Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah.
"Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam":
Blogger
28 Ogos 2005
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
Banyak peristiwa besar berlaku pada 10 Muharam dan digalak ganda perkara sunat
BANYAK peristiwa penting berlaku pada 10 Muharam yang menunjukkan kebesaran Allah. Antara peristiwa itu adalah Allah menerima taubat Nabi Adam, Allah menyelamatkan Nabi Musa daripada tenggelam di laut apabila dikejar Firaun dan tenteranya serta Allah selamatkan Nabi Ibrahim daripada dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud. Pada tarikh itu juga Allah menyelamatkan Nabi Nuh dan pengikutnya daripada ombak besar yang melanda bumi dan Allah menyelamatkan Nabi Yunus yang tidak henti berzikir selama 40 hari dalam perut ikan nun.
Justeru, hari yang dinamakan Hari Asyura itu sewajarnya dijadikan permulaan baik untuk menempuh tahun baru 1428 Hijrah dengan memperbanyakkan amalan sunat yang dianjurkan seperti berpuasa dan bersedekah.
Amalan baik dianjurkan pada 10 Muharam tidak terhad kepada puasa sunat dan memasak bubur Asyura.
Apa juga amalan baik boleh dilakukan pada hari itu dan hari seterusnya pada Muharam kerana banyak amalan dianjurkan Islam untuk dilaksanakan umatnya sepanjang bulan ini.
Masyarakat perlu faham keperluan atau apakah diharapkan daripada mereka apabila disarankan melaksanakan amalan sunat pada hari tertentu seperti dianjurkan Islam.
Amalan sunat boleh diibarat seperti aksesori tambahan pada kereta. Ada badan, tayar, enjin dan stereng, kereta boleh jalan. Tetapi apabila ditambah sport rim dan sarung kulit, maka kereta nampak lebih cantik dan menambah nilai kenderaan itu.
Begitu juga ibadat wajib seperti solat dan puasa, jika tidak ditambah dengan amalan sunat, bukan tidak elok tetapi tidak cantik. Untuk mencantikkan, kita banyakkan amalan sunat.
Walaupun peristiwa besar banyak berlaku pada 10 Muharam, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sunat sepanjang bulan pertama kalendar Islam itu yang juga termasuk dalam empat bulan diharamkan Allah berperang.
Amalan puasa sunat 10 Muharam mengambil iktibar daripada puasa dilakukan Nabi Musa sebaik terselamat daripada dikejar Firaun dan tenteranya, juga puasa Nabi Nuh yang diselamatkan daripada banjir besar.
Biarpun sunat puasa pada 10 Muharam lebih elok jika berpuasa sama ada pada 9 dan 10 atau 10 dan 11 Muharam bagi mengelakkan menyamai puasa orang Yahudi.
Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, Rasulullah melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura lalu bertanya kenapa mereka berpuasa pada hari itu?
Orang Yahudi menjawab, mereka berpuasa sebagai mengenang hari Allah menyelamatkan Nabi Musa dan menenggelamkan Firaun dengan askarnya, maka Nabi Musa berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah pada hari itu.
Maka Rasulullah berkata: "Kamilah yang lebih berhak mengikut jejak Nabi Musa daripada kamu." Lalu Baginda berpuasa dan menyuruh sahabatnya agar berpuasa juga pada hari itu.
Kebetulan 10 Muharam tahun ini jatuh pada semalam, jadi sebaiknya kita berpuasa semalam dan hari ini atau hari ini dan esok. Ia bagi mengelakkan kita meniru puasa orang Yahudi.Tetapi jika hendak buat semalam saja pun tidak mengapa kerana niat kita lain dengan mereka.
Berpuasa pada Hari Asyura sangat besar pahala seperti hadis yang diriwayatkan Al-Imam Muslim daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Akan digantikan kejahatan pada tahun sebelumnya dengan kebaikan (dengan sebab puasanya itu)."
Selain puasa sunat, amalan baik yang dikerjakan ulama ialah solat sunat 10 Muharam yang dilakukan selepas solat fardu kecuali selepas Subuh dan Asar.
Selepas solat sunat, digalakkan membaca doa bermaksud: "Allah yang memelihara, sebaik-baik penolong, sebaik-baik penjaga dan sebaik-baik memberi pertolongan” atau dengan membaca doa dianjurkan Saidina Ali yang memohon Allah menunjukkan jalan lurus, dijauhkan bala bencana dan dikabulkan hajat.
Begitu juga dengan amalan memasak bubur Asyura untuk disedekahkan, seeloknya tradisi itu diteruskan sebagai pengerat silaturahim antara saudara dan jiran tetangga.
Secara tidak langsung kegiatan seperti itu memupuk kemesraan dan menggalakkan orang kaya bersedekah kepada fakir miskin.
Masyarakat hari ini perlu peka dan meraikan Hari Asyura dengan amalan meningkatkan iman mereka.
INFO
Peristiwa penting pada 10 Muharam
# Nabi Adam bertaubat kepada Allah. # Nabi Idris diangkat Allah ke langit. # Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari bahteranya sesudah bumi d ditenggelamkan selama enam bulan. # Nabi Ibrahim diselamatkan Allah daripada dibakar Raja Namrud. # Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa. # Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara # Allah memulihkan penglihatan Nabi Yaakob. # Nabi Isa diangkat ke langit. # Nabi Ayub dipulihkan Allah daripada penyakit kulitnya # Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan nun, selepas berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam. # Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya daripada tentera Firaun. # Allah mengampunkan kesalahan Nabi Daud. # Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar. # Hari pertama Allah mencipta alam. # Hari pertama Allah menurunkan rahmat. # Hari pertama Allah menurunkan hujan. # Allah menjadikan Arasy. # Allah menjadikan Luh Mahfuz. # Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Apabila membicarakan tentang Hari Asyura yang jatuh pada tanggal 10 Muharam setiap tahun maka kita tidak dapat menghindarkan diri memperkatakan tentang peristiwa pembunuhan Saidina Hussain iaitu cucu Rasulullah s.a.w. Beliau juga anak kepada Saidina Ali yang dibunuh dengan kejam di sebuah tempat yang bernama Karbala di Iraq.
Rentetan dari peristiwa Karbala ini timbul dua golongan yang menyambut hari Asyura secara ekstrem. Golongan pertama terdiri daripada pengikut Syiah al-Rafidhah yang menjadikan tarikh 10 Muharam setiap tahun sebagai hari untuk berkabung dan menunjukkan kesedihan demi untuk memperingati kematian Saidina Hussain ini.
Ketika menyambut hari Asyura mereka memperlihatkan perbuatan-perbuatan umat jahiliah seperti memukul wajah serta tubuh badan mereka sehingga berdarah, menyiksa diri, berteriak serta menangis dan merobek-robek pakaian mereka.
Meratap
Ternyata perbuatan meratap serta menyiksa diri sendiri apabila ditimpa musibah dicela oleh syarak sebagaimana hadis-hadis di bawah.
Nabi s.a.w. bersabda: Bukan golongan kami orang yang memukul pipi, merobek pakaian dan berdoa dengan doa-doa jahiliah. (Riwayat Bukhari, no: 1294)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda: Saya tidak bertanggungjawab kepada orang yang ditimpa musibah lalu menangis dengan suara yang keras [berteriak-teriak] atau menggondolkan rambutnya atau merobek bajunya. (Riwayat Muslim, no: 104).
Golongan Syiah ini juga memperhebatkan lagi celaan mereka kepada para sahabat nabi pada hari Asyura. Mereka juga membacakan syair-syair serta hikayat-hikayat palsu menceritakan tentang peristiwa Karbala. Masih terdapat banyak lagi perkara yang bertentangan dengan syarak dilakukan oleh kelompok Syiah ini pada hari Asyura.
Golongan kedua pula menyambut hari Asyura sebagai satu hari perayaan yang penuh dengan kebahagiaan. Kelompok ini terdiri daripada golongan ahli sunah yang jahil.
Mereka yang memusuhi Saidina Ali serta ahli keluarganya, penjilat kerajaan Bani Umaiyah serta mereka yang membenci golongan Syiah al-Rafidhah dan menterjemahkan kebencian mereka itu dengan melakukan sesuatu yang berlawanan dengan Syiah iaitu menunjukkan kegembiraan pada hari Asyura.
Mereka menyambut hari Asyura bagaikan suatu pesta, menghias bandar-bandar mereka dengan indah, memasak makanan tertentu lalu bersedekah kepada orang ramai. Menyediakan makanan yang lazat-lazat dan lain-lain lagi upacara yang mencerminkan ia suatu hari untuk bergembira seperti hari raya.
Perbuatan kelompok ini juga bertentangan dengan syarak apatah lagi jika dilakukan bersempena dengan hari terbunuhnya Saidina Hussain, cucu kepada Rasulullah s.a.w. yang merupakan pemimpin kepada para pemuda yang menghuni syurga.
Wajarkah suasana yang gembira dihubung-kaitkan dengan satu peristiwa hitam dalam sejarah umat Islam yang mengakibatkan syahidnya seorang yang memiliki keutamaan serta kedudukan yang tinggi bagi masyarakat Islam?
Apatah lagi tidak pernah ada contohnya daripada Rasulullah s.a.w. untuk menyambut hari Asyura seperti hari perayaan yang besar malah para sahabat.
Para salafussoleh serta imam- imam mazhab yang empat juga tidak pernah menganjurkan sambutan yang sedemikian rupa. Oleh itu sambutan sedemikian rupa merupakan suatu amalan bidaah yang sewajarnya di hindari oleh umat Islam.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah, mendengar nasihat dan mentaatinya. Sesungguhnya manusia itu berkelompok-kelompok, siapa yang akan hidup di antara kalian kelak akan melihat adanya banyak perbezaan pendapat. Maka hendaklah kalian berpegang teguh kepada sunahku dan sunah para Khulafa al-Rasyidin. Berpegang teguhlah kepadanya dan peganglah ia erat-erat. Jauhilah segala perkara yang baru kerana setiap perkara yang baru itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat. (Riwayat Imam Abu Dawud, no: 3991).
Jika kedua-dua cara menyambut hari Asyura seperti di atas adalah suatu bentuk kesesatan dalam agama maka apakah yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari Asyura?
Hari Asyura dan amalan-amalan sunah berkaitan
Terdapat banyak kisah yang dihubung-kaitkan dengan hari Asyura. Namun sebenarnya ia tidak memiliki sandaran yang kukuh. Ternyata cerita yang sah berkaitan dengan hari Asyura hanyalah peristiwa Nabi Musa a.s diselamatkan dari tentera Firaun.
Ini kerana kesahihan kisah tersebut berlaku pada hari Asyura diperakui oleh Rasulullah s.a.w. sendiri sebagaimana yang terdapat di dalam Shahih al-Bukhari:
Nabi s.a.w. datang ke Madinah, dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka: Ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Firaun. Maka sabda Nabi s.a.w.: Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah. (Riwayat Bukhari no: 4680).
Oleh itu sewajarnya kita tidak menghubung kaitkan apa-apa peristiwa berkaitan hari Asyura melainkan terdapat dalil yang sah daripada hadis-hadis Nabi s.a.w. Melalui hadis di atas ini juga dapat kita fahami bahawa amal ibadah khusus sempena hari Asyura yang diiktiraf oleh Rasulullah s.a.w. adalah ibadah puasa. Ternyata berpuasa pada hari Asyura ini memiliki kelebihan atau fadilat yang begitu besar.
Ibnu Abbas r.a. pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sehari pada hari Asyura untuk mencari kelebihan atau fadilat yang tidak ada pada hari-hari selain hari ini. (Riwayat Bukhari, no: 2006).
Berpuasa pada hari Asyura juga dapat menghapuskan dosa-dosa kita pada tahun sebelumnya. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Muslim, no: 1163).
Allah juga mengurniakan taufik-Nya kepada mereka yang berpuasa pada hari Asyura. Dari Ibnu Umar r.a, dia berkata: Tidaklah seorang hamba berpuasa di dalamnya (hari Asyura) kecuali puasanya akan memberikan taufik kepadanya. (Riwayat Bukhari no: 1892).
Disunatkan juga untuk menambahkan puasa pada hari Asyura tersebut dengan berpuasa sehari sebelum ataupun sehari sesudahnya. Rasulullah s.a.w. memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya. (Riwayat Imam Ahmad, no: 2047).
Rasulullah tidak pernah memerintahkan amalan ibadah lain untuk dikhususkan sempena hari Asyura melainkan ibadah berpuasa sebegini sahaja.
Oleh itu sebaik-baiknya kita berusaha untuk mengamalkan sunah Nabi s.a.w. ini.
* MOHD. YAAKUB MOHD. YUNUS ialah Penolong Naib Presiden di Bahagian Perbankan Perusahaan, Affin Bank Berhad. Untuk sebarang maklum balas berkaitan artikel ini sila hubungi beliau melalui e-mel akob73@ yahoo.com
PENEMUAN hasil kajian saintis dalam pelbagai bidang menemukan kebenaran ayat al-Quran berkaitan kejadian alam dan kejadian. Mereka menerima kenyataan al-Quran datangnya daripada Allah, yang mencipta alam ini. Justeru, apa yang terkandung di dalam al-Quran adalah tepat. Namun, masih ada golongan yang percayakan mengenai teori evolusi. Teori evolusi menjelaskan apa yang ada hari ini berbeza pada masa lalu. Perubahan secara evolusi (perlahan atau beransur-ansur) mengubah apa yang asal kepada satu bentuk lain.
Tidak terkecuali melalui proses evolusi ialah manusia. Lebih mudah dikatakan bahawa manusia asalnya bukan seperti manusia hari ini. Itulah yang dipercayai oleh golongan yang mengagungkan teori evolusi.
Setiap Muslim mesti mempercayai manusia pertama dicipta ialah Nabi Adam. Manusia bukan terhasil melalui proses evolusi daripada makhluk lain yang bertukar menjadi manusia seperti sekarang.
Adam dicipta daripada tanah liat seperti firman Allah dalam surah al-Hijr, ayat 26 bermaksud: Kami menjadikan manusia itu daripada tanah liat hitam kering, daripada tanah hitam yang berubah baunya.
Manakala sabda Rasulullah pula bermaksud: Kamu semua adalah daripada anak Adam dan Adam daripada tanah. Manusia itu daripada anak Adam dan Allah mencipta Adam daripada tanah. (Hadis riwayat Abu Daud).
Penciptaan Adam dalam keadaan sempurna, yang menjadi bapa kepada seluruh manusia daripada mula hingga ke hari kiamat. Adam dilantik sebagai khalifah di muka bumi dan nabi pertama yang mampu menguruskan kehidupan dan menimba ilmu pengetahuan.
Allah membezakan penciptaan manusia berbanding makhluk lain. Manusia diciptakan dengan kelebihan akal dan nafsu.
Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya. (Surah at-Tin, ayat 4).
Oleh itu tidak tepat jika mempercayai bahawa teori evolusi mengenai asal kejadian manusia. Pembuktian dalam hal-hal lain berkaitan evolusi tidak boleh dijadikan bukti asal kejadian manusia.
Teori evolusi menggambarkan bahawa kejadian manusia berasal daripada beruk atau kera besar. Ketika melalui evolusi sebagai manusia purba, peradaban manusia didakwa belum sempurna. Hidup secara rakus ala alam haiwan, terikut-ikut cara hidup sebelum itu.
Berdasarkan teori evolusi, jika Adam dianggap manusia pertama yang sempurna, maknanya Adam dilahirkan oleh generasi beruk sebelum itu. Ini jauh sekali daripada apa yang dijelaskan oleh Allah Adam (manusia) dicipta daripada tanah.
Kadar evolusi manusia juga didakwa berbeza-beza mengikut keturunan berdasarkan warna kulit. Menurut fahaman Darwinisme (kepercayaan terhadap teori evolusi), bangsa kulit putih lebih tinggi dari segi evolusinya daripada orang berkulit hitam.
Inilah sebab dijadikan alasan mengapa kaum kulit putih lebih ke hadapan cara pemikiran dan gaya hidup berbanding kulit hitam. Contohnya, bangsa yang kulitnya hitam pekat, dianggap lebih dekat dengan keturunan orang hutan.
Fahaman inilah sedikit sebanyak mempengaruhi orang kulit putih menjadikan orang kulit hitam sebagai hamba abdi. Mereka berasa lebih mulia berbanding orang kulit hitam. Dalam keadaan lebih hina, orang kulit putih mendakwa orang kulit hitam masih layak dilayan seperti haiwan kerana belum berevolusi sepenuhnya menjadi manusia sempurna.
Sedangkan sebenarnya, Allah mencipta manusia berlainan bangsa dan warna kulit adalah untuk manusia saling kenal mengenali dan berkasih sayang. Manakala penilaian Allah terhadap manusia adalah berdasarkan kepada takwa.
Teori evolusi asalnya turut menyandarkan kepada alasan bahawa perbezaan genetik amat kecil antara manusia dan cimpanzi. Cimpanzi dianggap keturunan beruk yang memasuki evolusi terakhir sebelum memasuki fasa manusia purba. Penyokong teori evolusi mendakwa 99 peratus genetik manusia menyamai genetik cimpanzi.
Teori evolusi berasaskan genetik ini pada mulanya sukar dipatahkan oleh orang Islam memandangkan ahli sains Islam tidak mempunyai kemahiran tinggi tentang genetik biarpun ilmu genetik mulanya diasaskan oleh orang Islam. Pun hakikatnya, orang Islam tidak pernah dipesong oleh teori evolusi, melainkan sedikit bilangannya disebabkan kelemahan iman.
Pembohongan kaitan genetik terbongkar apabila sainstis bukan Islam yang membuat kajian mengenai genetik untuk menyokong teori evolusi menemui sebaliknya. Persamaan antara manusia dan cimpanzi dari segi genetik sebenarnya hanya sekitar 95 peratus
Kita menanti lahir ahli sains Islam yang dapat menyangkal sepanuhnya teori evolusi. Sekarang ini kita menggunakan uji kaji dijalankan ahli sains bukan Islam. Mungkin ada sesuatu yang mereka rahsiakan.
Menurut apa difirmankan Allah dalam al-Quran, ada empat cara manusia dicipta. Selain Adam dicipta daripada tanah, Hawa pula dicipta daripada tulang rusuk Adam. Nabi Isa dilahirkan tanpa bapa. Sedangkan manusia lain dicipta melalui proses biasa memerlukan cantuman mani dalam rahim.
Individu Muslim tidak boleh sama sekali menerima pakai teori evolusi mengenai kejadian manusia kerana dalam al-Quran menjelaskan keturunan manusia berasal daripada Adam. Kandungan al-Quran tidak harus diragui. Mempercayai kepada al-Quran (percaya kepada kitab) adalah termasuk Rukun Iman.
Allah tidak melarang kita mengkaji kejadian alam. Diharapkan kajian yang dilakukan akan memperkuatkan tanda keimanan dan mengakui kebesaran Allah. Semakin banyak yang dikaji, semakin menemukan kehebatan ciptaan Allah.
Malangnya, bagi pengkaji kafir, semakin banyak dikaji, semakin terasa keangkuhan. Mereka bukan tidak menemui kebenaran dalam kajian, tetapi sengaja memesongkan ilmu yang diperoleh. Pengkaji kafir sengaja menafikan kebenaran kandungan al-Quran yang banyak menyebut mengenai kejadian alam.
Hampir semua tokoh komunis dan pengikutnya mempercayai mengenai teori evolusi kejadian manusia. Ini bersesuaian dengan keyakinan mereka bahawa tidak ada pencipta manusia. Alam ini terjadi sendiri melalui proses evolusi sejak beribu jutaan tahun lalu. Fahaman komunis menolak kenyataan adanya Maha Pencipta alam ini.
Proses evolusi mungkin sesuai untuk membincangkan kejadian makhluk lain. Itupun hanya satu andaian. Hanya Allah mengetahui kejadian alam ini dan seluruh isinya, bermula ia dicipta dan apa yang akan berlaku seterusnya. Allah Maha Pencipta.
Lewat upacara "menggantung" Saddam Husseim mantan diktator Iraq, pelbagai analisis muncul. Apa yang pasti, dua tanggapan utama telah mendominasi pandangan umum di kalangan masyarakat Islam. Pertamanya, Saddam dianggap sebagai hero kelompok Sunni Iraq yang telah dizalimi oleh AS. Keadaan beliau yang begitu berani, teguh dan telah mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum digantung telah menjadikan beliau seorang wira. Tanggapan kedua pula ialah kaum Syiah merupakan golongan yang paling teruk teraniaya di zaman Saddam. Penggantungan Saddam diumpamakan sebagai korban kaum Syiah di hari raya Aidil Adha 1427 mereka. Laungan berbau Syiah dari mereka yang hadir sewaktu penggantungan Saddam telah dianggap sebagai upacara balas dendam di atas pembunuhan kaum Syiah Iraq di zaman pemerintahan Saddam Hussein. Adakah kedua-dua tanggapan ini benar?
Di dalam menyikapi kedua-dua tanggapan ini, fakta, rasional dan juga analisis perlulah dijadikan ukuran. Emosional dan juga prasangka bukanlah jawapan yang tepat.
Fakta yang perlu diketahui ialah Saddam bukanlah wira Ahli Sunnah di Iraq. Beliau tidak pernah, dan mungkin juga tidak terlintas untuk mengaku bahawa beliau adalah wira kaum Sunni Iraq. Perjalanan politik beliau menyaksikan manusia bernama Saddam ini merupakan seorang diktator yang tidak mewakili mana-mana kumpulan di dalam kelompok taburan kaum di Iraq. Seawal kemunculannya di alam politik melalui Parti Baath, beliau telah memulakannya dengan siri-siri pembunuhan tanpa memilih kaum. Percubaan membunuh Jeneral Abdul Karim Qassim, pemimpin tentera Iraq yang telah menggulingkan Raja Faisal ke-2, merupakan medan awal Saddam membina karier politiknya. Komplot yang berlaku pada tahun 1959 itu seperti yang diketahui oleh ramai pihak, merupakan onar AS di rantau berkenaan. Kegagalan komplot tersebut telah membuatkan Saddam telah melarikan diri ke luar negara. Hanya selepas tahun 1964 beliau telah pulang semula ke Iraq, dan telah dipenjarakan sehingga tahun 1967.
Sebagai seorang penganut fahaman Baath, beliau tidak mewakili mana-mana pihak. Di dalam parti Baath, semua pihak turut terlibat. Ideologi Baath tidak mengenal Sunni, Syiah, Kristian, mahupun Atheist. Mereka disatukan di atas semangat Sosialis kebangsaan Arab. Pada tahun 1968, beliau telah dilantik menjadi Timbalan Presiden Iraq selepas kejayaan Parti Baath menggulingkan Presiden Iraq pada ketika itu, Abdul Rahman Arif. Karismatik beliau menyerlah pada waktu tersebut lantas menenggelamkan kilauan bintang Presiden Iraq pada waktu itu, Ahmad Hassan al-Bakr. Walaupun al-Bakr telah bertanggung jawab membawa Saddam ke kedudukannya di dalam parti dan di dalam negara, namun akhirnya beliau digulingkan oleh Saddam sendiri. Kedudukan beliau sebagai timbalan presiden Iraq dan juga Jeneral tentera telah memberikan peluang besar kepada Saddam untuk meluaskan pengaruhnya. Di sebalik krisis minyak pada tahun 1973, Irqa telah berjaya menjadi negara pengeluar minyak utama dunia. Dana yang melimpah ruah itu telah digunakan oleh Saddam untuk pembangunan negara Iraq yang moden. Pada 16 Julai 1979, al-Bakr akhirnya terpaksa melepaskan jawatannya kepada Saddam selepas dipaksa dan dikenakan tekanan yang kuat.
Presiden Saddam
Perkara pertama yang dilakukan oleh Saddam di awal hari-harinya menjadi presiden ialah menghapuskan segala ancaman dalaman. Beliau memulakan operasi pemutihan tersebut melalui dalam parti Ba'ath sendiri. Seramai 68 anggota tertinggi Ba'ath telah ditangkap dan dipenjarakan, manakala 22 daripada mereka telah dijatuhkan hukuman bunuh. Beliau juga telah menghapuskan undang-undang Syariah di Iraq yang telah diamalkan semenjak zaman Raja Faisal lagi. Beliau berjaya menjadikan Iraq satu-satunya negara teluk yang menganut fahaman sekular ekstrim.
Beliau juga telah menubuhkan "Tentera Rakyat" yang bertanggungjawab menjadi pelindung kepada rejimnya. Jabatan perisikan dalaman atau Mukhabarat pula menjadi jentera utama Saddam di dalam menjamin keutuhan rejim tersebut. Barzan Ibrahim, adik tiri Saddam merupakan individu yang dipercayai oleh Saddam untuk mengetuainya. Jabatan tersebut dikenali dengan kekejaman dan juga keganasan yang dilakukan ke atas mana-mana pihak yang disyaki boleh menjadi ancaman kepada rejim. Rakyat Iraq secara keseluruhannya, samada Sunni, Syiah, Kristian, Yahudi, Sosialis, Ba'ath dan kesemuanya menjadi saksi kepada keganasan Mukhabarat era Saddam. Kesemuanya tidak terlepas menjadi prospek untuk disiksa, diazab, disiat-siat, dipotong, dihancurkan, diletupkan, dan juga dibunuh oleh jabatan yang paling digeruni di Iraq era Saddam ini.
Jika kaum Syiah mendakwa mereka merupakan mangsa utama keganasan Saddam, itu perlu diteliti semula. Kaum Kurdi merupakan pihak yang paling banyak menanggung derita sebenarnya di bawah keganasan rejim Saddam. Perjuangan kemerdekaan kaum Kurdi yang cuba memisahkan diri mereka daripada Iraq untuk membentuk negara merdeka kaum Kurdi telah menjadi sasaran utama Saddam. Bukan hanya sekadar perkampungan Kurdi diserang dan para pejuang mereka telah dibunuh dengan kejam, seramai 200,000 rakyat Kurdi juga telah dibuang negara pada tahun 1975. Perjanjian di antara Saddam dengan pemerintah Iran pada waktu itu, Shah Reza Pahlavi telah menjadi sebab utama pengusiran beramai-ramai tersebut.
Peristiwa Halabja juga tidak sepatutnya dilupakan oleh masyarakat dunia. Pada 16 Mac 1988, rejim Saddam telah membunuh lebih 5000 rakyat Kurdi dan mencederakan 10,000 yang lain melalui serangan menggunakan gas beracun. Serangan tersebut merupakan sebahagian daripada kempen "operasi Anfal" yang sekarang ini dibicarakan di Iraq walaupun selepas kematian Saddam. Jerman dikenali sebagai pembekal gas beracun tersebut, manakala AS dan Iran juga turut terlibat di dalam serangan berkenaan.
Jika kaum Syiah merasakan diri mereka teraniaya melalui pembunuhan 148 kaum Syiah di perkampungan Djeil, maka kaum Sunni juga berhak merasakan yang sama. Kaum ulama Sunni, golongan cerdik pandai, dan yang paling ramai adalah aktivis gerakan Islam merupakan mangsa kekejaman rejim Saddam. Ribuan dari kalangan aktivis dan ulama gerakan Ikhwan al-Muslimin juga tidak terlepas daripada menjadi habuan pembunuhan dan komplot penyembelihan rejim Saddam. Ribuan dari kalangan mereka juga telah meninggalkan Iraq dan berhijrah ke negara-negara lain. Adalah tidak adil mengatakan bahawa Saddam merupakan wira ahli Sunnah. Tidak adil juga jika kaum Syiah ingin memonopoli gelaran "magsa kekejaman Saddam". Walau bagaimanapun perlu diingat, kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan oleh penjajah AS sekarang ini adalah jauh lebih dahsyat dari kekejaman Saddam! , perlu diingat juga, keganasan tentera al-Mahdi milik Muqtada Sadr ke atas kaum Sunni juga tidak kurang hebatnya dengan apa yang dilakukan oleh pihak penjajah!
Hubungan luar Saddam
Semenjak tahun 1972, Iraq mempunyai hubungan yang amat rapat dengan Soviet Union melalui Saddam. Kebanyakan persenjataan Iraq pada waktu tersebut dibekalkan oleh Soviet Union. Keadaan ini akhirnya berubah di akhir tahun-tahun 70'an. Penjajahan Afghanistan, hubungan intim Soviet dengan Iran dan juga polisi keras kerajaan Iraq terhadap parti komunis Iraq telah mengeruhkan hubungan tersebut. Era Saddam menyaksikan Iraq mula menjadi rakan barat, terutamanya AS yang menjadi seteru utama Soviet Union pada zaman perang dingin Barat-Timur.
AS bukan hanya menjadi pembekal senjata kepada Saddam, malah juga turut menjadi rakan ekonomi dan juga penasihat kepada rejim Saddam. Peperangan di antara Iraq dengan Iran telah menjadi saksi bagaimana AS telah menjadi penyokong kuat Iraq dan pembekal senjata utama mereka. Peranchis, Britain dan Jerman juga turut menjadi rakan pembekal senjata kepada Saddam. Peperangan Iraq-Iran merupakan peluang bagi kuasa-kuasa barat menjual senjata-senjata mereka kepada Saddam. Segala usaha Saddam untuk "menghentikan pemberontakan dalam negara", samada dengan membunuh kaum Kurdi, Syiah, Sunni dan komunis sentiasa mendapat sokongan negara-negara tersebut.
Setiap tindakan Saddam yang melibatkan penggunaan senjata merupakan ruang bisnes bagi negara-negara tersebut, terutamanya AS. Serangan Saddam ke atas wilayah Khuzestan Iran yang telah mencetuskan peperangan Iraq-Iran, menurut sesetengah penganalisis politik telah mendapat restu dari AS. AS yang tidak mahu pengaruh Iran menguasai rantau tersebut telah berusaha membekalkan senjata kepada Iraq. Malah, menurut laporan pembicaraan ke atas syarikat Matrix Churcill (pembekal senjata dari Britain kepada Saddam) pada tahun 1996 oleh Lord Justice Scott, AS dan Britian tetap membekalkan senjata kimia kepada Saddam selepas peristiwa Halabja pada tahun 1988.
Ketika Saddam terpaksa menanggung hutang sebanyak USD 75 billion pasca peperangan Iraq-Iran, negara-negara tersebut membiarkannya. Saddam merasakan kemenangan beliau ke atas Iran merupakan khidmatnya kepada negara-negara Teluk lain yang turut merasakan Iran sebagai ancaman mereka, terutamanya Kuwait. Berdasarkan persepsi tersebut, Saddam telah memaksa Kuwait untuk menghapuskan hutangnya dengan Kuwait sebanyak USD 30 billion. Kuwait, walau bagaimanapun tidak tunduk kepada paksaan tersebut. Hubungan di antara Iraq dan Kuwait menjadi tegang selepas itu, dan ditambahkan dengan beberapa insiden lain. Akhirnya, selepas mendapat restu daripada AS melalui mesyuarat sulit Saddam dengan duta AS di Iraq, April Glaspie pada 25 Julai 1990, Saddam telah menyerang dan menawan Kuwait. Malangnya, Saddam tidak menyedari bahawa komplot tersebut hanyalah sebahagian daripada tipu helah AS untuk menguasai lebih banyak kawasan di rantau tersebut.
Pelajaran bagi para pemimpin Arab
Peperangan Teluk yang pertama telah menyaksikan AS yang dahulunya menjadi sekutu dan pembekal utama senjata kepada Saddam telah bertukar menjadi musuh Saddam dan Iraq. Beralasankan untuk melindungi Kuwait dan Arab Saudi, akhirnya AS berjaya bertapak di bumi Teluk. Kini, Saddam pula menjadi mangsa. AS tetap mendapat keuntungan dari pelanggan-pelanggan baru mereka. Kuwait dan Arab Saudi akhirnya menjadi pembeli utama senjata-senjata lapuk dan lama milik tentera AS. Negara-negara Teluk yang lain juga akhirnya turut terheret ke dalam kancah peperangan tersebut dan terpaksa menjadi sekutu dan pembeli utama senjata-senjata AS. Saddam yang dahulunya menjadi rakan rapat AS kini telah menjadi seteru dan terpaksa membawa rakyatnya ke dalam kancah peperangan dan penderitaan. Peperangan Teluk 1991 dan juga pasca peperangan tersebut telah menyaksikan rakyat Iraq menderita dan sengsara. Tidak kira, samada Sunni,Syiah, Kurdi, Kristian dan sesiapa sahaja, kesemuanya menderita akibat sekatan ekonomi dan juga tekanan yang dihadapi oleh Iraq. Kesengsaraan tersebut terus berlanjutan sehingga kini akibat penjajahan AS ke atas bumi Iraq semenjak tahun 2003.
Pelajaran utama yang perlu diambil oleh para diktator Arab, mereka tidak boleh sekali-kali mempercayai AS sepenuhnya. AS dan kuasa-kuasa barat yang lain hanyalah sekumpulan penyamun yang tidak jujur di dalam persahabatan mereka. Mereka hanya faham bahasa Dollar dan peluru sahaja. Samada hubungan dengan AS adalah untuk menjadi sekutu, agen, mahupun rakan, ianya akan berakhir dengan pengkhianatan dari pihak AS sendiri. Walaupun mungkin ada yang akan mengatakan, penggantungan Saddam merupakan pengajaran kepada para pemimpin Arab agar tidak melawan AS, namun pada hakikatnya ia merupakan pengajaran kepada mereka agar tidak menjadi sekutu AS sebelum melawan mereka.
Tidak hairanlah jika Anas al-Tikriti, penganalisis politik dari Britain ketika diwawancara mengenai penggantungan Saddam telah mengeluarkan satu pertanyaan yang menarik. Beliau bertanyakan, ke manakah mereka yang telah bertanggung jawab membekalkan Saddam dengan persenjataan? , mengapa tidak diheret sekali mereka ke perbicaraan? dan mengapakah mereka tidak biwa ke tali gantung bersama Saddam?
Tidak salah juga jika kita bertanyakan, bagaimana pulakah dengan jenayah penjajah AS di Falujah, Samura, al-Qaim, Ramadi dan di seluruh Iraq semenjak tahun 2003. Jika Saddam seorang diktator dan berhak menerima hukuman gantung, Bush juga berhak diadili sedemikian rupa di atas kematian ratusan ribu rakyat Iraq sehingga hari ini. Beliau juga berhak menerima hukuman gantung seperti Saddam!
Walaupun Saddam seorang diktator dan juga seorang yang kejam, namun sikap beliau terhadap Israel berhak menerima pujian. Sebagai seorang pemimpin Arab yang tegas dan berprinsip di dalam menyikapi isu Palestin-Israel, beliau sepatutnya menjadi contoh. Sekurang-kurangnya sikap beliau ini lebih mulia daripada sikap Iran yang pernah membeli senjata dan mempunyai hubungan dengan Israel lewat peperangan Iraq-Iran. Skandal pembelian senjata "kontra-Iran" dengan Israel bukanlah satu rahsia di kalangan pengamat politik Timur Tengah.
Saddam dan Syiah
Video rakaman perlaksanaan hukuman gantung ke atas Saddam telah menaikkan kemarahan majoriti Ahli Sunnah. Jika sewaktu peperangan Israel-Hizbullah ramai yang mula bersimpati dan menghulurkan tangan persahabatan kepada Syiah, kini segalanya berubah. Syiah dilihat oleh majoriti Sunni di seluruh dunia sebagai musuh dalam selimut dan juga sebagai kelompok yang membenci Ahli Sunnah dengan kebencian yang melampau. Keadaan lebih keruh lagi apabila latar belakang hukuman ke atas Saddam itu telah didominasi oleh kelompok Syiah. Kerajaan Syiah yang wujud sekarang merupakan kerajaan majoriti Syiah. Hakim bicara kes Djeil Saddam merupakan seorang Syiah yang sudah tentunya berpihak kepada kaum Syiah Djeil. Pendakwaraya juga seorang Syiah. Sehinggakan mereka yang terlibat dengan perlaksanaan hukuman gantung Saddam juga merupakan seorang Syiah.
Bagi rakyat Iraq, pertumpahan darah kaum Sunni akibat perbuatan kaum Syiah adalah sama seperti perilaku tentera penjajah AS. Agak tidak keterlaluan jika dikatakan keganasan puak Syiah adalah lebih dahsyat lagi. Tentera al-Mahdi milik Muqtada Sadr dikenali seluruh Iraq sebagai "kumpulan maut" yang menjadikan kaum Sunni sebagai mangsa mereka. Kementerian Kesihatan yang dikuasai oleh menteri Syiah dan juga para pegawai Syiah telah menyediakan kubur terbuka bagi kaum Sunni di hospital-hospital di Iraq. Persoalan yang timbul, apakah sememangnya Syiah semuanya bersikap ganas sebegini?
Terdapat beberapa persoalan yang mengundang analisis mendalam mengenai hubungan kelompok Syiah di dalam perlaksanaan hukuman gantung Saddam. Persoalan ini dapat dilihat berdasarkan beberapa keadaan yang mendahului hukuman ke atas Saddam.
Pertamanya, 30 ahli parlimen dan enam menteri dari kumpulan Muqtada Sadr pernah memboikot parlimen Iraq. Boikot tersebut merupakan protes mereka ke atas pertemuan PM Iraq, Nuri al-Maliki dengan Presiden Bush di Amman, Jordan pada bulan November 2006.
Kedua, Boikot berkenaan diikuti dengan tindakan boikot secara keseluruhan dari kumpulan Sadr ke atas politik Iraq. Hal ini menyebabkan kelompok Syiah yang membentuk kuasa majoriti merasa bimbang. Ketiadaan kumpulan Sadr akan mengurangkan kuasa mereka, sekaligus menafikan penguasaan mereka ke atas suasana politik Iraq. Demi menyelamatkan keadaan, beberapa pertemuan di antara pemimpin-pemimpin Syiah Iraq telah berlangsung. Sadr sendiri telah dikunjungi oleh kebanyakan pimpinan Syiah demi memujuknya agar membawa kumpulan beliau kembali ke parlimen.
Ketiga, Perlaksanaan hukuman gantung Sadr yang telah dilakukan secara tergesa-gesa itu telah dihadiri oleh beberapa "orang" dari kumpulan Sadr. Kebanyakan daripada mereka adalah di antara individu yang telah memboikot parlimen Iraq. Seluruh alam telah menjadi saksi kepada peristiwa tersebut. Sorakan nama Muqtada dan juga laungan nama bapanya Muhammad Baqir Sadr yang telah dibunuh oleh rejim Saddam pada tahun 1984 bergema di dalam bilik di mana hukuman tersebut dilaksanakan.
Adakah ini semua secara kebetulan?, ataupun ianya mempunyai kaitan?
Mengapakah penjajah AS sanggup menyerahkan Saddam untuk diperlakukan sedemikain rupa oleh kerajaan "Syiah" Iraq?
Adakah ianya sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan sokongan daripada kumpulan Sadr ?, bukankah Kementerian Pertahanan AS di dalam laporan mereka pada bulan Disember 2006 yang lalu pernah menyifatkan tentera al-Mahdi milik Sadr merupakan "Ancaman utama kepada keamanan di Iraq", maka mereka perlu dijinakkan.
AS dan Sadr
AS tahu walaupun Sadr dan kumpulannya merupakan ancaman kepada AS dari kalangan Syiah di Iraq, namun kumpulan tersebut juga amat memusuhi golongan Sunni. Kebanyakan serangan ke atas ulama sunni, tempat-tempat ibadat dan juga golongan awam Sunni telah dilakukan oleh tentera al-Mahdi milik Sadr. Tentera militan yang terdiri daripada para samseng, penagih dadah dan juga penyamun tersebut telah dilatih oleh Hizbullah di Lubnan. Harapan Sadr, mereka inilah bakal menjadi tentera Imam al-Mahdi Syiah yang akan melawan Israel dan juga melenyapkan Ahli Sunnah dari peta Asia Barat.
Kewujudan mereka diperlukan oleh AS demi menjamin keadaan tidak stabil di Iraq. Keadaan tidak stabil di Iraq akan terus memberikan justifikasi kepada AS untuk terus menguatkan pengaruh mereka di negara pengeluar minyak tersebut. Berbillion Dollar yang telah mereka laburkan sebagai modal di Iraq tidak akan dibiarkan tanpa hasil yang berlipat ganda. Bagi golongan Kristian Zionis pula, kekuatan kelompok Syiah yang diharapkan akan menguasai Asia Barat adalah mukadimah untuk peperangan Armagedon yang mereka harapkan. Golongan Sunni terlalu lemah menurut perkiraan golongan Kristian Zionis untuk melancarkan peperangan ke atas Israel. Peperangan besar tersebut menurut perkiraan golongan Kristian Zionis akan membawa kepada kemenangan Israel. Kemenangan tersebut juga akan membawa kepada kedatangan Jesus yang mereka impikan.
Di atas sebab-sebab inilah, skrip penggantungan Saddam ini telah berlangsung dengan licin. Penggantungan Saddam hanya akan mengundang keadaan yang lebih buruk di Iraq. Peperangan saudara di antara kaum Sunni dan Syiah di Iraq akan bertambah buruk. Keamanan di seluruh Iraq bagaikan utopia di waktu ini. Maka berjayalah AS mengukuhkan lagi kedudukan mereka. Mungkin juga tidak salah kita mengatakan, bahawa AS telah menjadikan penggantungan Saddam sebagai batu loncatan untuk penguasaan terus AS ke atas rantau Asia Barat.
RAUB, 16 Jan (Hrkh) - Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri N6 Batu Talam menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Bebas, Ng Chee Pang, 21 dengan calon BN, Abdul Aziz Mat Kiran. Pengumuman pertandingan tersebut telah disahkan oleh Timbalan Pegawai Pengurus Pilihan raya di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Raub jam 11.15 pagi tadi.
Turut hadir sama pada pengumuman ringkas tersebut, ialah Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak bersama Menteri Besar Pahang, Dato Seri Adnan Yaakob dengan beberapa menteri kabinet antaranya Dato' Seri Samy Vellu,Dato' Azmi Khalid, Dato' Seri Hishamudin Hussein, Dato' Seri Khir Toyo, Dato' Seri Shahidan Kassim dan lain-lain lagi.
ImageNg Chee Pang menyerahkan borang pencalonannya pada 9.02 pagi manakala calon Umno pada 9.33 pagi.
Orang ramai dan penyokong-penyokong Umno yang 'diimport' daripada luar seperti Kuala Kangsar, Wangsa Maju, Lembah Pantai, Machang, Gombak terpaksa berjalan kaki dan berarak sejauh lebih 2 kilometer untuk ke pusat penamaan calon kerana jalan kedua-dua arah telah ditutup oleh pihak polis sekitar jam 8 pagi.
Ruang pekarangan pejabat tanah tersebut, dipenuhi oleh penyokong-penyokong Umno yang berselang seli bertempik dan menjerit slogan 'Jangan Cabar BN', 'Hidup Pak Lah' dan 'Hidup Samy Vellu' dan kumpulan yang memonopoli sorakan tersebut adalah Briged Pemuda MIC manakala rata-rata penyokong yang lain sedang sibuk menjamah nasi bungkus yang ditaja oleh Umno bahgian masing-masing.
Sementara menunggu bantahan pencalonan sekitar jam 10 hingga 11 pagi, Setiausaha Koodinator DAP, Ronnie Liu mengadakan sidang media di hadapan astaka pejabat daerah dan tanah yang menempatkan tempat pengumuman pencalonan pertandingan Batu Talam.
Ronnie Liu menggesa dan menuntut pilihan raya bersih seperti yang dituntut oleh BERSIH sebelum ini sambil mengedarkan risalah untuk menyedarkan orang ramai akan kepincangan Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan selama ini.
Dalam pada itu, selepas keluar dari pusat pencalonan. Ng Chee Pang berjanji akan memberikan perkhidmatan dan kerjasama yang baik sekiranya penduduk Batu Talam memilihnya sebagai wakil rakyat.
Enggan mengulas lanjut tentang tajaan oleh pihak tertentu, beliau menyatakan bahawa beliau mengambil kira pandangan bapanya untuk masuk beranding sebagai calon bebas untuk bertanding.
Setelah pengumuman berkenaan, orang ramai kemudiannya bersurai. - mks.
KUALA LUMPUR, 16 Jan (Hrkh) - Berita baik untuk para penggemar dan penggiat Futsal!
Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Dewan Pemuda PAS Pusat (DACS) dengan kerjasama Jawatankuasa Sambutan 20 Tahun Harakah akan menganjurkan Kejohanan Futsal di seluruh negara bagi memeriahkan sambutan ulang tahun ke-20 suara rasmi PAS - Harakah. Kejohanan yang akan berlangsung mengikut zon itu bermula pada Ahad, 4 Februari 2007 bagi zon tengah yang merangkumi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Perak Selatan, 3 Mac 2007 bagi zon utara (Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak Tengah dan Perak Utara), 31 Mac 2007 bagi zon selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor), dan 6 April 2007 bagi zon Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu).
Menurut Pengerusi DACS, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, acara akhir (grand finale) kejohanan futsal itu akan dilangsungkan di Kota Bharu pada 7 April 2007.
Bagi zon tengah, kejohanan futsal ini akan diadakan di Sport Planet, Ampang dan dijangka menarik penyertaan 128 pasukan.
Yuran penyertaan adalah RM200 bagi satu pasukan yang menawarkan hadiah wang tunai RM2500 untuk tempat pertama, kedua (RM1500), ketiga (RM600), keempat (RM400) dan tempat kelima hingga kelapan (RM200).
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 2 Februari dan undian pada 3 Februari 2007.
Pasukan futsal yang berminat mengambil bahagian diminta menghubungi Abdul Latif (019-3922736) dan Nizam (019-2779692).
Menurut Ustaz Mohd Firdaus, 4 pasukan teratas setiap zon layak ke peringkat 'grand finale' yang akan diadakan di Kota Bharu pada 7 April akan datang.
"Saya menjemput pasukan futsal yang ada di seluruh Semenanjung agar menyertai kejohanan ini. Pemuda PAS Kawasan juga boleh membentuk pasukan futsal bagi menyertai kejohanan ini," katanya kepada Harakah.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah jurulatih profesional, Azman Haji Eusoff. Azman yang juga Timbalan Pengarah II DACS pernah membimbing beberapa pasukan bola sepak negeri dan kelab bolasepak tempatan.
DI sebalik pembinaan kota besar hasil kemajuan pembangunan dan kemodenan yang melanda hampir seluruh pelusuk dunia hari ini, masih terdapat satu kawasan rahsia di muka bumi ini yang menyimpan ribuan makhluk misteri. Sehingga kini, penerokaan demi penerokaan di seluruh kawasan bumi masih belum menemui wilayah asing itu sekali gus menyebabkan kewujudan makhluk terbabit tidak akan dikenal pasti pengkaji atau manusia umumnya.
Bagaimanapun, kewujudan makhluk itu adalah sahih dan suatu hari nanti, mereka akan muncul juga di hadapan manusia. Akan tetapi, ketika makhluk itu muncul, sudah terlambat untuk manusia berbuat apa-apa lagi.
Tiada lagi kajian mengenai sejarah kewujudan atau penyelidikan sains dilakukan terhadap makhluk itu seperti penemuan artifak atau spesies baru ketika ini kerana sewaktu munculnya makhluk dikenali Yakjuj dan Makjuj itu, dunia sudah terlalu hampir dengan kiamat!
Sejak dikurung ribuan tahun lalu, kewujudan dan lokasi ‘pusat tahanan’ Yakjuj dan Makjuj masih menjadi misteri kepada manusia.
Bagaimanapun, kewujudan dua makhluk itu adalah pasti lantaran ia dinyatakan dalam al-Quran serta tergolong dalam perkara ghaib yang wajib diimani manusia menerusi tanda besar berlakunya kiamat.
Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (API-UM), Prof Madya Dr Fauzi Deraman, berkata Yakjuj dan Makjuj bukanlah berupa haiwan atau spesies lain sebaliknya ia adalah manusia yang berasal daripada keturunan Nabi Adam AS.
Katanya, mengikut hadis, bangsa Yakjuj dan Makjuj berasal daripada keturunan anak lelaki Nabi Nuh AS iaitu Yafis yang berkembang melewati masa sehinggalah Zulkarnain membina tembok bagi menghalang mereka keluar dari lokasi mereka.
“Cerita mengenai sejarah Yakjuj dan Makjuj tertera dalam al-Quran menerusi surah al-Kahfi, ayat ke-92 hingga 98 manakala kebangkitan mereka dinyatakan dalam surah an-Anbiyaa’, ayat ke-96 dan 97,” katanya.
Allah berfirman menerusi ayat surah al-Kahfi itu: “Kemudian dia (Zulkarnain) menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia sampai antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan.
“Mereka berkata: ‘Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?’.
“Zulkarnain berkata: ‘Apa yang dikuasakan Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan peralatan), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan-potongan besi’.
“Hingga apabila besi itu sudah sama rata dengan kedua-dua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: ‘Tiuplah (api itu)’. Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: ‘Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar aku tuangkan ke atas besi panas itu.
“Maka mereka tidak dapat mendakinya dan mereka tidak dapat melubanginya. Zulkarnain berkata: ‘Ini (dinding) adalah rahmat daripada Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku (kiamat), Dia akan menjadikannya hancur luluh dan janji Tuhanku itu adalah benar’.”
Dalam ayat surah an-Anbiyaa’ pula, Allah berfirman: “Hingga apabila dibukakan (tembok) Yakjuj dan Makjuj; dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi. Dan sudah dekatlah kedatangan janji yang benar (kaimat) maka tiba-tiba terbelalaklah mata orang kafir. (Mereka berkata): ‘Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim’.”
Dr Fauzi berkata, selain dua surah al-Quran itu, terdapat banyak hadis kuat yang membicarakan mengenai Yakjuj dan Makjuj tetapi terdapat juga perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai ciri-ciri bangsa itu yang tidak diterangkan nas.
“Hadis riwayat Imam Ahmad pula menerangkan ciri fizikal Yakjuj dan Makjuj yang antara lain bermuka bulat dan kulit kekuningan seperti wajah kebanyakan penduduk Asia Tengah.
“Ulama juga cenderung mengatakan Yakjuj dan Makjuj berasal dan dikurung di benua Asia Tengah berdasarkan tafsiran ayat ke-90 dari surah al-Khafi yang menyebut Zulkarnain sampai ‘di tempat terbit matahari’ iaitu timur dunia,” katanya.
Pendapat lain menambah yang Yakjuj dan Makjuj berkemungkinan berasal daripada bangsa Tartar dan Mongul manakala lokasi tahanan mereka adalah kawasan pergunungan luas Caucasus.
Beliau berkata, kebanyakan ulama menyatakan yang bangsa itu terus wujud sehingga kini tetapi dipisahkan daripada dunia manusia oleh Allah SWT menerusi tembok dibina Zulkarnain itu.
Katanya, tugas bangsa itu setiap hari sejak ribuan tahun lalu adalah mengorek tembok itu untuk tembus ke dunia manusia tetapi Allah masih menghalang mereka dengan kembali meneguhkan benteng berkenaan sehinggalah hampirnya hari kiamat.
“Allah akan mengizinkan tembok itu runtuh dan Yakjuj dan Makjuj bebas ke dunia manusia apabila hampirnya kiamat dan peristiwa itu menjadi satu daripada 10 tanda besar kiamat,” katanya.
Yakjuj dan Makjuj juga muncul selepas kematian Dajal yang dibunuh Nabi Isa AS dan bangsa itu akan mendatangkan kerosakan besar di muka bumi. Kekuatan mereka dikatakan luar biasa dan terlalu hebat sehingga tiada sesiapa yang mampu menewaskan kumpulan itu.
“Nabi Isa AS memerintahkan manusia yang masih beriman berlindung di pergunungan bagi mengelak menjadi mangsa Yakjuj dan Makjuj; baginda kemudian berdoa kepada Allah SWT dan Allah membinasakan mereka dengan mengutuskan ulat yang menyerang belakang badan golongan itu sehingga mati.
“Selepas bangsa Yakjuj dan Makjuj mati serta menjadi busuk, Allah mengutuskan seekor burung besar untuk mengangkut dan membersihkan mayat itu dari bumi,” katanya.
Menyoroti dalil kewujudan Yakjuj dan Makjuj, manusia seharusnya yakin mempertahankan akidah Islam dan tidak bertangguh memohon keampunan dan keredaan Allah kerana mereka yang masih lalai adalah golongan yang diterangkan dalam surah an-Anbiyaa’ di atas seperti firman-Nya: “(Mereka berkata): ‘Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami adalah dalam kelalaian mengenai ini, bahkan kami adalah orang yang zalim’.”
FAKTA Yakjuj dan Makjuj
# Ketika kemunculannya, mereka dikatakan akan menuju ke sebuah tasik di Palestin dan akan minum air tasik itu sehingga kering.
# Memiliki zuriat yang ramai dan dikatakan tidak akan mati sehingga melahirkan lebih 1,000 zuriat.
# Tiada siapa mampu menewaskan mereka dan hanya binasa dengan kekuasaan Allah.
# Muncul selepas turunnya Nabi Isa AS dan Dajal.
# Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyatakan kebimbangannya apabila pada zaman baginda, Yakjuj dan Makjuj dikatakan sudah berjaya menebuk benteng Zulkarnain sebesar bulatan dibentuk ibu jari dan jari telunjuk.
ORANG minum arak atau minuman yang memabukkan walau apa sekalipun bahan asal atau namanya, akan dikenakan hukuman hudud. Tanpa mengira sama ada sedikit mahupun banyak. Nabi Muhammad pernah ditanya mengenai tuak yang diperbuat daripada madu (al-bit’u) dan juga yang diperbuat daripada barli serta jagung (al-mizr), lalu Baginda bertanya: Adakah ia memabukkan? Sahabat berkata: “Ya.” Baginda bersabda: “Semua yang memabukkan haram.”
Allah menjanjikan bahawa sesiapa saja minum yang memabukkan akan diberikan minum lumpur busuk.
Sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur busuk?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan air (nanah dan darah) penghuni neraka.”
Hukuman bagi kesalahan minum arak ialah 40 kali sebatan. Namun hukuman ini boleh mencecah sehingga 80 kali sebatan sebagai hukuman takzir, bukan hudud.
Daripada Anas Malik r.a; Nabi Muhammad pernah memukul pesalah minum arak dengan kasut dan pelepah sebanyak 40 sekali. Pelepah di sini ialah pelepah pokok kurma yang diasingkan daripada daunnya.
Namun sekiranya perlu, pemerintah boleh menambah 40 sebatan lagi kepada hukuman ini sebagai hukuman takzir. Terutama apabila kesalahan minum arak ini berleluasa. Tindakan ini sebagai suatu langkah pencegahan.
Dalil yang menunjukkan hukuman tambahan ini sebagai takzir bukan hudud ialah hadis: Uthman pernah memerintahkan supaya al-Walid `Uqbah Abu Mu’ait disebat. Beliau disebat oleh Abdullah Ja’far dan Ali mengira sehingga sampai 40. Uthman berkata: “Berhenti.” Kemudian dia berkata pula: “Nabi merotan sebanyak 40 kali, Abu Bakar sebanyak 40 kali dan Umar sebanyak 80 kali, semua ini sunnah tetapi saya lebih suka setakat ini.”
Maksudnya beliau lebih suka sebatan sebanyak 40 kali. Jumlah ini amalan Rasulullah dan lebih bersifat berhati-hati dalam menghukum agar tidak melebihi daripada yang sepatutnya.
Pembuktian: Hukuman hudud bagi kesalahan minum minuman yang memabukkan boleh disabitkan berpandukan kepada dua kaedah berikut:
# Bukti iaitu keterangan dua saksi Muslim yang adil.
# Pengakuan iaitu pesalah membuat pengakuan meminumnya. Pengakuan sudah tentu menjadi hujah menggantikan bukti. Dengan ini, hukuman ini tidak boleh disabitkan berdasarkan muntah atau mencium bau mulut kerana ada kemungkinan ia diminum secara paksa atau tersilap. Dalam keadaan ini, hudud digugurkan kerana wujud keraguan.
MAJORITI umat Islam Malaysia tahu mengenai bubur Asyura. Ada yang menyatakan bahawa bubur Asyura ialah bubur khas yang terdiri daripada sepuluh jenis bahan. Ada tepung, ada ubi, ada pelbagai kekacang dan sebagainya. Apa yang pasti ia ialah bubur daripada 10 bahan masakan. Kalau lebih atau kurang, itu bukan bubur Asyura. Jenis rasanya mungkin juga berbeza di antara satu negeri dengan negeri lain. Ada juga anggapan bahawa bubur Asyura ialah bubur khas sempena 10 Muharam. Kebetulan perkataan Asyura diambil daripada bahasa Arab iaitu Asyarah yang bermakna 10. Maka ramailah yang bergotong-royong atau bersendirian menyediakan bubur Asyura pada tanggal 10 Muharam.
Pensyarah Syariah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya, Selangor, Mohammad Nidzam Abd. Kadir menjelaskan, tidak salah dan tidak ada apa-apa dosa untuk menyediakan bubur Asyura.
Ia adalah satu aktiviti masyarakat yang harmoni.
Masyarakat akan mengutip derma beberapa ringgit setiap rumah untuk keperluan membeli barang yang diperlukan untuk memasak. Petangnya mereka akan memasak beramai-ramai sambil berbual, bergurau-senda dan bertanya khabar.
“Sudah tentu aktiviti ini satu kerja kemasyarakatan yang baik. Malamnya pula mereka berkumpul untuk mendengar ceramah agama berkaitan Asyura. Habis ceramah dan solat Isyak berjemaah, para hadirin bersama-sama menjamu selera bubur Asyura.
“Hakikatnya, bubur Asyura bukanlah satu amalan ibadah yang wajib. Ia hanya sekadar adat tradisi yang nampaknya tidak mempunyai apa-apa tegahan dalam agama. Cuma ada juga yang terlalu memperbesarkan bubur Asyura hingga seolah-olah ia satu perkara wajib pula,” kata Mohammad
Nidzam.
Namun katanya lagi, ada sedikit kealpaan apabila kita melupakan suatu sunah yang baik untuk diamalkan iaitu berpuasa pada hari Asyura. Dalam satu hadis Nabi s.a.w. disebut maksudnya:
Puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) menghapuskan dosa dua tahun iaitu setahun sebelumnya dan setahun selepasnya, dan puasa hari Asyura (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Abu Daud).
Kenapa hari Asyura kurang kelebihannya berbanding hari Arafah? Jelas Mohammad Nidzam, hikmahnya mungkin berbalik kepada asal ibadat. Ini kerana hari Arafah berkait langsung dengan ibadat haji di mana wukuf di Arafah adalah rukun haji yang paling utama. Oleh itu puasa pada hari Arafah khusus untuk umat Nabi Muhammad s.a.w.. Puasa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Musa a.s.
“Peristiwa Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Musa a.s., Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).
“Ada juga anggapan bahawa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Nuh. Selepas diselamatkan daripada banjir besar, maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada. Makanan yang dimasak itu ialah bubur. Lalu terbitlah satu makanan namanya bubur Asyura. Mungkin ada sumbernya mungkin juga tidak ada. Apa pun yang pasti hari 10 Muharam berkait dengan peristiwa Nabi Musa dan ada anggapan ia berkaitan dengan juga dengan Nabi Nuh,” katanya menerangkan tentang peristiwa di sebalik hari Asyura.
Tambah beliau, puasa hari Asyura adalah sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah. (Riwayat Bukhari).
Selain itu, ujar Mohammad Nidzam, elok juga jika dapat berpuasa pada hari sembilan Muharam atau disebut hari Tasua'.
Sabda Nabi s.a.w., Jika aku hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari sembilan dan 10 Muharam. (Riwayat Ibnu Majah).
“Hikmahnya mungkin bagi menyalahi perjalanan orang Yahudi yang memuliakan hari 10 Muharam sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. Maka umat Islam digalakkan juga berpuasa pada 9 Muharam di samping 10 Muharam.
“Oleh itu, amatlah wajar jika program masyarakat sekitar bubur Asyura disekalikan dengan program puasa sunat. Mungkin elok jika dapat sama-sama berbuka dengan bubur Asyura,” kata Mohammad Nidzam mengakhiri perbualan.
APA KATA MEREKA
Mohd. Izwan Md. Yusof, 26, (Kakitangan awam)
“Apa yang saya fahami penyediaan bubur Asyura ialah satu kebiasaan dan menjadi ikutan umat Islam di negara kita ini. Saya tidak pernah merasa ia sesuatu yang bersalahan di dalam Islam kerana apa yang dilakukan adalah baik.
“Hakikatnya, kita perlu melihatnya dari sudut positif kerana menerusi amalan kebiasaan ini terjalinnya gotong-royong dan mengukuhkan semangat kejiranan sesebuah tempat itu. Malah amalan sebegini pastinya tidak bertentangan dengan syarak.
“Pun begitu, dalam kita menyambut tahun baru dalam kalendar Islam, apa yang perlu difokuskan ialah bagaimana kita sebagai seorang Muslim menghayati roh atau semangat tahun baru dengan lebih betul dan baik.
Noyah Ahmad, 53, (Pembantu Perawatan Kesihatan)
“Bubur Asyura menjadi tradisi acap kali kita menyambut 10 Muharam dan sebut tentang cara penyediaannya, apa yang saya ketahui, setiap negeri mempunyai kaedah dan cita rasa tersendiri.
“Malah ada juga segelintir tempat, menyediakan bubur Asyura sepanjang bulan Muharam. Namun saya lebih suka sekiranya ia disertai dengan ibadat puasa sunat 9, 10 dan 11 Muharam kerana diketahui fadilat yang diperoleh kepada orang yang berpuasa pada bulan Muharam.
“Sungguhpun, ia satu bentuk adat namun tidak salah sekiranya ia dilakukan kerana ia sebagai satu bentuk bersedekah terutamanya kepada mereka yang kurang berkemampuan.”
Norazilawati Muhammad, 40, (Usahawan)
“Apa yang paling ketara apabila kita melihat dalam amalan Asyura ialah silaturahim yang terjalin antara umat Islam. Ia merupakan sesuatu yang baik sungguhpun amalan ini sekadar satu adat kebiasaan khasnya kepada umat Islam di benua sebelah sini.
“Namun janganlah sesuatu yang sekadar kebiasaan bertukar menjadi kemestian kerana dibimbangi ia mendatangkan kesusahan terutamanya kepada mereka yang tidak berkemampuan.”
Mohd. Hafiz Habil, 23, (Peguam syarie)
“Bubur Asyura ialah tentang bahtera nabi Nuh yang terselamat daripada banjir besar, di mana mereka menyediakan sejenis juadah yang terdiri daripada pelbagai bijirin sehingga menghasilkan sejenis bubur yang enak.
“Selain kita sibuk dengan menyediakan juadah bubur Asyura, satu ibadat yang jangan kita terlepas pandang ialah puasa sunat Muharam.
“Saya suka lebih melihat amalan penyediaan bubur ini dari sudut yang positif. Ini kerana pemuafakatan yang terhasil daripadanya adalah bertepatan dengan anjuran Islam iaitu saling bantu membantu dalam kebaikan.”
Rafidah Sulaiman, 26, (Pendidik)
“Amalan menyediakan bubur Asyura kebiasaannya dilakukan secara gotong-royong sama ada di kawasan perumahan, pejabat mahupun masjid atau surau. Ia amat sinonim dengan bulan Muharam kerana ia berkaitan dengan kisah yang berlaku pada zaman Nabi Nuh.
“Sungguhpun begitu, saya lihat sekarang bubur Asyura bukan sahaja menjadi menu wajib pada bulan Muharam tetapi kebelakangan ini bulan Ramadan juga terdapat juadah sebegini cuma ia lebih dikenali dengan nama bubur lambuk.
“Saya bersetuju sekiranya amalan penyediaan bubur Asyura diteruskan kerana semangat gotong-royong daripadanya. Selain itu, juadah ini digemari majoriti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.”
Keith Ellison, seorang Islam Amerika membuat beberapa kejutan dalam politik Amerika yang sedang penat dengan polisi anti-Islam Presiden George W. Bush yang dipercaya begitu membosankan rakyatnya sekarang. Dalam suasana rakyat Amerika dibuaikan oleh Bush dengan apa yang dikatakan keganasan antarabangsa yang didalangi oleh Islam hingga agama Islam itu sendiri disinonimkan sebagai agama keganasan, maka Keith Ellison yang memeluk agama Islam semasa mnuntut di universiti, muncul sebagai seorang calon beragama Islam untuk pilihan raya Kongres Amerika November lalu.
Kemunculan untuk bertanding melalui Parti Demokrat memeranjat banyak pihak ketika masyarakat di Amerika dibuaikan dengan Islam sebagai suatu yang begitu negatif.
Tidak pernah sejak Amerika merdeka 200 tahun lalu udara phobia Islam menyelubungi negara itu dan dunia dibandingkan dengan era pentadbiran Bush yang melancarkan perang terhadap Afghanistan dan Iraq itu.
Lafaz Bush untuk menghidupkan 'crusade' selepas peristiwa 11/09/01 mencetuskan rasa kebencian terhadap Islam hingga ada kuturunan Sikh di Amerika dibunuh kerana disyaki Islam justeru dia berserban. Ia diikuti oleh sendaan karikatur imej Nabi Muhammad s.a.w. oleh akhbar Denmark dan paling akhir Pope Benedict membangkitkan kata-kata raja purba Konstantine tentang Nabi Muhammad s.a.w. membawa agama keganasan.
Sama ada disengaja atau kebetulan, semuanya menyalakan api phobia orang kulit putih tentang Islam terutama di Amerika. Api kemarahan terhadap memperkaya uranium oleh Iran di kalangan Amerika dan Eropah adalah juga dari percikan anti-Islam itu.
Dalam suasana bercampur antara phobia Islam dan marahkan Bush itu Keith Ellison memulakan kempen untuk menjadi calon bagi Parti Demokrat bagi pilihan raya Kongres. Dia seorang kulit hitam Amerika dan beragama Islam pula. Kemunculannya lebih menonjolkan Islam.
Parti Demokrat sejak dari mula dikira lebih terbuka dalam isu perkauman dibandingkan Parti Republikan. Walaupun ada orang kulit hitam mendapat tempat dalam Kongres dan politik Amerika, tetapi ia bukanlah suatu yang mudah. Tetapi orang kulit hitam itu lebih mudah dari orang Islam.
Tetapi Keith berjaya menjadi calon parti itu untuk pilihan raya Kongres. Kemudian isu Islamnya bertambah panas dalam kempen pilihan Kongres itu. Betapa calon dari kalangan Yahudi tidak menjadi isu sejak sekian lama, tetapi baru sekali ini seorang Islam menjadi calon, maka ia menimbulkan reaksi yang panas.
Dia membuat kejutan seterusnya kerana dia berjaya memenangi pilihan raya itu. Kalau Parti Demokrat menerimanya walaupun dia Islam, maka rakyat Amerika di kawasannya memilihnya walaupun dia orang Islam. Pengaruh kulit putih, Kristian dan Yahudi tidak menghalang rakyat mengundi seorang calon beragama Islam.
Kemarahan rakyat kepada dasar Bush, pengaruh antiperang dan masing-masing penat dengan antikeganasan yang sebenarnya anti-Islam lebih menjadi isu. Pengaruh anti-Bush itu lebih menonjol dari phobia kepada Islam.
Apabla Keith menjadi orang Islam pertama sebagai ahli Kongres, maka timbul pula soal angkat supah anggota Kongres. Keith mahu menggunakan al-Quran sebagaimana semua ahli dewan menggunakan Bible.
Ia menjadi isu pula. Tidak pernah dalam sejarah Kongres sejak merdeka dan sejak Amerika diasaskan, ahli Kongres mengguna kitab lain selain Bible semasa mengangkat sumpah. Ramai orang Yahudi menjadi ahli Kongres tetapi mereka tidak menggunakan kitab sucinya. Mengapa pula seorang Islam ini mesti menggunakan al-Quran?
Keith Ellison bergetus. Islam adalah agamanya, maka dia mesti menggunakan kitab suci agamanya. Yahudi tidak menggunakan kitabnya adalah masalahnya. Ketika Kongres diasaskan, rakyat masih tebal dengan rasa anti-Sematik iaitu anti-Yahudi. Hanya selepas perang dunia kedua baru anti-Sematik itu reda.
Bagi Yahudi menyembunyikan isu agama itu adalah lebih penting bagi mengusai rakyat, ekonomi, kewangan, politik, tentera dan sebagainya. Jika mereka berkeras mahu menggunakan kitabnya, boleh memarakkan semula anti-Sematik.
Keith bagaimanapun dibenarkan dengan kemahuannya. Dia tidak menggunakah naskhah al-Quran tetapi bersumpah dengan terjemahan al-Quran koleksi Thomas Jefferson, Presiden Amerika yang ketiga yang tersimpan dalam perpustakaan Kongres.
Terjemahan al-Quran bukanlah al-Quran. Keduanya tidak dapat disamakan. Sebenarnya Islam tidak bersumpah dengan naskhah al-Quran. Memadai dengan lafaz tertentu saja. Tetapi kerana dalam konteks Islam berada sebatang karah di tengah masyarakat Kristian yang bersumpah dengan Bible – bukan Injil – maka mnggunakan terjemahan itu adalah munasabah.
Moga-moga Ellison boleh membawa banyak kejutan lagi bagi meredakan Amerika dengan phobia Islam dan beliau menjadi harapan bagi meletakkan Islam di tempat yang betul dalam politik Amerika.
Walaupun dia menyertai Islam semasa di universiti, tidak tepat mengiranya seorang muallaf. Muallaf adalah seorang yang baru berjinak dengan Islam, belum mantap Islamnya dan dia bila-bila masa saja murtad. Seorang yang sudah lama Islam dan berani melahirkan Islamnya dalam area Islam diburuk-burukkan, maka dia bukan lagi mualaf tetapi adalah orang Islam yang ada peranan dalam Kongres dan masyarakat Amerika.
Umat Islam menaruh harapan kepadanya. Moga-moga dia soleh dan kekal soleh.
SESEORANG meminta kepada Allah supaya hidup berkat dan selamat, lalu Allah memilih untuknya takdir yang terbaik. Tetapi dia marah dan enggan menerima takdir Allah, dengan berkata: "Mengapa Tuhan memberiku harta yang sedikit sedangkan saudaraku yang lain kaya raya? Tuhan tidak adil! Na'uzubillah. Sepasang suami isteri lama berkahwin, berbelas-belas tahun menanti kehadiran anak. Sedangkan jiran mereka mempunyai sembilan anak perempuan. Akhirnya mereka pun dikurniakan seorang bayi perempuan yang comel. Ketentuan Allah tiba, bayi mereka meninggal kerana sakit kuat. Ayah memandang langit mencari jawapan atas takdir Tuhan, dia berkata: "Mengapa tidak Engkau ambil anak mereka yang ramai itu, malah anak kami yang seorang juga yang Engkau mahu, di mana keadilan-Mu ya Tuhan? Na'uzubillah.
Membenci takdir boleh membawa kepada kekufuran. Membenci maksudnya marah, tidak suka, menolak, menyatakan tidak puas hati dan yang paling ringan ialah mengeluh tanda tidak selesa.
Sebaik-baik orang yang mencinta ialah dia reda dengan perbuatan kekasihnya. Apakah perbuatan Allah semuanya baik untuk makhluk-Nya? Ya! Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya melainkan mereka memilih kezaliman itu sendiri. Ada hikmah di sebalik musibah dan mesti ada kebaikan yang masih tersembunyi bagi mereka yang reda dan sabar. Segala takdir manusia itu berada pada ketentuan ilmu Allah, tiada seorang hamba pun mengetahui rahsia takdir Allah.
Kisah di dalam surah al-Kahfi banyak memberi pengajaran kepada diri kita. Kisah ilmu Allah dikurniakan kepada Khidr, beliau memiliki pengetahuan luas tentang qada dan qadar Allah kepada makhluknya.
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari yang mafhumnya: "Ketika Nabi Musa berucap kepada kaumnya, seorang bertanya: Adakah sesiapa di muka bumi ini yang lebih ilmunya daripada tuan? Nabi Musa menjawab: "Tidak ada." Lalu ditegur oleh Allah: "Ada seorang hamba-Ku yang lebih ilmunya daripada kamu."
Kemudian Nabi Musa menghadap Khidr untuk berguru kepadanya. Dalam perjalanan mereka berdua berlaku beberapa perkara pelik yang dilakukan oleh Khidr. Yang pertama beliau membocorkan perahu milik orang miskin, kedua membunuh seorang pemuda dan ketiga membangun tembok yang hampir runtuh tanpa meminta upah pada hal di bandar itu penduduknya amat bengis terhadap mereka berdua.
Perbuatan Khidr jika dilihat dengan mata kasar amat menggusarkan hati Nabi Musa. Beliau sedih dan terkejut menyaksikan perbuatan Khidr itu. Musa menegur Khidr supaya dia menerangkan hikmah di sebalik peristiwa itu. Khidr rasa sampailah waktu perpisahannya dengan Musa.
Dia berkata melalui firman Allah bermaksud: "Adapun perahu itu, ia adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Oleh itu aku bocorkan dengan tujuan mencacatkannya. Kerana di belakang mereka ada seorang Raja yang mahu merampas setiap perahu yang tidak cacat. Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan zalim dan kufur.
“Kami berharap supaya Tuhan menggantikan bagi mereka anak yang lebih baik darinya, yang bersih jiwanya dan mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu, ia dimiliki oleh dua anak yatim di bandar itu yang di bawahnya ada harta terpendam dan bapa mereka pula orang yang salih. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai suatu rahmat dari Tuhan, dan aku tidak melakukannya menurut pemikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan mengenai maksud dan tujuan perkara yang engkau (Musa) tidak dapat bersabar mengenainya." Surah al-Kahfi: Ayat 79-82.
Demikian rahsia ilmu Allah yang maha luas dan maha dalam. Tiada seorang makhluk pun boleh memahami semuanya dengan tepat. Qada dan qadar Allah itu semuanya baik belaka. Itulah pilihan Allah untuk kita. Hasan al-Basri pernah berkata: Wahai anak Adam, Musa menegur Khidr sebanyak tiga kali, sehingga Khidr berkata: "Inilah saat perpisahanku denganmu." Itu yang dilakukan oleh Khidr kepada Musa, maka bagaimanakah dengan Tuhanmu yang kamu menentangnya berulang kali dalam sehari? Apakah kamu tidak takut Tuhan akan berkata: Inilah saat perpisahan-Ku denganmu.?"
Sikap yang terbaik adalah akur dan reda atas apa saja ketentuannya. Tetapi jangan bersikap menyerah kepada takdir tanpa berikhtiar kerana itu adalah penipuan yang berbahaya. Syarat reda mestilah dengan ikhtiar. Hal ini pernah terjadi pada zaman Khalifah Umar al-Khattab.
Beliau dan tenteranya hendak memasuki suatu bandar di Syria. Tetapi tertahan oleh wabak menular yang menyerang bandar itu. Panglima tenteranya, Saidina Abu Ubaidah berkata: Apakah tuan lari daripada qada Allah? Umar menjawab: "Ya, kita lari daripada qada Allah kepada qadar Allah juga."
Makna qada adalah ketentuan yang terjadi dan qadar adalah ketentuan belum terjadi. Untuk itu ikhtiar adalah wajib bagi mereka yang mengaku reda atas ketentuan Allah Dan jangan sekali-kali memilih atas apa yang Allah pilihkan untuk hidup kita.
Sabda baginda bermaksud: "Apabila kamu ditimpa musibah janganlah kamu katakan: "Sungguh seandainya saya berbuat begini, nescaya akan jadi begini dan begini, tetapi katakanlah: Ia semua ketentuan Allah dan apa-apa yang Dia kehendaki pasti terjadi, sesungguhnya ungkapan 'seandainya' itu membuka peluang bagi perbuatan syaitan." Hadis riwayat Imam Muslim.
KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh) - Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali telah membuat arahan khas kepada ahlinya untuk terus menghulurkan bantuan terhadap mangsa banjir di negeri Johor tanpa mengira fahaman politik dan agama. Menurut beliau, lajnah kebajikan telah mengambil tindakan serius membantu mangsa banjir dengan membekalkan makanan dan wang sejak hari pertama Johor dilanda banjir buruk.
Katanya, semalam (Sabtu) sukarelawan dari lajnah kebajikan telah pergi ke Johor membawa bantuan wang, makanan dengan lima buah kereta dan satu van.
"Insya-Allah saya akan menubuhkan jawatankuasa bertindak membantu masalah banjir di Johor, jawatankuasa ini terdiri daripada AJK lajnah Pusat, Selangor dan Wilayah serta beberapa individu yang bersedia dengan kerja-kerja ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau sentiasa menerima panggilan daripada bilik gerakan banjir Johor yang mengatakan banjir bertambah kritikal.
Menurut beliau, menangani banjir ia memerlukan plan tindakan yang betul dari segi menghadapi bahaya, serangan jangkitan penyakit dan berhadapan dengan mereka yang tidak tahu berenang.
"Kita juga sedang memikirkan cara untuk mencari dana untuk membeli bot besar, membeli water jet dan paling penting tenaga sukarelawan yang sanggup turun ke tempat begini," jelasnya.
Lo'Lo' yang juga sebagai seorang Pegawai Perubatan mengingatkan mangsa banjir supaya menjaga kesihatan seperti minum air yang telah dimasak dan makanan yang baru dimasak.
Mangsa banjir perlu bersabar dan sentiasa reda dengan ujian Allah kerana mungkin selama ini kita hidup senang, selesa, mewah dan tidak pernah kurang makan jadi sudah tiba masanya Allah menguji kita, katanya.
Beliau turut berharap dalam keadaan kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa banjir, kerajaan harus bersifat telus dan amanah khususnya ketika mengagihkan bantuan makanan dan kewangan.
Dalam pada itu, Lo'Lo' turut mempertikaikan tindakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Shahrizat Abdul Jalil yang menggunakan Puteri dan Wanita Umno untuk membantu mangsa banjir.
Katanya, kenapa Shahrizat tidak menggunakan agensi kerajaan tindakan itu boleh berlaku penyelewengan sebab mereka orang politik yang sudah tentu ada kepentingan.
"Sepatutnya kerajaan negeri mengalu-alukan bantuan daripada luar tanpa mengira parti serta mereka mendapat liputan berita yang adil, biar rakyat lihat kita bersatu padu dalam keadaan rakyat menghadapi musibah," tegasnya. - mks.
KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh) - Kota Tinggi, Johor Bharu dan Kluang antara bandar yang terjejas teruk dilanda banjir buruk kali kedua sehingga mencecah hampir 17 kaki paras ketinggian airnya. Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Mazlan Aliman yang dihubungi melaporkan, hujan masih berterusan dan beberapa jalan utama seluruh Johor telah terputus antaranya daripada Segamat ke Labis, Mersing ke Kluang, Mersing ke Kota Tinggi dan Johor Bharu ke Kota Tinggi.
Menurut beliau, air sudah menghampiri pintu Hospital Kota Tinggi manakala bekalan minyak petrol dan diesel terputus kerana premis minyak turut dilanda banjir.
Ketika Harakahdaily menghubungi beliau mangsa banjir yang berpindah di seluruh Johor meningkat menjadi 95 ribu orang.
Beliau yang bekerja keras bagi memastikan keselamatan mangsa banjir merayu sukarelawan seluruh negara yang mahu datang ke Johor diharap dapat membawa bot besar kerana dibimbangi bot kecil akan menimbulkan risiko.
Katanya, banjir buruk kali kedua itu telah menyebabkan banyak tanah runtuh sehingga menyukarkan penyelamat untuk menghantar bantuan melalui jalan darat.
Mengulas tindakan kerajaan yang mahu mengisytiharkan darurat, beliau berharap kerajaan dapat memastikan jentera kerajaan seperti agensi penyelamat mesti mencukupi dan pantas menghulurkan bantuan.
Penggunaan helikopter amat penting kerana lori tentera turut tersangkut dan beliau berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan segera minyak petrol ke daerah yang teruk dilanda banjir.
"Saya amat berharap kerajaan dapat memikirkan langkah segera untuk mengatasi mangsa banjir daripada terus tidak mendapat bantuan sewajarnya," tegas beliau.
Harakahdaily difahamkan, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa sedang dalam perjalanan ke Johor manakala Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu dijangka akan sampai petang ini. - mks.
(Sementara itu, mereka yang bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk Johor boleh hubungi Penyelaras bilik Gerakan Banjir Johor, Mustafa Abdul Rahman (019-3635546), Rohaizat (013-7678474), Onn Jaafar (019-7617220) atau masukkan terus bantuan kewangan ke dalam akaun Bank Islam 01032010007572)
KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh) - `Sudah jatuh ditimpa tangga' begitulah nasib penduduk negeri Johor yang baru mahu menarik nafas lega apabila banjir telah surut kini terpaksa mengharungi dan menghadapi dugaan Allah itu untuk kali kedua dengan banjir yang lebih buruk. Bagi meringankan bebanan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir, Badan Perhubungan PAS negeri Johor membuka ruang kepada orang ramai yang ingin membuat kebajikan untuk terus menghulurkan bantuan kepada mereka.
Mereka yang bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk Johor boleh hubungi Penyelaras bilik Gerakan Banjir Johor, Mustafa Abdul Rahman (019-3635546), Rohaizat (013-7678474), Onn Jaafar (019-7617220) atau masukkan terus bantuan kewangan ke dalam akaun Bank Islam 01032010007572.
PADA 4 Januari lalu adalah hari bersejarah bagi Islam dan umat Islam di Amerika Syarikat. Di negara yang sedang mempersiapkan diri untuk memerangi kononnya radikal Islam selama 100 tahun mendatang selain mendakwa pelopor demokrasi dunia dalam sejarahnya yang lebih 200 tahun, tercatat satu sejarah. Kejadian yang dimaksudkan adalah penggunaan al-Quran dalam acara rasmi negara apabila Keith Ellison mengangkat sumpah sebagai Ahli Kongres Amerika Syarikat. Seperti dimaklum, Ellison adalah Muslim pertama menduduki jawatan tinggi di Amerika apabila terpilih pada pilihan raya November lalu mewakili Parti Demokrat di Minneapolis.
Yang tersurat daripada kisah tersirat Amerika adalah al-Quran itu sendiri di mana dikatakan ia adalah bahan koleksi Presiden Amerika Syarikat ketiga, Thomas Jefferson. Ini mengisyaratkan bahawa sebenarnya Islam sudah wujud dalam lipatan sejarah kepemimpinan negara George W Bush itu.
Mushaf yang diterbitkan pada 1764 sebagai cetakan ulang tahun 1734 di London itu menjadi saksi bisu sejarah Islam di Amerika. Oleh itu, Ellison menyatakan bahawa Amerika memiliki seorang tokoh berpandangan ke depan, sangat beragama dan penuh toleransi, mempercayai nilai kebijaksanaan yang boleh diambil dari mana saja termasuk al-Quran. Ellison ingin membuktikan kata-katanya dengan meminta perpustakaan Kongres membenarkannya menggunakan al-Quran bersejarah yang pernah terselamat daripada kebakaran gedung Perpustakaan Kongres pada 1851.
Ellison mempunyai visi dan misi keislaman di negara yang pada batinnya tidak menyukai Islam dan pada zahirnya memerangi umat Islam di mana-mana dan yang terakhir adalah serangan ketenteraan di Somalia awal minggu ini. Somalia yang tandus dan masih jauh daripada kenikmatan dunia moden itu digempur tentera yang haus darah pengganas ciptaan mereka sendiri.
Ellison berdakwah sendirian di tengah-tengah demokrasi Amerika dalam gedung Kongres yang masih bermaharajalela di dalamnya pemikiran yang dimiliki Virgil Goode. Goode, wakil parti Republikan, khuatir Amerika akan menjadi negara Islam pada kemudian hari jika tidak ada penyekatan dalam peraturan imigresen mereka. Dia berkata: “Jika Amerika tidak segera bangkit dan tidak menerima pandangan saya berkenaan imigresen, kelak lebih ramai Muslim terpilih menjadiAhli Kongres dan menggunakan al-Quran sebagai upacara mengangkat sumpah.”
Apa yang dikhuatiri Goode memang akan berlaku bahkan bukan hanya di Amerika bahkan di seantero jagat raya. Pemikiran seperti Goode diterjemahkan dengan mempersiapkan pelbagai cara melawan kemaraan agama Allah seperti dituangkan oleh rancangan 100 tahun perang Amerika Syarikat. ‘Perang Islam 100 tahun’ di mana dilaporkan bahawa seorang jeneral kanan tentera Amerika meminta rakyat negaranya bersedia menghadapi perang selama 50 hingga 100 tahun dengan golongan radikal Islam, satu perjuangan menentang puak komunis ketika Perang Dingin yang memakan masa 40 tahun.
Usaha itu membabitkan aspek ketenteraan dan ideologi, kata Brigadier Jeneral Mark O Schissler yang juga Timbalan Pengarah bagi Perang Menentang Keganasan di Jabatan Pertahanan Amerika (Pentagon), ketika diwawancara akhbar.
Keupayaan jeneral kanan Amerika ini membuktikan sebuah hadis yang berbunyi maksudnya: “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku al-harj”. Sahabat bertanya, “Apakah al-harj itu hai Rasulallah”? Nabi Saw menjawab: “Peperangan demi peperangan demi peperangan”. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Membaca kisah perjuangan Ellison masa lalu, kini dan akan datang dalam Kongres Amerika mengingatkan kita kepada sebuah kisah al-Quran mengenai Firaun dan ahli mesyuaratnya. Dalam kisah itu diceritakan bagaimana seorang Mukmin yang membela perjuangan Nabi Musa. Orang Mukmin itu berada dalampemerintahan Firaun ketika itu.
Al-Quran mengisahkan maksudnya: “Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman daripada orang Firaun yang menyembunyikan imannya: Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana dia menegaskan: Tuhanku ialah Allah? Sedang dia datang kepada kamu membawa keterangan daripada Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka dialah yang akan menanggung dosa dustanya itu dan kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa sebahagian daripada (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.
Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita daripada azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita? Firaun berkata: Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan) dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar.” (Surah al-Mu’min: 28-29)
Masyarakat Islam, kata Sayyid Qutub, ialah satu-satunya masyarakat yang dikawal dan dilindungi Allah Yang Maha Esa. Anggota masyarakat itu meninggalkan dan membuang jauh segala bentuk pemujaan dan pendewaan kepada sesama manusia untuk melakukan pemujaan dan pendewaan kepada Allah SWT saja.
Oleh sebab itulah anggota masyarakat menjadi orang yang bebas dan merdeka sepenuhnya, kebebasan yang menjadi paksi keseluruhan tamadun dan kehormatan umat manusia seperti ditakdirkan Allah sejak azali sewaktu Allah memproklamasikan kepada malaikat untuk melantik manusia sebagai khalifah-Nya di bumi ini.
Bila saja program yang berpunca daripada Tuhan Yang Maha Esa menjadi tali pengikat antara umat manusia, dalam mana kedaulatan bagi seluruh umat manusia tidak bersumber daripada sebarang kuasa duniawi dalam bentuk pengabdian dan penindasan atas sesama umat manusia nescaya masyarakat itu menjadi sebuah masyarakat yang ideal yang boleh menggambarkan keindahan ciri kemanusiaan, iaitu ciri roh dan fikiran.
Sebaliknya apabila saja dasar perkauman, kebangsaan, warna kulit dan tanah air, persamaan nasib dan lain-lain lagi, yang menjadi tali pengikat antara kelompok umat manusia, maka jelaslah dasar itu tidak menggambarkan ciri kemanusiaan, sebab manusia akan tetap menjadi manusia juga tanpa kebangsaan, tanpa warna kulit dan tanah air, tetapi manusia itu bukan manusia lagi tanpa roh dan fikiran.
Di samping itu berdasarkan kebebasan dan kemahuan sendiri manusia boleh mengubah akidahnya, boleh mengubah fikirannya, dan juga mengubah program hidupnya, sebaliknya manusia tidak akan berdaya mengubah kebangsaan dan warna kulitnya, seperti juga dia tidak akan berupaya mengubah tempat kelahirannya.
Sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul dan berorganisasi berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan kemahuan fitrah kemanusiaan itulah masyarakat yang bertamadun.
Adapun sebuah masyarakat yang di dalamnya manusia berkumpul berdasarkan sesuatu di luar kemerdekaan dan kebebasan fitrah kemanusiaan, maka masyarakat itu adalah sebuah masyarakat yang songsang atau mengikut istilah Islam, masyarakat itu ialah masyarakat ‘jahiliah’.
Sesungguhnya masyarakat Islam saja yang anggotanya berkumpul berdasarkan kemerdekaan dan kebebasan. Ia juga sebuah masyarakat yang menganggap ‘akidah’ sebagai rupa bangsa yang mengumpulkan orang berkulit putih, hitam, merah dan kuning, mengumpulkan orang Arab, Romawi, Parsi, kulit hitam dan seluruh bangsa manusia di muka bumi ini menjadi umat yang bertuhankan Allah, yang memuja dan menyembah-Nya saja.
Orang yang paling mulia dan dihormati di dalam masyarakat itu ialah orang paling bertakwa dan orang selainnya adalah setaraf dalam menjunjung hukum dan perintah Allah.
Islam akan kekal bersinar dan menyinari bumi ini walaupun dalam keadaan yang asing seperti disabdakan Rasulullah bermaksud: “Islam mula tersebar dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang yang asing.” (Hadis riwayat Muslim)
Islam mulai tersebar di Makkah dengan keadaan sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya kalau dibandingkan penentangnya. Kemudian selepas itu Islam tersebar ke seluruh pelosok dunia sehingga dianuti dua pertiga penduduk dunia.
Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil daripada pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam berasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam sebenar.
Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang, maka tindakan ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.
Begitulah seterusnya nasib lslam pada akhir zaman. Ia akan terasing dan tersisih daripada masyarakat, bahkan tersisih daripada pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam. (An-Nadwi, hadis ke-7)
Kisah Ellison adalah kisah asing bagi masyarakat Amerika yang dikuasai pemikiran Goode. Tetapi, walaupun semua orang Amerika yang berjumlah hampir 300 juta berfikiran seperti fikiran Goode, agama Islam akan tetap bersinar walaupun hanya disebabkan oleh satu orang saudara kita, Ellison.
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Hrkh) - Seramai 500 anggota Unit Amal PAS Pusat termasuklah di Melaka telah dihantar ke Johor hari ini bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir khusunya di Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi. Sebaik sahaja mendapat maklumat banjir buat kali kedua melanda negeri terbabit, PAS turut menghantar bantuan makanan berupa biskut, kopi, gula dan barang-barang keperluan yang lain.
"Penyertaan anggota Unit Amal PAS ini menunjukkan semangat yang ada pada kita tidak kira apa bangsa, agama, serta fahaman politik," demikian menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dalam sidang medianya hari ini.
Dalam pada itu, Salahuddin melahirkan rasa kecewa dengan sikap angkuh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak apabila awal-awal sudah menolak bantuan daripada luar dan menyatakan Malaysia tidak perlu bantuan.
Jelas Salahuddin, sepatutnya Najib tidak mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana ia mungkin sukar untuk rakyat negara ini mendapat bantuan tambahan pula gelombang kedua banjir melanda Johor hari ini.
"Apa salahnya kalau Najib memberitahu kita masih mampu bertahan untuk hari ini. Kita kena akui kelengkapan seperti bot tidak mencukupi lagi. Jangan sekali-kali menutup pintu bantuan terlalu awal," tegasnya.
Gelombang kedua banjir itu melanda kawasan sama seperti banjir pertama pada 19 Disember. Menurut Bernama, ketika ini jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 50,172 orang pada pagi tadi berbanding 20,497 lewat petang semalam dan telah dipindahkan ke pusat pemindahan di Johor.
Banjir di Johor dijangka lebih buruk berikutan amaran Jabatan Meteorologi bahawa hujan di negeri itu akan berterusan sehingga Isnin ini.
Menurut jabatan berkenaan hujan sederhana lebat itu berpunca daripada monsun timur laut di Laut China Selatan yang masih aktif akan turun melanda Pahang Tenggara dan Pahang Utara dalam tempoh yang sama. - mks.
Dalam sejarah dunia sekiranya mengikut apa yang ditulis oleh Samuel Huntington dalam bukunya Gelombang Ketiga Demokrasi, Malaysia berada di gelombang ketiga yang dimulai dalam tahun 1974. Dalam sejarah manusia modern telah berlaku dua gelombang demokrasi, yang dimulakan dalam tahun 1828-1926 selepas kebangkitan Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika yang turutmenumbangkan Feudalisma yang "otoritet" kepada kekuatan raja dan bangsawan-bangsawan lain sementara gelombang kedua pula pada ditahun 1943- 1962 selepas perang dunia kedua, menyaksikan terdapat negara yang demokrasi menjadi "authoritarianism". Tidak pernah orang politik di Malaysia khasnya dalam UMNO memahami apa yang pernah dikatakan oleh Hagel, seorang ahli falasafah Jerman yang mengatakan bahawa sejarah itu merupakan pertarungan dua kekuatan, spiritual dan duniawi. Benar atau tidak teori Hagel itu tidak memerlukan jawapan tetapi yang nyata bahawa "pengaruh agama sangat kuat, ia itu ada kekuatan mesigit yang disebut kekuatan spritual menghadapi kekuatan duniawi. Kekuatan duniawi sifatnya sementara sedangkan kekuatan spritual sebaliknya.
Keputusan PAS-Parti Islam SeMalaysia dahulunya dikenali sebagai PMIP-Pan Malayan Islamic Party memulaukan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Pahang di Batu Talam, adalah seperti memecahkan telor tembelang yang tidak menjadi ayam. Dari segi tindakan PAS memboikotnya pilihanraya ianya adalah satu tindakan maksima, sudah sampai ke langit. Bagi mereka yang tidak ada asas atau belajar sains politik, terutama orang-orang UMNO/Barisan Nasional tentulah keputusan itu sebagai menunjukan satu kekuatan UMNO/Barisan Nasional dan berita gembira seperti itu adalah seakan selari dengan komen yang diberi oleh Pengerusi SPR "itu dia punya fasal" . Tetapi bagi yang faham apa erti Politik, tindakan memboikot itu sama ertinya Pas menghantar peluru berpandu ke Putrajaya, walau pun bomnya tidak nampak melutup tetapi kerosakannya amat terkesan.
Sekarang nama Malaysia tercemar, sebagai pengamal demokrasi yang Perdana Menterinya seorang Pengerusi Pertubuhan Kedua terbesar selepas PBB termasuk Pertubuhan Negara Berkecuali telah dimalukan oleh PAS. Isyarat yang dihantar oleh PAS dihantar kepada SPR sebenarnya bertujuan untuk dihantar seluruh dunia walau pun tidak memakai satelit Measat 5.
Minda orang UMNO/Barisan Nasional khasnya pemimpin selalu mengambil kira bahawa kemenangan besar dalam satu-satu pilihanraya yang mewujudkan satu kerajaan melebih majorti 50 + 1 sebagai petanda kestabilan politik. Kayu pengukur kestabilan politik sebenarnya bukan hanya kekuatan di dalam Parlimen tetapi yang penting penyertaan rakyat dalam "pesta demokrasi" itu. Ukuran sebuah negara demokrasi ialah sejauh mana rakyat terlibat seperti yang berlaku di India dan Jepun, dimana penyertaan rakyat dari jumlah penduduk yang layak mengundi ialah melebihi 65% berbanding di negara lain hanya sekadar bawah 51 peratus seperti yang pernah berlaku di Indonesia dan di Malaysia sendiri dibawah 55% rakyatnya yang layak mengambil bahagian dalam proses demokrasi, membuang undi.
Itu sebab kekuatan UMNO/Barisan Nasional tidak dipedulikan sangat oleh negara-negara maju kerana mereka amat mengetahui kualiti undi yang dapat diperolehi Barisan Nasional. Aliran pengundi di Malaysia yang membantah UMNO/Barisan Nasional pada setiap pilihanraya terus meningkat dan akhirnya semua pengkaji politik dan demokrasi sudah mendapat satu data seimbang ia itu di Malaysia kekuatan rakyat antara yang menyokong dan menentang sama banyak tetapi terdapat 18% ke 20% pengundi akan menjadi penentu. Pada tahun PRU 1999 hampir 11% pengundi memberikan sokongan kepada pembangkang sehingga menyebabkan jumlah kerusi pembangkang meningkat naik dalam dewan negeri dan dewan rakyat. Bagaimana pun ditahun 2004 terdapat 9% pengundi kembali balik didalam Barisan Nasional dan kekal pengundi yang membangkang dalam kedudukan 10% diseluruh negara yang mengurangkan popular vote Barisan Nasional.
Walau pun alasan yang diberi oleh Pas dan parti lawan BN kerana ketidakpuasan hati dengan cara SPR-Suruhanjaya PilihanRaya mengendalikan pilihanraya, akan lebih wajar lagi jika alasan itu ditujukan secara langsung kepada kerajaan sendiri sebagai campur tangan dalam urusan pilihanraya. Memang diakui banyak kelemahan Akta SPR yang tidak menunjukan bahawa organisasi itu bebas dan tidak berpihak kepada Kerajaan.
Pada tahun 1959, dalam keadaan rakyat Malaysia-dahulunya Persekutuan Tanah Melayu yang banyak dibawah paras buta huruf dan orang cerdik boleh dikira dengan jari, soal tersebut sudah didebatkan di Dewan Rakyat walau pun Pas mempunyai hanya ada satu kerusi berdasarkan pilihanraya 1955. Perdebatan itulah memaksa Tunku Abd Rahman Putra meletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan diambil alih oleh Tun Razak.
Perletakan jawatan Tunku sebagai Perdana Menteri kemungkinan adalah kerana beliau sebagai orang yang berkelulusan undang-undang, tahu dan faham akan kesan tindakannya menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri pergi berkempen menjelang Pilihanraya Umum, bertambah pula Malaya menggunakan format British di dalam pilihanraya, dimana undang-undang Election Commision terlalu ketat.
Persoalan inilah, iaitu campur tangan kerajaan dalam satu pilihanraya, sama ada umum atau kecil perlu dipersoalkan. Sebagai contoh, perlulah dibuat undang-undang bahawa kesemua jentera kerajaan yang dibayar melalui peruntukan Dewan Rakyat dan Dewan Negeri tidak dibenarkan sama sekali melibatkan diri dalam kempen mana-mana pilihanraya. Itu menjadi senda gurau apabila Perintah Am terhadap pegawai kerajaan melarang mereka terlibat dalan Politik tetapi dibenarkan melibatkan diri untuk kepentingan Parti Politk. Sebagai contoh ialah Pegawai-Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas atau JASA, Jabatan Kemajuan Masyarakat- Kemas, belum lagi termasuk pegawai Kementerian yang menjadi pegawai sokongan. Selepas pilihanraya ratusan ribu mungkin jutaan RM (ringgit Malaysia) tuntutan petugas pilihanraya yang dibuat oleh Pegawai Kerajaan yang ironisnya tugas untuk parti politik dibayar dari wang rakyat. Adilkah wang pembayar cukai digunakan untuk parti politik mengekalkan kuasa?
Campurtangan Anggota Pertabiran Awam ia itu Perdana Menteri dan sesiapa yang berkuasa bagi menentukan tarikh piliharaya telah sedia kita maklum, sehingga tarikh Pilihanraya Kecil DUN Batu Talam telah diketahui lebih awal oleh UMNO/Barisan Nasional sebelum diumumkan oleh Pengerusi SPR yang lebih merupakan pengumuman "ceremony" dan sekadar memenuhi peruntukan undang-undang.
Dan pergi tanyalah Tun Dr Mahathir Mohamed, adakah tidak dia pernah memberi tahu lebih awal bila pilihanraya hendak diadakan di zaman dia menjadi Perdana Menteri dan bagaimanakah pegawai-pegawai SPR boleh hadir didalam mesyuarat- mesyuarat dengan orang-orang parti politik di Ibu Pejabat parti yang memerintah.. adilkah itu? Penulis sendiri pernah bertembong dengan orang kanan SPR di Pejabat Setiausaha Agung UMNO
Sepatutnya Parti PAS dan lain-lain Parti lawan Barisan Nasional membuat tuntutan mendesak pihak SPR membuat kenyataan tegas supaya kesemua jentera kerajaan termasuk kenderaan, pegawai kerajaan tidak dibenarkan dan dilarang berada dalam satu-satu kawasan pilihanraya dan setiap kerja-kerja pembangunan atau sebarang kenyataan yang ada unsur memancing undi seperti yang berlaku di Batu Talam sekarang harus meminta kelulusan SPR terlebih dahulu untuk memastikan keperluan Jabatan kerajaan terlibat samada untuk kepentingan awam atau dilakukan untuk kepentingan pilihanraya.
Maka kesimpulannya, pemulauan pilihanraya oleh parti lawan Barisan Nasional ini, bukan satu isyarat kepada SPR tetapi kepada dunia antarabangsa kerana sekian lama UMNO/Barisan Nasional memerentah kekuatannya dia adalah kerana kerajaan yang boleh mengawal kesemua jentera kerajaaan. Bagaimana pun parti politik yang mirip kepada macam UMNO/Barisan Nasional seperti Parti Konggres di India dan LDP di Jepun akhirnya ditolak rakyat walau pun berjasa besar apabila tiba masanya bertukar generasi.
Mulai sekarang tuntutan rakyat mestilah menjurus supaya kerajaan jangan campur tangan dalan soal pilihanraya termasuk membetulkan semula tafsiran hak rakyat dan pemilih dalam sistem demokrasi berpilihanraya. Sebenarnya adalah satu kenyataan yang bercanggah dengan hakikat yang betul, bila rakyat diberi satu orang satu undi, kerana hanya mereka yang tinggal di Wilayah Persekutuan sahaja yang ada "satu orang satu undi" tetapi dilain tempat satu orang dua undi, berdasarkan dia mendapat dua kertas untuk mengundi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri.
Telah tiba masanya diperbetulkan bahawa setiap pengundi hanya diberi satu kertas undi jika berlaku pembubaran bersama Dewan Rakyat dan Dewan Negeri. Sebagai contoh bila dia mengundi di kawasan Peti Undi Seri Kota, dimana lokalitinya di Jalan Sri Permaisuri 5, dari segi Dewan Negeri bernama Salak Selatan dan Dewan Rakyatnya Bandar Tun Razak, maka secara automatik undi yang satu dikira sekali untuk Dewan Rakyat dan Dewan Negeri tidak seperti sekarang kertas undi di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri diasingkan kerana terdapat setengah pemilih mengundi membahagikan mengikut citarasa kononya di Parlimen adalah untuk Barisan Nasional dan Dewan Negeri adalah parti lawan Barisan Nasional.
Sang Kelembai; Sebenarnya pengundi hantu atau pengundi pos tidak tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan, yang tertulis dalam Perlembagaan ialah jika ada orang menerima dan merawat orang-orang yang menghidap sakit otak, atau cacat otak. Kesimpulannya jika UMNO/Barisan Nasional menang dengan undi Pos atau dipanggil undi hantu sebenarnya dia menang dengan undi orang sakit otak atau cacat otak, pendek kata mereka ini pengundi orang Gila. Itu sebab UMNO/Barisan Nasional punya banyak pemimpin macam orang sakit mental dari Presidennya sampai kebawah-bawahnya termasuk setengah Menteri Besar.