Berita Harian, 2 ogos 2006SAIDINA Umar adalah orang ketiga dalam urutan pejuang dakwah Islamiah selepas Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddiq. Umar Ibnul Khattab berasal daripada kabilah Quraisy dan bertemu saudara sedarah dengan Rasulullah SAW pada datuk mereka iaitu Kaab bin Luai.
Umar mewarisi beberapa kekhususan daripada unsur Arab. Dia berasal daripada suku Bani Hasyim.
Ketika kanak-kanaknya, dia menggembala kambing milik ayahnya.
Ketika menjawat khalifah, dia berkata kepada orang yang berada di sekitarnya: �Aku melihat diriku pengembala kambing milik ayahku dan sekarang aku dilihat dan tiada ada di atasku kecuali Allah, Rabb semesta alam.�
Beliau senang berbicara mengenai kenikmatan yang diberikan Allah untuknya. Antara lain kerana dia selalu terpanggil untuk berjuang dalam dakwah.
Beliau selalu mengakui hal itu sebagai anugerah Allah untuknya.
Bagaimana Umar memeluk Islam? Diriwayatkan pada suatu hari, Umar berjalan dengan menyandang pedang menuju tempat berkumpulnya Rasulullah SAW dengan sahabatnya seramai kira-kira 40 orang.
Pada waktu itu, Rasulullah SAW berkumpul dalam sebuah rumah dekat bukit Assofa. Di antara mereka ialah Hamzah bin Abdul Muttalib, Abu Bakar As-Siddiq dan Ali bin Abi Thalib.
Ketika Umar berjalan ke tempat itu, dia dikejutkan Nu�aim bin Abdullah yang bertanya kepadanya: �Hendak ke mana engkau, hai Umar?�
Umar menjawab: �Aku sedang mencari Muhammad. Dia meninggalkan agama kita dan memecah belah kaum Quraisy. Dia menghina agama nenek moyangnya dan memaki tuhan kita. Oleh kerana itu aku akan membunuhnya!�
Nu�aim berkata: �Demi Allah, kamu tertipu oleh dirimu sendiri, hai Umar! Apakah kamu mengira Bani Abdi Manaf akan membiarkanmu berjalan berleluasa di muka bumi selepas kamu berhasil membunuh Muhammad? Sebaiknya kamu pulang ke rumahmu dulu, luruskanlah dulu urusan keluargamu sendiri!�
Umar bertanya kehairanan: �Siapa yang kamu maksudkan dengan keluargaku dan apa maksudmu?�
Nu�aim menjawab dengan senyum tipis: �Iparmu dan anak saudaramu sendiri, Said bin Zaid, bahkan adikmu sendiri, Fatimah binti Khattab, masuk Islam dan mengikuti agama Muhammad. Merekalah yang harus kamu selesaikan urusannya.�
Mendengar perkataan Nu�aim, Umar bagai disengat jengking. Tidak terkira terkejutnya. Dengan penuh kemarahan, Umar mengubah haluan dan menuju ke rumah kedua-dua keluarganya itu.
Pada waktu itu, di rumah Said sedang berkunjung seorang sahabatnya, Khabbab Ibnul Aratt yang membacakan ayat al-Quran kepada mereka.
Ketika Umar datang, Fatimah cepat-cepat mengambil lembaran berisi ayat itu dan menyembunyikannya di bawah pahanya. Padahal, ketika Umar mendekati rumahnya, dia mendengar bacaan Khabbab, sehingga Umar bertanya kepada mereka: �Syair apa yang aku dengar tadi? Saya diberitahu bahawa kalian berdua mengikuti agama Muhammad.� Selepas berkata begitu, Umar menyerang Said.
Melihat suaminya akan dianiaya Umar, Fatimah melompat dan berusaha mencegah dan terkena tamparan Umar hingga kepalanya berdarah.
Peristiwa ini bukan tidak langsung menakutkan Fatimah, malah menyemarakkan semangat dan keberaniannya.
Fatimah kemudian berkata kepada abangnya: �Ya, benar! Demi Allah, kami berdua memang sudah masuk Islam dan beriman kepada Allah dan rasul-Nya, Muhammad. Kini kau sudah mengetahuinya. Perbuatlah sesuka hatimu terhadap kami. Kami tidak akan gentar sedikit pun.�
Selepas Umar melihat darah pada kepala adiknya, dia berasa menyesal, lalu menahan marahnya dan berkata kepada adiknya: �Kalau begitu, berikan padaku lembaran syair yang aku dengar tadi supaya aku dapat mempertimbangkan apa yang diajarkan Muhammad kepadamu.�
Kemudian Fatimah memberikan lembaran ayat suci itu kepada Umar. Dalam lembaran itu tertulis surat Thaha. Selepas selesai membaca lembaran itu, Umar berkata: �Alangkah indahnya kata-kata ini dan alangkah mulianya.�
Mendengar ucapan Umar, maka keluarlah Khabbab dari tempat persembunyiannya seraya berkata: �Hai, Umar, Demi Allah, aku berharap Allah memilihmu untuk menerima dakwah nabi-Nya. Kelmarin aku mendengar Rasulullah SAW berdoa: �Ya, Allah, teguhkanlah Islam dengan berIslamnya Abi Alhakam bin Hisyam (Abu Jahal) atau Umar Ibnul Khattab. Waspadalah, wahai Umar.�
Umar berkata kepada Khabbab: �Wahai Khabbab, tunjukkanlah kepadaku tempat Muhammad. Aku akan menemuinya dan aku akan masuk Islam.�
Khabbab menjawab: �Dia sedang berkumpul bersama kawannya di sebuah rumah dekat Assofa.�
Selepas mendengar keterangan itu, Umar pergi dengan menyandang pedangnya menuju tempat Muhammad SAW. Sesampainya di rumah itu, dia mengetuk pintu.
Salah seorang sahabat Rasulullah SAW mengintip dari celah pintu dan melihat Umar menyandang pedang terhunus. Melihat demikian, sahabat ketakutan dan memberitahu Rasulullah SAW.
Untuk melindungi Rasulullah SAW, Hamzah bin Abdul Muttalib berkata kepada Baginda: �Apakah engkau mengizinkan aku untuk menghadapinya? Kalau dia bermaksud baik kita layani dia dengan baik, tetapi kalau dia bermaksud jahat, maka kita bunuh dia dengan pedangnya.�
Mendengar perkataan Hamzah, Rasulullah mengizinkannya.
Hamzah lalu menemui Umar di lorong sempit dan ditariknya erat-erat baju Umar, seraya berkata: �Apa sebabnya engkau datang ke sini, hai, Ibnul Khattab? Demi Allah, tidak akan saya lepaskan engkau sampai Allah menimpakan bencana kepadamu.�
Umar berkata: �Ya, Rasulullah, aku datang untuk beriman kepada Allah dan rasul-Nya, dan kepada apa yang datang daripada Allah.�
Betapa terharu dan leganya Rasulullah SAW mendengar pengakuan Umar.
Baginda berharap dia mendapat hidayah Allah. Rasulullah SAW mempunyai firasat Umar memiliki potensi besar. Jiwanya hidup, keperibadiannya mulia dan dia siap menerima segala kebaikan.
Allah mengabulkan doa Rasulullah SAW yang meminta supaya Allah memberi hidayah kepada salah seorang daripada kedua-dua tokoh yang berpengaruh dan disegani iaitu Umar Ibnul Khattab atau Amru bin Hisyam (Abu Jahal). Akhirnya Allah memberi hidayah kepada Umar Ibnul Khattab.
Allah menyelamatkan Umar daripada jurang syirik menuju kepada kemuliaan Islam. Inilah pertama kalinya cahaya keimanan menyinari dan membuka hati Umar. Bagi Umar ayat al-Quran adalah rahsia hidayah, penggerak dan penghidup hatinya.
Allah berfirman bermaksud: �Allah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab al-Quran yang bersamaan isi kandungannya di antara satu dengan yang lain, yang berulang-ulang; Kulit badan orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian menjadi lembut kulit badan mereka dan tenang hati mereka kepada mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, Dia memberi petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki; dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada baginya seorang pemimpin pun pemimpin pun.� (Surah az-Zumar, ayat 23)
Umar memeluk Islam pada Zulhijah, tahun keenam selepas kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Sebelumnya 39 pemuda dan 23 wanita memeluk Islam. � Bersambung
|