Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah.
"Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam":
Blogger
28 Ogos 2005
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
ALLAHYARHAM Wan Muhammad Shaghir Abdullah yang uzur dipapah selepas membentangkan kertas kerja di Muzakarah Alus Sunah Waljamaah oleh keluarga Rawa di Raub, Pahang, bulan lalu.
SETIAP Isnin, pasti ramai pembaca setia Ulama Nusantara tertunggu-tunggu apakah nukilan terbaru Wan Muhammad Shaghir Abdullah anak kelahiran Pulau Midai, Riau, Indonesia dalam ruangan Agama, Mega.
Bagaimanapun, kita pasti akan terasa kehilangan atau ketandusan tulisan dan manuskrip tokoh yang lebih dikenali sebagai Ustaz Wan Shaghir ini yang dipanggil menghadap Ilahi, semalam.
Beliau meninggal dunia akibat serangan strok pada pukul 10.50 pagi di rumahnya di Taman Melewar, Gombak pada usia 62 tahun.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hamidiah Abdul Majid, 48, dan enam orang anak. Biarpun penulis tidak pernah bertemu mata, namun komitmen Allahyarham terhadap pengkajian ulama Nusantara amat mengagumkan.
Apa tidaknya, sejak tahun 1958 lagi Allahyarham mengembara dan mengumpulkan pelbagai bahan berkaitan biografi, pemikiran, ketokohan dan perjuangan, analisis teks, transliterasi kitab-kitab lama serta karya ulama silam.
Dalam uzur, Allahyarham menggagahkan diri membentang kertas kerja pada seminar-seminar baik yang diadakan di universiti mahupun oleh pihak lain di dalam dan luar negara.
Walaupun baru keluar dari hospital kira-kira dua minggu lalu, Allahyarham masih terus berkarya. Dan karya terakhir beliau telah dikirim ke ruangan Agama, Mega Rabu lalu untuk siaran 16 April ini.
Semalam, Allahyarham juga dijadual membentangkan kertas kerja pada suatu seminar di Terengganu.
Menurut Hamidiah, cinta suaminya terhadap bidang penulisan tidak pernah padam walaupun semasa terlantar sakit di rumah.
“Walaupun menaip dalam keadaan mata tertutup kerana sakit namun Allahyarham tetap terus berkarya menyiapkan bahan untuk Agama, Mega,” katanya.
Jodoh Allahyarham bersama Utusan Malaysia bermula sejak 12 Februari 2004. Ketika itu Ustaz Wan Shaghir berada di peringkat awal mengumpul, menyebar dan mengembangkan karya tokoh ulama Nusantara ke alam Melayu.
Karya sulung beliau yang disiarkan Utusan Malaysia ialah Syeikh Abdul Lathif Tambi Ulama gigih dan Dermawan.
Allahyarham juga adalah pengasas Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji) yang didaftarkan pada tahun 1996.
Persatuan ini juga berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan dan Penyebaran Khazanah Islam Klasik dan Moden Dunia Melayu.
Bercakap soal penulis yang prolifik, tidak syak lagi Allahyarham adalah salah seorang contohnya. Apa tidaknya, sepanjang lebih tiga tahun bersama Utusan, lebih 100 karya kajiannya telah diterbitkan.
Ini tidak termasuk hasil kerja berbentuk transliterasi teks, kertas kerja, koleksi rencana yang disiarkan dalam buku dan majalah.
Karya-karya itu pula menjadi bahan rujukan bukan sahaja oleh para penuntut institusi pengajian tinggi tetapi juga di kalangan para pengkaji ilmu Islam antarabangsa.
Dalam temu bual bersama Utusan Malaysia pada 12 Februari, Allahyarham memberitahu, “seawal usia 12 tahun saya telah mula mengembara ke Kepulauan Riau dan Sumatera untuk membuat penyelidikan di samping mengikuti pengajian di beberapa pondok di sana.”
Sebenarnya, minat berkarya cucu kepada tokoh ulama yang tidak asing lagi, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani ini dipupuk oleh ibunya Hajah Wan Zainab melalui cerita-cerita karamah tokoh ulama terulung silam.
Kelebihan Allahyarham ialah dari segi semangat mencari dan mengumpul bahan-bahan terutama khazanah yang tidak diperoleh daripada pihak lain kecuali dirinya.
Untuk itu, beliau menjelajah beberapa negara asal ulama tertentu seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan beberapa wilayah di Pattani dan Kalimantan Barat dalam usaha meneroka dan pencarian bahan-bahan ulama Nusantara. Malah, sanggup membelinya walaupun dengan harga yang mahal.
Di antara karya beliau ialah Sufi dan Wali Allah, Pusaka Penulisan al-Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani dan banyak lagi. Semuanya boleh didapati di Pengkaji.
Kini, semua usaha beliau hanya tinggal sejarah. Namun, alhamdulillah matlamat Allahyarham menyebar dan mengembangkan tokoh ulama silam ke alam Melayu telah berjaya.
Pemergian Allahyarham memang satu kehilangan kepada dunia ilmu Islam khususnya ulama Nusantara. Sebabnya, beliau semasa hayatnya bukan sahaja aktif berkarya tetapi terlibat menerbit, mencetak dan membentang kertas kerja.
Bagaimanapun, kita berharap Pengkaji yang diasaskan oleh Allahyarham akan meneruskan perjuangan yang murni ini.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.
KUALA LUMPUR 12 April – Ulama Nusantara, Wan Muhammad Shaghir Abdullah meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Gombak di sini hari ini kerana serangan angin ahmar.
Allahyarham yang berusia 62 tahun, meninggalkan isteri, Hamidiah Abdul Majid, 48, dan enam orang anak berusia antara 11 dan 25 tahun.
Anggota keluarga terdekat dan sahabat handai berada di sisinya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.50 pagi ini.
Allahyarham merupakan kolumnis ruangan Ulama Nusantara yang disiarkan setiap Isnin dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia. Beliau giat menyumbangkan karyanya kepada beberapa penerbitan lain. . Hasil kerjanya juga menjadi bahan rujukan para pelajar universiti, penggiat sejarah dan profesional dari dalam dan luar negara.
Menurut Setiausaha Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (Pengkaji), Abdul Halim Muhammad yang berkhidmat hampir 11 tahun dengan Allahyarham, beliau adalah seorang tokoh yang tiada tandingan di alam nusantara.
“Kesungguhannya dalam kerja penyelidikan dan penulisan tidak pernah pudar, meskipun menghadapi kekangan kewangan,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Gajah Mati, Pendang, Kedah malam ini atas wasiat Allahyarham untuk disemadikan berdekatan dengan keturunan beliau.
ABDULLAH menunjukkan sebahagian buku tulisannya mengenai Tok Kenali
TOK Kenali bukan saja terkenal sebagai tokoh agama mempunyai ramai anak murid, malah beliau yang zuhud dalam hidupnya, dianggap wali yang dikurniakan kemuliaan Allah.
Kemuliaan itu bersandarkan pelbagai peristiwa luar biasa membabitkan dirinya sepanjang hidup dan kisah itu turut dirakamkan warisnya, Abdullah Al-Qari Salleh.
Antara peristiwa menarik yang berlaku ke atas Tok Kenali ialah keupayaannya menyeberang sungai tanpa perahu, sebaliknya secara berjalan di permukaan air.
Suatu hari Tok Kenali dijemput ke majlis perkahwinan anak sahabatnya, Mahmud di Kampung Kangkung dekat Pasir Mas. Mahmud menugaskan dua kumpulan penyambut tetamu untuk menyambut Tok Kenali serta Datuk Perdana dan Mufti. Kumpulan pertama menunggu Datuk Perdana dan Mufti di stesen kereta api Pasir Mas, manakala yang kedua menanti Tok Kenali di pangkalan sungai berdekatan kerana beliau menaiki perahu penambang.
Kumpulan penyambut tetamu itu menunggu lama di pangkalan terbabit tetapi tiada sebuah perahu penambang yang tiba. Tiba-tiba, seorang daripada mereka menyedari yang Tok Kenali sedang berehat dan makan.
Mereka kemudian bergegas bertanyakan mengenai cara beliau menyeberangi sungai tanpa perahu penambang itu sebelum diberitahu, "Aku menyeberang ikut itulah," kata Tok Kenali sambil menunjuk arah sungai yang dilaluinya.
Pada masa lain, Tok Kenali sentiasa dipermudahkan Allah ketika hendak ke sesuatu tempat apabila beliau sentiasa sampai dahulu di tempat yang dituju walaupun paling akhir bertolak.
Dalam satu kejadian, seorang muridnya dari Perak, tidak dapat pulang ke kampung ketika cuti. Murid itu kemudian mengunjungi Tok Kenali yang sedang menyapu laman rumahnya.
Apabila disapa Tok Kenali kenapa tidak pulang ke kampung, murid itu membisu lama sebelum memberitahu, dia mahu pulang tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tiada wang.
Tok Kenali kemudian mendapatkan kerusi malasnya sebelum meminta remaja itu duduk.
"Bila aku kata pejam mata, maka kamu pejam sehingga aku kata buka," kata Tok Kenali. Murid itu menuruti permintaan ulama itu dan selepas sejam berlalu, baru Tok Kenali menyuruh murid membuka matanya.
Tok Kenali kemudian bertanyakan kepada muridnya apa yang ditempuh sepanjang memejam mata itu. Murid itu berkata, dia pulang ke kampung secara terbang dengan pantas.
Murid itu berkata, beliau turut bertemu ibu bapa serta sanak saudaranya serta menghadiri kenduri yang diadakan sepanjang tempoh sebulan dia bercuti di kampungnya.
Dalam kejadian lain, suatu hari Tok Kenali terdengar orang ramai riuh rendah bersorak di Kampung Pulau Bunut kerana meraikan kemenangan dalam laga lembu.
Beliau menegur situasi itu dengan menyatakan," gamaknya mereka bersorak menolong rumah terbakar.
Ditakdirkan Allah, malam itu unggun api yang dipasang pemilik lembu jantan yang menang dalam temasya itu untuk mengasapkan nyamuk, merebak memusnahkan rumahnya menyebabkan dia tinggal sehelai sepinggang.
Peristiwa terbabit menyebabkan penduduk Kampung Pulau Bunut dan sekitarnya meninggalkan perbuatan berlaga lembu yang berdosa dan tiada perikemanusiaan itu.
Pernah suatu hari ketika sedang berjalan, seorang lelaki Cina yang memandu, mengherdik Tok Kenali dengan kata-kata kesat kerana dianggap mengganggu laluan keretanya.
Secara tiba-tiba, kereta itu mati dan gagal dihidupkan walau ditolak, manakala pemandu itu pula mengalami masalah cirit-birit sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.
Seorang rakan lelaki itu menyedari perbuatan lelaki terbabit menghina Tok Kenali, bergegas memohon belas ihsan ulama itu supaya memaafkan kesalahan rakannya itu. Selepas dimaafkan, baru lelaki itu pulih daripada penyakitnya..
Muhammad Yusof Ahmad, tokoh pembaharuan pemikiran umat Islam dalam sistem pendidikan nusantara abad 20.
TOK KENALI (duduk kiri) bersama ulamak Kelantan yanglain Pendita Za'aba (memgang tongkat)
TOK KENALI adalah nama cukup gah di Kelantan. Ulama kesayangan semua lapisan rakyat itu dianggap tiada tolok bandingnya dan kisah hidup beliau menjadi legenda hingga kini. Malah, kerana Tok Kenali yang dilahirkan pada 1870 itu juga, Kelantan yang dikenali sebagai tanah rendah sekebun bunga ini mendapat jolokan, Serambi Makkah.
Nama sebenarnya, Muhammad Yusof Ahmad, tetapi dikenali sebagai Tok Kenali kerana dilahirkan di Kampung Kenali (kini Kubang Kerian), adalah tokoh pembaharuan pemikiran umat Islam dalam sistem pendidikan nusantara pada awal abad ke-20.
Waris jauh Tok Kenali yang juga penyelidik sejarah hidup ulama itu, Abdullah al-Qari Salleh, berkata kegigihan mencari ilmu sejak muda, mendorong Tok Kenali ke Makkah dan Mesir meskipun berbekalkan RM22.
Tok Kenali ke Makkah ketika usia 18 pada 1887 dengan kapal layar dari Kuala Besar dan belajar ilmu keduniaan serta akhirat sepanjang tempoh 20 tahun tinggal di tanah suci itu.
Beliau ke Mesir dan berguru dengan muftinya, Syeikh Muhammad Abduh, yang terkenal sebagai ulama pembaharuan, pelopor gerakan Islah yang berjuang mengembalikan umat Islam kepada pegangan agama sebenar.
Pengaruh Sheikh Muhammad Abduh terhadap Tok Kenali yang amat kuat mendorongnya menyebarkan ilmu yang diperoleh kepada anak muridnya apabila kembali mengajar di Masjid Besar Muhammadi Kota Bharu yang ketika itu menjadi pusat pengajian penting di nusantara.
Disebabkan minatnya yang mendalam, Tok Kenali sanggup berjalan kaki sejauh lima kilometer ke Kota Bharu, ketika itu dikenali sebagai Pulau Saba untuk belajar ilmu agama.
Bagi memantapkan sistem pendidikan, Tok Kenali sedar bahawa pendidikan jasmani (PJ) tidak boleh diabaikan dalam sistem pendidikan pondok sebab akal yang sihat seharusnya berada dalam tubuh yang sihat.
Oleh itu, beberapa kegiatan PJ diperkenalkan termasuklah berenang, menunggang kuda dan memanah, manakala kegiatan dalam rumah atau masjid ialah sembahyang sunat dan berjalan kaki ke masjid.
Satu sifat istimewa Tok Kenali ialah beliau tidak pernah memarahi muridnya kerana kebodohan mereka sebab baginya setiap perkara ada penyakitnya dan penyakit ilmu ialah lupa.
Baginya, penyakit lupa itu perlu dicari sebab atau punca, sama ada sifat fizikal (tubuh lemah, kurang tidur atau berpenyakit), atau disebabkan kesibukan urusan harian dan gangguan syaitan (terutama dalam solat). Ini mampu diatasi dengan ilmu dan memohon bimbingan Allah.
Abdullah berkata, bagi mendapatkan gambar Tok Kenali untuk tatapan generasi kini, bukanlah perkara mudah kerana sepanjang hayatnya, hanya tiga kali gambarnya dirakamkan dan itu pun dikatakan bukan atas kehendaknya.
Tiga keping gambar Tok Kenali yang diabadikan dalam sejarah hidupnya itu, terdiri ketika beliau yang berserban bulat dirakam bersama Sultan Ismail dan pembesar negeri di Masjid Besar Al-Muhammadi, Kota Bharu.
Gambarnya memakai serban bertingkat diambil bersama Dr Zaba (Zainal Abidin Ahmad - pendita Bahasa Melayu) dan kenamaan lain di perkarangan bangunan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).
Gambar ketiganya, diambil bersama keluarga dalam sebuah studio di Kota Bharu. Malah, ada kisah mendakwa seorang Cina ingin menyimpan gambar itu, terpaksa membuat permintaan kepada Tok Kenali.
"Tuan Guru adalah ulama besar di Kelantan. Oleh itu, benarkan saya memiliki gambar Tuan Guru," minta lelaki Cina itu.
Mendengar permintaan itu, Tok Kenali menjawab, "Saya boleh benarkan kamu menyimpan gambar saya tetapi kamu mesti jaga, tidak boleh sembah gambar saya seperti kamu sembah gambar lain".
Walaupun bukan ahli politik, namun Tok Kenali juga mengikuti perkembangan dunia. Malah, secara peribadi, beberapa sifatnya menonjolkan keupayaannya sebagai pentadbir yang bijak berpolitik
Antaranya ialah pada 1900, ketika kerajaan negeri mengadakan perjanjian dengan saudagar Inggeris, Robert William Duff, bagi pemajakan tanah di Hulu Kelantan.
Ketika itu, saudagar terbabit menaikkan bendera ‘Union Jack’ di merata tempat sekitar Hulu Kelantan, namun hasil nasihat Tok Kenali kepada pemimpin negeri ketika itu, bendera penjajah itu diturunkan.
Sebagai orang alim, ramai anak murid Tok Kenali mendakwa beliau seorang yang masin mulut dan perkara yang pernah diberitahunya akan terjadi seperti penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu.
Beliau memberitahu muridnya, Jepun akan menyerang menerusi Pantai Cahaya Bulan (PCB) dan ia berlaku pada 8 Disember 1941. Selain itu, beliau pernah berkata, bah besar akan melanda negeri ini dan pada 24 Disember 1926, bah Air Merah menenggelamkan Kelantan.
Bandar Kubang Kerian pernah menjadi sebutannya dengan mengatakan bahawa Kampung Kenali akan menjadi besar dan anak cucu penduduk kampung itu akan menjadi orang besar-besar.
Ia terbukti kini apabila Kubang Kerian menjadi bandar baru dengan bangunan tersergam indah termasuklah Masjid As-Sultan Ismail Petra dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Namun, menjelang saat kematiannya, Tok Kenali menderita kesakitan pada kakinya yang berulat itu selama kira-kira dua bulan sebelum menghembus nafasnya terakhir pada 19 November 1933 ketika berusia 65 tahun.
Bagi mengenang jasa beliau dan menghormatinya, banyak nama diabadikan dengan Kenali seperti Jambatan Tok Kenali, Jalan Tok Kenali, Akademi Kenali, Institut Kenali, Dewan Tok Kenali, Seri Kenali dan sebagainya.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau sengaja mengabadikan sebuah jambatan dengan nama Tok Kenali untuk menarik minat generasi muda masa kini untuk menyelidiki kehebatan tokoh itu.
Info
# Nama sebenar, Muhamammad Yusof Ahmad
# Digelar Awang Kenali sebelum dikenali sebagai Tok Kenali.
# Dilahirkan pada 1870 di Kampung Kenali, Kubang Kerian.
# Meninggal dunia 19 November 1933.
# Isteri, Cik Ruqayyah Mahmud
# 4 anak, Ahmad, Muhd Shaalih, Mahmud dan Abdullah Zawaawi.
Jawatan Tok Kenali
1. Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan (7 Disember 1951- 19 November 1933)
2. Ketua Pelajaran Agama (Pengarah Bahagian Ilmu Agama. Bertanggungjawab memimpin Madrasah Muhammadiyyah dan penerbitan buku teks.
3. Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh (lidah rasmi Majlis Agama Islam Kelantan dikeluarkan setiap Isnin, dijual 10 sen senaskah)
4. Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
5. Pengasas Jamiyyah al-Ashriyyah - kumpulan ilmiah membincangkan isu agama dan semasa.
6. Penterjemah kitab dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu
7. Guru agama di Masjid Besar al-Muhammadi, Kota Bahru
8. Penasihat agama kepada Datuk Perdana Kelantan (Menteri Besar)