah cap dari negeri Istanbul fi Mathba'ah al-Haji Muharram Afandi''.
4. Terakhir sekali Mahmud bin Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari mencetak kitab Tuhfah ar-Raghibin itu disebutnya cetakan yang ketiga, nama Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari tetap dikekalkan sebagai pengarangnya.

Daripada bukti-bukti di atas, terutama yang bersumber daripada Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani dan Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq adalah cukup kuat untuk dipegang kerana kedua-duanya ada hubungan dekat dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari itu. Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani adalah sahabat Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari sedangkan Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq pula adalah keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari. Mengenai karya-karya Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari yang tersebut dalam senarai, insya-Allah akan dibicarakan pada kesempatan yang lain.

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 7:57 AM   0 comments
SYEIKH ABU BAKAR PALAKKA
Monday, June 27, 2005
Penyambung Aktiviti Syeikh Yusuf Makasar

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

AKHIR-akhir ini mulai ramai intelektual kita membicarakan seorang ulama yang berasal dari negeri Bugis. Beliau ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi (al-Maqassari). Dalam tahun 1980 sewaktu buku saya berjudul Perkembangan Tasawuf dan Tokoh-Tokohnya di Nusantara, yang juga memuatkan ulama tersebut diterbitkan, dalam tahun tersebut masih sangat langka orang membicarakan ulama itu.

Beberapa orang sarjana telah memetik tentang Syeikh Yusuf daripada buku saya itu, di antara mereka ialah, Martin van Bruinessen (Belanda) ketika menyusun buku Tarekat Naqsyabandiyah di Indonesia (cetakan pertama, Mizan, 1413/1992), Dr. Azyumardi Azra ketika menyusun Jaringan Ulama (cetakan pertama, Mizan, 1415/1994) dan ramai lagi.

Penyelidikan saya dalam tahun 1980 itu boleh dikatakan masih sangat dangkal, kerana setelah tahun yang tersebut itu, bahan-bahan baru banyak saya temui. Orang lain menulis di hujung nama Syeikh Yusuf dengan ``al-Maqassari'' tetapi dalam penyelidikan yang terakhir ini, saya menggunakan perkataan ``al-Mankatsi''. Ini adalah berdasarkan sebuah manuskrip yang ada pada saya. Sebagaimana pernah saya tegaskan, bahawa saya tidak menggunakan istilah ``al-Sinkili'' sesudah nama Syeikh Abdur Rauf tetapi menggunakan istilah ``al-Fanshuri'' atau ``al-Fansuri''. Demikian juga saya tidak memakai istilah as-Sumatrani'' atau ``as-Samatrani'' di hujung nama Syeikh Syamsuddin tetapi menggunakan istilah ``as-Sumathra-i'' atau ``as-Sumatra-i''.

Bagi saya, sesuatu penyelidikan bukanlah perkara untuk diperniagakan dengan harga murahan dan mengikut kata-kata orang semata-mata, tetapi perlu merujuk kepada bahan-bahan yang bercorak asli terutama sekali, manuskrip yang disusun sendiri oleh siapa sahaja yang akan kita riwayatkan.

Di bawah ini adalah, riwayat salah seorang keturunan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi yang menyambung aktiviti ulama besar yang berasal dari Bugis-Makasar yang sangat terkenal itu. Dalam tahun 1976, saya telah memperoleh beberapa buah manuskrip salinan keturunan Syeikh Yusuf al-Mankasti yang tinggal di Punggur, Kalimantan Barat. Manakala manuskrip-manuskrip itu saya teliti, sejak saya milikinya pada tahun 1976, berulang kali hingga sekarang (1426 H/2005 M), banyak informasi yang diperoleh daripadanya. Beberapa buah di antaranya, adalah karya Syeikh Yusuf al-Mankatsi, sebuah karya murid beliau. Yang berperanan sebagai penyalin pula beberapa orang ulama Bugis termasuk keturunan beliau.

Aktiviti penyalinan dilaksanakan di beberapa tempat iaitu: Mekah, Bone, Palakka dan Pontianak. Ada beberapa orang penyalin manuskrip, berdasarkan catatan tahun pada manuskrip adalah hidup se zaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdul Wahhab Sadenreng Daeng Bunga Wardiyah, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan ramai lagi.

Nama, gelar dan pendidikan

Nama yang sebenar penyalin yang pertama ialah Haji Abu Bakar. Nama gelarannya ialah ``Al-Khathib Bone''. Namanya yang lain, dikenali dengan Haji Abu Bakar Wajo (Wajok). Ayahnya bernama Khathib al-Bathualaq Ibrahim al-Buni. Salah seorang saudaranya bernama Ahmad bin al-Bathualaq Ibrahim al-Buni, juga terdapat salinan manuskrip.

Beliau mendapat pendidikan di Mekah, pada salah sebuah salinan manuskrip ada dicatatkan bahawa beliau memiliki sebuah rumah di Mekah, kemudian rumah itu dijadikan rumah wakaf. Rumah tersebut terletak di al-Qararah, di Zuqaqul Arab. Setelah beliau turun ke negeri Bugis, rumah wakaf itu dinaziri oleh Syeikh Muhammad ibnu al-Marhum Syeikh Yahya Bugis. Di rumah itulah salah seorang kerabat mereka bernama Haji Muhammad Mustahyi ibnu Qasim al-Buqisi al-Buni menyambung aktiviti Haji Abu Bakar itu menyalin berbagai-bagai judul manuskrip yang dikarang oleh ulama-ulama terkenal di antaranya, Syarh Tuhfatul Mursalah karya Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi yang terkenal itu.

Semua kitab yang disalinnya adalah mengenai tasawuf dan beliau adalah seorang pengamal berbagai-bagai tarekat, yang dipegang dengan kuat ialah Thariqat Syathariyah. Menurut keterangan Haji Muhammad Nur Punggur (penyimpan manuskrip ulama yang diriwayatkan), silsilah tarekat beliau (Haji Muhammad Nur) bersambung kepada Haji Abu Bakar Bugis itu, bersambung terus hingga kepada datuk nenek mereka, Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi yang terkenal dan meninggal dunia di Afrika Selatan itu.

Oleh sebab di Mekah Haji Abu Bakar Wajo al-Buqisi seperguruan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Muhammad Ali al-Asyi (Aceh) yang membai'ah dan mentawajjuhkan mereka zikrullah kaedah Thariqat Syathariyah itu ialah Syeikh Muhammad As'ad, silsilah selanjutnya sama dengan silsilah Thariqat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Salinan manuskrip

Kitab-kitab yang pernah disalin oleh Haji Abu Bakar Bugis, dalam bahasa Arab dan semuanya mengenai ilmu tasawuf. Selain itu, terdapat juga naskhah-naskhah dalam bahasa Bugis. Naskhah dalam bahasa Bugis tidak dibicarakan dalam artikel ini. Salinan-salinan tersebut disenaraikan di bawah ini, iaitu;

1. Risalatul Wudhu karya Tajuddin yang digelar dengan Tajul bin Arifin ibnu Sultan Utsman an-Naqsyabandi, yang nasabnya sampai kepada Saiyidina Utsman ibnu Affan R. A. Haji Abu Bakar Bugis mencatat pada akhir salinannya bahawa diselesaikan pada hari Sabtu, waktu Asar, 26 Jamadilawal di rumah negeri Palakka, tanpa menyebut tahun.

2. Ar-Risalah an-Naqsyabandiyah karya Syeikh Yusuf Tajul al-Khalwati Mankatsi. Dicatat pada halaman akhir, selesai penyalinan pada, hari Sabtu, bulan Muharam, tanpa menyebut tahun. Pada salinan menggunakan nama ``al-Faqir Khathib Bone'', tanpa menyebut nama asli Haji Abu Bakar Wajo Bugis.

3. Jam'ul Fawaid as-Sunbuliyah al-Muwashshalah ila Maratibh al-'Aliyah karya gurunya, al-'Alim al-'Allamah al-'Arif ar-Rabbani Syeikh Muhammad As'ad bin Syeikh Muhammad Thahir as-Sunbul bin al-Allamah Syeikh Muhammad Sa'id al-Makki.

4. Daqaiq al-Asrar fi Tahqiqi Qawa'id as-Sirriyah wa Bayani Ahlillahil Arifin karya Syeikh Abul Fattah Abu Yahya Abdul Bashir ad-Dhariri iaitu seorang murid Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi. Di akhir salinan dicatatkan, ``...Khathib Bone di rumah di negeri Palakka, selesai menyalin pada waktu Dhuha, hari Rabu, 9 Zulkaedah 1233 H''.

5. Zubdah al-Asrar fi Tahqiqi Ba'dhi Masyarib al-Akhyar karya Syeikh Yusuf at-Tajul Khalwati al-Mankatsi. Dicatat selesai menyalinnya pada 9 Ramadan 1235 H oleh Khatib Bone namanya Abu Bakar.

Kesinambungan aktiviti

Apabila diteliti manuskrip-manuskrip yang berasal dari Haji Abu Bakar Bugis yang telah dijumpai, dapat diambil kesimpulan bahawa, aktiviti penyalinan manuskrip dimulai dari di Mekah dan Thaif. Aktiviti di Mekah dilakukan di sebuah rumah wakaf keluarga Wajo.

Manakala Haji Abu Bakar Bugis pulang ke negerinya, tempat bekerja dijalankan di sebuah rumah di negeri Palakka. Di rumah yang di Bone milik Haji Abu Bakar pula, aktivitinya diteruskan oleh adiknya, Haji Ahmad ibnu Khathib al-Bathuwalaq Ibrahim. Sebuah salinan karya Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi, judul Asrar ash-Shalah fi Tabyin Muqaranah an-Niyah bi Takbirah al-Ihram fi al-Fiqh wa at-Tashawuf `ala I'tiqad Ahli as-Sunnah wa al-Jama'ah wa Mazhab as-Syafi'i, adalah dilakukan oleh adiknya itu. Tarikh selesai penyalinan waktu Asar, tahun Jim, 25 bulan Haji, 1237 H.

Jika kita bandingkan tahun terakhir Haji Abu Bakar Bugis melakukan penyalinan (1235 H/1819 M) dengan dijumpai salinan adiknya tahun 1237 H/1821 M, dapat diambil kesimpulan bahawa aktiviti beliau disambung oleh adiknya. Kesimpulan yang lain pula mungkin sesudah tahun 1235 H/1819 M, Haji Abu Bakar Bugis itu telah meninggal dunia atau pun kembali ke Mekah atau pun pindah ke Pontianak. Ini semua belum jelas, masih memerlukan penyelidikan lanjut.

Dalam hal yang sama nampaknya aktiviti Haji Abu Bakar Bugis dilanjutkan juga oleh Muhammad Mustahyi ibnu Qasim al-Buqisi al-Buni yang menyelesaikan beberapa salinan manuskrip sebagai yang berikut di bawah ini;

1. Syarh Tuhfatul Mursalah karya Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi di rumah wakaf Haji Abu Bakar Wajo di Qararah, di Zuqaqul Arab, Mekah. Rumah wakaf tersebut nazirnya ialah Syeikh Muhammad ibnu al-Marhum Syeikh Yahya Bugis. Muhammad Mustahyi al-Buqisi al-Buni selesai melakukan penyalinan kitab tersebut pada waktu Dhuha, tahun 1245 H, tanpa menyebut tanggal dan bulan. Sesudah itu Haji Muhammad Mustahyi al-Buqisi al-Buni pergi ke Pontianak, Kalimantan Barat.

2. Bidayah al-Hidayah karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali yang diselesaikan pada hari Ahad, waktu Asar 27 Rabiulawal, waktu Jim tahun 1253 H. Secara kebetulan pula dalam tahun yang sama (1253 H) terdapat sebuah salinan Bidayah Hidayah itu oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang dilakukan di Mekah. Kedua-dua manuskrip salinan tersebut ada dalam simpanan saya.

3. Anis al-Muttaqin karya Syeikh Abdus Shamad ibnu Faqih al-Husein bin Faqih Abdullah. Penyalinan diselesaikan pada waktu Asar, hari Sabtu, 6 Jamadilawal 1254 H di Pontianak.

4. Tanbih ath-Tullab karya Syeikh Syamsuddin bin Abdullah as-Sumatra-i. Penyalinan diselesaikan pada waktu Asar, hari Isnin, 15 Jamadilawal 1254 H di Pontianak. Apabila kita semak tarikh penyalinan nombor tiga dengan nombor empat, ini bererti ketika selesai menyalin nombor tiga langsung disambung dengan nombor empat. Ini adalah mencerminkan satu kesungguhan, kerajinan dan bertanggungjawabnya Haji Muhammad Mustahyi Bugis yang tersebut.

Ternyata Haji Muhammad Mustahyi al-Buqisi al-Buni menyelesaikan salinan manuskrip yang banyak di Pontianak. Tiada dapat dinafikan bahawa keturunan ulama-ulama Bugis yang tersebut sangat ramai di Pontianak khususnya, dan Kalimantan Barat, umumnya.

Di antara mereka ialah, Haji Muhammad Nur yang menyerahkan beberapa buah manuskrip dalam bahasa Arab tersebut kepada saya pada tahun 1976. Masih banyak manuskrip dalam simpanan beliau, terutama sekali yang ditulis oleh Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dengan huruf Bugis, dalam bahasa Bugis yang beliau sangat menyayanginya, dipelihara dengan baik dibungkus dengan kain kuning.

Setelah Haji Muhammad Nur tersebut meninggal dunia, saya tidak mengetahui khazanah tersebut diserahkan kepada siapa. Selain Haji Muhammad Nur, keturunan ulama-ulama Bugis yang tersebut ialah Tuan Guru Haji Ismail al-Buqisi, beliau ini adalah Mufti Kerajaan Kubu, Kalimantan Barat. Tuan Guru Haji Ismail al-Buqisi pada satu ketika, bersama Mufti Haji Ismail bin Abdul Majid yang berasal dari Kelantan berperanan penting di kerajaan Pontianak.

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 7:59 AM   0 comments
SYEIKH ABDUL QADIR AL-FATHANI
Saturday, June 25, 2005
Khalifah Syeikh Daud al-Fathani

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Kedudukan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dari sudut ilmu pengetahuan adalah setaraf dengan ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah pada zaman itu. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani menjalankan tugas ulama dengan aktiviti pengajarannya di Masjidil Haram, Mekah dan di rumahnya sendiri.

SYEIKH Ahmad al-Fathani menyebut bahawa ayahnya, Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani lahir dalam tahun 1233 H/1817 M. Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdul Qadir al-Fathani itu lebih tua daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani.

Riwayat lain menyebut bahawa usia Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lebih tua sekitar lima tahun daripada Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani. Jadi bererti Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lahir dalam tahun 1228 H/1813 M. Diriwayatkan pula bahawa Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lebih tua daripada Syeikh Nawawi al-Bantani (Imam Nawawi Tsani).

Syeikh Nawawi al-Bantani lahir dalam tahun 1230 H/1814 M. Kedua-dua ulama yang berasal dari Patani dan Banten itu bersahabat ketika kedua-duanya belajar di Mekah. Kedua-duanya menerima bai`ah Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas (1217 H/1802 M-1289 H/1872 M). Dalam beberapa hal Syeikh Nawawi Banten belajar kepada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, di antaranya ilmu qiraah. Dan demikian sebaliknya dalam beberapa hal Syeikh Abdul Qadir al-Fathani belajar pula kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani telah menyelamatkan cukup banyak karya yang masih dalam bentuk tulisan tangan (manuskrip) yang dikarang oleh ulama dunia Melayu, terutama sekali karya-karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Selain memelihara manuskrip dengan rapi, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani pula telah melakukan pentahqiqan dan pentashhihan beberapa buah kitab yang dianggap penting, yang secara tradisinya banyak diajarkan dari sebelum hingga zaman beliau.

Pertubuhan

Daripada khazanah simpanan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani itulah menimbulkan ilham bagi Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani sehingga beliau mengasaskan suatu pertubuhan pentashhihan di Mesir, Mekah dan Turki. Munculnya istilah tashhih dan mushahhih bermula dari sini.

Pendek kata Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani ini sangat penting bagi orang-orang Melayu yang berada di Mekah pada zamannya. Beliau adalah guru bagi seluruh ulama Asia Tenggara, pakar tempat rujukan dalam semua bidang keilmuan keislaman.

Ada beberapa ulama besar yang berasal dari Patani yang bernama Syeikh Abdul Qadir al-Fathani. Di antara mereka yang sangat terkenal ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang dibicarakan ini. Menjalankan aktivitinya di Mekah, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani, lebih dikenali dengan nama Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Terengganu, kerana menjalankan aktivitinya di Bukit Bayas Terengganu, Syeikh Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani lebih dikenali dengan nama Tok Bendang Daya, kerana menjalankan aktivitinya di Bendang Daya Patani. Ketiga-tiga ulama besar Patani itu satu sama lainnya sempat bertemu, yang lebih tua menjadi guru kepada yang muncul kemudiannya.

Ketiga-tiga mereka masih ada kaitan keluarga pertalian nasab yang dekat, yang bersumber daripada satu datuk nenek yang sama. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani bin Abdur Rahman adalah cucu saudara bagi Syeikh Daud bin Abdullah al- Fathani, dan dalam sebuah manuskrip ada dinyatakan bahawa beliau merupakan Khalifah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pendidikan dan Keluarga

Nama lengkapnya, Syeikh Wan Abdul Qadir bin Wan Abdur Rahman bin Wan Utsman bin Tok Wan Su bin Tok Wan Abu Bakar bin Tok Kaya Wan Pandak bin Tok Wan Faqih Ali. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah peringkat murid kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas Terengganu dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Beliau mendapat pendidikan asas dimulai daripada beberapa pondok di Patani, tetapi yang lebih lama tempatnya memondok adalah di Pondok Pauh Bok Patani, iaitu sebuah pondok pengajian yang pernah mendidik ramai ulama, di antaranya termasuk Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan ramai lagi.

Pada zaman itu hampir semua pondok di Patani yang menjadi Tok Guru adalah di kalangan keluarga mereka. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani terganggu pendidikannya di Patani kerana terjadinya satu peperangan besar antara Patani dengan Siam (1828 M-1830 M). Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk keluarga besar ulama Patani Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Terengganu yang turut berhijrah ke Pulau Duyung Kecil Terengganu.

Dalam peristiwa penghijrahan itu diriwayatkan bahawa beliau baru berusia sekitar belasan tahun saja. Walau pun hijrah yang penuh darurat itu dilakukan, namun belajar kitab terus juga dilaksanakan, masa tidak boleh dibuang dan diabaikan. Dipercayai di Pulau Duyung Kecil itu beliau belajar kepada kedua-dua ulama yang telah disebutkan di atas.

Lebih kurang empat puluh hari setelah kelahiran saudara sepupunya, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani keluarga besar ulama Patani tersebut, termasuk Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani meneruskan perjalanan ke Mekah dan sepupunya bayi yang baru dilahirkan juga dibawa bersama-sama.

Yang tinggal di Pulau Duyung Kecil itu hanya sebahagian kecil termasuk Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani saya katakan sepupu dengan Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani kerana ibunya adik beradik/saudara kandung.

Ibu Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman bernama Wan Fathimah binti Syeikh Wan Idris al-Fathani, ibu Syeikh Nik Mat Kecik bernama Wan Zainab binti Syeikh Wan Idris al-Fathani. Ada pun Syeikh Wan Idris al-Fathani tersebut, nama lengkapnya ialah Syeikh Wan Idris bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris bin Syeikh Senik al-Karisiqi al-Fathan. Syeikh Wan Idris bin Syeikh Wan Abdullah adalah saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jadi dengan demikian Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani juga sempat belajar kepada datuknya, Syeikh Wan Idris bin Abdullah al-Fathani yang tersebut.

Diriwayatkan bahawa ayahnya, Syeikh Abdur Rahman bin Utsman, juga termasuk ulama. Dipercayai Syeikh Abdul Qadir juga belajar kepada ayahnya itu.

Selain belajar di lingkungan kaum keluarga sendiri Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani juga pernah belajar kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (1233 H.-1335 H), Syeikh Muhammad Haqqi Nazili (wafat di Mekah 1301 H/1884 M), Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan (1222 H-1294 H), Saiyid Muhammad Amin Ridhwan dan ramai lagi.

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani merupakan kader Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, oleh itu manakala Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani meninggal dunia, beliau menjadi rujukan utama ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu, yang berada di Mekah. Hal ini kerana beliau adalah seorang ulama yang menguasai ilmu pengetahuan keislaman dalam berbagai-bagai bidang. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang ulama ahli syariat dan haqiqat.

Pengaruh

Telah disebutkan bahawa Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah keluarga dekat kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, maka Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani inilah yang pertama mengambil tempat kemasyhuran Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani setelah beliau meninggal dunia. Pengetahuan Islam dan predikat ulama pada peribadi Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani tidak pernah diragukan oleh para ulama yang sezaman dengan beliau.

Kedudukan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dari sudut ilmu pengetahuan adalah setaraf dengan ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah pada zaman itu. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani menjalankan tugas ulama dengan aktiviti pe-
ngajarannya di Masjidil Haram, Mekah dan di rumahnya sendiri.

Beliau mengajar kitab yang tinggi-tinggi dalam bahasa Arab, juga kitab-kitab Melayu/Jawi yang dikarang oleh ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu yang terkenal. Murid beliau sangat ramai.

Di antaranya yang terkenal mengarang dan menterjemah kitab-kitab ialah Syeikh Utsman bin Syeikh Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia). Muridnya ini banyak meninggalkan karangan.

Di antara kitab yang diterjemahkannya berjudul Tajul `Arus). Syeikh Ahmad al-Fathani juga termasuk salah seorang murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, iaitu kader yang bersambung dan berhubung dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani hingga sampai kepada kegiatan datuk nenek mereka, iaitu ulama-ulama Patani yang telah berhasil sebagai patriot-patriot penyebar ilmu pengetahuan Islam di dunia Melayu khususnya, dan dunia umumnya.

Suatu hal yang menarik disebut di sini bahawa Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang ulama yang besar pengaruhnya di kalangan Thariqat Syathariyah. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang Mursyid dalam Thariqat Syathariyah tersebut. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani menerima Thariqat Syathariyah adalah secara langsung kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Oleh sebab Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani telah diperbolehkan mentawajjuh, membai'ah, dan mengijazahkan Thariqat Syathariyah tersebut, maka pengaruh beliau lebih besar di kalangan masyarakat pengamal sufi Islami. Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani dipercayai telah menerima Thariqat Syathariyah daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani kerana ulama yang berasal dari Kelantan itu tidak bertemu ketika dewasa dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Selain Syeikh Wan Ali Kutan, murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang menjadi ulama pula, yang menerima bai`ah Thariqat Syathariyah kepadanya di antara mereka ialah Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Zainal Abidin al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Muhammad al-Fathani Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismai/Nik Mat Kecik al-Fathani dan ramai lagi.

Bagi orang yang belajar ilmu tasawuf yang mempergunakan kitab Siyarus Salikin karangan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani pada masa dahulu, nama Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al- Fathani ini tidak asing lagi bagi mereka. Kitab tersebut cetakan asalnya kemudian masih beredar sampai sekarang adalah berasal daripada naskhah tulisan, tashhih dan bekas Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani mengajarnya.

Penulisan

Syeikh Abdul Qadir al-Fathani bin Abdur Rahman al-Fathani sekurang-kurangnya telah menghasilkan 14 buah karangan, namun kerana kekurangan ruangan perbicaraan tentangnya terpaksa ditangguhkan.

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 8:08 AM   0 comments
IMAM MUHAMMAD DAHLAN


Ulama Jawa termasyhur di Selangor

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SEWAKTU Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani sebagai Syeikhul Islam Selangor, pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman, terdapat ramai ulama yang datang dari pelbagai pelosok dunia Melayu di kerajaan Selangor. Di antara mereka ada yang sengaja diajak oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, dan ada juga yang datang dengan kemahuan sendiri. Sebagaimana beberapa siri yang lalu telah diperkenalkan ulama yang berasal dari Jawa yang terkenal di peringkat antarabangsa, kali ini diperkenalkan pula ulama yang berasal dari Jawa yang berperanan di Kerajaan Selangor dan sekitarnya. Beliau aktif dalam penyalinan kitab-kitab bahasa Arab, menterjemah beberapa kitab yang dipandang penting ke bahasa Jawa, menulis karangan sendiri dalam bahasa Jawa dan hanya sedikit jumlahnya yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Sebelum membicarakan ulama yang dimaksudkan lebih terperinci di bawah ini, saya petik tulisan beliau sendiri yang ditulis dalam bahasa Arab dan di bawahnya diberi gantungan bahasa Jawa, terjemahan maksudnya sebagai berikut, ``... Haji Muhammad Dahlan bin Kiyahi Hasan al- Minhaj Perumpung, Kebumen, Jawa. Orang tua lelaki berasal dari Banjarnegara. Kemudian berpindah ke Kampung Perumpung, Kebumen. Kemudian berpindah ke Negeri Singapura. Kemudian berpindah ke Klang. Kemudian beliau meninggal dunia, dikuburkan di Simpang Lima, Klang, Selangor.'' Haji Muhammad Dahlan lahir pada 26 Rejab 1313 H/12 Januari 1894 M dan wafat di Madinah, Zulhijjah 1398 H/November 1978 M

Imam Muhammad Dahlan mempunyai ramai keturunan yang belum sempat saya ungkapkan, tetapi yang dapat disentuh adalah seorang cucunya Ahmad Shukri bin Haji Ghazali, iaitu Imam Masjid Bandar Baru Sungai Buloh. Bahawa ibu Ahmad Shukri bernama Hajah Badariah, iaitu anak kepada Imam Haji Muhammad Dahlan yang dibicarakan ini. Haji Ghazali bin Haji Siraj, ayah Ustaz Haji Ahmad Shukri, adalah salah seorang murid Imam Haji Muhammad Dahlan. Haji Ghazali bin Haji Siraj dalam tahun 2005 ini memperoleh Tokoh Keluarga Mithali Negeri Selangor 2005.

KARYA-KARYANYA BERBAHASA ARAB

1. Kitabul Faraidh, diselesaikan malam Sabtu, Rabiulawal 1341 H/November 1921 M. dalam bentuk manuskrip asli. Kandungannya membicarakan kaedah membahagi pusaka
2. Mukhtasharut Tarkibil Jurumiyah, mulai menulis pada 14 Zulhijjah 1347 H di Kapar Road Klang, Selangor. Dalam bentuk manuskrip asli. Kandungannya membicarakan ilmu nahu untuk peringkat kanak-kanak.
3. Khutbah Jumaat, diselesaikan pada hari Isnin, akhir Syawal 1350 H. Kandungan khutbah Jumaat yang pertama dan kedua yang ditulis dalam bahasa Arab untuk Kerajaan Selangor dalam masa pemerintahan Sultan Sulaiman bin Sultan Musa bin Sultan Abdus Samad. Dalam bentuk manuskrip asli.

Karya salinan dalam bahasa Arab pula adalah sebagai berikut:
1. Qazhun Niyam fima yata'allaqu bish Shiyam, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Manuskrip salinan daripada cetakan awal bulan Syaaban 1321 H, tanpa menyebut nama percetakan. Karangan Saiyid Utsman Betawi. Nama penyalin yang pertama Ahmad Dahlan bin Abdullah, disalin pada 2 Rejab 1324 H. di Darat Semarang. Disalin yang kedua daripada salinan yang pertama oleh Muhammad Dahlan bin Muhammad Minhaj berasal dari Kampung Perumpung, Kebumen, pada 25 Rabiulawal 1340 H. Kandungannya membicarakan tentang ilmu falak.
2. Shiaghu Shalawati `alan Nabiyi Shallallahu alaihi wa Sallam, tanpa tarikh. Nama pengarang asal Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Salinan di-
selesaikan pada malam Selasa, awal Safar 1350 H. Salinan ini ialah daripada naskhah yang pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1316 H. Kandungannya membicarakan pelbagai selawat atas Nabi s.a.w. terutama Shalawat Saiyidi Syeikh Ahmad al-Badawi dan Shalawat Saiyidi Syeikh Abdul Qadir al-Jilani. Kandungan tambahan ialah mengenai tasawuf.
3. Syarhu `Uqudil Lujjain fi Bayani Huquqiz Zaujain oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Diselesaikan waktu Dhuha, hari Ahad 27 Muharam 1294 H. Salinan diselesaikan di Sungai Pinang, Klang, Selangor pada hari Khamis, waktu Dhuha, 25 Zulkaedah 1351 H. Kandungannya membicarakan hak-hak dan adab orang yang bersuami dan beristeri
4. Sulukul Jadah wa zalatuz Zulumah wal Mu'anadah liman Raghaba fi Iqamatil Jum'ati ma'al I'adah, tanpa tarikh. Salinan diselesaikan pada malam Ahad, 24 Syaaban 1362 H. Kandungannya membicarakan sembahyang Jumaat, perbahasan yang terpenting mengulangi sembahyang Zuhur sesudah Jumaat (i`adah). Merupakan syarah karya Syeikh Salim bin Samir al-Hadhrami (wafat di Betawi) yang berjudul Lum'atul Mafadah fi Bayanil Jum'ati wal Mu'adah.
5. Al-Khal'atul Fikriyah fi Syarhil Minhatil Khairiyah, tanpa tarikh. Kitab ini adalah karya Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Manuskrip salinan daripada yang pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 H. Keadaan manuskrip sangat uzur. Kandungannya merupakan Syarh Hadits Arba'in (Hadis Empat Puluh) berdasarkan yang disyairkan oleh Syeikh Syihabuddin Ahmad al-Qasthallani dalam Hadis Bukhari yang berasal daripada perkataan al-Hafizh Abi Bakr al-Burqaini .
6. Tuhfatul Murid `ala Jauharatit Tauhid, tanpa tarikh. Salinan oleh Haji Muhammad Dahlan bin Kiyahi Hasan Minhaj, juga tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan akidah Ahlis Sunnah wal Jama'ah
7. Bab Hawasyi minar Rumuz `ala Jauharatit Tauhid, tanpa tarikh. Salinan oleh Haji Muhammad Dahlan bin Kiyahi Hasan Minhaj, juga tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan rumuz nama beberapa orang ulama yang terkenal, cukup menyebut beberapa huruf saja, tanpa menggunakan nama yang panjang. Kegunaannya adalah untuk memudahkan membaca kitab-kitab syarah dan hasyiyah yang hanya menggunakan huruf-huruf Abjad.

Setelah kita mengetahui karya Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj dalam bahasa Arab dan karya salinan, terdapat lagi karya yang beliau tulis dalam bahasa Jawa. Hasil karya beliau yang ditulis dalam bahasa Jawa lebih banyak. Nampaknya tentang bahasa Melayu kurang beliau kuasai jika dibandingkan dengan bahasa Arab, apatah lagi jika dibandingkan dengan bahasa Jawa. Sewaktu saya menulis artikel ini, saya belum menemui kitab karya beliau dalam bahasa Melayu.

Yang ada beliau tulis dalam bahasa Melayu hanyalah berupa catatan yang pendek-pendek. Sungguh pun karya-karya Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj dalam bahasa Jawa banyak yang penting-penting, namun saya tinggalkan saja kerana kekurangan ruangan untuk membicarakannya. Insya-Allah mengenainya akan dibicarakan dalam sejarah hidup beliau yang lebih lengkap pada waktu-waktu yang akan datang.

ULAMA DUNIA MELAYU

Daripada semua karya Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj, terdapat nama-nama penting para ulama yang berasal dari dunia Melayu atau ulama dunia luar yang ada hubungannya dengan dunia Melayu.

Daripada informasi ini dapat dihubungkaitkan untuk menjejaki sanad atau salasilah dengan keilmuan Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj. Nama-nama yang dimaksudkan ialah seumpama Sayid Utsman Betawi, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Ulama Arab pula di antaranya ialah Saiyid Abi Bakri Syatha, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Utsman ad-Dimyathi dan lain-lain.

Dapat dipastikan semua ulama yang tersebut mempunyai hubungan sanad atau salasilah pelbagai bidang keilmuan Islam. Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj mempunyai pertalian sanad/salasilah dengan Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Kemungkinan Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj adalah murid kepada adik ulama ini, ialah Kiyai Haji Muhammad Dimyathi bin Abdullah at-Tarmasi (wafat 1934 M) kerana nama ini ada beliau sebut dalam tulisannya.

Sahabat

Oleh itu sekurang-kurangnya sebuah karya Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi, mengenai hadis yang berjudul Al-Khal'atul Fikriyah telah beliau salin. Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi adalah sahabat Tok Kenali Kelantan, Mufti Haji Abdullah Fahim dan lain-lain. Semua mereka adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani adalah murid Sayid Abi Bakri Syatha.

Sekali gus beberapa orang murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk ulama-ulama yang tersebut juga sempat belajar kepada Sayid Abi Bakri Syatha. Dari sini bermula sanad pelbagai keilmuan Islam yang naik kepada Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti Mekah pada zaman itu. Syeikh Ahmad al-Fathani dan gurunya Sayid Abi Bakri Syatha sebagai murid kepada Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Syeikh Nawawi al-Bantani juga murid Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan walau pun kedua-duanya sebaya umur. Daripada Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan naik kepada Syeikh Utsman ad-Dimyathi dan seterusnya hingga akhir sanad.

Ada persamaan jenis tarekat yang diamalkan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syeikhul Islam, Selangor dan Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj. Kedua-duanya mengamalkan Thariqat Syathariyah. Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani mendapat tawajjuh dan bai`ah Thariqat Sythariyah daripada Syeikh Wan Ali Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, tetapi Imam Muhammad Dahlan Hasan Minhaj mendapat tawajjuh dan bai`ah Thariqat Syathariyah daripada Syeikh Haji Muhammad Ali Sejangkang.

Penyelidikan

Bagaimanakah biografi Syeikh Haji Muhammad Ali Sejangkang masih memerlukan penyelidikan. Sejangkang berada di dalam Selangor, sedangkan ulama yang tersebut masih di dalam `selubung' yang masih belum `terselakkan'. Kedua-dua salasilah di atas bertemu pada Syeikh Muhammad As'ad. Daripada Syeikh Muhammad As'ad melalui muridnya, ulama yang sangat terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani turun ke bawah termasuklah Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Daripada Syeikh Muhammad As'ad melalui muridnya Syeikh Haji Asy'ari, yang juga masih belum terungkapkan, turun ke bawah termasuklah Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj.

Untuk lebih jelas tentang Silsilah Thariqat Syathariyah Imam Muhammad Dahlan dapat dibaca dalam kertas kerja yang berjudul Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad Al-Fathani dan Ulama Selangor, yang dibahas (dibentangkan) pada hari Ahad, 20 Rabiulakhir 1426 H/29 Mei 2005 M. di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan.

Selain mengamalkan Thariqat Syathariyah, Imam Muhammad Dahlan bin Muhammad Minhaj juga mengamalkan dua tarekat yang lain, iaitu Thariqat Khalwatiyah dan Thariqat `Ulwiyah /Thariqat `Alawiyah. Keterangan lanjut kedua-dua tarekat ini terpaksa ditangguhkan kerana kekurangan ruangan.

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 8:07 AM   0 comments
SYEIKH ABDUL WAHID AL-JUHURI
Friday, June 24, 2005



MAIA Papara Putra (kiri) yang menulis tentang keislaman di Buton bersama penulis pada Simposium di Pekan Baru Riau.
Mengislamkan Sultan Buton
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
PULAU BUTON yang terletak di sebelah tenggara tanah besar Pulau Celebes atau namanya sekarang, Sulawesi, pada zaman dahulu pernah mempunyai kerajaan sendiri. Nama Pulau Buton dikenal sejak zaman pemerintahan Majapahit lagi. Patih Gajah Mada dalam Sumpah Palapa, menyebut nama Pulau Buton.

Empu Prapanca juga menyebut nama Pulau Buton di dalam bukunya, Negara Kartagama. Sejarah yang umum diketahui orang, bahawa Kerajaan Bone di tanah besar Sulawesi lebih dulu menerima agama Islam yang dibawa oleh Datuk Ri Bandang yang berasal dari Minangkabau sekitar tahun 1605 M. Sebenarnya Sayid Jamaluddin al-Kubra lebih dulu sampai di Pulau Buton, iaitu pada tahun 815 H/1412 M. Ulama tersebut diundang oleh Raja Mulae Sangia i-Gola dan baginda langsung memeluk agama Islam. Lebih kurang seratus tahun kemudian, dilanjutkan oleh Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani yang dikatakan datang dari Johor. Beliau berhasil mengislamkan Raja Buton yang ke-6 sekitar tahun 948 H/ 1538 M.

Riwayat lain mengatakan tahun 1564 M. Walau bagaimana pun masih banyak pertikaian pendapat mengenai tahun kedatangan Syeikh Abdul Wahid di Buton. Oleh itu dalam artikel ini dirasakan perlu dikemukakan beberapa perbandingan. Dalam masa yang sama dengan kedatangan Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al- Fathani, diriwayatkan bahawa di Callasusung (Kalensusu), salah sebuah daerah kekuasaan Kerajaan Buton, didapati semua penduduknya beragama Islam.

Selain pendapat yang menyebut bahawa Islam datang di Buton berasal dari Johor, ada pula pendapat yang menyebut bahawa Islam datang di Buton berasal dari Ternate. Dipercayai orang-orang Melayu dari pelbagai daerah telah lama sampai di Pulau Buton. Mengenainya dapat dibuktikan bahawa walau pun bahasa yang digunakan dalam Kerajaan Buton ialah bahasa Wolio, namun dalam masa yang sama digunakan bahasa Melayu, terutama bahasa Melayu yang dipakai di Melaka, Johor dan Patani.

Orang-orang Melayu tinggal di Pulau Buton, sebaliknya orang-orang Buton pula termasuk kaum yang pandai belayar seperti orang Bugis juga.

Orang-orang Buton sejak lama merantau ke seluruh pelosok dunia Melayu dengan menggunakan perahu berukuran kecil yang hanya boleh menampung lima orang, sehingga perahu besar yang boleh memuat barang sekitar 150 tan.

Raja Buton masuk Islam

Kerajaan Buton secara rasminya menjadi sebuah kerajaan Islam pada masa pemerintahan Raja Buton ke-6, iaitu Timbang Timbangan atau Lakilapotan atau Halu Oleo. Bagindalah yang diislamkan oleh Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani yang datang dari Johor. Menurut beberapa riwayat bahawa Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani sebelum sampai di Buton pernah tinggal di Johor. Selanjutnya bersama isterinya pindah ke Adonara (Nusa Tenggara Timur). Kemudian beliau sekeluarga berhijrah pula ke Pulau Batu Gatas yang termasuk dalam pemerintahan Buton.

Di Pulau Batu Gatas, Buton, Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani bertemu Imam Pasai yang kembali dari Maluku menuju Pasai (Aceh). Imam Pasai menganjurkan Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani pergi ke Pulau Buton, menghadap Raja Buton. Syeikh Abdul Wahid setuju dengan anjuran yang baik itu. Setelah Raja Buton memeluk Islam, Baginda langsung ditabalkan menjadi Sultan Buton oleh Syeikh Abdul Wahid pada tahun 948 H/1538 M.

Walau bagaimanapun. Mengenai tahun tersebut, masih dipertikaikan kerana daripada sumber yang lain disebutkan bahawa Syeikh Abdul Wahid merantau dari Patani-Johor ke Buton pada tahun 1564 M. Sultan Halu Oleo dianggap sebagai Sultan Kerajaan Islam Buton pertama, bergelar Sultan atau Ulil Amri dan menggunakan gelar yang khusus iaitu Sultan Qaimuddin. Maksud perkataan ini ialah Kuasa Pendiri Agama Islam.

Dalam riwayat yang lain menyebut bahawa yang melantik Sultan Buton yang pertama memeluk Islam, bukan Syeikh Abdul Wahid tetapi guru beliau yang sengaja didatangkan dari Patani. Raja Halu Oleo setelah ditabalkan sebagai Sultan Kerajaan Islam Buton pertama, dinamakan Sultan Murhum.

Ketika diadakan Simposium Pernaskahan Nusantara Internasional IV, 18 - 20 Julai 2000 di Pekan Baru, Riau, salah satu kertas kerja membicarakan beberapa aspek tentang Buton, yang dibentang oleh La Niampe, yang berasal dari Buton. Hasil wawancara saya kepadanya adalah sebagai berikut:
1. Syeikh Abdul Wahid pertama kali sampai di Buton pada tahun 933 H/1526 M.
2. Syeikh Abdul Wahid sampai ke Buton kali kedua pada tahun 948 H/1541 M.
3. Kedatangan Syeikh Abdul Wahid yang kedua di Buton pada tahun 948 H/1541 M bersama guru beliau yang bergelar Imam Fathani. Ketika itulah terjadi pengislaman beramai-ramai dalam lingkungan Istana Kesultanan Buton dan sekali gus melantik Sultan Murhum sebagai Sultan Buton pertama.

Maklumat lain, kertas kerja Susanto Zuhdi berjudul Kabanti Kanturuna Mohelana Sebagai Sumber Sejarah Buton, menyebut bahawa Sultan Murhum, Sultan Buton yang pertama memerintah dalam lingkungan tahun 1491 M - 1537 M. Menurut Maia Papara Putra dalam bukunya, Membangun dan Menghidupkan Kembali Falsafah Islam Hakiki Dalam Lembaga Kitabullah, bahawa ``Kesultanan Buton menegakkan syariat Islam ialah tahun 1538 Miladiyah.
Jika kita bandingkan tahun yang saya sebutkan (1564 M), dengan tahun yang disebutkan oleh La Niampe (948 H/1541 M) dan tahun yang disebutkan oleh Susanto Zuhdi (1537 M), bererti dalam tahun 948 H/1541 M dan tahun 1564 M, Sultan Murhum tidak menjadi Sultan Buton lagi kerana masa beliau telah berakhir pada tahun 1537 M. Setelah meninjau pelbagai aspek, nampaknya kedatangan Syeikh Abdul Wahid di Buton dua kali (tahun 933 H/1526 M dan tahun 948 H/1541 M) yang diberikan oleh La Niampe adalah lebih meyakinkan.

Yang menarik pula untuk dibahas ialah keterangan La Niampe yang menyebut bahawa ``Kedatangan Syeikh Abdul Wahid yang kedua kali di Buton pada tahun 948 H/1541 M itu bersama Imam Fathani mengislamkan lingkungan Istana Buton, sekali gus melantik Sultan Murhum sebagai Sultan Buton yang pertama''. Apa sebab Sultan Buton yang pertama itu dilantik/dinobatkan oleh Imam Fathani ? Dan apa pula sebabnya sehingga Sultan Buton yang pertama itu bernama Sultan Murhum, sedangkan di Patani terdapat satu kampung bernama Kampung Parit Murhum.

Kampung Parit Murhum berdekatan dengan Kerisik, iaitu pusat seluruh aktiviti Kesultanan Fathani Darus Salam pada zaman dahulu. Semua yang tersebut itu sukar untuk dijawab. Apakah semuanya ini secara kebetulan saja atau pun memang telah terjalin sejarah antara Patani dan Buton sejak lama, yang memang belum diketahui oleh para penyelidik.

Namun walau bagaimanapun jauh sebelum ini telah ada orang yang menulis bahawa ada hubungan antara Patani dengan Ternate. Dan cukup terkenal legenda bahawa orang Buton sembahyang Jumaat di Ternate.

Jika kita bandingkan dengan semua sistem pemerintahan, sama ada yang bercorak Islam mahu pun sekular, terdapat perbezaan yang sangat ketara dengan pemerintahan Islam Buton. Kerajaan Islam Buton berdasarkan Martabat Tujuh. Daripada kenyataan ini dapat diambil kesimpulan bahawa kerajaan Islam Buton lebih mengutamakan ajaran tasawuf daripada ajaran yang bercorak zahiri. Walau bagaimanapun ajaran syariat tidak diabaikan.

Semua perundangan ditulis dalam bahasa Walio menggunakan huruf Arab, yang dinamakan Buru Wolio seperti kerajaan-kerajaan Melayu menggunakan bahasa Melayu tulisan Melayu/Jawi. Huruf dan bahasa tersebut selain digunakan untuk perundangan, juga digunakan dalam penulisan salasilah kesultanan, naskhah-naskhah dan lain-lain. Tulisan tersebut mulai tidak berfungsi lagi menjelang kemerdekaan Indonesia 1945.

Peninggalan sejarah

Beberapa orang peneliti sejarah yang berasal dari Buton menyebut bahawa sampai sekarang masih terdapat beberapa peninggalan Syeikh Abdul Wahid di kerajaan Buton, di antaranya yang dinamakan Benteng Kraton, iaitu benteng pertahanan yang mengelilingi istana sultan dengan pelbagai alat kelengkapannya. Terdapat juga dua buah masjid tua. Satu terletak di Walio, iaitu asal pusat kerajaan Islam Buton.

Menurut riwayat yang mutawatir, bahawa Masjid di Walio itu didirikan oleh Syeikh Abdul Wahid ketika beliau mula-mula menginjakkan kakinya di Pulau Buton. Walau bagaimanapun menurut riwayat, masjid tersebut telah mengalami tiga kali pemugaran (perubahan reka bentuk). Pemugaran terakhir pada zaman pemerintahan Sultan La Ode Abdul Hamid, iaitu Sultan Buton ke-37, yang memerintah tahun 1927 M sampai tahun 1935 M.

Masjid kedua terletak di Desa Liatogo, Pulau Wangi-Wangi sebelah tenggara Pulau Buton yang didirikan pada masa sultan pertama. Di masjid ini terdapat sebuah batu yang dinamakan Batupoaro. Menurut riwayat di atas batu itulah tempat Syeikh Abdul Wahid berkhalwat melakukan ibadah, dan di sanalah beliau menghilangkan diri, tiada diketahui ke mana perginya selepas itu.

Batupoaro sampai sekarang dianggap tempat keramat bagi sebahagian masyarakat Buton, mereka datang ke batu tersebut untuk membayar nazar, berdoa agar mendapat berkat melalui keramat Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani, yang telah berhasil mengislamkan sultan dan rakyat Buton.

Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani selain meninggalkan kesan sejarah dalam bentuk fizikal (masjid), juga mencetuskan pemikiran (mental) yang termaktub dalam beberapa manuskrip. Hasil pemikiran Wali Allah yang berasal dari Johor-Patani itu, menjadi pegangan dalam kesultanan Islam Buton.

Di antara pemikiran itu ialah: ``Biarlah harta musnah asalkan keselamatan diri. Biarlah diri musnah asalkan keselamatan negeri. Biarlah negeri musnah asalkan keselamatan agama Islam.'' Untuk mengabadikan nama Halu Oleo, sekarang terdapat sebuah perguruan tinggi negeri di Kendari, Sulawesi Tenggara yang menggunakan nama tersebut. mengabadikan nama Halu Oleo bererti juga mengabadikan nama Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani kerana kedua-dua nama itu tidak akan terpisahkan dalam pengetahuan sejarah.

Penulisan

Syeikh Abdul Wahid disebut juga Haji Abdul Wahid, dipercayai menghasilkan sebuah karya berjudul Bayanut Tauhid yang merupakan akidah menurut pemahaman secara sufi Islami. Dalam pengembaraannya bermula dari Patani singgah di Kepulauan Siantan, menetap di Johor dan selanjutnya ke Pulau Buton, dipercayai karya judul yang tersebut beliau tulis sewaktu beliau berada di Pulau Siantan, Kepulauan Riau. Selanjutnya Bayanut Tauhid disyarahkan oleh ulama Siantan yang diberi judul Bayanusy Syirik. Sama ada matan mahu pun syarah termasuk karya yang mendalam dalam bidang tauhid dan tasawuf.

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 8:10 AM   0 comments
WAN FATIMAH AL-KALANTANI
Thursday, June 23, 2005
Wanita Melayu Alim di Mekah

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM Ruangan Agama, Utusan Malaysia bertarikh 27 September 2004, diperkenalkan nama orang tuanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Ruangan Agama, Utusan Malaysia bertarikh 11 Oktober 2004 pula memperkenalkan riwayat suaminya, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani atau Tok Daud Katib al-Kalantani.

Artikel ini secara langsung memperkenalkan seorang alimah, yang nama lengkapnya ialah Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani bin Abdul Ghafur bin Syeikh Izzuddin. Syeikh Izzuddin juga bernama Syeikh Taqiyuddin. Wan Fatimah adalah di antara wanita teralim dan kuat beramal, seperti tilawah al-Quran, wirid, zikir, dan selawat dalam keluarga besar ulama Patani dan Kelantan pada zamannya.

Selain itu beliau aktif mengajar di rumahnya di Mekah. Sebahagian besar wirid ayahnya, Syeikh Wan Ali Kutan, terutama amalan-amalan yang termaktub dalam Lum'atul Aurad yang bersambung sampai sekarang adalah diijazahkan oleh Wan Fatimah. Wan Fatimah tidak menghasilkan penulisan tetapi bertanggungjawab atas penerbitan karya-karya ayahnya, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan. Selanjutnya Wan Fatimah pindah ke Kota Bharu, Kelantan mengikut suaminya, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani (Tok Daud Katib).

Mereka tinggal di Kampung Atas Paloh. Perpindahan mereka ke Kelantan adalah kerana menjalankan tugas daripada Syeikh Ahmad al-Fathani yang mendirikan Mathba'ah al-Miriyah al-Kalantaniyah dalam rangka mencetak dan menerbitkan pelbagai jenis kitab untuk disebarluaskan ke seluruh dunia Melayu.

KEKELUARGAAN

Wan Fatimah mempunyai tiga orang saudara; seorang lelaki, iaitu Wan Abdur Rahman adalah sahabat karib kepada Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.

Dua orang saudaranya yang lain ialah Wan Maryam binti Syeikh Wan Ali Kutan, yang berkahwin dengan Syeikh Abdullah bin Syeikh Nik Mat Kecik al- Fathani. Seorang lagi Wan Shafiyah binti Syeikh Wan Ali Kutan, berkahwin dengan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani.

Syeikh Abdullah dan Syeikh Muhammad Nur tergolong dalam kumpulan ulama. Mereka adalah anak-anak kepada ulama yang terkenal, iaitu Syeikh Nik Mat Kecik atau Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, satu-satunya ulama Melayu yang menjadi Hakim Mahkamah Syarie di Mekah pada zamannya (ulama yang pernah diperkenalkan dalam ruangan ini pada 25 April 2005). Wan Fatimah sendiri berkahwin dengan sepupunya, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani atau Tok Daud Katib Kelantan (telah diperkenalkan dalam Utusan Malaysia pada 11 Oktober 2004).

Kekeluargaan

Mereka semua dalam lingkungan kekeluargaan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dari segi lain Wan Fatimah juga adalah sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ibu Syeikh Ahmad al-Fathani bernama Wan Cik binti Haji Wan Muhammad Shalih al-Fathani adalah adik beradik dengan ibu Wan Fatimah, yang bernama Wan Aisyah binti Haji Wan Muhammad Shalih al-Fathani. Datuk nenek dari pihak ibunya adalah keturunan Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, keturunan Bani Abbas melalui Khalifah Mu'tasim Billah. Keturunan tersebut telah lama tinggal di Aceh dan selanjutnya Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi berpindah ke Patani. Beliau bersama sahabatnya, Syeikh Muhammad Sa'id telah berhasil mengislamkan Raja Antira, Raja Patani.

AKTIVITI KELUARGA

Sebagaimana disebutkan bahawa saudara lelaki Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani hanya seorang, iaitu Wan Abdur Rahman. Sebenarnya Wan Abdur Rahman adalah seorang ulama dan cendekiawan tetapi beliau tidak mahu ditonjolkan. Pemikiran beliau banyak dimanfaatkan oleh Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan itu. Wan Abdur Rahman menghasilkan tiga buah karangan, iaitu:
1. Seribu satu Malam. Karya ini atas permintaan Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan.
2. Syair Sifat Dua Puluh, iaitu digubah dalam 50 bait syair dalam bahasa Melayu.
3. Syair Nasihat, digubah dalam 40 bait, juga dalam bahasa Melayu. Ketiga-tiga karya Wan Abdur Rahman bin Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani itu masih dalam bentuk manuskrip, asli tulisan tangan beliau, dan belum ditemukan yang berupa salinan. Saya sendiri pernah membaca karya-karya tersebut semalam suntuk di rumah cucu beliau di Kampung Kutan tahun 1995.

Perkahwinan antara Wan Fatimah dengan Tok Daud Katib dianugerahkan anak-anak; Wan Abdul Qadir (pernah menjadi Penggawa di Pasir Mas) dan Tuan Guru Haji Mahmud yang menjadi ulama. Adapun Wan Abdul Qadir diberkati oleh Allah dapat mengerjakan haji setiap tahun sejak berumur tujuh tahun hinggalah tahun terakhir beliau meninggal dunia. Cara hidupnya juga berlainan daripada kebanyakan orang. Setelah beliau tidak menjadi penggawa lagi, beliau hanya tinggal di rumahnya Atas Paluh selama enam bulan dan enam bulan lagi mengembara ke mana saja yang disukainya.

Pekerjaan

Wan Abdul Qadir tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, beliau sangat kuat mengamalkan wirid. Setiap hari sesudah Subuh hingga selesai solat Dhuha, barulah beliau beredar dari tempat wiridnya. Yang diamalkannya hanya wirid-wirid yang termaktub dalam Lum'atul Aurad yang disusun oleh datuknya, Syeikh Wan Ali Kutan yang mana amalan-amalan itu diterima ijazah daripada ibunya sendiri, iaitu Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan. Wan Abdul Qadir pula telah mengijazahkan amalan tersebut kepada ramai orang di Malaysia, Patani, Sumatera dan Mekah.

Pada zamannya, masyarakat Islam di Malaysia menunaikan haji ke Mekah masih menggunakan kapal laut. Pada kesempatan itu ramai yang berada dalam kapal yang dinaikinya untuk menerima ijazah amalan Lum'atul Aurad itu. Sungguhpun masanya lebih banyak digunakan untuk melakukan wirid, zikir, selawat dan sejenisnya jika dibandingkan dengan waktu yang digunakan untuk bekerja mencari nafkah, namun perbelanjaan hariannya sama juga dengan orang-orang lain yang berada di persekitarannya. Beliau tidak pernah mengalami kesempitan perbelanjaan, walaupun beliau juga mempunyai tujuh orang anak. Semua anaknya memperoleh pendidikan. Beberapa orang di antaranya menjadi guru dan aktif bergerak dalam bidang kemasyarakatan.

Penulis

Anak Wan Fatimah yang menjadi ulama ialah Tuan Guru Haji Mahmud. Beliau termasuk anggota Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, guru di Ma'ahad Al-Muhammadi, menjadi penulis dalam majalah Pengasuh dan menulis beberapa buah buku. Dalam koleksi saya terdapat dua buah buku karangan beliau, iaitu Kerana Kemerdehekaan atau Dasar Setia Merusakkan Kerajaan, diselesaikan di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Rabiulakhir 1358 H/1 Jun 1939 M. Kandungannya membicarakan sebab-sebab kejatuhan pemerintahan Turki-'Utsmaniyah pada tahun 1914 M-1918 M. Mengenai buku ini diberi komentar oleh pihak penerbitnya, ``Ialah suatu riwayat dan tarikh yang belum ada seumpamanya di dalam bahasa Melayu, iaitu berlaku di negeri Turki pada masa as-Sultan Abdul Hamid. Mengandungi perihal punca-punca kejatuhan kerajaan Turki, perlawanan siasat, perasaan cinta berahi, keberanian dan perasaan kewatanan, peperangan Balkan, dan ringkasan tarikh peperangan besar 1914 - 1918''. Dicetak oleh Mustafa Press, Kelantan, 1939 M.

Sebuah lagi karangan Wan Mahmud ialah Siasat Perniagaan atau Kaedah dan Peraturan Berjual Beli, yang tarikh penulisannya belum diketahui kerana beberapa halamannya tidak ditemui. Kandungannya membicarakan pelbagai aspek, etika dan tatacara melaksanakan perniagaan. Dinyatakan pada halaman depan, ``... iaitu menunjukkan bagaimana memajukan perniagaan runcit-runcit mengikut ilmu jiwa, falsafah perangai, dan ijtima' ...'' Kandungannya juga terdapat petikan perkataan hikmah daripada Saidina Umar bin Khattab, ``Jangan kamu dikalahkan oleh bangsa lain dalam bab perniagaan kerana sesungguhnya dialah sepertiga kekuasaan dan pemerintahan.'' Cetakan kedua, Mustafa Press, Kelantan, 1952 M. Pandangan dan taqriz diberi oleh Datuk Nik Mahmud bin Ismail, Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, ditulis di Kota Bharu, Kelantan pada 4 Januari 1941 M.

Saya mendapat maklumat, sewaktu saya menulis artikel ini terdapat 20 orang keturunan Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani yang menghafaz al-Quran tiga puluh juzuk (hafiz dan hafizah). Salah seorang cucu beliau, iaitu Wan Khadijah binti Haji Wan Abdul Qadir bersama suaminya Abdul Rahman bin Abdul Samad yang sekarang sedang giat membina tempat pendidikan tahfiz yang dinamakan Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Hilmiah di Taman Kenangan, Kota Bharu, Kelantan. Selain itu juga beliau membina satu pertubuhan yang dinamakan Kelab Balkis.

Ceramah

Pada tarikh 18 Jamadilawal 1426 H/25 Jun 2005 M dalam rangka Memperingati 100 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani, Pemikir Agung Melayu dan Islam yang ke-5, Kelab Balkis dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (Pengkaji) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, dan lain-lain telah menganjurkan satu cera-mah di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan. Dua kertas kerja telah dibentangkan. Kertas kerja pertama banyak menyentuh tentang Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, anak beliau Wan Fatimah dan ulama-ulama Kelantan lainnya terutama Tok Kenali. Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Ismail Bakar, pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Secara kebetulan pula Prof. Madya Dr. Ismail Bakar mempunyai pertalian keluarga melalui perkahwinan dengan keturunan Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani.

Sebagai penutup artikel ini saya berkesimpulan bahawa 71 orang ulama yang telah diperkenalkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia ini semuanya adalah kaum lelaki. Wan Fatimah yang diriwayatkan di atas merupakan tokoh ke-72. Ini bererti beliau merupakan tokoh wanita pertama yang diperkenalkan dalam ruangan ini. Jika kita semak dengan teliti bererti dari kalangan keluarga ulama dunia Melayu sejak lama, telah melahirkan golongan anak dan cucu mereka daripada golongan wanita yang berminat terhadap ilmu pengetahuan. Mereka berjaya mempelajari dan mengajar ilmu pengetahuan sekali gus menyepadukan ilmu dan amal. Sangatlah hampa, kosong tiada bermanfaat, jika seseorang itu mempunyai ilmu yang banyak tetapi tiada mengamalkan ilmu pengetahuan yang ada padanya. Orang-orang berilmu yang paling bijak ialah yang dapat memanfaatkan ilmunya untuk kebahagiaan diri, keluarga dan masyarakat dalam erti kata yang luas kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 8:13 AM   0 comments
HUSEIN AL-QADRI
Wednesday, June 22, 2005
Penyebar Islam Kalimantan Barat

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MENGENAI Habib Husein al-Qadri, tidak terlalu sukar membuat penyelidikan kerana memang terdapat beberapa manuskrip yang khusus membicarakan biografinya. Walau bagaimana pun semua manuskrip yang telah dijumpai tidak jelas nama pengarangnya, yang disebut hanya nama penyalin. Semua manuskrip dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi. Nama lengkapnya, As-Saiyid/as-Syarif Husein bin al-Habib Ahmad/Muhammad bin al-Habib Husein bin al-Habib Muhammad al-Qadri, Jamalul Lail, Ba `Alawi, sampai nasabnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sampai ke atas adalah melalui perkahwinan Saidatina Fatimah dengan Saidina Ali k.w. Nama gelarannya ialah Tuan Besar Mempawah. Lahir di Tarim, Yaman pada tahun 1120 H/1708 M. Wafat di Sebukit Rama Mempawah, 1184 H/ 1771M. ketika berusia 64 tahun. Dalam usia yang masih muda beliau meninggalkan negeri kelahirannya untuk menuntut ilmu pengetahuan bersama beberapa orang sahabatnya.

PENDIDIKAN, PENGEMBARAAN DAN SAHABAT

Mengembara ke negeri Kulaindi dan tinggal di negeri itu selama empat tahun. Di Kulaindi beliau mempelajari kitab kepada seorang ulama besar bernama Sayid Muhammad bin Shahib. Dalam waktu yang sama beliau juga belajar di Kalikut. Jadi sebentar beliau tinggal di Kulaindi dan sebentar tinggal di Kalikut. Habib Husein al-Qadri termasuk dalam empat sahabat. Mereka ialah, Saiyid Abu Bakar al-`Aidrus, menetap di Aceh dan wafat di sana. Digelar sebagai Tuan Besar Aceh. Kedua, Saiyid Umar as-Sagaf, tinggal di Siak dan mengajar Islam di Siak, juga wafat di Siak. Digelar sebagai Tuan Besar Siak. Ketiga, Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Qudsi yang tinggal di Terengganu dan mengajar Islam di Terengganu. Digelar sebagai Datuk Marang. Keempat, Saiyid Husein bin Ahmad al-Qadri (yang diriwayatkan ini)

Maka Habib Husein pun berangkatlah dari negeri Kulaindi menuju Aceh. Di Aceh beliau tinggal selama satu tahun, menyebar agama Islam dan mengajar kitab. Selanjutnya perjalanan diteruskan ke Siak, Betawi dan Semarang. Saiyid Husein tinggal di Betawi selama tujuh bulan dan di Semarang selama dua tahun. Sewaktu di Semarang beliau mendapat sahabat baru, bernama Syeikh Salim bin Hambal. Pada suatu malam tatkala ia hendak makan, dinantinya Syeikh Salim Hambal itu tiada juga datang. Tiba-tiba ia bertemu Syeikh Salim Hambal di bawah sebuah perahu dalam lumpur. Habib Husein pun berteriak sampai empat kali memanggil Syeikh Salim Hambal. Syeikh Salim Hambal datang menemui Habib Husein berlumuran lumpur. Setelah itu bertanyalah Habib Husein, ``Apakah yang kamu perbuat di situ?''
Jawabnya: ``Hamba sedang membaiki perahu.'' Habib Husein bertanya pula, ``Mengapa membaikinya malam hari begini?'' Maka sahutnya, ``Kerana siang hari, air penuh dan pada malam hari air kurang.'' Kata Habib Husein lagi, ``Jadi beginilah rupanya orang mencari dunia.'' Jawabnya, ``Ya, beginilah halnya.''

Kata Habib Husein pula, ``Jika demikian sukarnya orang mencari atau menuntut dunia, aku haramkan pada malam ini juga akan menuntut dunia kerana aku meninggalkan tanah Arab sebab aku hendak mencari yang lebih baik daripada nikmat akhirat.''

Habib Husein kembali ke rumah dengan menangis dan tidak mahu makan. Keesokan harinya wang yang pernah diberi oleh Syeikh Salim Hambal kepadanya semuanya dikembalikannya. Syeikh Salim Hambal berasa hairan, lalu diberinya nasihat supaya Habib Husein suka menerima pemberian dan pertolongan modal daripadanya. Namun Habib Husein tiada juga mahu menerimanya. Oleh sebab Habib Husein masih tetap dengan pendiriannya, yang tidak menghendaki harta dunia, Syeikh Salim Hambal terpaksa mengalah. Syeikh Salim Hambal bersedia mengikuti pelayaran Habib Husein ke negeri Matan.

Setelah di Matan, Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal menemui seorang berketurunan saiyid juga, namanya Saiyid Hasyim al-Yahya, digelar orang sebagai Tuan Janggut Merah. Perwatakan Saiyid Hasyim/ Tuan Janggut Merah itu diriwayatkan adalah seorang yang hebat, gagah dan berani. Apabila Saiyid Hasyim berjalan senantiasa bertongkat dan jarang sekali tongkatnya itu ditinggalkannya. Tongkatnya itu terbuat daripada besi dan berat. Sebab Saiyid Hasyim itu memakai tongkat demikian itu kerana ia tidak boleh sekali-kali melihat gambaran berbentuk manusia atau binatang, sama ada di perahu atau di rumah atau pada segala perkakas, sekiranya beliau terpandang atau terlihat apa saja dalam bentuk gambar maka dipalu dan ditumbuknya dengan tongkat besi itu.

KEDUDUKAN DI MATAN

Setelah beberapa lama Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal berada di Matan, pada suatu hari Sultan Matan menjemput kedua-duanya dalam satu jamuan makan kerana akan mengambil berkat kealiman Habib Husein itu. Selain kedua-duanya juga dijemput para pangeran, sekalian Menteri negeri Matan, termasuk juga Saiyid Hasyim al-Yahya. Setelah jemputan hadir semuanya, maka dikeluarkanlah tempat sirih adat istiadat kerajaan lalu dibawa ke hadapan Saiyid Hasyim. Saiyid Hasyim al-Yahya melihat tempat sirih yang di dalamnya terdapat satu kacip besi buatan Bali. Pada kacip itu terdapat ukiran kepala ular.

Saiyid Hasyim al-Yahya sangat marah. Diambilnya kacip itu lalu dipatah-patah dan ditumbuk-tumbuknya dengan tongkatnya. Kejadian itu berlaku di hadapan Sultan Matan dan para pembesarnya. Sultan Matan pun muram mukanya, baginda bersama menteri-menterinya hanya tunduk dan terdiam saja. Peristiwa itu mendapat perhatian Habib Husein al-Qadri. Kacip yang berkecai itu diambilnya, dipicit-picit dan diusap-usap dengan air liurnya. Dengan kuasa Allah jua kacip itu pulih seperti sediakala. Setelah dilihat oleh Sultan Matan, sekalian pembesar kerajaan Matan dan Saiyid Hasyim al-Yahya sendiri akan peristiwa itu, sekaliannya gementar, segan, berasa takut kepada Habib Husein al-Qadri yang dikatakan mempunyai karamah itu.

Beberapa hari setelah peristiwa di majlis jamuan makan itu, Sultan Matan serta sekalian pembesarnya mengadakan mesyuarat. Keputusan mesyuarat bahawa Habib Husein dijadikan guru dalam negeri Matan. Sekalian hukum yang tertakluk kepada syariat Nabi Muhammad s.a.w. terpulanglah kepada keputusan Habib Husein al-Qadri. Selain itu Sultan Matan mencarikan isteri untuk Habib Husein. Beliau dikahwinkan dengan Nyai Tua. Daripada perkahwinan itulah mereka memperoleh anak bernama Syarif Abdur Rahman al-Qadri yang kemudian dikenali sebagai Sultan Kerajaan Pontianak yang pertama.

Semenjak itu Habib Husein al-Qadri dikasihi, dihormati dan dipelihara oleh Sultan Matan. Setelah sampai kira-kira dalam dua hingga tiga tahun diam di negeri Matan, datanglah suruhan Raja Mempawah dengan membawa sepucuk surat dan dua buah perahu akan menjemput Habib Husein untuk dibawa pindah ke Mempawah. Tetapi pada ketika itu Habib Husein masih suka tinggal di negeri Matan. Beliau belum bersedia pindah ke Mempawah. Kembalilah suruhan itu ke Mempawah. Yang menjadi Raja Mempawah ketika itu ialah Upu Daeng Menambon, digelar orang dengan Pangeran Tua. Pusat pemerintahannya berkedudukan di Sebukit Rama.

HABIB HUSEIN PINDAH KE MEMPAWAH

Negeri Matan dikunjungi pelaut-pelaut yang datang dari jauh dan dekat. Di antara ahli-ahli pelayaran, pelaut-pelaut yang ulung, yang datang dari negeri Bugis-Makasar ramai pula yang datang dari negeri-negeri lainnya. Salah seorang yang berasal dari Siantan, Nakhoda Muda Ahmad kerap berulang alik ke Matan.

Terjadi fitnah bahawa dia dituduh melakukan perbuatan maksiat, yang kurang patut, dengan seorang perempuan. Sultan Matan sangat murka, baginda hendak membunuh Nakhoda Muda Ahmad itu. Persoalan itu diserahkan kepada Habib Husein untuk memutuskan hukumannya. Diputuskan oleh Habib Husein dengan hukum syariah bahawa Nakhoda Muda Ahmad lepas daripada hukuman bunuh. Hukuman yang dikenakan kepadanya hanyalah disuruh oleh Habib Husein bertaubat meminta ampun kepada Allah serta membawa sedikit wang denda supaya diserahkan kepada Sultan Matan. Sultan Matan menerima keputusan Habib Husein.

Nakhoda Muda Ahmad pun berangkat serta disuruh hantar oleh Sultan Matan dengan dua buah sampan yang berisi segala perbekalan makanan. Setelah sampai di Kuala, Nakhoda Muda Ahmad diamuk oleh orang yang menghantar kerana diperintah oleh Sultan Matan. Nakhoda Muda Ahmad dibunuh secara zalim di Muara Kayang. Peristiwa itu akhirnya diketahui juga oleh Habib Husein al-Qadri. Kerana peristiwa itulah Habib Husein al-Qadri mengirim surat kepada Upu Daeng Menambon di Mempawah yang menyatakan bahawa beliau bersedia pindah ke Mempawah.

Tarikh Habib Husein al-Qadri pindah dari Matan ke Mempawah, tinggal di Kampung Galah Hirang ialah pada 8 Muharam 1160 H/20 Januari 1747 M. Setelah Habib Husein al-Qadri tinggal di tempat itu ramailah orang datang dari pelbagai penjuru, termasuk dari Sintang dan Sanggau, yang menggunakan perahu dinamakan `bandung' menurut istilah khas bahasa Kalimantan Barat. Selain kepentingan perniagaan mereka menyempatkan diri mengambil berkat daripada Habib Husein al-Qadri, seorang ulama besar, Wali Allah yang banyak karamah.

Beliau disegani kerana selain seorang ulama besar beliau adalah keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Dalam tempoh yang singkat negeri tempat Habib Husein itu menjadi satu negeri yang berkembang pesat sehingga lebih ramai dari pusat kerajaan Mempawah, tempat tinggal Upu Daeng Menambon/Pangeran Tua di Sebukit Rama. Manakala Upu Daeng Menambon mangkat puteranya bernama Gusti Jamiril menjadi anak angkat Habib Husein al-Qadri. Dibawanya tinggal bersama di Galah Hirang/Mempawah lalu ditabalkannya sebagai pengganti orang tuanya dalam tahun 1166 H/1752 M. Setelah ditabalkan digelar dengan Penembahan Adiwijaya Kesuma.

Akan kemasyhuran nama Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu tersebar luas hingga hampir semua tempat di Asia Tenggara. Pada satu ketika Sultan Palembang mengutus Saiyid Alwi bin Muhammad bin Syihab dengan dua buah perahu untuk menjemput Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah datang ke negeri Palembang kerana Sultan Palembang itu ingin sekali hendak bertemu dengan beliau. Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah tidak bersedia pergi ke Palembang dengan alasan beliau sudah tua.

WAFAT

Dalam semua versi manuskrip Hikayat Habib Husein al-Qadri dan sejarah lainnya ada dicatatkan, beliau wafat pada pukul 2.00 petang, 2 Zulhijjah 1184 H/19 Mac 1771 dalam usia 64 tahun. Wasiat lisannya ketika akan wafat bahawa yang layak menjadi Mufti Mempawah ialah ulama yang berasal dari Patani tinggal di Kampung Tanjung Mempawah, bernama Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.

Baca Lagi...
posted by Blogger @ 8:17 AM   0 comments
About Me

Name: Blogger
Home: Malaysia
About Me:
See my complete profile
Kunjungan

Pengunjung Dari Negara Online
Previous Post
Archives
Links
Tarbiyyah
  • Uslub Dakwah
  • Sasaran Dakwah
  • Pengurusan Tanzim
  • Memahami Perjuangan Islam
  • Tarbiyyah : Satu Keperluan Harakah
  • Cabaran dan Persiapan Tarbiyyah
  • Prinsip dan Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah
  • Akhlak dan Adab Berjemaah
  • Tahaluf Dalam Islam
  • Al Murabitun
  • Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah
  • Maudhu' dakwah
  • Persiapan para da'ie
  • Halangan dan rintangan dalam perjuangan
  • Semakan Daftar Pemilih SPR
  • Semak Status Anda Di sini
  • Powered by

    Free Blogger Templates

    BLOGGER

    © 2006 Koleksi Artikel 1 .Template by Isnaini Dot Com