Utusan Malaysia, 2 ogos 2006
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
| MAKTAB Perguruan Islam dikenali sebagai Institut Perguruan Islam mulai 6 Mei lalu. |
PADA 6 Mei lalu, Maktab Perguruan Islam menukar namanya kepada Institut Pengajian Islam (IPI) seiring dengan peranan utama untuk melahirkan guru-guru agama berkualiti. Sejarah penubuhan IPI bermula dengan sebuah Unit Pendidikan Agama Islam di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras pada Februari 1977 dengan 87 pelatih dan tiga pensyarah. Kursus yang ditawarkan tertumpu kepada kursus perguruan sekolah menengah. Berdasarkan kepentingan pembangunan pendidikan agama di negara ini, maka IPI ditubuhkan pada 25 April 1977. Ia kemudiannya berpindah ke bangunan Institut Bahasa (kini Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia). Sesi pengajian sebelah petang bermula pada November tahun yang sama kerana sesi pagi digunakan untuk pelajar-pelajar Institut Bahasa. Dengan itu, Kursus Pendidikan Perguruan Sekolah Rendah dimulakan dengan pengambilan 237 pelajar baru untuk tahun pertama. Tiga jabatan diwujudkan iaitu Jabatan Pengajian Islam, Pendidikan dan Bahasa Malaysia. Pada tahun yang sama, IPI berpindah kali kedua ke bangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Petaling Jaya hinggalah April 1983. Bagi memenuhi keperluan kursus-kursus yang ditawarkan, dua lagi jabatan ditambah iaitu Jabatan Bahasa Inggeris dan Gerak Kerja Kokurikulum. Sementara menunggu bangunan baru siap sepenuhnya di Sungai Merab, Bangi, Selangor, ia berpindah pula ke bangunan UKM di Lembah Pantai pada Mei 1983. Sebagai sebuah institusi perguruan tunggal di negara ini yang mengeluarkan guru-guru terlatih dalam pendidikan agama di sekolah rendah dan guru bahasa Arab di sekolah menengah, adalah perlu IPI ditempatkan di sebuah kampus tetap yang lengkap dengan segala kemudahan akademik. Cadangan pembinaan kampus baru IPI dirancang dalam Rancangan Malaysia Ketiga. Bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan hanya dimulakan dalam Rancangan Malaysia Kelima. Dengan keluasan 25 hektar, ia berupaya menempatkan kemudahan bangunan akademik, bilik kuliah, dewan besar, kediaman pelajar dan kakitangan serta gelanggang permainan. Pada 14 Julai 1990, IPI berpindah ke bangunan kampus baru yang bercirikan seni bina Islam. Bilangan pelatih meningkat kepada 1,217 dan pensyarahnya pula 110 orang. Kursus-kursus yang ditawarkan selain Kursus Perguruan Asas Pendidikan Sekolah Menengah dan Rendah, Kursus Dalam Cuti dan Kursus Diploma Pendidikan ialah Kursus Dalam Perkhidmatan. Tujuh jabatan ditubuhkan iaitu Jabatan Pengajian Agama Islam, al-Quran dan Sunah, Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Pendidikan, Bahasa, Kajian Sosial dan Bahasa Inggeris. Menurut Pengarahnya, Amin Mohd. Rashid, pada Julai tahun lalu, IPI memulakan pengambilan 60 pelajar untuk mengikuti program baru iaitu Ijazah Sarjana Muda Perguruan bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. Namun sebelum itu, pelajar perlu mengikuti kursus persediaan selama setahun setengah dan seterusnya empat tahun bagi peringkat ijazah. Mereka akan mengikuti kursus pendidikan Islam, bahasa Arab, al-Quran dan sunah, mantik dan prasekolah. “Kita (IPI) memang memerlukan guru agama untuk memenuhi permintaan sekolah rendah dan menengah. Keperluan sekarang semakin meningkat dan kita perlu sediakan tempat khusus untuk melatih berbanding dengan mengharapkan satu unit sahaja. Jadi kementerian mewajibkan maktab yang mengkhusus untuk memenuhi keperluan yang dikehendaki,” jelas beliau yang memulakan tugas sebagai Pengarah IPI pada April tahun ini. Tambah Amin, latihan di maktab lebih padat dan memberi ruang kepada pelatih melibatkan diri dengan kokurikulum iaitu menyertai kelab atau persatuan, sukan dan unit beruniform. Ketiga-tiga komponen tersebut amat penting sama ada di sekolah rendah atau sekolah menengah. Aktiviti seperti perkhemahan yang melibatkan aktiviti lasak pula penting sebagai persediaan kepada guru-guru yang akan ditugaskan ke luar bandar. “Sistem di maktab dan universiti jauh berbeza. Universiti amat menekankan kepada teori dan akademik manakala pelatih maktab mengutamakan pembelajaran dan aktiviti luar. Kita juga hanya mengambil pelatih berdasarkan kepada kekosongan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan. Oleh itu, tidak berlaku lambakan graduan dalam sesuatu bidang,” ujarnya. Secara keseluruhannya, terdapat 27 maktab di negara ini tetapi pengambilan pelatih ditentukan oleh Bahagian Pendidikan Guru dan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan. IPI adalah satu-satunya maktab yang menawarkan Kursus Pendidikan Agama Islam. Beliau berkata, IPI bertanggungjawab sepenuhnya untuk melahirkan guru agama yang berkualiti bagi memperkasakan pembangunan insan yang berakhlak dan mempunyai nilai-nilai murni. Ibu bapa pada hari ini menganggap pendidikan agama perlu diserahkan kepada guru bagi mendidik anak-anak mereka. Guru-guru yang pernah ditugaskan ke Sabah dan Sarawak mengalami pengalaman berbeza berbanding di Semenanjung. Katanya, masyarakat di sana menganggap guru agama sebagai individu yang mahir dalam selok-belok agama daripada membaca doa hinggalah menyembelih lembu untuk akikah. “Jadi mereka perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi semua keadaan tersebut. Tetapi saya ingin tegaskan bahawa guru bahasa Arab adalah berbeza dengan guru fardu ain dan guru yang mengajar al-Quran. Inilah satu perkara yang perlu masyarakat fahami kerana tidak semua guru agama tahu kesemuanya secara mendalam,” katanya. Bagi meningkatkan kecemerlangan guru-guru agama, IPI menjalin kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan UKM untuk Program Khas Pensiswazahan Guru. Tujuan utamanya menggalakkan guru lepasan maktab melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan memperbanyakkan guru siswazah. |